Pages

Sabtu, 11 November 2017

Kuih Akok Pandan Kedut

Hujan turun di LD dari tengahari tadi. Suhu dingin, tapi nyaman sekali. Sesiapa yang singgah di dapur Amie, jemput minum secawan teh halia lemon dengan hidangan petang, Kuih Akok Pandan!

 Alhamdulillah, petang ini dapat juga menyiapkan satu adunan Kuih Akok Pandan, atau orang biasa sebut sebagai akok kedut. Sebagaimana yang kita sedia maklum, kuih akok memang sangat terkenal di Kelantan dan Terengganu, sebagai negeri asal kuih tradisional ini. Ada pelbagai jenis kuih akok, tapi untuk kali ini Amie berminat untuk mencuba resepi Akok Pandan Kedut dari yuu tube, dan terima kasih daun keladi gajah di atas perkongsian resepi ini. Boleh klik di sini:  SIS SHARIFAH AINI @ MAMAMIA'S KITCHEN.
Di sini Amie kongsikan resepi Akok Pandan Kedut tersebut:

Bahan-bahan:
6 biji telur - sebelum dikisar bersama bahan lain, buangkan tali pusat telur
200 ml santan
100 ml air kelapa
150 gram gula melaka
2 sudu besar gula pasir
2 sudu besar tepung gandum
1 helai daun pandan - disimpul
1/2 sudu kecil garam
4 helai daun pandan - hiris kasar


Jom kita lihat cara penyediaan adunan kuih akok pandan di bawah ini.


 Cara penyediaannya:
1. Kisar  santan bersama daun pandan.
2. Masukkan telur, tepung dan garam.

 3. Masak gula melaka dengan air kelapa, gula pasir dan sehelai daun pandan yang disimpul.

 4. Apabila gula telah larut, padamkan api dapur dan masukkan bahan kisar. Gaul rata.


 5. Biarkan adunan menjadi suam dan kemudian tapis. Jangan lupa buangkan semua buah di atas adunan seperti di atas supaya kelihatan seperti adunan di bawah.

6. Sementara itu panaskan oven pada suhu 200'C menggunakan api atas dan bawah.
7. Griskan acuan muffin dengan minyak dan panaskan acuan tadi di dalam oven selama 15 minit.

 8. Keluarkan acuan muffin, dan tuangkan kira-kira 3/4 adunan dalam setiap lubang acuan.
9. Bakar selama 20 minit atau sehingga masak.

10. Kuih akok akan menggelembung naik ketika di bakar.
11. Keluarkan acuan daripada ove setelah kuih akok masak.

 Inilah rupa kuih akok yang Amie buat petang ini!

 Sebaik sahaja dikeluarkan dari oven, kuih akok mula mengecut perlahan-lahan.

 Untuk satu adunan kuih akok pandan ini, Amie dapat 18 ketul!

Budak Firdaus ni baru lepas mandi di luar! Belum pakai baju terus lari masuk dapur capai kuih akok pandan yang masih hangat-hangat panas!Tak perasan pula entah berapa biji dia makan sebab Amie uruskan bakaran kuih akok yang kedua!

Alhamdulillah, walaupun selama ini hanya mampu makan kuih akok hasil air tangan orang lain, tapi hari ini dapat makan kuih akok hasil air tangan sendiri.

Selamat mencuba bagi yang ingin mencuba!

2 ulasan: