Pages

Rabu, 8 November 2017

Ayam Ungkep

Pesan dengan Encik Suami, balik kerja nanti minta tolong belikan ikan. Ikan apa-apalah, walaupun ikan sekecil basung @ selayang. Lama sangat tak makan ikan. Terlelap seketika, dan kemudian terdengar Firdaus berlari ke pintu menyambut kepulangan Encik Suami. Seperti biasa memang Firdaus dapat habuan petang, popia dan pisang goreng daripada Encik Suami.
Kita pun bingkas bangun nak sambut ikan, tapi rupanya Encik Suami beli daging ayam!
Ada peha ayam, ada sayap ayam, katanya.
Kita pun garu kepala.
Rasa nak sambung tidur (macam malas nak masak) tapi gagahkan diri ke dapur. Dalam hati berkata, tak elok merungut dengan rezeki yang dibawa pulang Encik Suami. Itulah rezeki untuk kami hari ini walaupun tidak dapat apa yang dihajati. 
Amie lihat saiz bahagian peha ayam agak kecil dan Amie cadang untuk masak 3 ketul, biarkan bulat begitu. Nak masak apa? Cubalah masak yang menimbulkan aroma dan rasa yang menyelerakan!
Jadi, Amie pun masak ungkep ayam, sambil membayangkan orang kampung rewang semasa kenduri di kampung. Dulu, semua rempah ditumbuk menggunakan lesung, atau digiling tapi sekarang semua masuk pengisar!



Bahan-bahan:
3 keping daging ayam bahagian sukuan peha
3 batang serai - dititik
2 helai daun bay - kalau ada daun salam lebih baik
1 sudu kecil pati asam jawa - bancuh dengan 1/2 cawan air
4 cawan air
garam dan gula melaka / perasa pilihan secukupnya
1/2 cawan minyak

Bahan tumbuk / kisar:
5 ulas bawang putih
10 biji bawang merah
3 sudu besar ketumbar biji
1 sudu besar jintan manis
1 sudu besar jintan putih
4 biji buah keras
3 cm kunyit hidup
3 cm halia
30 biji cili padi hijau

Cara:
1. Panaskan minyak. Tumis semua bahan kisar sehingga terbit minyak.
2. Masukkan bancuhan air pati asam jawa dan biarkan hingga mendidih. Kemudian masukkan  serai, daun bay dan daging ayam dan kemudian gaul rata hingga ayam kelihatan layu atau berubah warna.
3. Tambahkan air, garam, gula atau perasa pilihan.                                           
4. Tutup kuali rapat-rapat. Gunakan api sederhana panas.
5. Kacau sekali-sekala untuk memastikan daging ayam tidak hangus kekeringan.
6. Apabila kuah hampir kering (jika suka kuahnya, tak perlu masak sampai kering) dan ayam empuk, matikan api dapur.

Bukan main suka Encik Suami dengan Fairuz bila Amie masak ayam ungkep! Baunya macam masak lauk untuk kenduri, kata Encik Suami. 
Ini sudah cukup bagus! Ada tiga ketul ayam. Jadi setiap seorang ambil satu, kata Fairuz tanpa merujuk adanya Firdaus!
Pada zaman kanak-kanak Amie, seketul ayam ungkep itu amat besar nilainya dalam sebungkus nasi berkat yang dibawa pulang dari menghadiri kenduri untuk dijamah seisi keluarga!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan