Pages

Isnin, 2 Oktober 2017

Sup Ekor Tumis Darat

Sesekali menikmati Sup Ekor Tumis Darat, memang tak terkata lazatnya! Cuma, bekalan ekor agak terhad di LD, tapi itu sudah cukup baik sebab kalau asyik masak sup ekor, memang jadi penternak lemaklah...hiks! Amie beli 1 kg ekor lembu, dapatlah 3 ketul! Seperti biasa, Amie masak gunakan slow cooker. Bagi yang mempunyai pressure cooker, kalau nak cepat masak, gunakanlah kemudahan itu. Amie memang suka yang slow-slow hihihiiii.... 
Bagi yang utamakan kesihatan, bolehlah buang lelemak ekor mengikut cara masing-masing. Ada yang rebus hingga mendidih, dan kemudian buang air rebusan, dan ganti dengan air baru. Ada yang sejukkan dahulu, dan kemudian buangkan lelemak yang terapung di atasnya. Ikut suka masing-masinglah ye.



Bahan-bahan:
1 kg ekor lembu
2 liter air
1 batang lobak merah – kupas kulit dan potong bulat
3 biji ubi kentang  - kupas kulit dan potong 2
3 pelepah batang saderi – potong serong
2 sudu besar puri tomato
Garam dan gula secukup rasa

Bahan penumis:
3 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
1 batang kulit kayu manis
1 labu bawang besar – hiris kasar
4 sudu besar minyak

Bahan kisar:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
2 batang serai – ambil isinya yang putih – hiris
2 cm halia
1 sudu besar lada putih
1 sudu besar ketumbar biji
1 sudu kecil jintan manis kasar
1 sudu kecil jintan putih kasar

Cara memasak:
1.         Rebus ekor lembu bersama 2 liter air.
2.         Apabila mendidih, masukkan lobak merah, ubi kentang, batang saderi dan puri tomato.
3.         Renih sehingga ekor lembut.
4.         Panaskan minyak dan tumis bahan penumis hingga wangi.
5.         Kemudian masukkan semua bahan kisar dan biarkan masak sehingga pecah minyak.
6.         Tuangkan bahan tumisan ke dalam periuk rebusan ekor tadi.
7.         Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.


 Sesungguhnya... Sup Ekor Tumis darat ini memang sedap!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan