Pages

Sabtu, 21 Oktober 2017

Makan Tengah Hari di Rumah Makan Aie Badarun

Assalamualaikum dan selamat pagi.
Amie sambung entri jalan-jalan ke Bukit Tinggi dengan paparan makan tengahari di Rumah Makan Aie Badarun. Menurut Pak Google, ain badarun bermaksud suara air yang sangat kencang. Sebagaimana yang kita ketahui, selain memiliki adat yang sentiasa dijunjung, daerah yang unik ini juga kaya dengan kesopanan bahasanya yang sentiasa penuh dengan kiasan. Setiap patah perkataan sudah semestinya mempunyai maksud yang tersurat dan tersirat. Hanya tuan punya Rumah Makan Aie Badarun sahaja yang memahami maksud di sebalik pemilihan diksi (perkataan) untuk restoran tersebut.
Rumah Makan atau Restoran Aie Badarun terletak di Jalan Raya Padang Panjang Bukittinggi KM.6, Aie Angek, Sepuluh Koto, Aie Angek, Sepuluh Koto, Kabupaten Tanah Datar, Sumatera Barat 27151, Indonesia.

RM & Restoran Aie Badarun : RM itu maksudnya Rumah Makan, bukan Ringgit Malaysia ye.... jangan perasan pulak...ahaks!


Ketika pelbagai jenis hidangan disajikan di hadapan kami (kami memilih untuk duduk di lantai ketika makan), banyak pulalah persoalan yang dikemukakan sesama sendiri, dan dijawab pula dengan logik akal masing-masing.
Banyaknya lauk!
Macamana  kita nak makan ni?
Jangan usik lauk yang kita tak nak makan, nanti dikira kita makan juga tu.
Jadi? Berapa lauk boleh kita ambil?
Makan dengan apa?
Mana sudunya?
Makan dengan tangan kot, sebab dah disediakan air cuci tangan. Ada 7 mangkuk semuanya, maknanya satu mangkuk untuk setiap seorang.
Dah tu, macamana nak ambil lauk? Pakai tangan juga ke?
Mintalah sudu.
Bismillah....

Dan banyaklah pula lauk yang kami tidak tahu namanya. Teragak-agak pula nak ambil, sebab teringat pesanan kawan-kawan, jangan usik kalau tak nak makan. Sewaktu makan di sebuah restoran Padang di Bandung beberapa tahun lalu, pelayan restoran berpesan: Lauk yang terusik, biarpun hanya kuahnya, dikira jual.
Pesan Pak Herman pula:
Boleh tukar lauk kalau tidak mahu.
Sayangnya kami tak faham maksud kata-kata Pak Herman itu.

Sambil makan (walaupun teragak-agak ambil lauk), masing-masing mengulas rasa setiap lauk yang sudah dicicipi. Kata Zana, lauk di atas itu pucuk ubi masak lemak, ada ikan bilis dan terung pipit. Maka berpindah-pindahlah sayur pucuk ubi ini dari satu tangan ke satu tangan yang lain.

Ini pula kepala ikan, dan tak tahu pula masak apa. Dah ada di depan mata, Amie pun makan sajalah kongsi dengan Ain.

Selain sup (mungkin tulang atau ekor) di atas, hidangan berasaskan daging turut disediakan termasuklah rendang daging, mungkin daging kerbau dan juga dendeng serta rendang ayam. Itu dahululah yang habis!

Sambal hijau 


Pada mulanya bungkusan ini tidak ada siapa yang mengusik, tapi akhirnya kami buka juga dan terkejut bila mendapati ada telur ikan di dalamnya! Tangan-tangan yang berminat pun berebutlah mengambilnya!

 Palai telur ikan?
Betulkan Pak Herman?

Lauk ini memang kami tak tahu apa namanya! Tapi memang sedap, dan terdiri daripada beberapa jenis sayur. Mulanya  Amie sangka daun betik. Warite pula kata genjer, atau paku rawan. Kalau tidak silap, menurut Pak Herman (post mortem dalam perjalanan seterusnya), itu ialah selada atau daun salad dalam bahasa kita. Entahlah....yang penting rasanya sedap.

Amie tanya kawan-kawan, ini apa? (merujuk gambar di atas). Entah suara siapa menyahut: Itu perut sapi. 
Macamana nak makan? Boleh makan tak? 
(Apa punya soalan - kalau dah dihidangkan untuk dimakan, memanglah boleh dimakan. Bertanya pulak!)
Ada sesiapa nak makan? 
Dan ada suara nakal lagi berbunyi: 
Perut tu dipotong-potong terus masuk dalam periuk.
Aiissshhh......
Bila mereka kemukakan tentang lauk di atas (sewaktu dalam perjalanan) kepada Pak Herman, begini jawapan beliau:
"Itu usus lembu.
Dibasuh bersih, dibuang bahagian dalamnya kemudian direbus.
Usus yang sudah direbus tadi diisi dengan telur."
(Bila rujuk Pak Google, biasanya diisi dengan telur bersama tauhu).
"Kemudian dimasak semula bersama bumbu yang lain, sambung Pak Herman.
Oooooooh! Itu bunyi suara orang yang baru tahu cerita sebenar.
Boleh kami dapatkan lagi usus sapi itu Pak?
"Nanti di rumah makan lain juga ada," jawapan Pak Herman kedengarannya sangat menyenangkan hati kami.
Hurrrmmm..... tengoklah nanti, jumpa lagi atau tidak usus sapi isi telur itu di rumah makan seterusnya!

Jering!
Ada di antara kami yang baru pertama kali makan jering!
Dan di rumah makan seterusnya, nampak saja jering kami terus membahagikan sama rata. Sama rata? Ada yang mengaku makan 2 keping, makan tiga keping....ha ha haaa!
Nampaknya, di sini kami banyak mendapat ilmu baharu tentang dunia masakan!

Yang ini memang kami tak tahu gulai apa, tapi Amie makan saja berdua dengan Ain. Sedapkan Ain.


Dan yang ini pula, sambil meratah Ain asyik tertanya-tanya apa bendanya? 
Ikan pekasam kot? Amie meneka.
Bukan, tapi ada rasa asam. Macam ikan bakarlah.
Sedap sangat!

Walaupun teragak-agak makan sehingga selesai dan cuci tangan, tapi kami masih bercerita tentang 'misteri' masakan Padang ini, termasuklah telur dadar yang gebu! Bila dikenang semula memang terasa lucunya, sebab bahan yang digunakan bahan biasa yang kita gunakan di dapur, tetapi rasanya itu yang luar biasa!

 Sempat beli sepotong kecil kek lapis legit, 3000 rupiah.
Nampaknya kek lapis legit yang Amie beli ini jauh lebih sedap dari yang pernah Amie buat sendiri....hiks!

Dan masing-masing membeli jus sirsak, atau dalam bahasa kita jus durian belanda. Kalau tak silap berharga 10,000 rupiah. Tidak ada seorang pun di antara kami yang mengeluh mengatakan jus sirsak ini tidak  sedap atau kurang sedap, melainkan sedap belaka!

Sumber : Google

Asyik sibuk bercerita, terlupa untuk tangkap gambar luar Rumah Makan Aie Badarun. Pinjam dulu dari Pak Google.
Kami inginkan kepastian dari Pak Herman tentang cara makan hidangan Padang. Adakah semua sekali lauk-pauk yang begitu banyak perlu dihabiskan? Kalau tak silap ada 19 piring berisi lauk yang terhidang di hadapan kami.
"Semua itu untuk dimakan para tamu. Herman sudah bayar. Kalau tidak habis, tuan punya rumah makan yang untung," demikian penjelasan daripada Pak Herman.
Oh! Maksudnya, hidangan itu memang khas untuk kami!
Sekarang fahamlah kami.
Dan satu lagi, apa yang Pak Herman maksudkan dengan 'boleh tukar kalau tidak mahu' ialah kami boleh minta tukar atau ganti lauk lain sekiranya ada di antara lauk yang disajikan kami tidak mahu makan!

Masakan Padang memang sentiasa terjaga dari segi kualitinya. Ia masih mengekalkan cara tradisional. Menurut Pak Herman, keenakan masakan Padang terletak kepada proses memasak, terutama penggunaan kayu api dan periuk belanga. Walaupun masakan tersebut dihasilkan di rumah makan atau restoran tetapi tidak menggunakan dapur gas! Nasi juga dimasak dengan menggunakan dapur kayu. Benarlah sebagaimana yang pernah Amie baca, masakan Minangkabau merupakan antara makanan termasyhur di Kepulauan Melayu pada kurun yang lalu, dan sehingga kini terkenal bukan sahaja di Indonesia tetapi juga di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Pak Herman bukan sahaja arif tentang selok-belok Bukit Tinggi dan Padang, tetapi juga memiliki pengetahuan tentang dunia kulinari Minang!
Sesiapa yang berhasrat untuk bercuti ke Bukit Tinggi bolehlah menghubungi Pak Herman melalui FB beliau di sini : HERMANN HOLLANDE. 
Pak Herman juga boleh dihubungi melalui telefon : 62 812-6784-9399, dan WhatsApp : 62  812-6784-9399

Sila klik entri di bawah berkaitan PERCUTIAN KE BUKIT TINGGI - PADANG - SUMATERA BARAT:

1. Bercuti ke Bukit Tinggi, Padang : Lahad Datu - Tawau - Kuala Lumpur - Sumatera Barat 
2. Sarapan Pagi di Warung Soto Angkasa  
3. Air Terjun Lembah Anai  
4. Memakai Pakaian Adat di Museum Minang Village  
5. Makan Tengahari di Rumah Makan Aie Badarun  
6. Makan Malam di Rumah Makan Wong Semarang  
7. Bermalam di Hotel Primadini  
8. Shopping Kain Sulam di Bukit Tinggi  
9. Cerita Secangkir Kopi Kawa Daun & Kue-Kue Jagung Manis  
10. Lembah Harau & Kelok Sambilan (9)  
11. Makan Tengahari di Tengah Sawah  
12. Istano Basa Pagaruyung  

13. Jus Terong Peros @ Terung Belanda
14. Menghayati Keindahan Panorama Sungai Landia Sambil Menikmati Secawan Teh Halia Panas!    
15. Kelok 44 - Museum Rumah Kelahiran Buya HAMKA  
16. Danau Maninjau Yang Indah Mempesona 
17. Makan Tengahari di Rumah Makan Eni  
18. Silver Work Koto Gadang  
19. Minum Petang di Rumah Pohon Ngarai Sianok  
20. Lobang Jepang  
21. Jam Gadang Mercu Tanda Kota Bukit Tinggi  
22. Tembok Besar China ala Bukit Tinggi  
23. Oleh-Oleh Sanjai Ummi Aufa Hakim Bukit Tinggi  
24. Bika Talago Bukit Tinggi Yang Tak Dapat Dilupakan!  
25. Makan Tengahari di Lamun Ombak & Segelas Jus Pinang Muda  
26. Sepetang di Kota Padang  
27. Sate Padang KMS Saribu Baniah  
28. Berakhirnya Percutian di Bukit Tinggi : Padang - Kuala Lumpur - Tawau 

2 ulasan:

  1. Sambal ijou dia sedap. Masakan minang kat Bukit Tinggi memang sedap-sedap belaka. Apa lagi bila semakin mendaki Bukit Tinggi yang cuacanya sejuk macam Cameroon Highland bila time makan je memang semuanya licin bersih. Rindunya nak bertandang ke Bukit Tinggi lagi.


    Baju pengantin Minangkabau selain di Pusat Dokumentasi ada juga di Istana Basa Pagaruyung. Boleh posing lagi kat situ.

    BalasPadam
  2. Notie,
    memang semuanya menyelerakan, semua habis licin macam orang kelaparan hihiii.
    tak cuba baju di istano pagaruyung, dah petang.

    BalasPadam