Pages

Rabu, 23 Ogos 2017

Sup Ayam Berempah

Hujan tak tentu masa. Kadang hujan pagi. Kadang hujang petang. Tiba-tiba hujan di tengahari pun ada. Bila hujan-hujan dan cuaca sejuk begini, memang elok sangatlah masak sup! Aromanya yang semerbak dibawa angin dingin memang cukup menggoda selera. Boleh hirup kuahnya yang masih panas. 

Bahan-bahan:
1 kg daging ayam - potong 8
3 sudu besar rempah sup Baba's
3 biji kentang - buang kulit dan belah 4
1/2 batang lobak merah - buang kulit dan potong bulat 
1 sudu kecil lada putih tumbuk
hirisan daun sup
3 sudu besar minyak
1.2 liter air
garam / perasa pilihan secukupnya

Bahan tumis:
3 ulas bawang putih - hiris
5 biji bawang merah - hiris
1 labu bawang besar - hiris
3 cm halia - hiris
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis halia, bawang putih, bawang merah serta bawang besar hingga layu.
2. Kemudian masukkan kulit kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga. Tumis sebati hingga harum, dan seterusnya masukkan rempah sup. Tambahkan sedikit air jika terlalu kering.
3. Masukkan daging ayam dan balik-balikkan beberapa kali. Masak sehingga daging ayam berubah warna, kelihatan layu dan keluar ainya.
4. Tambahkan air dan masak dengan api besar.
5. Setelah kuah mendidih, masukkan kentang dan lobak merah serta lada putih.
6. Biarkan masak sehingga daging ayam dan kentang empuk.
7. Akhir sekali perasa dengan garam / perasa pilihan secukupnya.
8. Padamkan api dapur dan taburkan hirisan daun sup sebelum menghidangkannya.

Sebagai pelengkap hidangan sup, Amie sediakan sambal tuhau ikan bilis, ulam-ulaman dan telur dadar. Haaa... dah masak sup daging ayam, telur ayam pun jadi mangsa! Sambal tuhau tu senang saja nak hidang, keluarkan dari bekasnya saja! Amie beli sambal tuhau ready made!

Nampaknya hari ini, kongsi resipi mudah saja. Masak sup gunakan rempah sedia tuang, dan sambal tuhau dari borol serta ulam-ulaman. Jom makan nasi, sambil bayang-bayangkan cuaca sejuk begini akan berterusan. Jangan lupa hirup kuah sup....sluuurrrpppp!

1 ulasan: