Pages

Sabtu, 12 Ogos 2017

Sedapnya Nasi Ganja!

Dunia masakan memang luas tanpa sempadan. Semakin kita gali resipi, semakin banyak yang kita belum ketahui. Itulah uniknya. Itulah indahnya! Itulah sebenarnya yang membuatkan Amie tidak jemu-jemu cuba meneroka pelbagai resipi merentas sempadan kaum dan negeri! Hari ini Amie cuba resipi Nasi Ganja pula.
Mulanya rasa sedikit aneh, kenapa namanya Nasi Ganja? Setelah beberapa kali bersoal jawab dengan Pak Google, akhirnya Amie dapat jawapannya di IPOH MALAY. Begini katanya: 

Asal nama Nasi Ganja ialah apabila tibanya bulan puasa, ianya dijual seperti menjual dadah kepada umat Islam yang tidak mahu berpuasa. Ia dijual seperti drive-through di lorong sebelah kanan kedai tersebut dan Nasi Ganja yang siap dibungkus dengan suratkhabar dan plastik dibungkus pula ke dalam plastik jinjing berwarna hitam. Ramai orang luar Ipoh kerap mencari kedai menjual Nasi Ganja di Ipoh. Mereka menemuinya di Jalan Yang Kalsom. Bila ditanya mengapa nasi tersebut dipanggil Nasi Ganja, penjualnya berbohong dengan mengatakan keenakan nasinya boleh membuatkan orang ketagih. Di Ipoh, umat Melayu terdahulu menyebutnya Nasi Ganja. Umat Melayu terkemudian menyebutnya Nasi Wonggey yang berasal dari perkataan Tamil ' Vanggey' yang bermaksud 'mari'. Ini kerana penjual Nasi Ganja ini sepanjang tahunnya memanggil orang supaya singgah di kedainya dengan laungan 'vanggey, vanggey, vanggey' . Maka bersepahlah pula cawangan Nasi Vanggey di Ipoh kemudiannya. 

Kemudian Amie pun study pula resipi Nasi Ganja. Macam-macam info yang Amie baca sehingga membuatkan Amie keliru dan tidak dapat memastikan mana satu resipi yang asli. Apa pun Amie cuba olah Nasi Ganja menggunakan resipi IDA SHAHIDA. Bagaimanapun Amie melakukan sedikit tokoh tambah serta ubahsuai berdasarkan pemerhatian dan pembacaan Amie dari blog dan juga laman Facebook. Minta izin ye IDA SHAHIDA Amie kongsikan resepinya di sini dan maaf jua dipinta kerana Amie pandai-pandai mengubah sedikit bahannya.

Bahan-bahan:
3 cawan beras bashmati - cuci bersih dan toskan
4 1/2 cawan air
2 sudu besar minyak sapi
2 sudu besar minyak masak
4 biji bawang putih*
8 biji bawang merah *
3 batang kulit kayu manis*
3 kuntum bunga lawang*
5 biji buah pelaga*
3 biji bunga cengkih*
1 bungkus kecil serbuk rempah Sup Adabi*
beberapa titis pewarna kuning telur
6 sudu besar sos cili Maggie 
garam / gula / perasa pilihan secukupnya
Cara memasak:
1. Tekan butang on pada rice cooker. Masukkan minyak masak dan minyak sapi, dan biarkan cair / panas.
2. Masukkan bahan bertanda * dan tumis hingga wangi dan bawang menjadi layu.
3. Kemudian masukkan air, pewarna kuning serta sos cili Maggie.
4. Tambahkan garam / gula / perasa pilihan secukupnya.
5. Setelah mendidih, masukkan beras, kacau sekali dua supaya sekata dan kemudian tutup periuk sehinggalah nasi tanak.

Untuk ayam goreng pula (maaf, tak fokus gambar ayam gorenglah pulak!), resepinya seperti di bawah ini.
Bahan-bahan:
1 ekor ayam dipotong 12 ketul
2 sudu serbuk kunyit
2 bungkus kecil rempah kari ayam
1 sudu serbuk ketumbar
1 sudu kecil jintan manis
3 tangkai daun kari dimayang
sedikit garam dan gula

minyak untuk menggoreng

Bahan kisar:
10 biji bawang merah
6 biji bawang putih
2 inci halia
2 batang serai


Cara:
1. Perap kesemua bahan kecuali minyak.
2. Setelah memerap lebih kurang 30 minit, bolelhlah goreng ayam tadi dengan menggunakan api sederhana panas supaya masak sekata.

Sekarang kita cerita pula tentang kuah kari sebagai pelengkap hidangan. IDA SHAHIDA  kata, ini Kuah Kari Mamak. Resepi asal, kuah kari ini kosong, tapi Amie tambahkan kentang dan juga kacang panjang.

Bahan-bahan:
2 bungkus kecil Rempah kari ayam Allagapas/babas
1 bungkus kecil rempah kari ikan
1 sudu besar  serbuk cili
( dicampur dan gaul dengan 1/2 cawan air)


Bahan tumbuk / tumisan
5 biji bawang merah
4 biji bawang putih
1 inci halia 


Bahan lain: 
3 biji kentang - kupas kulit dan potong dadu
5 batang kacang panjang - potong sepanjang 3 cm
2 kiub ayam
garam / gula
1 sudu kecil pati asam jawa
4 cawan air
3/4 cawan minyak


Cara memasak :
1. Panaskan minyak dan tumis bahan tumisan hingga harum.
2. Masukkan bancuhan rempah kari, dan tambahkan air apabila tumisan terbit minyak.
3. Tambahkan kentang, kiub ayam, garam, gula, dan pati asam jawa.
4. Setelah kentang empuk, dan kuah hampir pekat masukkan pula kacang panjang.

5. Masak sehingga kacang panjang berubah warna. Padamkan api dapur.

Untuk hidangan Nasi Ganja ini, selain ayam goreng dan kuah kari mamak, Amie tambahkan telur rebus, cili hijau, kacang bendi celur dan juga hirisan limau nipis. Sebenarnya Amie terliur sangat bila 'tersinggah' di WARUNG NASI GANJA. Sebelum makan, pelanggan perahkan limau nipis, dan kemudian gigit cili hijau! Patutlah dinamakan Nasi ganja! Bila Amie mula gigit cili hijau dan mula makan Nasi Ganja, ya ampuuuunnnn! Sudahlah nasinya memang sedia sedap! Memang sedap! Rugi tak cuba tau!


1 ulasan:

  1. Wah! Menarik sunggoh resipi ni, Amie. Nampaknya sedap sangat dan sekali rasa boleh ketagih macam ganja!

    BalasPadam