Pages

Sabtu, 19 Ogos 2017

Acar Belut Kering / Masin

Belut?
Pernah makan belut kering / masin?
Kalau ada belut kering atau belut masin, sedap dibuat acar. Resipi ini dah lama Amie olah, tapi baru berkesempatan untuk dipaparkan.



Bahan-bahan:
300 gram belut masin / kering
300 gram jeruk mangga
3 sudu besar serbuk kari
15 ulas bawang putih
15 biji bawang merah kecil
7 biji cili hijau
7 biji cili merah
½ cawan  cuka
½ cawan air
Minyak untuk menggoreng
Garam dan gula secukup rasa

Bahan kisar:
7 biji cili kering
3 cm halia
1 biji bawang besar

Cara penyediaannya:
1.         Belut  masin / kering dihiris sepanjang 3 cm, kemudian direndam sebentar dan toskan airnya.  Goreng  sehingga kekuningan dan angkat. Ketepikan.
2.         Tinggalkan  4 sudu besar cawan minyak bekas gorengan belut masin di dalam kuali. Tumis bahan kisar hingga pecah minyak.
3.         Kemudian masukkan serbuk kari dan gaul sebati, diikuti dengan gula pasir, garam dan cuka serta air.
4.         Setelah kuah mendidih, masukkan jeruk mangga, bawang putih, bawang merah, cili hijau dan cili merah dan  belut masin yang telah digoreng tadi. Kacau rata dan kecilkan api.
5.         Setelah kuah pekat, boleh tambahkan lagi  gula atau garam mengikut kesesuaian rasa.
6.         Padamkan api dapur.
7.         Enak dinikmati bersama nasi panas.


Oleh kerana hasil acar belut ini agak banyak, Encik Suami bawakan sedikit untuk kakak ipar di kampung. Amie tanya : Kakak makan belut ke? Jawab Encik Suami : Eh! Kenapa pulak tak makan? 
Beberapa hari kemudian, kami menziarahi kakak ipar Amie di kampung. Amie tidak bertanya tentang acar belut, sebaliknya kakak ipar seronok bercerita tentang acar belut yang Encik Suami bawakan. Katanya:
Sedap betul acar ikan masin yang Mie kirim hari tu.  Habis kakak makan.
Amie terus menyampuk : Oooo... kakak pandai makan belutkah?
Jawabnya: Kalau belut kakak tak makan. Tak boleh masuk tekak. Itulah saja satu-satunya jenis ikan yang kakak tak boleh terima.
Amie tak tahu nak cakap apa. 
Dalam hati berkata : Maafkan saya kak. Yang kakak habis makan tu sebenarnya belut masin!

1 ulasan:

  1. Assalam kak amie..menu exotic ni..
    Hahaa kesian kakak ipar kak amie..tertipu rupanya..
    Baru tahu rupanya belut jugak boleh buat belut masin..ingtkan ikan masin jer ada..

    BalasPadam