Selamat berhujung minggu buat rakan pengunjung Amie's Little Kitchen.
Nampaknya hujung minggu bukan bererti kita boleh berehat panjang, kerana ketika inilah sahaja kita berpeluang untuk seharian bersama keluarga dan pada masa yang sama mengambil kesempatan membersihkan segala enjuru rumah, luar dan dalam! Itu pun kalau sempat, atau kalau larat! Amie mengaku kalah! Memang tak larat dengan kudrat dan tulang empat kerat! Memang tenaga Encik Suami dan anak-anak sangat diperlukan!
Jom kita cerita tentang resepi hari ini. Pagi tadi, seawal pukul 7 pagi Amie sudah mula masak.... he he heee bukan masak untuk sarapan, tapi masak untuk hidangan tengahari. Amie masak sup ayam hutan gunakan slow cooker. Pukul 8.30 pagi kami keluar untuk bersarapan, dan terus ke pasar tani. Singgah sebentar di pasar raya dan terus melencong ke kampung Encik Suami mencari daun kesum segar! Sampai rumah, jam sudah menunjukkan angka 11.30 pagi. Aroma sup ayam hutan menerpa ke hidung ketika kami buka pintu dapur!
Akhirnya terhidanglah Sup Ayam Hutan Tumis Darat yang direnih selama 7 jam menggunakan slow cooker. Maklumlah, daging ayam hutan kerasnya mengalahkan ayam jantan kampung! Boleh jew masak gunakan pressure cooker, tapi Amie lebih berminat untuk memasak slow...slowwww...... Encik Suami kata, alangkah sedapnya makan nasi dengan sup ayam hutan!
Saiz ayam hutan kali ini agak kecil sedikt berbanding ayam hutan yang Amie masak ungkep pada mingu lepas. Amie potong menjadi 8 bahagian. Amie masukkan air panas mendidih ke dalam slow cooker, dan kemudian masukkan potongan ayam hutan bersama halia dan sebiji bawang besar di potong dadu. Amie kongsikan resepinya di bawah ini.
Bahan-bahan:
1 ekor ayam hutan yang sudah dibersihkan - potong menjadi 8 bahagian
1 labu bawang besar - potong dadu
3 cm halia - diketuk
1.8 liter air panas mendidih
4 biji kentang - kupas dan belah dua
1 batang lobak merah - kupas dan potong bulat
Cara:
Masukkan kesemua bahan di atas ke dalam slow cooker. Tekan butang slow dan biarkan masak hingga daging ayam hampir empuk. Masukkan kentang dan lobak merah. Biarkan sup terus direnih
Bahan tumbuk: / kisar
3 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
7 biji cili padi - kalau nak lebih pedas, boleh tambah lagi
1/2 sudu kecil lada putih
1 sudu besar ketumbar biji
1 sudu kecil jintan putih
1 sudu kecil jintan manis
Bahan penumis:
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
1 labu bawang besar - hiris kasar
2 batang serai - diketuk
3 cm lengkuas - diketuk
2 bonggol pokok ketumbar - rendam dalam air supaya pasirnya tanggal - bilas hingga bersoh dan ketuk sedikit
Bahan lain:
3 sudu besar minyak
garam / perasa pilihan
hirisan daun ketumbar
bawang goreng
Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan penumis hingga harum.
2. Kemudian masukkan bahan tumbuk dan tumis lagi hingga sebati. Jika terlalu kering, tambahkan sedikit kuah sup ayam hutan yang sedang direnih. Tumis sehingga mendidih.
3. Masukkan bahan tumisan tadi ke dalam periuk slow cooker yang berisi sup ayam hutan.
4. Tutup periuk semula, dan biarkan lagi selama 2 jam.
5. Ketika ini ayam hutan sudah benar-benar empuk, begitu juga dengan lobak merah dan kentang.
6. Perasakan dengan garam / perasa pilihan.
7. Hidangkan panas. Jika suka sediakan sambal kicap dan perahkan limau nipis atau limau kasturi ketika menikmati Sup Ayam Hutan Tumis Darat ini. Jangan lupa taburkan bawang goreng dan daun ketumbar.
Nampak macam lama sangat menunggu 7 jam untuk hirup kuah sup ayam hutan! Bukannya kita kena tunggu mengadap slow cooker selama itu! Buatlah kerja-kerja lain sambil menikmati aroma sup sementara menunggu ayam hutan empuk....hiks! Apa yang Amie suka bila guna slow cooker ni, air yang kita bubuh tak akan berkurang! Sebanyak mana kita masukkan ketika mula merenih, begitulah banyaknya kuah sup ketika ayam masak empuk untuk dihidangkan. Jadi tak perlu risau kuah menjadi kering.
Selamat mencuba!
Tak ada ayam hutan, ayam kampung pun sedap!
Tak ada ayam kampung, ayam pencen pun boleh!
Tak makan ayam pencen, ayam daging pun okey!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan