Pages

Selasa, 18 Julai 2017

Ayam Masak Ungkep lagi!

Dalam kepala....
Goreng telur dadar sajalah. Makan dengan nasi panas, dan tambahkan sambal udang kering yang masih berbaki. Kalau tak cukup lagi, tambahkan serunding ayam. Letih sungguh hari ini. Kejap lagi bolehlah rehatkan badan!
Tiba-tiba Firdaus muncul di pintu dapur.
Mommy masak apa?
Mommy masak nasi, sayang.
Mommy masak ayam macam semalam ya... ayam pedan (pedas - lidahnya masih pelat, tak boleh sebut huruf 's' dengan betul.
Adeeehhh.... tak boleh nak cakap apa bila dengar permintaan si kecil Firdaus!
Daun nak makan ayam pedan. (Daus nak makan ayam pedas), katanya lagi.
Oh! Kelmarin hampir 3 jam masak ayam hutan! Ada lagi seekor ayam hutan dalam peti sejuk, tapi tak larat dah nak masak lama-lama hari ini. Rupanya bukan Encik Suami dan Fairuz saja yang kata sedap, Firdaus pun masih teringat ayam hutan masak ungkep itu!
Untuk tidak menghampakan permintaan Firdaus, Amie pun masak ayam ungkep sekali lagi, tapi Amie gunakan ayam daging biasa.


Bahan-bahan:
1 kg daging ayam bahagian peha - jadikan 12 potongan
3 batang serai - dititik
2 helai daun bay - (gantikan daun salam yang habis)
1 sudu kecil pati asam jawa - bancuh dengan 1/2 cawan air
3 cawan air
garam dan gula melaka / perasa pilihan secukupnya
1/2 cawan minyak
 
Bahan tumbuk / kisar:
5 ulas bawang putih
10 biji bawang merah 
3 sudu besar ketumbar biji
1 sudu besar jintan manis
1 sudu besar jintan putih
4 biji buah keras
3 cm kunyit hidup
3 cm halia
20 biji cili padi

Cara:
1. Panaskan minyak. Tumis semua bahan kisar sehingga terbit minyak.
2. Masukkan bancuhan air pati asam jawa dan biarkan hingga mendidih. Kemudian masukkan  serai, daun bay dan daging ayam dan kemudian gaul rata hingga ayam kelihatan layu atau berubah warna.
3. Tambahkan air, garam, gula atau perasa pilihan.                                           
4. Tutup kuali rapat-rapat. Gunakan api sederhana panas.
5. Kacau sekali-sekala untuk memastikan daging ayam tidak hangus kekeringan.
6. Apabila kuah hampir kering (jika suka kuahnya, tak perlu masak sampai kering) dan ayam empuk, matikan api.
 
Alhamdulillah.... siap juga Ayam Masak Ungkep sebelum Firdaus tertidur! Dapatlah kita suapkan Firdaus nasi lauk ayam ungkep sepinggan penuh! Bukan Firdaus minta suap, tapi kita yang rasa rindu nak menyuap dia!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan