Pages

Sabtu, 10 Disember 2016

Pisang Nangka Goreng Yang Sedap!

Selama duduk di Sabah, inilah kali pertama dapat makan pisang nangka!
Memang di Sabah banyak pisang tapi entah kenapa susah sangat nak jumpa pisang nangka! Kalau tanya di gerai jual pisang, diunjukkan pulak pisang raja oleh peniaga! Syukurlah, adik ipar tanam pokok pisang nangka di kampung, benih dari semenanjung yang dijaga bagai menatang minyak yang penuh! Dua tiga hari lepas Encik Suami bawa pulang 3 sikat pisang nangka tua. Waduh! Seronok tak terkira! Pisang nangka tu hasil tanaman adik ipar di kampung. Memang berbuah beberapa kali, tapi baru kali ini dapat rezeki sampai ke rumah!
Bila makan pisang nangka ni teringat nostalgia lalu masa kecil-kecil. Arwah ayahanda memang tidak akan lupa beli sebungkus pisang nangka goreng kalau ke Sungai Buluh. Dulu ada sebuah gerai kepunyaan mamak di tepi jalan di pekan Sungai Buluh. Penuh berkerumun orang minum dan membeli pisang goreng di situ! Hanya pisang goreng saja yang dijual! Pisang nangka! Kalau beli bungkus, mamak akan bungkus dalam kertas suratkhabat dan tabur gula pasir di atasnya. 
Apa yang membezakan pisang nangka dengan pisang lain?
Pisang nangka ni harum, aroma nangka! Rasanya masam-masam manis!

Nak goreng senang saja, tapi versi adunan tepung memang sentiasa berbeza. Ada yang suka rasa lembut, ada yang suka rangup! Amie buat adunan tepung gandum dengan tepung beras, tambah sedikit garam dan gula. Adunan pun tidak terlalu p[ekat dan tidak pula terlalu cair. Sedang-sedang saja. Lepas tu makan dengan sambal udang kering...hohohoooo!
Sekian.
Jom sarapan!

1 ulasan: