Pages

Isnin, 4 Januari 2016

Senja di Bandar Hilir Melaka

Turun dari Melaka Duck Tour... perut terasa-rasa minta diisi. Maklumlah biasanya kami makan malam sebelum pukul 6.00 petang. Sekarang sudah melewati masa..... Ziah dan Tri entah ke mana. Kami pusing-pusing di kawasan berhampiran.... sampailah ke Medan Samudera. Di bahagian bawahnya penuh dengan gerai cenderamata, di atas pula ada tempat makan-makan. Malangnya ketika kami sampai semua kedai makan sudah tutup! Hanya tinggal satu saja yang masih beroperasi. Itu pun bila kami menghampiri, dan belum sempat bertanya... tuan kedai berkata dengan lantang : Nasi tidak ada! Yang tingga cuma mee saja! Kami pun terus turun ke bawah....mata terus memandang ke hadapan, tepat ke Muzium Samudera tempat kapal Flora de La Mar berlabuh!

Nak masuk ke dalam kapal Flora de La Mar dah tak boleh sebab dah tutup masa lawatan. Tengok sajalah dari seberang jalan. Bila telefon Ziah, katanya dia lepak di Dataran Pahlawan. Ada tempat makan di situ.... kami pun terus jalan menyusur di belakang balai polis.

Walaupun hampir senja, Bandar Hilir Melaka tetap meriah. Tak putus-putus pelancong yang berjalan, juga penarik beca roda tiga memenuhi sekitar kawasan. Alahai... tangkap sajalah gambar mana yang dapat....

 Nampak keretapi, tangkap juga....

Nampak kaaan... dan nak senja, lampu-lampu pun dah mula menyala, tapi masih juga orang keliling-kelalang. Maknanya Negeri Melaka Bandaraya Bersejarah ini memang tidak pernah sunyi dari kunjungan pelbagai.... Patutlah Portugis dan Belanda minat sangat nak takluk Melaka! Rupanya banyak yang istimewa di sini. Kan dah kata dalam entri pertama tentang Melaka : Negeri yang termasyhur seantero dunia!

 Nampak kapal terbang, tangkap juga ...

 Owwwhhh... keretapi ni rupanya lain-lain warna! Depan lain, belakang lain.

 Ada pula meriam di sini... 

 Oh! Memang malam telah menjelma... sebab penarik beca roda tiga sudah menyalakan lampu becanya!

 Akhirnya kami sampai di Dataran Pahlawan.

Ziah bawa kami naik tingkat atas.... tapi nampaknya macam tak ada suasana makan-makan yang meriah! Lengang saja. Kami turun semula. Terjumpa kedai nasi ayam penyet.... bila order itu ini, banyak yang tidak ada! Adeeehhh.... tak payah banyak soal, kami pun beredar dari situ....

Kitorang tak berapa tahu tempat makan yang sedap-sedap di sini. Kalau nak makan kitorang masuk KFC atau McD jew.... kata Ziah. Owwhhh... ye ker... Sesekali datang ke Melaka takkanlah kita nak makan KFC atau McD pulak... nak juga merasa hidangan tradisi Melaka yang khabarnya kaw kaw itu...asam pedas!
Sebaik sahaja kami keluar ke jalan besar, terpandanglah Restoran Asam Pedas JR seperti yang pernah Amie baca dalam blog kawan-kawan yang pernah datang ke sini!

 Terujalah sangat nak masuk ke dalamnya!

Masa inilah anak buah aku kata... kat Mahkota Parade pun banyak tempat makan yang sedap-sedap. Alahai... bila dah ternampak signbord warna merah yang sudah terang bersuluh cahaya ASAM PEDAS JR, kita dah tak mahu buat pilihan lain. Teruskan sajalah melintas jalan...

Seronoknya bila makin dekat nampak pula papan tanda Perkampungan Makanan Tradisional! Mesti macam-macam menu boleh dipilihRasa penat pun tiba-tiba hilang!
Malangnya bila melangkah ke bahagian dalam, tercangak-cangak pula kami dibuatnya! Maklumlah tak ada yang menyambut kedatangan kami. Tengok kiri, tengok kanan masing-masing sedang menjamu selera.

Akhirnya setelah membaca arahan pada papan tanda, barulah kami faham. Kena cari meja dulu. Tengok di kaki meja. Ada nombor di situ. Ingat nombor meja. Lepas tu baru order makanan dan sebut nombor meja kita. Tapi, bila melihat orang penuh sesak sampai beratur nak order makanan, nafas kita pun ikut jadi sesak! Rasa teruja nak makan perlahan-lahan lesap!

Perut yang lapar minta diisi... Ziah & Tri sabar menanti. Encik Suami order minuman dan makanan. Sekarang ni... apa yang ada sajalah kami makan, sebab Encik Suami dan anak-anak sepakat tak mahu makan ikan! Di rumah pun, kalau dihidangkan ikan macam terpaksa saja anak-anak makan! Kalau dihidangkan ayam, tak sampai berapa minit, dah habis licin. Hu hu huuu.... apa lagi mereka pun bukan peminat tegar asam pedas!

 Syukurlah Firdaus tak cerewet!

Kalau nak air kena order tempat lain. En. Suami order teh O ais tapi dapat teh susu. Hmmm.... dia pun malas nak bersoal jawab. Ambil sajalah. Satu jug tu harganya RM16.00.

 Mula-mula sampai nasi goreng USA (gambar atas) tu Fairuz punya.

 Lepas tu datang nasi goreng cina... tu En. Suami punya. Adeeehhh.... macam tak cukup Encik Suami makan nasi tu....

Akhirnya kita order tom yam seafood dengan nasi goreng kampung. Gambar tak payahlah ambil... macam malas pulak dah.

 Orang ramai masih memenuhi restoran ini.... sampai ke bahagian luar. Nampak meriah sungguh!

Dah tahu tatacara memesan makanan di sini, harap-harap esok boleh datang lagi. Nak juga menikmati hidangan asam pedas Melaka dalam keadaan santai-santai. Terpandang-pandang pes asam pedas berharga RM15.00 satu bungkus! Mungkin esok boleh beli bawa balik, boleh cuba masak sendiri bila sampai di rumah nanti.


Selera kampung...... ada ulam-ulaman, dan juga makanan laut. Nampaknya kalau kita kita pesan asam pedas, ikan bersama kuah akan dimasukkan dalam kuali kecil dan kemudian dihidang dengan meletakkan api di bawah kuali supaya kuah asam pedas sentiasa panas. Tentu sedapkan!

Kami berjalan pulang menuju ke tempat letak kereta. Sempat mendongak ke atas... terpandang Menara Taming Sari yang sedang berputar 360 darjah di malam hari!

 Dan juga deretan beca roda tiga dengan lampu warna-warni.

 Kembali ke Anjung Samudera tempat Encik Suami meletakkan kereta.

Dan sempat tangkap gambar kapal Flora de La Mar di hujung senja!
Kami mengejar waktu Maghrib yang hampir ke penghujungnya!
Malam itu.... Ziah, Tri, Fuad dan Fairuz keluar.... tapi kami berehat saja di hotel. Sempat juga sebelum terlelap, terdengar Encik Suami menelefon Fuad: Belikan Baba burger pun tak apa!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan