Pages

Selasa, 6 Oktober 2015

The King of Curry : Gulai Kawah @ Gulai Raja Berangkat?

Hari ini kita cerita tentang Gulai Kawah.
Gulai Kawah ni kata AYOHWANG, selain nama biasanya itu, kalau di Kelantan dikenali juga dengan nama Gulai Raja Berangkat. Penyediaan bahannya sama. Bezanya semasa proses memasaknya saja. Kalau Gulai Kawah, rempah dan perencahnya ditumis dahulu, tapi kalau masak Gulai Raja Berangkat, main campak-campak saja. Pernah Amie dengar orang kata cara masak Gulai Raja Berangkat ni, semua bahan disatukan dalam kawah kecuali santan dan bahan perasa, renih dengan santan cair sehingga terbit minyak! Wah! Macam menjerang rendang asli pulak... main lebur saja, tapi hasilnya.... pergghhhh! Jangan lupa... Gulai Kawah ini asalnya dimasak dalam jumlah yang banyak dalam sebuah kawah, atau kuali besar dengan menggunakan kayu api. Selain itu, segala bahagian termasuk daging, lelemak, tulang dan organ dalaman dimasak sekali harung. Itu yang katanya menjadikan masakan ini bertambah lazat! Satu lagi, penggunaan kayu api turut mempengaruhi keenakan gulai ini!

Bila bercerita tentang asal-usul Gulai Kawah dengan rakan-rakan sekerja, banyaklah pula versinya sampai tak tahu mana satu yang tepat. Apalagi bila rujuk Encik Google, selain menambah pengetahuan, bertambah peninglah juga mana satu resepi yang nak dicuba!  Faiz dan  Zarina dari Kelantan kata, nama diberi sebab dimasak dalam kawah. Amie kata, kita pun biasa masak gulai daging dalam kawah untuk kenduri-kendara, tapi tak pula dipanggil gulai kawah! Zanariah yang asal negeri Pahang pula kata sebab apa dipanggil gulai kawah... sebab gunakan rempah khas dari Kelantan!
He he heee... macam-macam versinya kan! Amie pernah makan gulai kawah daging kerbau semasa tinggal bersama arwah ayahanda di Pahang, itu pun ketika menghadiri majlis kenduri kahwin. Memang mereka sebut gulai kawah, siap bubuh umbut kelapa lagi. Selepas itu Amie tak pernah dengar orang sebut gulai kawah, walaupun setiap kali diadakan kenduri-kendara di kampung kami di Selangor, orang masak kari kambing atau lembu dalam kawah! Kata Zanariah lagi... memanglah tak dipanggil gulai kawah, sebab guna serbuk kari biasa. Itu dipanggil masak kari, katanya. Oh...ya kaaaa... kena gunakan serbuk rempah khas dari Kelantanlah ye kalau nak masak gulai kawah yang asli.
Sebenarnya boleh gunakan rempah kari biasa, tapi untuk rasa yang lebih menyerlah... kena tambah sedikit rempah kerutuk!

Kita kongsi lagi cerita Gulai Kawah @ Gulai Raja Berangkat ini.
Selain Kelantan dan Terenganu, negeri di utara terutamanya Kedah dan Perlis pun tidak dapat dipisahkan dengan Gulai Kawah, terutama semasa kenduri-kendara! Yang menariknya, macam-macam boleh ditambah dalam gulai ini termasuklah rias batang pisang atau umbut pisang, betik muda, pisang muda, rebung, buah ara, kicap, budu dan seumpamanya termasuk kerisik! Selain halia dalam bahan perencahnya, ada juga yang masukkan lengkuas dan juga kunyit hidup serta serai. Ada yang tambah daun pandan untuk mendapatkan aroma yang lebih semerbak.
Jadi?
Nak pilih resepi yang mana satu? Pantai timur atau utara semenanjung?
Gulai ala-ala Kawah (sebutan ada ala-ala sebab masak dalam kuali biasa) Amie ini ditambah kentang saja. Dah lama minta Encik Suami carikan batang pisang, tebang batang pisang di kampung sebab Amie nak cuba masak gulai dengan rias batang pisang, tapi Encik Suami kata: mana ada batang pisang! Adeeehhh... banyak pokok pisang di belakang rumah MIL. Hmmmm.... nampaknya satu hari nanti bila kita dah angkat parang masuk kebun, barulah Encik Suami terkejar-kejar dari belakang nak tebangkan pokok pisang!

Bahan-bahan:
1 kg campuran daging tetel, hati dan limpa - potong selebar 3 cm
2 cawan santan
2 sudu besar rempah kari daging
1 sudu besar rempah kerutuk
2 sudu besar kerisik
4 biji kentang - kupas kulit dan belah 4
2 sudu besar gula melaka
1 sudu besar pati asam jawa - bancuh dengan 1/2 cawan air
1/2 cawan minyak 
air untuk merebus daging secukupnya
garam / perasa  secukup rasa

Bahan penumis:
1 labu bawang besar - hiris halus
2 ulas bawang putih
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
3 kuntum bunga cengkih
2 tangkai daun kari - dilurut

Bahan kisar:
20 tangkai cili kering
3 ulas bawang putih
10 biji bawang merah
1 labu bawang besar
3 cm halia
2 cm lengkuas

Cara:
1. Rebus campuran daging, hati dan limpa hingga empuk.
2. Sementara itu, panaskan minyak dan tumis bahan penumis hingga wangi.
3. Masukkan bahan kisar dan tumis dengan api sederhana sehingga terbit minyak. 
4. Kemudian masukkan rempah kari serta rempah kerutuk. Gaul sebati dan tuangkan  bancuhan air asam jawa. Biarkan mendidih sekali lagi.
5. Tuangkan tumisan tadi ke dalam kuali atau periuk yang berisi rebusan campuran daging yang sudah empuk. Masukkan sekali ubi kentang. Gaul sebati.
6. Tambahkan santan dan juga kerisik.
7. Perasakan dengan gula melaka, garam.
8. Setelah kentang empuk, padamkan api dapur.

Dikatakan juga, Gulai Kawah yang sedap tidak terlalu pedas dan kuahnya tidak pekat  atau pun agak cair dengan warnanya yang kekuningan.
Gulai ala-ala Kawah kita ni.... tak berapa cair! Lain kali buat cair sikit aaahhh... Tapi ada pula kata warnanya gelap sikit, dan kuahnya pekat likat.... hiks!
Sesuatu yang menarik tentang Gulai Kawah ini, pada tahun 2011 CNN Travel telah menyenaraikan 50 jenis masakan yang paling sedap di dunia. Dalam senarai tersebut, Gaeng Massaman atau Massaman Curry dari Thailand mendapat tempat pertama dan mendapat gelaran The King of Curry. Sila berkunnjung ke BLOG MELAYU NUSANTARA DI SINI untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang keistimewaan The King of Curry ini, kerana sebenarnya masakan Thai turut dipengaruhi oleh masakan Melayu, tetapi kita biasanya hanya mendengar ada pengaruh Thai dalam masakan Melayu! Nampaknya, tanpa kita sedari, rupa-rupanya Gulai Kawah ini pernah mendapat melalui CNN Travel dengan nama Gaeng Massaman atau Massaman Curry!

3 ulasan:

  1. Bak nak semangkuk gulai kawah... mengancam giler!

    BalasPadam
  2. Pada saya gulai kawah ni tak kira dari utara atau pantai timur semuanya enak! Ada keenakannya tersendiri hehe.

    BalasPadam
  3. begitu menyelerakan!

    BalasPadam