Pages

Sabtu, 5 September 2015

Buras : Jom Belajar Bikin Buras - Bahagian 1

Assalamualaikum.
Entri tertangguh! Entah berapa lama tersimpan! Bulan Ogos? Bulan Julai? Bukan! Bulan Jun? Pun bukan. Mei? Tidak! April? Yaaa..... syukurlah masih teringat! Kalau tak silap, gambar-gambar di bawah ini Amie ambil pada petang 12 April 2015, bersamaan pada hari Sabtu. Oh! Ketika itu sebenarnya semuanya keletihan balik dari sekolah... bertungkus-lumus menjayakan Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pelajar! Tapi demi sebuah janji... janji nak belajar buat buras, masing-masing menepati janji untuk sama-sama berkumpul di rumah Amie.

Panjang lebar cerita tentang buras ni tau.... sebab Amie tak tahu nak potong di bahagian mana. Semuanya bermakna buat Amie, tak terkecuali aksi kawan-kawan yang datang bertandang. Amie sangat menghargai kedatangan mereka... kawan-kawan yang sporting dan terbaik di dunia! Harap bersabarlah ye... kalau sudi, teruskanlah sampai ke bawah, tapi kalau merasakan terlalu banyak gambar, tak sanggup mengikuti entri yang terlalu panjang ini, abaikan sajalah ye... he he heee.

Ini dia wajah ceria, walaupun masih keletihan balik dari sekolah, tapi tetapkan gagahkan diri datang ke rumah seawal pukul 2 petang. Waritie, Kamsiah dan Misa! Semuanya berketurunan Bugis.... Alhamdulillah, kecil tapak tangan, tikar mengkuang Amie bentangkan di atas kesudian mereka datang untuk berkongsi resepi buras! Persediaan awal untuk membuat buras, sudah tentunya memerlukan banyak daun pisang. Daun pisang muda yang warnanya kekuningan itu digunakan untuk membalut buras di bahagian dalam. Terima kasih Misa, sebab sudi bawakan daun pisang dari kebunnya! Semua daun pisang sudah dijemur supaya layu.

Ini dia adik lelaki kami yang paling awal sampai. Leftenan Muda Za Fauzan yang ringan tulang, ringan kaki dan tangan, juga ringan mulut untuk bertanya. Jadi, sesuai benarlah dia duduk di dapur, buat apa yang patut he he heee.... lagi pun memang dia ni suka masak! Pakar buat laksam tau! Kalau dah namanya laksam, sudah tentulah si pakarnya ini dari Kelantan! Ha... cemana tu? Dah biasa dengan nasi kerabu, dengan nasi dagang, tiba-tiba berjumpa dengan buras!

Oh! Cikgu Ramlee... gelaran kami padanya, adik bongsu kesayangan! Ramlee ini... jangan main-main tau... ini dia sifu mengikat buras! Tengok tu, sudah siap sedia duduk bersila! Minggu ini Ramlee tak balik Tawau sebab kena tepati janji mau bikin buras sama kami.

Ini Anwar dan Ijat. Wah! Anak keturunan Bajau dan Jawa, turut serta memeriahkan rewang bikin buras! Layan dirilah kamu ya. Kalau lapar, selongkarlah dapur, carilah apa yang patut yang boleh kamu makan...hihiiiii.

Kerja-kerja untuk membuat buras diteruskan. Daun-daun pisang dilap supaya bersih. Sudah bertambah orang rupanya di luar. Ustaz Faiz dan Cikgu James bersama anaknya sudah duduk bersila dalam kumpulan ini. Jom kita tengok di dapur pulak......

Ustaz Za Fauzan yang ringan segala ringan sedang menggoreng popia. Iyalah kaaann... namanya pun rewang, sambil buat kerja tu eloklah diselang-seli dengan makan-makan apa yang ada.

Ha haaa.... Misa menyelinap masuk sekejap ke dapur bila Amie beritahu ada sesuatu yang istimewa untuknya! Tak lain tak bukan... kaki ayam masak kicap yang terlerai kulit dari tulangnya! Beberapa hari lepas Amie terdengar Misa berkata, betapa enaknya makan kaki ayam masak kicap yang tulangnya bercerai dari kulit! He he heee.... Amie masak 2 kg! Sesiapa yang pandai makan, dipersilakan layan diri. Resepinya DI SINI.

Oh! Zanariah pun sudah datang... kawan satu ini selalu aje tertinggal keretapi! He hehee... teringat kisah di airport Jakarta, berjalan berdua dengannya, sampai pintu keluar hilang pulak dia entah ikut jalan mana! Lepas itu, tertinggal lagi di Menggatal... van kami tertinggalkan dia di rumah penginapan! Hai... Nano...Nano! Fauzan pun dah meneruskan tugasnya, dari menggoreng popia beralih memotong tembikai pulak. Fauzan ni, pandai cari barang dalam dapur. Tak payah tanya, dia tahu mana letak pisau, parang, mana letak gelas dan cawan.

Sementara menunggu beras pulut dimasak, masing-masing mencari sendiri apa-apa yang boleh dimakan. Kaki ayam masak kicap beralih tempat dari meja dapur ke luar rumah. Ingatkan mereka tak pandai makan kaki ayam, tapi tengok tu... Faiz sampai menjilat jari! He he heee...Misa pun menyambung episodnya bersama-sama yang lain. Syukur... laris juga kaki ayam masak kicapku itu.... sampai Ijat tak terangkat mukanya!

Kalau tak silap, petang itu Fauzan sediakan dua jenis air, panas dan sejuk. Teh kosong kurang manis dan juga oren sunquick.

 Wah! Kita basahkan tekak dengan tembikai merah pulak!

 Hihihiii.... Fauzan pun tak mahu ketinggalan nak makan kaki ayam masak kicap juga!

 Itu dia popia goreng sudah siap sebakul! Siap dengan sos cili lagi tu...

 Sementara itu, Waritie mula menjerang santan di kuali untuk memasak beras.

Wah! Seronoknya Waritie... mesti dia terkenangkan suasana hari raya! Maklumlah buras ini sebenarnya hidangan wajib di hari raya dalam masyarakat Bugis! Beras wangi Amie sudah rendam terlebih dahulu sekurang-kurangnya 8 jam.

Kamsiah, pakar buras yang sudah tidak boleh dipertikai! Sambil melihat Waritie menggodek beras, sambil-sambil makan popia. Panas ye popia tu Kam... nampak macam tiup popia he he heee...

 Nanti, Amie kongsikan resepi buras ya....  Ini nampaknya, beras yang dimasak sudah hampir kering. Sementara itu kita jengok ke luar sat....


 Eh! Apa Ramlee buat tu? Nak tahu Ramlee buat apa, boleh klik DI SINI. Boleh kenal-kenal makanan tradisi masyarakat Bugis yang sangat popular iaitu sanggar pappek.

Seronokkan! Sambil rewang buat buras, sambil-sambil belajar ketuk pisang sanggar untuk dibuat minum petang! Bertambahlah lagi ilmu Faiz dan Fauzan tentang dunia masakan kawan-kawan kita di sini.

Kata Waritie... beras sudah kering! Sediakan tempat dan bahan yang diperlukan untuk bungkus buras. Selain daun pisang, benda penting yang wajib ada sudah tentulah tali untuk mengikat buras. Panjangnya tali.... tentulah kita hairan, sebab tak pernah buat buras sendiri, cuma tahu makan saja ...kih kih!

 Daun pisang pun sudah tersedia dalam talam di bawah ini.



Tu dia.... kerja gotong-royong membungkus buras pun bermula.


Biarlah gambar yang bercerita ye...

Nampak tak beza daun pisang tu. Daun pisang muda digunakan sebagai barut untuk membungkus pulut, manakala daun yang matang digunakan dibahagian luar untuk membungkus secara keseluruhan.
Hohooo... kalau dah namanya pakar, memang pantas betul Kamsiah sama Waritie buat kerja!

 Setelah dibungkus, kena tekan-tekan sedikit supaya isinya nanti sama rata.

Anwar ambil kesempatan mengetuk pisang, sementara kawan-kawan yang lain menyiapkan buras. Tak ingat, entah siapa goreng pisang tu! Mungkin Zanariah kot....

Cikgu James dengan penuh keyakinan... memang dia yakin, sebab dia orang Bugis yang setiap tahun ikat buras kalau tiba raya! kawan-kawan boleh lihat... susun 3 bungkus buras bertindih, dan kemudian ikat. Nak mengikat pun ada caranya tau.... kena ada ilmu, dan bukannya asalkan ikat saja. Kang salah ikat, habis terburai keluar isi buras dalam periuk!

Ini yang bagusnya.... walaupun berbeza budaya dari segi makanan, tapi Fauzan ambil kesempatan untuk belajar membungkus buras. Tengok tu... dia menyelit dicelah-celah dua sifu buras!

Ramlee  dan James pun tak lokek ilmu! Buktinya... bukan main seronoknya Faiz ikat buras!

 Kata Ramlee, tali mesti panjang. 1 meter tak cukup! Mau 2 meter baru cukup!

Mmmm... dalam sibuk-sibuk bungkus buras, sanggar pappek pun siap terhidang! Adeeeehhhh.... macam berkelah pulak jadinya! Okey laaa... kaan! Tak dapat ke pantai, santai-santai sambil rewang bungkus buras, sambil-sambil makan sanggar pappek cicah sambal belacan, minum pula teh kosong panas kurang manis! Walaaaa....

 Makin rancak kawan-kawanku....

 Dah senyum-senyum tu, maknanya Faiz dah pandailah mengikat buras!

Beginilah rupa buras yang sudah diikat. Mungkin yang sudah pakar mengikat buras boleh agak tangan yang mana yang baru belajar mengikat buras di atas tu.... kih kihhh!

 Ijat yang kusangka orang Bugis ini rupanya keturunan Jawa! pandai ko ikat buras ye Ijat!

 Sedikit-sedikit, lama-lama kerja membungkus dan mengikat buras pun hampir selesai.

 Ramlee terus tekun menyiapkan ikatan buras yang terakhir!

Inilah rupa bentuk buras yang siap diikat. Belum boleh dimakan tau! Kena rebus dulu. Kalau cara tradisionalnya, rebus sampai 8 jam jika guna dapur kayu, tetapi hanya 4 jam jika rebus di atas dapur gas.

Sambung entri akan datang.....

Klik di bawah ini untuk lebih lanjut:

BURAS ; JOM BELAJAR BIKIN BURAS
BURAS ; JOM MASAK / REBUS BURAS
BURAS : BURAS DAN TUMBU
BURAS : LAUK PAUK

1 ulasan: