Pages

Khamis, 21 Mei 2015

Jom Ratah Sotong Goreng Daun Ketumbar

Kalau anak-anak ternampak Amie goreng sotong, memang tak sempat dibuat lauk makan nasi. Atau kalau dijadikan lauk nasi pun, tak sampai berapa saat sotong goreng sudah beralih tempat berlonggok dalam pinggan masing-masing! Gorenglah sotong dengan apa bahan pun, memang tak tinggal serpihan dalam pinggan!

Masing-masing tentu ada resepi tersendiri untuk menghasilkan sotong goreng yang lazat! Sudah semestinya kita sukakan sotong goreng yang rangup. Ada yang mencampurkan pelbagai jenis tepung seperti tepung ubi, tepung beras dan sebagainya. Terpulanglah ikut selera keluarga masing-masing. Untuk hasil yang nampak cantik pastilah baking powder atau soda bikarbonat turut digunakan. Amie pun, kadang-kadang tambahkan serbuk baking powder dan juga soda bikarbonat tapi ada kalanya Amie gunakan serbuk ENO.... biasanya Amie pilih ENO perasa halia.
Apa pun, semuanya sedap bila sudah siap terhidang. Cuma, yang Amie selalu hati-hati semasa proses menyediakannya sudah tentulah kena memastikan sotong bebas dari sebarang bahan 'letupan' yang boleh meletus sehingga berminyak satu dapur! Oleh itu kawan-kawan... jangan lupa buang mata sotong, mulut sotong, telur sotong, kulit sotong dan sotong berada dalam keadaan kering sebelum digaul bersama bahan perencah yang lain. Jadi, tak perlulah sediakan perisai untuk bersilat di depan kuali bila tiba-tiba ada letusan yang tak disangka-sangka!

Bahan-bahan:
600 gram sotong - bersihkan, buang kulit, mata, kepala dan isinya termasuk telur, kemudian potong ikut suka
1/2 cawan daun ketumbar cincang
1/2 sudu teh jintan manis kasar
1/2 sudu teh serbuk kunyit
1 sudu makan serbuk ENO atau 1/2 sudu teh baking powder + 1/2 sudu teh soda bikarbonat
1/2 cawan tepung jagung
1 cawan tepung gandum
3/4 cawan air 
1 sudu makan perencah MAGGI Cukup Rasa
minyak

Bahan tumbuk:
2cm halia
3 ulas bawang putih
1 sudu teh lada putih


Cara:
1. Dalam sebuah bekas, campurkan tepung jagung, tepung gandum, serbuk kunyit, daun ketumbar cincang, jintan manis kasar, perencah MAGGI Cukup Rasa dan bahan tumbuk. 
2. Tambahkan air dan adun sebati. Jika adunan terlalu pekat, tambah sedikit air lagi. 
3. Akhir sekali masukkan serbuk ENO  dan gaul sekali lagi. Biarkan 5 minit.
4. Panaskan minyak untuk menggoreng tenggelam.
5. Celupkan sotong ke dalam adunan dan goreng hingga kuning keemasan.
4. Angkat dan toskan.

 Sotong Goreng Daun Ketumbar siap untuk dinikmati!

3 ulasan:

  1. Aduiii Amie....sedapnya sotong goreng daun ketumbar tu.Nnati blh try gak.
    Kat rmh atie ni mmg ramai peminat sotongnya..biasa buat sambal/masak gulai kari jerr

    BalasPadam
  2. Nak buatlah nanti,ya Allah lindungilah aku dari letupan!he..hee,nk makan punya pasal.Terliurlah sotong yang Amie goreng ni,rangup sahaja.

    BalasPadam
  3. Sangat menariksss!

    BalasPadam