Pages

Isnin, 5 Januari 2015

Resepi Seri Muka Yang Paling Sedap!

Serius! Memang sangat sedap!
Amie tak akan teragak-agak untuk menghidangkannya untuk tetamu dalam majlis samada rumah terbuka hari raya, ulang tahun anak-anak dan sebagai buah tangan!
Resepi Seri Muka ini memang sungguh istimewa kerana kuih ini dihasilkan melalui pengalaman dan pengamatan teliti Puan Hasma Noor Basir yang lebih mesra dengan panggilan Makcik Hasma. Untuk lebih lanjut bolehlah dapatkan buku masakan beliau : Kuih Klasik Malaysia.

Amie ikut satu persatu cara penyediaan yang diperturunkan oleh Makcik Hasma, cuma ada beberapa perkara yang Amie menyimpang sedikit. Misalnya Makcik Hasma menggunakan 1/4 sudu teh garam untuk bahagian kepala, tapi Amie gunakan 1 sudu teh garam. Makcik Hasma gunakan pewarna epal hijau selain warna daun pandan, Amie pula 100% gunakan daun pandan untuk dapatkan warnanya yang asli. Dan semasa memasak beras pulut, Amie tambahkan tiga sudu makan minyak masak, sedangkan dalam resepi asal Makcik Hasma tidak berbuat demikian. 
Biasanya kuih Seri Muka dikukus dalam loyang, tapi Amie nak hasil yang comel dan memikat selera anak-anak, jadi Amie luangkan sedikit masa dengan mengukusnya menggunakan acuan kuih lompang.
Apa pun Amie sangat berpuas hati dengan hasil kejadian Seri Muka ini!

Satu lagi keistimewaan kuih klasik ini ialah Makcik Hasma tambahkan kulit kayu manis dan jintan manis yang ditumbuk lumat bersama daun pandan dan seterusnya bubuh dalam santan. Kemudian tapis. Ini yang Amie terja sangat nak cuba... apa aroma dan rasanya bila ada rempah dalam adunan ini!

Oh! Encik Suami asyik memuji keenakan kuih Seri Muka ini. Belum pun sejuk, anak-anak dan Encik Suami sudah memakannya satu demi satu! Firdaus pun tak kurang juga.... nampak begitu berselera menyudu kuih ini ke mulutnya! Tak ingat dah berapa ketul Firdaus makan! Sebenarnya Amie siapkan kuih ini untuk sarapan pagi! Nampaknya separuh kuih dimakan selepas keluar dari pengukus, dan separuh lagi Amie simpan untuk dijadikan sarapan pagi.

Di bawah ini Amie kongsikan resepi asal dari buku masakan Kuih Klasik Malaysia. Terima kasih buat Puan Hasma Noor Basir @ Makcik Hasma yang menurunkan ilmu resepi warisan ini.

Lapisan Bawah:
600 gram beras pulut - basuh (rendam sekurang-kurang 3 jam sehingga beras pulut kembang jika anda ingin mengukusnya) dan toskan
100 ml santan
500 ml air
1 sudu teh garam
Amie tambah 3 sudu makan minyak masak

Lapisan Kepala:
6 biji telur gred B
400 gula kastor
4 sudu makan tepung beras
4 sudu makan tepung gandum
3 cawan santan pekat
1/4 sudu teh garam - Amie gunakan 1 sudu teh garam
pewarna hijau epal - Amie tak gunakan
1 cm kulit kayu manis + 1 sudu teh jintan (Amie gunakan jintan manis) + 4 helai daun pandan ditumbuk lumat, bubuh dalam santan dan tapis - Amie tambahkan 4 helai daun pandan kepada 7 helai

Cara:
1. Didihkan air kukusan.
2. Sementara itu, sediakan Lapisan Bawah. Satukan semua bahan, tanak hingga hampir kering. Masukkan ke dalam loyang 10" x 10", tekan hingga padat. Kukus semula selama 20 minit. (Amie masukkan dalam acuan lompang sehingga separuh bahagian acuan).
3. Pukul telur hingga hancur, satukan dengan santan, gula dan kedua-dua jenis tepung, kacau rata.
4. Bubuh pewarna (Amie tidak bubuh) dan garam, gaul sebati dan tapis. Jerang di atas api sederhana, dan kacau hingga naik wap.
5. Tuangkan ke atas Lapisan Bawah, dan kukus lagi selama 30 minit.
6. Sejukkan sebelum dipotong.


Seri Muka seindah namanya,
Aroma menyerlah ditambah rempah,
Tak terkata enak rasanya,
Sepotong tak cukup ingin menambah!

27 ulasan:

  1. Banyak-banyak jenis kuih, kuih seri muka yang paling saya gemari. menarik resipi ini kerana masuk kulit kayu manis dan jintan...

    BalasPadam
  2. Zanita,
    saya pun memang peminat tegar kuih seri muka dari kecik2 lagi, tapi lama-lama bila beli lain pulak rasanya... ni bila jumpa resepi Puan Hasma, teruja nak buat.. alhamdulillah, tak rugi mencubanya! Memang istimewa sangat tu ada kulit kayu manis dan jintan manis... walaupun sedikit!

    BalasPadam
  3. comelnya serimuka buatan kak amie..kecil2..tak perlu potong..

    satu tabiat wana kalau makan serimuka ni..hanya akan makan bahagian atas yang warna hijau..hehe

    BalasPadam
  4. Assalamualaikum.. saya datang bawak talam keladi ni.. meh cepat tukar.. hehee.. gerammya nengok serimuka tergolek golek tu..

    BalasPadam
  5. wah boleh cuba ni sebab lain sket cara masaknya tapi khabarnya sedap mesti cuba :) tq for sharing ya :)

    BalasPadam
  6. Comelnya...geram nak masukkan dalam mulut satu2 hehehe..

    BalasPadam
  7. Assalamulaikum Amie cayangggg,
    Terlambat pulak smpai sini, tp takpa dah kenyang mkn serimuka yg Amie bawak. Rupapun kemain comel, rasa apatahla lagikan. Best In The World!
    Pssdt : Minggu dpn sek dah nak buka, dah siap sedia ke.

    BalasPadam
  8. Gee,
    jemput...

    Bbwana,
    buat bentuk gini anak-anak suka.

    Sheila,
    waalaikumussalam.... terima kasih talam keladinya Sheila.... jom makan sama he hehhe

    BalasPadam
  9. Amy,
    kalau ikut semua langkah dan bahannya memang sedap.

    Cik Wan,
    cantikkan bentuk gini Cik Wan...he hehhehe.

    Wattie,
    tq very much dear... best in the world... alhamdulillah!

    BalasPadam
  10. Page satu resepi tu amy punya ke?

    BalasPadam
  11. Assalam.
    Amie bahagian pulut mmg kena tanak dulu ke? Agak2 brp lama? Tqsm :)

    BalasPadam
  12. Ati,
    memang kena masak dulu... dalam resepi tu kata sampai hampir kering, maknanya sampai masaklah (saya tanak sampai masak.) Berapa lama, saya tak boleh nak bagi masa sebab bergantung pada cara menanak masing-masing, macam masak nasi juga.

    BalasPadam
  13. Assalam.
    Amie bahagian pulut mmg kena tanak dulu ke? Agak2 brp lama? Tqsm :)

    BalasPadam
  14. Amie, mohon share resepinya ye... tak sabar nak cuba...

    BalasPadam
  15. Salam amie.. mcm mn amie kuarkan drpd acuan lompang tu?? Cantik molek bentuk die.. pastu lapis bwh & lapis atas tu perlu tutup x permukaan acuan semasa kukus?

    BalasPadam
  16. Salam amie.. mcm mn amie kuarkan drpd acuan lompang tu?? Cantik molek bentuk die.. pastu lapis bwh & lapis atas tu perlu tutup x permukaan acuan semasa kukus?

    BalasPadam
  17. Ati,
    memang kena tanak, tanak sampai masak.

    ellyz,
    tunggu sejuk, baru keluarkan sebab, kalau susah nak keluarkan guna pencungkil gigi, saya tak tutup permukaan acuan,

    BalasPadam
  18. Guna jintan manis ka jintan putih?

    BalasPadam
  19. Hai.. beras pulut tu dikukus di tempat lain setelah masak baru dimasukkan di dalam acuan lompang ke?

    BalasPadam
  20. Assalamualaikum Amie.Masha Allah...sedap sangat.skrg dh jadi resepi 'legend' saya.Memang jintan dan kkm tu buat rasa dia sedap yg tk boleh nak cakap.tq Amie for the sharing.

    BalasPadam