Pages

Khamis, 25 Disember 2014

Resepi Tradisi Pulau Pinang : Gulai Ikan

Assalamualaikum, dan salam sejahtera.

Masakan tradisi resepi warisan,
Sangat terkenal di Pulau Pinang,
Kongsi resepi kugulai ikan,
Di atas meja sedia terhidang.

Kali pertama Amie cuba resepi ini DI SINI. Sebab apa Amie masak lagi? Sebab sedaplaaa...... Kalau nak cuba, dipersilakan, tapi jangan ubah bahan, ikut sukatan yang diberi... memang menjadi!

Resepi : Gulai Ikan (Gulai Kepala Ikan)
Sumber : Hidangan Tradisi Pulau Pinang oleh Puan Hasma Basir

Bahan-bahan:
600 gram kepala ikan kegemaran - Amie gunakan isi ikan
50 gram serbuk kari
1 sudu teh serbuk cili
50 gram asam jawa - perahan pertama dengan 1 cawan air & perahan kali kedua dengan 2 cawan air
1 biji tomato - belah 4
300 gram bendi - goreng separuh masak
2 pokok daun bawang - potong 3cm panjang
2 tangkai cabai hijau - belah 2 jangan putus
garam secukup rasa
1 cawan kelapa parut - perahan pertama dengan 1/2 cawan air (pati) & perahan kali kedua dengan 2 cawan air (kemencar)

Bahan tumbuk:
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih

Bahan penumis:
4 biji bawang besar - mayang
2 ulas bawang putih - mayang
1 sudu teh halba campur
2 tangkai daun kari
5 sudu besar minyak

Cara:
1. Bersihkan ikan. Potong ikut kegemaran anda.
2. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bahan penumis hingga kekuningan. Masukkan bawang tumbuk, sedikit pati santan dan serbuk kari. Gunakan api perlahan. Kacau hingga wangi.
3. Masukkan baki pati santan dan 1 cawan santan kemencar. Masak dengan api perlahan sehingga naik minyak.
4. Masukkan 1 cawan santan kemencar dan perahan asam jawa kedua. Kacau dan biarkan mendidih.
5. Masukkan tomato dan ikan. Kuatkan api.Selepas 5 minit masukkan bendi, cabai dan daun bawang serta garam, secukup rasa. Hidangkan panas bersama nasi atau roti.


Bersantap kami selepas Zuhur,
Habis licin tak tinggal lagi,
Semerbak aroma dek halba campur,
Ditambah rempah dan daun kari.

Ribuan terima kasih buat  Ayahanda Temuk.
Cadangan Ayahanda agar sesekali Amie paparkan pantun dalam entri sangat Amie hargai, dan in shaa Allah akan Amie usahakan.... walaupun agar sukar juga untuk menciptanya, yaaa... memulakan sesuatu memang agak menyukarkan, tapi alah bisa tegal biasa, betul tak Ayahanda?

3 ulasan:

  1. Wow, wow! Kapan Ummi mampir ke dapur Amie nanti, dia akan kaget kerana orang Selangor-Sabah sediakan juadah orang Utara. Lagi kaget dia bila lihat bukan saja terhidang kari ikan yang enak, tetapi juga dua rangkap pantun yang lunak, cukup dengan rempah ratusnya. Tahniah!

    BalasPadam
  2. Terima kasih Ayahanda.
    Seronok rasanya dapat 'memerah' minda mengukir bait pantun walaupun tak seindah mana... tapi memang Amie akui, mencabarnya sudah pasti kerana perlu sesuaikan tema dengan isi :)

    BalasPadam
  3. Assalamualaikum Amie... sedapnya gulai ikan ini!

    BalasPadam