Pages

Ahad, 26 Oktober 2014

Sarapan Pagi dengan Potato Fritters

Akhirnya sampai juga Potato Fritters di dapur Amie. Pada mulanya rasa hairan juga kenapa Potato Fritters tiba-tiba menjadi satu fenomena hangat dalam kalangan rakan-rakan FB sehingga ada yang menyarakan agar Amie mencubanya. Apa keistimewaan Potato Fritters ini? Rupanya.... resepi ini merupakan makanan ringan yang boleh dijadikan sarapan pagi atau minum petang, dicelup dalam adunan dan digoreng! Itu saja... ringkas dan kedengaran mudah bukan? Cuba bayangkan banana fritters.... pisang goreng, labu goreng, keladi goreng, terung goreng (tempura)... oh! Satu lagi untuk lebih jelas... ia lebih kepada cucur! Apa-apa cucur termasuk cucur bawang, cucur udang, cucur pisang! Asasnya ialah ada adunan (batter) dan ada bahan yang dicelup atau dicampur dalam adunan, dan kemudian digoreng.
Atas nama pelbagai versi, akhirnya macam-macamlah benda yang dicampur dalam adunan untuk menjadikan resepi lebih menarik, lebih sedap... dan samalah juga dengan Potato Fritters ini. Asalnya hanya kentang dengan adunan tepung jagung dan tepung gandum untuk 'mengikat' kentang tadi, kini sudah pelbagai campuran untuk menyedapkan lagi rasanya.

Amie pun rasa seronok nak mencuba resepi Potato Fritters yang sedang menular di dapur kawan-kawan blogger dan FB. Dah faham apa itu Potato Fritters, eloklah kembangkan kreativiti dan mulakan inovasi Potato Fritters di dapur sendiri. Bahan asanya, selain kentang sagat, Amie tambahkan lobak merah, bawang Holland, dan cendawan shiitake. Encik Suami dan anak-anak yang tak cerewet, makan hingga licin Potato Fritters yang Amie sediakan untuk sarapan pagi. Potato Fritters ini Amie buat pagi kelmarin.... hari ini tak buat sarapan sebab kami makan di luar.

Bahan-bahan:
4 biji kentang - kupas dan sagat
1 batang lobak merah - kupas dan sagat
5 kuntum cendawan shiitake segar - hiris nipis
1 labu bawang besar Holland - hiris halus
1/2 sudu teh lada hitam - tumbuk
1 sudu makan serbuk pati ayam
2 sudu makan tepung jagung
5 sudu makan tepung gandum
1 biji telur
1/2 cawan susu segar
minyak

Cara:
1. Campurkan tepung jagung, tepung gandum,  telur, susu segar dan jadikan satu adunan.
2. Masukkan kentang, lobak merah, cendawan shiitake, bawang hiris, lada hitam, dan serbuk pati ayam.
3. Panaskan minyak untuk menggoreng.
4. Ambil senduk besar dan leper, bubuh 2 sudu makan adunan kentang di atasnya dan leperkan.
5. Tangan kiri bawa senduk besar ke dalam kuali, dan tangan kanan pegang sudu makan untuk kuis / alihkan adunan kentang ke dalam minyak gorengan.
6. Goreng hingga kuning keemasan.

1 ulasan: