Amie letakkan Wantan Goreng ini di bawah label kudapan, sebab enak dimakan begitu saja he heheh.... Pagi tadi terlebih rajin keluarkan ikan-ikan dari peti sejuk. Rupanya ada isi ikan tenggiri tak diusik. Kebetulan pula ada kulit wantan yang dibeli beberapa hari lepas, belum dibuat apa-apa. Fikir punya fikir eloklah buat wantan isi ikan tenggiri. Sebaik-baiknya gunakanlah isi ikan yang segar, tapi gunakan isi ikan yang Amie ada ini pun boleh juga. Bolehlah anak-anak makan, ratah-ratah gitu saja. Amie jarang gunakan isi ikan tenggiri untuk buat inti wantan atau otak-otak, sebab isi tenggiri agak tawar berbanding ikan kembung dan ikan-ikan yang sewaktu dengannya. Jadi, kenalah fikirkan bahan-bahan yang sesuai untuk menimbulkan rasa pada inti wantan tu nanti.
Dah siap pun Wantan Goreng. Amie malas nak tumbuk atau kisar isi ikan. Jadi Amie cincang saja. Amie tambahkan jagung krim, bawang putih, bawang besar... semua main cincang. Cuma halia dengan lada putih saja Amie tumbuk. Kalau nak meriah lagi, bolehlah masukkan cincangan lobak merah dan kalau nak wangi pula, campurkanlah dengan cincangan cendawan shiitake kering yang direndam hingga lembut dan kembang.
Bahan-bahan cincang:
1 cawan isi ikan tenggiri
1 ulas bawang putih
1/2 labu bawang besar
Bahan-bahan tumbuk:
sehiris halia
1/2 sudu teh lada putih
Bahan lain:
1 sudu teh serbuk pati ayam
4 sudu makan jagung krim
kulit wantan secukupnya
minyak
Cara:
1. Dalam sebuah bekas, gaul semua bahan cincang bersama bahan tumbuk, serbuk pati ayam dan juga jagung krim hingga sebati.
2. Ambil satu sudu teh penuh bahan tadi dan letakkan di tengah-tengah kulit wantan.
3. Lekatkan kulit wantan dengan sedikit air.
4. Goreng sehingga kuning keemasan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan