Pages

Rabu, 17 September 2014

Murtabak Goreng???

Minta maaf kalau ada yang salah faham tentang tajuk resepi Amie kali ini. Mungkin ada yang beranggapan gambar tidak menunjukkan tajuk sebenar! Apa pun, sabar-sabarlah dulu. Mari dengar cerita Amie.
Petang tadi rasa sunyi sangat. Fuad keluar main futsal. Fairuz menonton televisyen. Encik suami belum pulang, dan sudah tentunya pulang lewat pukul 5 petang bersama Firdaus yang diambilnya dari kampung. Malas pula nak fikir nak masak lauk apa untuk makan malam. Kalau boleh tak payahlah masak nasi. Bila buka tudung saji, ternampak lebihan sambal tumis ikan bilis yang Amie masak untuk lauk makan tengahari tadi. Alangkah enaknya kalau boleh dicecah sesuatu untuk dijadikan minuman petang. Apalagi kalau mengadap kopi panas!


Timbullah pula keinginan untuk buat "Murtabak Goreng" yang selalu Amie lihat MIL buat di kampung. Bila anak cucu bertandang ke kampung, MIL memang sibuk nak sediakan sesuatu untuk dimakan. Salah satunya sudah tentulah "Murtabak Goreng". Sewaktu MIL mengadun, menguli dan berlumuran dengan tepung, Amie hanya kerling saja dengan ekor mata. MIL buat besar-besar. Makan sekeping pun dah terasa kenyang! Sayangnya Amie tak sempat mempelajari sepenuhnya, apatah lagi MIL pun sudah lama meninggalkan kami. Antara ingat-ingat dan lupa, Amie pun mula menguli tepung, bersama sebiji telur, 1/2 sudu teh baking powder, secubit garam, sedikit marjerin dan .... terus membuat penderhakaan dengan memasukkan yogurt dalam adunan tadi! Seronoknya tidak terkira bila Amie berjaya menghasilkan adunan yang lembut, tak berlumuran dengan tepung dan bila digoreng terhasillah "Murtabak Goreng" yang cantik, sama seperti MIL buat. Tapi yang Amie buat ni comel sikit, sebab saiznya kecil-kecil.
 

Sambil menggoreng, Amie berangan-angan. Kejap lagi Encik Suami pulang dan Amie nak tanya betulkan resepi "Murtabak Goreng" ini? Seingat Amie Encik Suami pun suka makan "Murtabak Goreng" ini. Nanti Amie sediakan secawan kopi (air panas sudah disediakan) untuknya dan minum petang bersama sambil bercerita tentang "Murtabak Goreng" ini. 
Ketika Amie sedang sibuk menggoreng, Encik Suami sudah masuk dapur. Entah bila pulangnya, Amie pun tak perasan. Dia ambil sekeping, dan bancuh kopi sendiri. Amie kata, makanlah dengan sambal tumis ikan bilis. Katanya pula, sapu dengan marjerin pun sedap! Iyolaaa... kalau di kampung memang makan cicah susu atau mentega! Kebetulan di atas meja ada marjerin, dia capai sajalah marjerin tu. Kemudian terdengar dia bersuara.... alamak! Ada perlawanan bola sepaklah! Tergesa-gesa Encik Suami bergerak dari meja makan ke tempat Amie sedang menggoreng "Murtabak Goreng". Mintak sekeping.... katanya, tapi tangannya mencapai 2 keping! Makan sambil tengok tv laaa tu!


Wokeeeyyy.... sebenarnya, rupa "Murtabak Goreng" yang MIL hasilkan sama seperti gambar di atas ni. Gelembung-gelembungnya tak banyak macam dalam gambar yang sebelah atas lagi tu. Setelah selesai menggoreng Amie buat secawan kopi dan duduk sendiri di meja sambil menikmati "Murtabak Goreng" bersama sambal tumis ikan bilis. Encik Suami datang semula ke dapur dan makan lagi "Murtabak Goreng".
Amie : Sedap tak?
En. Suami : Sedap.
Amie : Mummy bubuh yogurt. Mana lebih sedap. Yang biasa makan di kampung atau yang ini.
En. Suami : Ini lebih sedap. Tapi orang kampung mana ada bubuh yogurt?


Barangkali Amie terpengaruh dengan siri Chopped Food Network 727. Dengan menggunakan bahan misteri, dengan rasa penuh yakin berusaha hasilkan hidangan mengikut kreativiti masing-masing. Apa pun Amie rasa seronok dapat menghasilkan hidangan petang kami sekeluarga. Dan terlebih seronok bila dapat 'memujuk' anak-anak supaya 'makan malam' dengan 20 keping "Murtabak Goreng" ini. Selamat... tak payah masak lagi.


Bahan-bahan:
2 cawan tepung gandum
1/2 sudu teh baking powder
1 biji telur
secubit garam
4 sudu makan marjerin
4 sudu makan yogurt - resepi asal tidak gunakan yogurt
minyak

Cara:
1. Gaul kesemua bahan di atas dan jadikan doh.
2. Bahagikan kepada 20 bahagian sebesar bola ping pong. Bulat-bulatkan dan rehatkan seketika.
3. Ambil kayu penggelek, dan mula mencanai bentuk bulat. Sekiranya takut melekat, taburkan sedikit tepung.
4. Panskan minyak dan goreng hingga kuning keemasan.
5. Toskan.


Inilah kisahnya tentang "Murtabak Goreng". Ia terkenal dalam kalangan orang Melayu Cocos di Batu 6, Lahad Datu. Kalau sudah namanya begitu, Amie perlu menghormati hak cipta terpelihara MIL. Cuma... yogurt itu... Amie tambah sendiri! Nampak tak rupa di dalamnya yang menggelembung tu... sama ada menggelembung gemuk atau gelembung sikit-sikit, rasanya tetap sama! Terima kasih MIL. Moga damai di sana.... Al-Fatihah.

7 ulasan:

  1. bila masuk blog kak amie je mesti lapar...hehe. Tapi murtabak goreng ni nampak simple, nanti puteri nak cuba jugalah :D

    BalasPadam
  2. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  3. Kita panggil puri ni Amie. Kalau anak2 order Kat restoran confirm dtg murtabak lain....haha.. Takpelah Amie punya resipi, janji mereka suka ye tak?

    BalasPadam
  4. Assalamualaikum kak, Ya Allah kak..masaklah apa saja kak..tengok gambo dah terliur..seronok sgt bila bertandang sini ~

    BalasPadam
  5. Assalamualaikum kak. singgah dapur akak jap. mcm best je murtabak goreng ni. nt nk try lah. =)

    BalasPadam
  6. nama lain kuih ni ialah raja musa...hihihi

    BalasPadam
  7. Assamullaikum....sue nk cuba lh..tdi tga tdur tebyang2 mertabak..bgun je terus tgok di googel..hehehehe..las2 jumpa..tq resepiya..sempel n sedap..

    BalasPadam