Pages

Khamis, 15 Mei 2014

Ikan Bayan Goreng Daun Ketumbar

Ada 4 keping ikan bayan (tolak bahagian kepala dan ekor) yang ingin Amie olah menjadi hidangan yang diharap dapat memenuhi selera anak-anak. Setiap kepingan ketebalannya hampir 3 cm. Agaknya sewaktu melayan kami membeli, penjual ikan begitu sibuk melayan pelanggan yang berasak-asak memilih ikan, jadi selepas dibuang sisik, dipotongnyalah ikan kami dengan pantas! Ikan seberat 1.2kg hanya dipotong 6 bahagian saja termasuk kepala dan bahagian ekor.


Isi ikan bayan putih bersih dan lembut sekali. Jadi, Amie berhati-hati ketika menggorengnya agar tidak melekat, tidak pecah dan tidak keras. Amie perap kepingan bayan ini dengan bawang putih dan halia tumbuk, sedikit lada putih, serbuk kunyit, hirisan daun ketumbar dan sedikit tepung jagung. Kemudian Amie goreng menggunakan minyak yang banyak dan betul-betul panas. Hasilnya... kulit ikan bayan nampak garing tapi bahagian isinya masak dan lembut! Oleh kerana anak-anak suka sangat makan ikan bayan goreng cara begini, sampai habis licin... jadi Amie abadikan resepinya di sini. Mana tahu, suatu hari nanti anak-anak akan tercari-cari resepi ini.


Resepi : Ikan Goreng Daun Ketumbar

Bahan-bahan:
4 keping ikan bayan - bersihkan 
1 sudu teh serbuk kunyit
1 sudu teh garam - jika suka masin boleh tambah
2 sudu makan hirisan daun ketumbar
2 sudu makan tepung jagung
minyak untuk menggoreng

Bahan tumbuk:
2 ulas bawang putih
2 cm halia
10 biji lada putih

Cara:
1. Perap ikan dengan semua bahan di atas kecuali minyak selama 10 minit.
2. Panaskan minyak yang banyak untuk menggoreng tenggelam. Pastikan minyak betul-betul panas baru masukkan ikan.
3. Setelah ikan garing / masak segera angkat untuk dihidangkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan