Setiap kali kalau Encik Suami terpandang egg tofu di mana-mana pasaraya, selalunya akan terkeluarlah perkataan begini : Sedap betul kalau masak dengan kuah sos tiram! Sama saja perkataan yang diucapkan oleh FIL sewaktu hayatnya masih ada sebab FIL suka Amie masakkan untuknya kalau kami berkunjung ke kampung. Dan kalau kami sedang makan di mana-mana kedai nasi ayam, Encik Suami pasti akan memesan menu tersebut, sambil mengulang kata yang entah kali ke berapa : Sedap betul! Sebenarnya ada makna tersirat di sebaliknya tu.... Cubalah masak benda ni di rumah... itulah yang hendak Encik Suami katakan!
Ada pelbagai cara masakan egg tofu. Amie suka kalau campur sekali dalam hidangan sup. Tapi Encik Suami lebih suka goreng dan tuang kuah sos tiram. Pernah beberapa kali Amie buat dengan cara goreng dulu egg tofu hingga keperang-perangan dan kemudian potong-potong bubuh atas mangkuk, dan tuang sos tiram. Baru-baru ini ketika kami sama-sama makan di kedai, Amie lihat egg tofu dipotong dulu kemudian digoreng. Jadi Amie cuba cara begini. Amie gunakan 4 batang egg tofu, dan habis licin oleh Encik Suami dan anak-anak!
Resepi : Egg Tofu Sos Tiram
Bahan-bahan:
4 batang egg tofu
2 sudu makan sos tiram
2 sudu makan kicap manis ABC
2 ulas bawang putih - cincang
10 biji lada putih - tumbuk
1 sudu makan tepung jagung dibancuh dengan 1 cawan air
hiasan : bawang goreng dll
Cara:
1. Panaskan minyak yang banyak untuk menggoreng tenggelam egg tofu. Pastikan minyak benar-benar panas baru masukkan egg tofu.
2. Goreng sehingga egg tofu berwarna perang keemasan. Angkat dan toskan.
3. Untuk menyediakan sosnya pula, panaskan sedikit minyak dan goreng bawang putih sehingga kekuningan.
4. Masukkan sos tiram dan kicap manis serta lada putih.
5. Tambahkan bancuhan air tepung jagung. Kacau sehingga kuah pekat. Padamkan api dapur
6. Susun egg togu goreng di atas bekas, dan tuangkan sos tiram di atasnya.
7. Hidangkan dengan taburan bawang goreng hirisan daun bawang dll.
sedapnya..nampak simple..mau try la juga buat ni kak..sbb sya pun suka betul makan egg tofu ni..
BalasPadam