Pages

Jumaat, 14 Jun 2013

Ayam Goreng Pudina

Assalamualaikum.
Menjelang malam barulah Amie sempat paparkan lauk makan tengahari tadi. Maklumlah, disebabkan Firdaus mengamuk sepanjang malam dan hanya tidur menjelang pukul 4.30 pagi, Amie pun rasa agak mengantuk dan letih. Hidangan tengahari pula lewat disediakan walaupun sudah selesai waktu solat Jumaat. Ketika Amie sedang sibuk di dapur, Fuad datang untuk bersalaman kerana akan keluar mengikuti latihan sukan di sekolah. Alahai... anakku belum makan tengahari! Cepat-cepat Amie siapkan hidangan dan Amie suruh Fuad makan dahulu sebelum ke sekolah.
Sewaktu Fuad sedang makan, sempat pula Amie merakam beberapa keping gambar Ayam Goreng Pudina sambil sesekali menjawab pertanyaan Fuad.
Fuad : Ayam masak merahkah ini Mummy?
Amie : Bukan. Ayam Goreng Pudina.
Fuad : Oh! Patutlah ada bau colgate.
Amie : Kenapa? Tak sedap ke?
Fuad : Sedap!


Resepi : Ayam Goreng Pudina
Sumber :  Selera Malaysia  Chef Wan
Bahan-bahan:
600 gram dada ayam - potong kecil
1/2 sudu teh sos tiram
1 sudu teh tepung jagung
1/4 sudu teh minyak bijan
1/2 sudu teh sos ikan
4 sudu besar minyak sayuran
3 batang serai - dihiris
garam da gula secukup rasa
2 sudu besar jus limau nipis
segenggam daun pudina - dicincang

Pes rempah:
10 tangkai cili merah - buang biji
1 sudu besar belacan
2 batang serai - dihirs halus
1cam halis - dikupas
4 ulas bawang putih - dikupas

Cara:
1.Masukkan bahan-bahan untuk pes rempah ke dalam pengisar dan kisar halus.
2. Perapkan ayam dengan sos tiram, tepung jagung, minyak bijan dan sos ikan sekurang-kurangnya 10 minit.
3. Panaskan minyak dalam kuali dan goreng serai selama beberapa minit. Tambah pes rempah dan goreng sehingga wangi.
4. Masukkan ayam yang diperap dan goreng sehingga masak,
5. Perasakan dengan garam, gula dan jus limau.
6. Alihkan daripada api. Masukkan daun pudina dan gaul.
7. Hidangkan segera.


Sebelum Fuad meninggalkan rumah sempat lagi berpesan dengan Amie:
Kalau ada lebih lauk ayam tu, balik petang nanti saya nak makan lagi.
Fairuz pula selepas balik dari solat Jumaat terus tidur di ruang tamu. Maklumlah... malam tadi terganggu tidurnya dengan amukan Firdaus. Menjelang petang, Fuad pulang dari latihan sukan dan terus bertanya:
Ayam tengahari tadi ada lagikah Mummy?
Ada. Adik Fairuz belum makan lagi.
Oleh kerana pada sebelah malamnya Fuad dan Fairuz mendapat undangan menghadiri majlis hari ulang tahun rakan sekolah Fuad, jadi Fairuz tidak mahu makan di rumah. Jadi, habis licinkan Ayam Goreng Pudina yang Amie masak hari ini dimakan Fuad. Sehingga paparan ini di tulis, Fairuz dan Fuad masih belum pulang lagi dan sebentar tadi Encik Suami menelefon Fuad memastikan mereka pulang segera memandangkan jam sudah lewat 10:15 minit malam.

Petang tadi sempat berbual dengan Farid melalui telefon. 
Farid : Hari-hari saya makan lauk ayam goreng.
Amie : Tak ada lauk ikankah bang?
Farid : Ada. Tapi ikan goreng tepung.
Amie : Abang tak makan ikan goreng tepung?
Farid : Tak......
Puas sudah Amie sediakan macam-macam jenis  hidangan dan resepi untuk anak-anak, dengan salah satu harapan supaya apabila berada di tempat lain, dengan suasana dan makanan yang berbeza, anak-anak boleh menyesuaikan dirinya. Nampaknya usaha Amie tidak berjaya!
Sayur? Tak perlulah bertanya tentang sayur apa yang dibelinya di kantin sebab Farid memang anti sayur.... tak pernah makan sayur selain 'coleslow'! 

Sekian... banyak melalutnya malam ini! Jumpa lagi.

4 ulasan:

  1. Kesian juga ya, bila si emak bukan main handal memasak, tapi anak tak minat sayur la pulak. Alahai kesian.

    Lauk ayam rasa Colgate? hehehe kelakar bandingan yang dia buat.

    BalasPadam
  2. Saya ada cerita yang hampir sama dengan Amie.Kakak kata,selalunya kat rumah ayam goreng kunyit sahaja tapi kat Kuala Pilah ni ayam goreng celup tepung makan dengan nasi.Makan lah juga walaupun biasanya kat rumah ayam celup tepung makan dengan sos!

    BalasPadam
  3. Assalam, Amie
    Hari ni, ayamlah lauk yang murah. harga ikan memang jadikan poket parah. Ayam murah tapi dek hari-hari ayam, tekak pun dah macam marah (sabar, kena syukur!). Tapi nak komen, orang macam Amie tak ada masalah sebab mampu jadikan ayam yang mungkin membosankan "lain rasa" pada lain masa.

    Masakan ayam "colgate" tu nampaknya memang spesial. Masak merah rupanya, tapi tentu lain rasanya. Bila tak ada orang di dapur, Ayah nak cubalah!

    BalasPadam
  4. hehe..ayam rasa colgate, tu yang buat best tu, ummi suka minum teh rasa colgate, ter berpudinalah tu.
    Anak2 ummi pun tak berapa suka sayur Amie

    BalasPadam