Pages

Sabtu, 4 Jun 2011

Mee Hoon Goreng Tomato

Selamat menjalani ibadah puasa di bulan Rejab ini, bagi yang ada keuzuran insya-Allah boleh melaksanakannya pada masa yang diizinkan sepanjang bulan penuh berkat ini. Mudah-mudahan amal ibadah kita akan mendapat sebesar-besar pahala dan ganjaran daripada-Nya. Pagi ini Amie sediakan sarapan pagi untuk anak-anak iaitu mee hoon goreng tomato. Oleh sebab anak-anak susah sangat nak makan sayur... dan sebenarnya tidak mahu menyentuh langsung, tak perlulah Amie masukkan taugeh atau sayur sawi lagi. Amie kupas beberapa biji tomato masak ranum, cincang dan tumis bersama bahan tumbuk sehingga hancur lunyai. Sekurang-kurangnya adalah juga vitamin yang masuk ke badan anak-anak. Begitu juga dalam masakan yang lain seperti sambal, kari atau asam pedas, Amie tak lupa masak dahulu bersama tomato cincang. Rasa masakan sebenarnya bertambah enak dan boleh memekatkan kuah kari atau asam pedas.

Bahan-bahan:
9 keping mee hoon Golden Swallow (rendam selama 1 jam - hingga kembang / lembut)
15 ekor udang kertas (buang kepala dan kulit - belah belakang)
300 gram sotong (potong ikut suka)
1/2 cawan udang kering (rendam dan tumbuk kasar-kasar)
3 biji tomato masak ranum (buang kulit dan cincang)
5 biji bawang merah (tumbuk)
5 biji bawang putih (tumbuk)
1 biji lada hijau (hiris)
1 biji lada merah (hiris)
3 sudu sos cili
1 sudu sos tiram
1 sudu serbuk pati ayam
garam & gula (jika perlu)
minyak

Bahan untuk sambal kicap:
15 biji cili padi (tumbuk)
3 biji bawang putih (tumbuk)
4 biji limau kasturi (perah airnya)
4 sudu kicap manis Habhals - cap Kipas Udang

Cara:
1. Panaskan minyak. Tumis bawang merah,bawang putih dan udang kering hingga naikbau.
2. Masukkan tomato cincang dan biarkan masak sehingga tomato hancur.
3. Masukkan udang dan sotong. Gaul rata.
4. Masukkan sos cili dan sos tiram.
5. Masukkan mee hoon dan gaul rata. Masukkan hirisan lada hijau dan lada merah.
6. Taburkan serbuk pati ayam. Jika kurang rasa, taburkan sedikit garam.
7. Gaul sebati hingga mee hoon masak.
8. Untuk sos kicap pula, tumbuk cili padi bersama bawang putih.
9. Masukkan dalam mangkuk kecil dan gaul bersama kicap dan air perahan limau.
(Tidak perlu tambah garam dan gula sebab kicap manis Habhals atau cap Kipas Udang sudah cukup lengkap perisanya.)
10. Hidangkan mee hoon goreng tomato bersama sos kicap.

2 ulasan: