Assalamualaikum semua, dah minum pagi? Nampaknya Amie sekeluarga pagi ini sarapan berat, seberat nasi lemak.... Ini semua hasil berguru dengan rakan-rakan Kelantan & Terengganu. Biasanya Amie masak nasi dagang Terengganu, gunakan beras wangi sahaja tapi hari ini tergerak pula hati nak masak nasi dagang campur beras wangi dengan beras perang. Katanya, kalau dah campur beras perang, kira dah jadi nasi dagang Kelantan pula. Sayangnya Amie terlebih sukatan untuk beras perang. Patutnya campur sikit saja tapi Amie sudah 'termerendam' 1/2 kg beras wangi dan 1/2 kg beras perang. Nampak warnanya pun.... gelap saja. Lain kali kena hati2 ye... Amie, kesian pada kawan2 Kelantan & Terengganu yang bersungguh2 ajar Amie masak nasi dagang. Apapun, terima kasih buat Fauziah Deraman dan Nor Kamilah Khalil yang menjadi mahaguru & chef nasi dagang Amie kali ini. Bila dengar ajaran Chef Nor Kamilah, gerun juga dengar... apa tidaknya, bila dikatakan masak gulai ikan tongkol pun boleh memakan masa sampai satu hari... ha, yang itu hanya orang Terengganu yang betul2 ikut cara tradisi sahaja yang tahu cerita sebenar mengapa sampai jadi begitu. Amie pun tak ikut 100% petua memasaknya misalnya, mengeluarkan nasi yang sedang dikukus untuk digaul bersama santan. Amie renjis terus santan ke dalam nasi yang sedang di kukus dan kemudian menggaulnya lagi. Dan untuk acar pula, itu ikut kepala Amie.... acar orang kampung Amie tu.... Untuk Fauziah Deraman dan Nor Kamilah Khalil, terima kasih sudi perturunkan ilmu dari negeri Terengganu, dan Amie doakan mudah2an terkabullah doa dan termakbullah hajat untuk pindah balik ke Terengganu 25 Mei 2011 ini. Kalau tak dapat pun tak apa, kita sama-sama teruskan khidmat di bumi Sabah. Nanti banyaklah lagi resepi dari negeri mereka boleh dikongsi bersama.
Bahan-bahan untuk nasi dagang:
800 gram beras wangi (sudah tersukat 1/2 kg)
200 gram beras peras (sudah tersukat 1/2 kg)
500ml santan pekat
5 biji bawang merah (hiris nipis)
5cm halia (hiris halus)
1 sudu teh halba
1/2 sudu garam
1/2 sudu gula melaka
Cara:
1. Rendam beras wangi dan beras perang selama 8 jam.
2. Toskan kedua-dua beras dan campurkan.
3. Kukus selama 20 minit.
4. Masukkan halba, bawang merah dan halia. Gaul rata. Tutup kembali periuk pengukus.
5. Campurkan gula melaka dan garam ke dalam santan.
6. Buka kembali tutup pengukus dan renjiskan santan pekat ke atas nasi. Gaul hingga sebati.
7. Kukus semula selama 10 minit.
8. Sedia dihidangkan bersama gulai ikan tongkol dan acar mentah.
Bahan-bahan untuk gulai ikan tongkol:
Bahan A:
1 kg ikan tongkol (bersihkan dan potong ikut suka)
3 keping asam gelugur
1 sudu gula melaka
sedikit garam
Bahan B:
1 liter santan
3 keping asam gelugur
7 biji cili padi (belah 2)
3 biji lada hijau
1/2 sudu serbuk kunyit
1/2 sudu serbuk ketumbar
1/2 sudu serbuk jintan manis
1/2 sudu serbuk jintan putih
2 sudu gula melaka
1 sudu garam
minyak
Bahan kisar:
10 biji lada kering
7 biji bawang merah
7 biji bawang putih
5cm halia
Cara:
1. Rebus bahan A hingga masak dan toskan airnya.
2. Gunakan air rebusan ikan untuk memerah santan kelapa.
3. Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bahan kisar termasuk jintan manis, jintan putih dan serbuk ketumbar hingga pecah minyak.
4. Masukkan santan dan kacau hingga pecah minyak.
5. Masukkan cili padi, cli hijau dan asam gelugur.
6. Masukkan ikan tongkol, garam dan gula melaka.
7. Biarkan seketika sehingga kuah menjadi sedikit pekat. Tutup api.
Bahan-bahan untuk acar mentah:
1/2 cawan udang kering (rendam dan tumbuk kasar)
1/2 batang lobak merah
1 biji timun
1/2 biji nanas masak
1 biji sengkuang
1 labu bawang besar
3 biji lada hijau
garam & gula secukup rasa
cuka
Cara:
1. Potong kesemua lobak, timun, nanas dan sengkuang, bawang dan lada hijau ikut citarasa masing-masing.
2. Satukan di dalam sebuah bekas dan gaul bersama udang kering.
3. Akhir sekali perasakan dengan garam, gula dan cuka.
4. Siap untuk dihidangkan.
Lengkaplah sudah nasi dagang bersama teman-temannya, gulai ikan tongkol dan acar mentah. Jom... makan kita!!!.
Sedapnye kak.. nak kena cuba ni.. :-)
BalasPadamzefa,
BalasPadamkena cuba... masak dgn penuh kasih sayang, baru sedap! iye ke tu? he he...