Pages

Sabtu, 8 Januari 2011

Ikan Bayan Masak Asam

Sebelum saya berkeluarga, saya tidak pernah membeli atau memasak ikan bayan kerana warna dan rupanya yang agak berbeza dengan ikan-ikan lain. Rupa-rupanya keluarga sebelah suami menjadikan ikan bayan sebagai satu hidangan yang istimewa. Mereka tidak pernah menyebut 'ikan bayan' sebaliknya memanggil dengan nama 'ikan kakak tua'. Mungkin kerana rupa dan warnanya seperti burung kakak tua atau burung bayan. Ada lagi satu panggilan untuk ikan bayan iaitu kalau yang bersaiz besar, mereka panggil 'dongol besar' dan yang kecil 'dongol kecil'. Biasanya jika saiz ikan yang agak besar, mereka suka masak merah dan hidangan ini juga popular semasa diadakan kenduri kendara. Petang ini saya cuba masak asam ikan bayan. Saya sangat suka menyiang ikan ini sebab sisiknya tebal. Tidak perlu gunakan pisau untuk membuangnya, sebaliknya hanya mencabut atau menarik sisik itu keluar dengan tangan sahaja. Ha...inilah hasil ikan bayan masak asam saya....


Bahan-bahan:
1 ekor ikan bayan seberat 600 gram
1 sudu besar pati asam jawa
minyak
garam
gula

Bahan A:
10 biji lada kering
5 ulas bawang putih
5 ulas bawang merah
1/2 inci lengkuas
1/2 inci halia
1/2 inci kunyit hidup

Bahan B:
2 batang serai (dititik)
1 kuntum bunga kantan (belah 4)
2 biji tomato (belah 2)
5 helai daun limau purut

Cara:
1. Bersihkan ikan dan potong menjadi 5 keping.
2. Bancuh  pati asam jawa dengan 400ml air.
3. Kisar bahan A sehingga halus.
4. Panaskan sedikit minyak dan tumis Bahan A sehingga naik bau.
5. Masukkan air asam jawa. Biarkan mendidih.
6. Masukkan ikan dan masak menggunakan api sederhana selama 10 hingga 12 minit.
7. Apabila ikan telah masak, masukkan Bahan B.
8. Masukkan garam dan gula.
9. Ikan bayan masak asam siap untuk dihidangkan.

Bagi sesiapa yang tidak mengenali ikan bayan, di bawah ini saya sertakan gambar ikan tersebut. Ikan bayan saya ini bersaiz sederhana (tidak besar tetapi mungkin kecil sedikit), dan  bayan 3 ekor  ini beratnya 2 kg.


1 ulasan:

  1. seronoknya baca resepi kat sini ... terasa nak cuba ikan2 baru. Sekarang ni pusing2 kembung, tenggiri, cencaru, sardin hahaha

    BalasPadam