Pages

Ahad, 20 September 2026

Ikan Sardin Tin Masak Lemak Cili Padi dengan Belimbing Buluh

Bismillahirrahmanirrahim.
Selamat berhujung minggu buat semua rakan blogger dan pengunjung setia Amie's Little Kitchen? Apa aktiviti bersama keluarga sepanjang hari ini?

Amie di rumah sahaja. Oleh kerana tiada sebarang jemputan atau undangan sebarang majlis,  hari ini hendak melawat bapa saudara di Hospital LD. Tapi, beliau berada di ICU dan sedang ditidurkan. Kata Encik Suami, pelawat tidak boleh masuk. In syaa Allah, pada hari yang lain apabila masuk wad biasa, bolehlah kita pergi lawat, cadang Encik Suami.

Awal pagi tadi Encik Suami hantar Firdaus berjumpa kawan-kawan lamanya (kawan sekolah rendah agama) di Taman Bandar LD. Mereka hendak ke sekolah rendah agama untuk aktiviti gotong-royong. Bagus betul budak-budak ini. Walaupun sudah bersekolah menengah  (lain-lain sekolah) tetapi sekolah rendah agama tetap di hati!

Sebelum Firdaus balik dari gotong-royong, Amie sempat masak di dapur. Teringin pula makan Ikan Sardin Tin Masak Lemak Cili Padi setelah terbaca semula entri lama : Ikan Sardin Masak Lemak Cili Padi & Nasi Beras Wangi Keladi.

Amie tiada stok cili padi hijau, jadi Amie gunakan cili padi merah saja. Kuahnya pun ikut jadi merah. Untuk masakan ini, sos sardin tidak perlu digunakan untuk menghasilkan masakan lemak cili padi yang cantik dan sempurna. Tapi kalau hendak masukkan juga, tidak jadi masalah. Ikut selera masing-masing. Amie pilih tin kecil sebab hanya akan makan berdua dengan Firdaus sahaja.

Ada belimbing buluh, jadi Amie tambahkan ke dalam masakan. Amie tidak bubuh asam jawa atau asam keping sebab belimbing buluh sudah ada untuk memberi rasa sedikit masam dalam masakan. Untuk aroma lebih harum, masukkan daun kunyit.

Ikan Sardin Tin Masak Lemak Cili padi dengan Belimbing Buluh


Ikan Sardin Masak Lemak Cili Padi dari entri lama.

Beras Wangi Keladi

Ketika itu Amie gandingkan lauk Ikan Sardin Masak Lemak Cili Padi dengan nasi dari beras wangi keladi. Beras wangi keladi dari beras huma  ini kami beli di Kundasang

Nasi Wangi Keladi & Ikan Sardin Masak Lemak Cili Padi

Lama sungguh tak makan nasi beras kampung. Rasanya terakhir makan beras kampung waktu hari raya lepas. Amie masak bubur beras bario sebelum hantar Abang Farid dan anak isterinya ke Airport Tawau.

Ikan Sardin Tin Masak Lemak Cili Padi dengan Belimbing Buluh.


Resipi Ikan Sardin Tin Masak Lemak Cili Padi dengan Belimbing Buluh
Bahan-bahan:

1 tin sardin - saiz kecil - 4 keping ikan - toskan sosnya
3/4 cawan santan pekat
1 cawan air
10 biji belimbing buluh - belah jangan sampai putus
1 batang serai - dititik
1 labu bawang besar - mayang kasar
1 tangkai cili hijau - hiris
1 tangkai cili merah - hiris 
sehelai daun kunyit - siat dan simpul
garam / gula / perasa pilihan
3 sudu besar minyak

Bahan tumbuk / kisar
2 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
20 biji cili padi
2 cm kunyit hidup

Cara:
1. Panaskan minyak minyak dan goreng bawang besar hingga layu.
2. Masukkan kesemua bahan tumbuk, hirisan cili hijau dan merah serta serai. Tumis hingga naik bau. Tambahkan air.
3. Masukkan belimbing buluh. 
4. Kemudian masukkan santan pekat, diikuti dengan ikan sardin dan daun kunyit.
5. Perlahankan api dapur dan masak sehingga kuah mula mendidih.
6. Kacau sekali-sekala dan perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.

Nampaknya Firdaus sangat letih setelah pulang dari bergotong-royong! Makan tengah hari belum dijamah, sebaliknya tertidur lena di ruang tamu. Sebelum tinggalkan dapur  Amie masak barli di dalam slow cooker. Biarlah slow cooker buat kerjanya. Amie pun hendak buat kerja juga, samada ngorok atau pun menulis entri.... ahaks!


4 ulasan:

  1. Sedap ni ada belimbing buluh. Cie ada juga stok belimbing frozen. Nanti bebila beli sardin boleh buat.

    BalasPadam
  2. ms memula tgk gmbr sy ingatkan kari sardin kak
    hehhee

    BalasPadam
  3. Sedap ni... Masa kat kampung dulu arwah abah selalu masak ni. Tapi Sekarang suami saya tak suka sangat ikan sardin masak lemak, dia kata pelik.. haha

    BalasPadam
  4. Saya tak pernah lagi makan atau masak menu sardin masak lemak macam ni. Boleh cuba nanti. Terima kasih share resepi. :)

    Jemput support segmen beeha
    https://beehaazman19.blogspot.com/2026/09/segmen-mencari-blogger-aktif-2026.html

    BalasPadam