Bismillahirrahmanirrahim.
Pagi kelmarin ketika Amie sedang goreng keladi, Bonda berjalan sendiri menuju ke meja dapur dan duduk di kerusi. Biasanya Amie akan bawa makanan ke tempat pembaringannya.
Ada nasi? Tanya Bonda.
Eh, tiba-tiba hendak makan nasi pula di pagi hari. Amie kata, belum masak nasi. Amie letakkan keladi goreng, labu kuning goreng dan telur hancur di meja. Bonda jamah keladi goreng dan telur hancur. Kemudian Amie cepat-cepat masak nasi, masak lemak sayur petola dan masak kicap sotong kembang. Setelah semuanya Amie hidang di atas meja, Amie ajak Bonda makan.
Mari makan nasi mak.
Sudah makan, kata Bonda.
Bila emak makan nasi?
Pagi tadi, jawab Bonda penuh yakin.
Emak belum makan. Nasi baru tanak. Ada sayur petola, ada sotong kembang masak kicap. Marilah makan.
Bonda bangun dari tempat pembaringannya dan perlahan-lahan berjalan ke meja makan. Bonda sudah boleh suap nasi sendiri. Sambil menemani Bonda makan, sempat fikiran Amie melayang teringat kata-kata Wak Aton: Kadang-kadang emak tak ingat waktu solat. Kalau kita suruh solat, katanya sudah tetapi sebenarnya belum. Itulah yang kita kena selalu ingatkan, ujar Wak Aton.
Oleh kerana Wak Aton pernah beritahu Bonda suka makan nasi goreng dengan hati dan cekok manis, jadi Amie minta Fuad belikan sedikit hati ayam. Waktu itu Fuad hendak pulang ke Desaru. Sempatlah Fuad belikan hati ayam dan simpan dalam freezer. Mana tahu nanti kalau Bonda hendak makan nasi goreng, Amie boleh gunakan. Cuma, cekok manis itu tak tahu hendak cari di mana.
Petang kelmarin, entah siapa letakkan setandan kecil pisang lemak manis atas meja dapur. Di sebelahnya ada secekak cekok manis dan sepapan telur ayam. Oleh kerana anak, cucu dan menantu sering datang silih berganti, tak dapat dipastikan siapa yang membawa bahan-bahan itu semua.
Jadi, pagi tadi Amie buatkan sarapan Nasi Goreng Hati dengan Cekok Manis.
Mak, ada nasi goreng hati dengan cekok manis. Marilah sarapan.
Sedap tu, sahut Bonda ketika menuju ke meja makan.
Bonda senduk sendiri nasi goreng ke dalam pinggannya. Agak banyak juga, bolehkah dimakan habis? Amie sediakan minumannya.
Mana dapat cekok manis? Tanya Bonda.
Tak perasan siapa yang letak di dapur.
Waktu emak di hospital, Talhah buatkan emak nasi goreng hati dengan cekok manis, ujar Bonda sambil terus menyuap nasi goreng.
Ya, itulah yang Wak Aton ceritakan. Setelah beberapa hari tiada selera makan, tiba-tiba Bonda hendak makan Nasi Goreng Hati dengan Cekok Manis. Talhah, suami Wak Aton segera kirimkan nasi goreng ke hospital hasil air tangannya.
Bonda habiskan nasi goreng yang disenduk sendiri di dalam pinggannya.
Kemudian Bonda makan tiga biji pisang lemak manis.
Alhamdulillah.
Pagi ini tenang dan nyaman walaupun hati sedikit gelisah menanti khabar Wak Niah. Malam tadi Rahim, cucu Bonda hantar Wak Niah ke hospital Tanjung Karang. Adik Wi ikut sekali. Adik Wi maklumkan Wak Niah diberi bantuan oksigen dan berada di zon kuning. Dari malam tadi hingga sekarang, tidak dibenarkan sesiapa melihatnya.
La hawla walaa quwwata illa billah.
Lega juga hati bila orang yang kita sayang kembali berselera untuk makan.
BalasPadamMoga wak niah cpt sihat dan takde apa yang serius ye kak... memang betul kegemaran bonda akak nasi goreng ni ya, terus berselera makan. Sayur cekak manis tu kan dia ada bau dia tersendiri dan rasa daunnya yg agak manis tu kan.
BalasPadamAduhai terliur tengok menu nasi goreng Kak Amie ni.
BalasPadamSedapnya nasi goreng hati dan cekok manis. Semoga bonda dan Wak Niah dikurniakan kesihatan yang baik
BalasPadamAllahuakbar semuga wak niah cepat sihat. Musim jerebu ni Macam2 penyakit pernafasan timbul. Alhamdulillah habis sepinggan nasi goreng hati dgn cekur manis. Semuga bunda ada selera makan. Aamiin
BalasPadamLeganya bila Bonda sudah kembali berselera.
BalasPadamSemoga Wak Niah diberi kesembuhan segera dan Allah sentiasa permudahkan urusan Kak Amie sekeluarga.
Alhamdulillah..bonda dah kuat berjalan. Berselera makan nasi goreng kak Amie masakkan. Mesti sedap rasa nasi goreng hati campur sayur cekuk manis tu. Saya panggil pucuk manis.
BalasPadamDapat rasakan perasaan itu kak Amie bila ada ahli keluarga saudara mara kita yang sakit atau emergency ke hospital. Resah gelisah dibuatnya. Semoga Allah permudah segala urusan dan keadaan baik-baik saja. Aamiin..
Saya sempat bingung cekok manis sayuran yang seperti apa. Browsing dulu, oh ternyata daun katuk kalau di sini. Waah ini pun saya sukaaa kak. Baru tahu ternyata sedap dibuat ke dalam nasi goreng yaa. Nanti nak coba 😍😍.
BalasPadamAlhamdulillah bunda mau makan . Bacanya pun terasa ikut senang saya.
Untuk Wak Niah, saya doakan tidak ada apa2 yg buruk berlaku. Semoga cepat sembuh kembali 🤗
alhamdulillah.. bergenang air mata linda bila baca entry ni.. moga linda juga direzekikan untuk balas jasa bapak dan emak..aamin
BalasPadam