Pages

Khamis, 23 Julai 2026

Di Sebalik Lorong Madrid : Mimpi Jumpa Peria Katak dan Labu Ular!

Bismillahirrahmanirrahim.
Selesai menikmati makan tengah hari di Megha Halal Cuisine, kami berjalan-jalan di sekitar kawasan berhampiran. Di hadapan restoran, kelihatan dua buah kedai, Asian Food Center dan Spice Bazaar. Pada mulanya Amie menyangka kedai itu hanya menjual rempah-ratus dan makanan kering seperti yang biasa terdapat di kebanyakan kedai Asia di Eropah.

Rasa ingin tahu membawa kaki melangkah masuk ke dalamnya. Alangkah terkejutnya apabila melihat pelbagai sayur-sayuran segar yang begitu biasa terdapat di negara kita tersusun kemas di rak jualan. Sejenak terasa seolah-olah kami sedang membeli-belah di pasar raya tempatan, bukannya berada di tengah kota Madrid! Kehadiran kedai-kedai seperti ini membuktikan bahawa masyarakat Asia di perantauan tetap berusaha mengekalkan budaya dan cita rasa masakan tanah air mereka.

Di hadapan mata kami melihat peria katak, labu ular, bendi, kacang panjang dan beberapa jenis sayur lain yang mengingatkan kepada pasar tamu di Sabah, pasar tani dan pasar malam di kampung!

Asian Food Center

Rasa hairan juga, bagaimana sayur-sayuran seperti ini boleh sampai ke Madrid? Rupanya, komuniti Asia Selatan dan Asia Tenggara yang menetap di sini masih mahu menikmati masakan tradisional mereka. Walaupun jauh beribu-ribu kilometer dari tanah air, cita rasa kampung tetap tidak dilupakan.

Rasanya waktu itu Amie menelan senyum sendiri. Sayur-sayuran yang selama ini mungkin dipandang biasa di tanah air, tiba-tiba terasa begitu istimewa apabila ditemui di negara orang. Benarlah, kita sering menghargai sesuatu apabila berada jauh daripadanya.

Benar! Tanpa disedari hampir dua minggu lamanya kami bermusafir bermula dari Morocco, menyeberangi Selat Gibraltar, meneroka bumi Andalusia menjejaki tinggalan tamadun Islam di Sepanyol dan Portugal dan kini berada di Sepanyol semula untuk terbang dari Madrid - Doha - Kuala Lumpur.

Sudah tentu segunung rindu sudah terkumpul untuk dilunaskan sekembalinya ke tanah air!

Peria katak dan labu ular.

Jadinya, perjalanan kami bukan sekadar melihat bangunan bersejarah atau mercu tanda terkenal. Kadang-kadang, sebuah kedai runcit kecil yang menjual peria katak dan labu ular pun mampu meninggalkan kenangan yang cukup manis. Di situlah Amie menyedari dan mula belajar bahawa makanan bukan sekadar mengenyangkan perut, tetapi juga menjadi penghubung kepada budaya, identiti dan rasa rindu terhadap kampung halaman.

Madrid bukan sahaja memperkenalkan kami kepada keindahan Sepanyol, malah mengingatkan kami bahawa di mana pun manusia berada, mereka akan sentiasa membawa bersama cita rasa dan budaya tanah air.

Dan apa yang sedang kami lalui merupakan satu pengalaman yang mengujakan, terutamanya apabila berada jauh dari tanah air.

Kacang Bendi

Di kawasan sekitar Megha Halal Cuisine dan kedai seperti Asian Food Center serta Spice Bazaar, komuniti Asia Selatan terutamanya Bangladesh, Pakistan dan India nampaknya berusaha membawa masuk bahan-bahan segar yang mengingatkan mereka kepada kampung halaman. Sebab itulah kami boleh menemui sayur-sayuran seperti peria katak, labu ular atau snake gourd, kacang bendi, kacang panjang, daun kari dan pelbagai jenis cili segar.

Peria katak.

Lobak putih  (daikon) dan lobak turnip - ungu putih.

Gambar belakang kurang jelas - kobis bunga dan sebelahnya keladi.

Kacang Manis

Terung

Limau

Cantik bentuk cili yang merah menyala ini.

Buah bidara atau Indian Jujube.


Buah apakah ini? Mungkinkah buah asam gelugur?:

Bentuknya mirip buah asam gelugur kan?

Tomato dan timun pun nampak cantik.


Selain buah labu dan delima, di belakang sana nampak buah kelapa!

Buah labu air.

Buah pisang.



Bagi pelancong seperti kami, melihat sayur-sayuran seperti ini di tengah-tengah Madrid tentu terasa sedikit mengejutkan. Ia seolah-olah membawa kita pulang walaupun berada beribu-ribu kilometer dari Asia.

Kami hanya sempat mengunjungi Asian Food Center dan tidak mempunyai masa untuk memasuki Spice Bazaar di sebelahnya kerana kesuntukan masa. Terima kasih pemilik Asian Food Center kerana membenarkan Amie merakam gambar di sini.

Asian Food Center

Catatan kali ini bukan sekadar menceritakan tempat yang kami lawati, malah menggambarkan bagaimana makanan menjadi jambatan yang menghubungkan manusia dengan asal-usul dan kenangan mereka, walau di mana mereka berada.

Bagi orang lain, itu mungkin hanya sayur-sayuran biasa. Tetapi bagi seorang pengembara yang suka memasak dan menulis seperti Amie, pemandangan itu mempunyai cerita yang lebih mendalam. Ia mengingatkan bahawa walau sejauh mana kita mengembara, makanan sentiasa menjadi jambatan yang menghubungkan kita dengan rumah dan kenangan.

Dengan paparan Di Sebalik Lorong Madrid : Mimpi Jumpa Peria Katak dan Labu Ular ini diharap blog Amie's Little Kitchen bukan sekadar perkongsian resipi atau gambar makanan, tetapi juga cara menangkap cerita di sebalik setiap hidangan, setiap restoran dan setiap tempat yang dilawati. Semoga rakan-rakan pengunjung bukan hanya melihat gambar, tetapi turut merasai pengalaman itu.

Amie melangkah keluar dari Asia Food Center dengan rasa puas hati, bukan kerana membeli  sayur, tetapi kerana sedar, di bumi yang jauh dari tanah air pun, masih ada insan yang menanam, mengimport dan menjual rasa kampung untuk mereka yang merinduinya. Peria katak dan labu ular di Madrid mengajar diri ini bahawa makanan bukan sekadar rezeki, tetapi juga bahasa kasih yang merentasi sempadan negara.


Sempat rakam gambar Pakistani Resturante yang terletak berhadapan dengan Megha Halal Cuisine.


Madrid Barajas Airport

Bas terus bergerak membawa kami ke Lapangan Terbang Adolfo Suarez Madrid - Barajas (Madrid Barajas Airport) untuk daftar masuk penerbangan  Qatar Airways ke Doha.

4 ulasan:

  1. Suka betul baca catatan Kak Amie kali ni. Betul kata akak, makanan bukan sekadar pengenyang perut tapi jadi jambatan budaya dan pengikat rasa rindu pada kampung halaman. Pengembaraan yang sangat bermakna bukan takat tengok tempat bersejarah, tapi dapat menyelami kehidupan masyarakat Asia kat sana juga.

    BalasPadam
  2. Seronok masuk kedai yang tersusun rapi macam ni. Kita pun semangat nak membeli. Geram tengok buah dan sayur segar. Terasa macam berada di negara sendiri pulak kan Kak Amie.
    Merah menyala cili tu. Betul tu, macam buah asam gelugor pulak.

    BalasPadam
  3. Penuh estetika dan emosi. Gambaran lorong-lorong Madrid dengan elemen penceritaan yang mendalam ni betul-betul menghidupkan penceritaan. Boleh rasa keindahan dan vibes tempat tu melalui penulisan. Teruskan berkongsi kisah-kisah travelog bermakna macam ni!

    BalasPadam
  4. Macam kat Malaysia je banyak pilihan sayuran.

    BalasPadam