Pages

Selasa, 3 Mac 2026

Iftar 13 Ramadan 1447H - Tauhu Berlauk Daging Kerbau Kisar

Bismillahirrahmanirrahim.
Alhamdulillah hari ini sempurnalah kita berpuasa pada hari ke-13. Semoga sentiasa dipermudahkan urusan ibadah sepanjang bulan mulia ini dan harapnya dapatlah kita tunaikan solat gerhana bulan pada malam ini.

Sudah 12 hari berbuka puasa dengan minuman panas. Hari ke-13 ini rasa tak boleh tahan kalau tak minum jus tembikai! Kebetulan sejak kelmarin cuaca begitu panas. Balik dari ladang ajak Encik Suami cari buah tembikai

Walaupun rasa liat hendak ke dapur, tapi mengenangkan apa pula juadah berbuka puasa untuk Fairuz dan Firdaus, kita pun gagahkan diri untuk sediakan sesuatu untuk dijamah. Dua hari lepas Encik Suami beli enam batang tauhu telur tapi Amie biarkan saja tak berusik. Ada tauhu putih beberapa keping. Teringat Firdaus suka makan Tauhu Berlauk. Pernah buat beberapa kali tapi tak pernah kongsikan di blog.

Sebelum ini Amie pernah buat tauhu berlauk dengan campuran ayam cincang dan juga udang segar. Malas pula hendak cincang ayam atau kupas udang. Ada sebungkus daging kerbau kisar jenama Ramly. Bolehlah campur sebagai perencah Tauhu Berlauk.

Tauhu Berlauk Daging Kerbau Kisar


Tauhu Berlauk Daging Kerbau Kisar

Seperti biasa, Amie gunakan putih telur untuk celup Tauhu Berlauk sebelum digoreng. Jadi, tidaklah nampak kesan telur yang menyalutinya. Minyak pun tidak berbuih sebab tidak gunakan campuran kuning telur.

Banyak perkongsian resipi Tauhu Berlauk di media sosial. Cuma rajin atau tidak saja untuk mencubanya. Biasanya resipi Tauhu Berlauk gunakan ayam cincang, tapi bagi Amie terpulanglah hendak gunakan bahan yang digemari. Nak tambah isi jagung pun boleh. Lagilah sedap, sebab Amie pernah buat!

Tauhu Berlauk Daging Kerbau Kisar ini Amie gunakan empat keping tauhu putih, empat bungkus tauhu telur dan tambahkan empat biji telur. Kisar ketiga-tiga bahan ini sehingga hancur. Mmmmm.... sedap aroma bahan kisar tadi apabila dituang ke dalam mangkuk.

Bolehlah tambahkan bahan kegemaran lain seperti hirisan daun sup, lobak merah cincang, bawang besar cincang, lada putih atau lada hitam tumbuk, garam dan perasa pilihan. Amie masukkan 200 gram daging kerbau kisar. Setelah adunan sebati, bolehlah masukkan ke dalam acuan seperti gambar di bawah ini.


Adunan Tauhu Berlauk Daging Kerbau Kisar sedia untuk dikukus.


Kukus lebih kurang 15 minit.


Beginilah rupa Tauhu Berlauk Daging Kerbau Kisar setelah 15 minit dikukus.



Sebelum dikeluarkan dari acuan, Amie biarkan dahulu lebih kurang 10 minit.


Inilah rupa Tauhu Berlauk Daging Kerbau Kisar yang sudah dikeluarkan dari acuan.


Untuk menggorengnya, sediakan dua biji telur - Amie ambil putihnya saja. Kalau nak gunakan sekali kuning dan putih telur pun boleh, lagi cantik hasilnya. Oleh sebab Amie tak mahu minyak dalam kuali berbuih, jadi Amie hanya gunakan putih telur saja.



Gorenglah dengan penuh kasih sayang, gunakan api sederhana panas sehingga Tauhu Berlauk Daging Kerbau Kisar masak sekata dan berwarna kuning keemasan. Angkat dan toskan.


Bolehlah dihidangkan dengan sos pilihan.


Berbalik cerita tentang tembikai, kami beli sebiji di pasar raya. Harganya agak rendah berbanding hari sebelumnya. Kami dapat harga RM5.89 sekilogram. Sebiji tembikai seberat 6.815 kg berharga RM40.14 sen.

Tak sabar hendak menikmati jus tembikai waktu berbuka puasa!

Berapa agaknya harga tembikai di tempat kita di semenanjung sana sekarang ini? Teringat tahun lepas, waktu Aidil Fitri kami beli tembikai di Econsave Puncak alam dengan harga RM0.99sen sekilogram! Ya ampuuun! Agaknya kalau boleh mandi air tembikai, kamilah orang pertama yang buat kerja gila begitu... ahaks!

Bismillahirrahmanirrahim.


Tidak lupa, Salad Campur untuk Encik Suami. Fairuz dan Firdaus pun tumpang sekaki. Alhamdulillah, anak-anak pandai makan salad,


Jumpa lagi.

14 ulasan:

  1. Tak pernah try lagi buat tauhu berlauk tu. Entah bila nak datang kerajinan. Memang panas cuaca sekarang ni.

    BalasPadam
  2. Tahu berlauk Kak Amie sedap comel. Rajin Kak Amie buat dalam acuan kecil2.

    BalasPadam
  3. Dana pernah buat sekali masa PKP rasanya sedap tapi itulah kerajinan tak berapa ada kak... lagila kalau hari kerja sampai rumah dekat pukul 5 nak masak yang ringkas-ringkas je. Tapi memang sedap tauhu berlauk ni kan.

    BalasPadam
  4. Lupa la, aritu Edy beli tembikai dalam RM2 lebih ada tempat RM3 lebih... tahun ini tak semurah harga tembikai puasa tahun lepas.

    BalasPadam
  5. Cantik kejadian tauhu berlauk kak amie... dlu sy pernah buat sekali je, lama dh x buat teringin pulak

    BalasPadam
  6. Sedapnya tauhu berlauk...SA dah pernah buat tapi rasa macam nak buat lagi bila tengok entry Kak Amie ni....

    BalasPadam
  7. tenguk air tembikai waduh. Semalam nak beli sekali sampai rumah hujan terus cancel

    BalasPadam
  8. Menarik ni .. sy tak pernah try lagi tauhu berlauk... Rasanya harga tembikai di sini tengah murah sbb lambakan stok. Cuaca panas, tembikai menjadi.

    BalasPadam
  9. nak masak bergedel berlauk mesti rajin tahap tinggi ni

    BalasPadam
  10. Ya Allah, nikmatnya dapat teguk air tembikai waktu berbuka. 😋 Tauhu berlauk pun nampak sedap.

    BalasPadam
  11. Waaah thank youuuuu resepnya kak. Tak terpikir buat tofu dihancurkan dengan daging cincang. Kebetulan lagi banyak tofu (tahu telur) di kulkas saya.

    Biasanya saya masak begini pakai misoa. Kasih wortel, telur, daun bawang dan bumbu. Lalu kukus dulu, setelah itu goreng.

    BalasPadam
  12. Kat Malaya tembikai tengah rwndah harga Cikgu...Kat perumahan saya ni RM1.70/kg...
    Pasaraya dalam RM2.50/kg...Balik Kedah CNU RM0.99( bacanya seringgit🤭)
    Tapi kat Malaya berbuka puasa lambat la nak banding Borneo🤭

    BalasPadam
  13. Fuhhhh... sebiji sampai RM40... berat tu.
    Saya tak pasti berapa sekilo kat sini sebab biasa beli yang dah potong. Separuh boleh dapat RM10 je.
    Bulan puasa baru sekali je beli.. itupun sebab keluar rumah masa hari cuti... panas² nampak tembikai pulak.

    BalasPadam
  14. comel bentuknya bulat2 elok. bila kukus nampak lebih kental bentuknya

    BalasPadam