Bismillahirrahmanirrahim.
Berdasarkan data PBB pada Januari 2005, lebih daripada 230,000 orang meninggal dunia akibat bencana ini. Di Acheh, jumlah kematian melebihi 167,000 orang , dengan beribu-ribu lagi cedera dan hilang tanpa jejak.
Tarikh 26 Disember 2004 itu juga menjadi titik perubahan besar kepada Aceh dan dunia. Tsunami tersebut mencetuskan gelombang bantuan kemanusiaan berskala global, mengubah landskap sosial Aceh, serta meninggalkan pengajaran bahawa bencana alam boleh berlaku tanpa amaran, dan manusia perlu sentiasa bersedia dengan ilmu, sistem amaran awal, serta kefahaman risiko.
Sumber : Home Nusantara Tsunami Aceh 2004: Kronologi, Korban, dan Reformasi Penanggulangan Bencana
Hari itu, Aceh bukan sekadar menjadi berita antarabangsa. Ia menjadi memori yang terus hidup dalam sejarah dan hati manusia.
Setelah lebih 20 tahun berlalu, kami hanya berkesempatan mengunjungi Acheh pada 18 Oktober 2025. Setelah melihat sepintas lalu beberapa buah tanah perkuburan besar mangsa tsunami, pagi 19 Oktober kami melawat Boat di Atas Rumah di Gampung Lampulo. Gampung @ Kampung Lampulo merupakan salah sebuah kampung yang musnah akibat tragedi tersebut.
Ringkasannya:
- Gelombang 1 - datang untuk kali pertama dalam keadaan kuat, dan memusnahkan kawasan pesisir.
- Gelombang 2 - datang lebih besar dan lebih ganas dari gelombang pertama.
- Gelombang 3 - paling tinggi dan paling jauh masuk ke bandar Banda Aceh.
Selepas gelombang ketiga, keadaan menjadi sunyi dan hening (cerita Wak Kolak) dan air surut jauh ke tengah laut serta meninggalkan kesan kemusnahan luar biasa.
Kami bergambar kenangan bersama Wak Kolak (tengah).
Kawasan rumah ini (tempat tersangkutnya kapal nelayan di atas bumbungnya) dibeli oleh pihak kerajaan dan dijadikan sebagai tapak sejarah tsunami.
 |
| Wak Kolak @ Bundiyah |
Wak Kolak ialah salah seorang yang terselamat dari bencana tsunami Aceh 26 Disember 2004 yang berada di dalam kapal nelayan di atas rumah di Lampulo. Pada hari kejadian, beliau berada bersama puluhan penduduk lain yang menaiki boat nelayan besar tersebut ketika gelombang menghempas daratan. Kapal nelayan itu terangkat dan terdampar di atas sebuah rumah, lalu menjadi tempat berlindung yang menyelamatkan 59 nyawa. Wak Kolak menjadi saksi hidup yang menceritakan detik sebenar berlaku termasuk bunyi dua kali seperti bom dari arah laut selepas gelombang pertama, sebelum gelombang besar seterusnya tiba.
Wak Kolak mengenang kembali detik-detik hitam peristiwa Tsunami 26 Disember 2004.
Wak Kolak masih mengingati dengan jelas detik-detik Tsunami 26 Disember 2004 di Acheh. Pada pagi Ahad, 26 Disember 2004, bumi Aceh dikejutkan dengan satu gempa dahsyat dengan gegaran berlaku sekitar jam 07:58 pagi waktu Acheh dan berlanjutan lebih lama daripada gempa biasa yang pernah dialami penduduk. Banyak yang keluar ke halaman, mencari kawasan lapang, dan masih belum menyedari bahawa bencana yang lebih besar sedang menghampiri.
Beberapa minit selepas gegaran, laut mula surut dalam keadaan luar biasa. Dasar laut terbentang luas, banyak ikan kelihatan terdampar di tepi pantai, dan permukaan air kelihatan menjauh ke tengah. Ketika itu, majoriti penduduk tidak mengetahui bahawa fenomena tersebut adalah tanda awal tsunami. Mereka turun beramai-ramai ke pantai untuk mengutip ikan!

Tidak lama kemudian, gelombang pertama tiba dan memukul daratan dengan kekuatan yang sukar digambarkan. Ia merempuh rumah, kedai, masjid, pasar serta kawasan perumahan rapat yang menghuni pesisir Banda Acheh. Gelombang kedua menyusul dengan kuasa yang lebih besar, diikuti gelombang ketiga yang menjadi gelombang paling tinggi dan paling jauh memasuki kawasan bandar.
Dalam tempoh beberapa minit, Acheh bertukar menjadi kawasan kemusnahan yang besar. Bangunan runtuh, kenderaan dan perahu melayang ke serata tempat, dan banyak nyawa tidak sempat diselamatkan. Kapal yang tersangkut di atas rumah di Lampulo akhirnya menjadi salah satu saksi fizikal yang kekal dari tragedi itu.
Kami sangka gelombang pertama sudah yang paling besar. Tapi lepas itu saya dengar dua kali bunyi macam bom dari laut. Selepas dua bunyi itu, dua gelombang yang lebih besar datang. — Wak Kolak
Terdengar esak tangis pilu kami ketika Wak Kolak mengakhiri kisahnya.
Bagaimana Wak Kolak dan 58 orang lain terselamat di boat atas rumah?
Boat di Atas Rumah di Gampung Lampulo bukan sekadar jadi ikon pelancongan malah menjadi bukti hidup bagaimana Allah selamatkan 59 orang iaitu Wak Kolak bersama 58 orang yang lain pada hari tragedi tsunami 26 Disember 2004.
Menurut Wak Kolak, pada ketika gelombang besar memukul kawasan Lampulo, orang ramai berlari sekuat tenaga untuk menyelamatkan diri. Sebahagian daripada mereka memanjat ke sebuah kapal nelayan besar yang berada tidak jauh dari situ. Kapal nelayan tersebut yang pada asalnya berada di sungai untuk pancing tuna, terangkat oleh gelombang dan terdampar di atas rumah salah seorang penduduk Desa Lampulo. Kapal nelayan itu kelihatan seperti lifeboat terapung tetapi berada di atas daratan.
Setiap kali gelombang datang, kapal nelayan tersebut dihentak, dihayun dan diangkat air yang datang bergulung-gulung. Disebabkan kapal nelayan tersebut diperbuat daripada kayu tebal dan struktur kapal itu kukuh, ia menjadi pelindung untuk puluhan nyawa di atasnya.
Gelombang pertama mengangkat kapal. Gelombang kedua menghentak dari arah lain tetapi kapal kekal tidak patah. Gelombang ketiga paling tinggi, tetapi kapal tetap bertahan Mereka bertahan di atas boat itu berjam-jam lamanya dalam keadaan terkejut, takut, sejuk, basah, dan tidak tahu apa sedang berlaku di luar.
Air laut berwarna keruh dan hitam, bercampur bau belerang. Hal ini demikian kerana gelombang tsunami ini membawa bersama kesan gempa bawah laut tersebut!
Cerita Wak Kolak : Anak-anak yang terselamat menangis lapar dan dahaga. Tanpa diduga, tiba-tiba setandan kelapa menghampiri kapal mereka. Bagaimana untuk mengupas kelapa untuk minum airnya? Kata Wak Kolak, mereka membuka kotak di dalam kapal dan mendapati ada parang, tukul dan banyak peralatan lain. Jadi, dapatlah mereka mengupas buah kelapa dan minum airnya.
Apabila air surut, kapal nelayan itu kekal duduk di atas rumah. Sehingga ke hari ini, kapal itu menjadi saksi sejarah, bukan khayalan, bukan cerita dongeng tetapi bukti fizikal tsunami Acheh yang kekal sehingga hari ini.
Inilah sebab tempat ini bukan hanya objek pelancongan. Ia adalah ingatan bahawa satu kapal nelayan dapat menyelamatkan 59 nyawa, ketika seluruh bumi dan laut hari itu seperti memusnahkan segalanya.
Selepas situasi reda dan air mulai surut, mereka turun perlahan-lahan dari kapal. Keadaan di sekeliling sunyi, hancur, tidak dapat dipercayai oleh mata manusia. Rumah-rumah hilang, jalan tidak dikenali lagi, dan tidak ada lagi bentuk kampung yang mereka ingat sebelum gempa. Mayat bergelimpangan di sana sini. Ada yang tidak sempurna, hilang kepala, patah tangan, patah kaki, luka di sana sini dan sebagainya. Sebahagian mayat tidak dapat ditemui kerana dibawa arus laut surut ke tengah laut.
Kapal nelayan yang tertinggal di atas rumah itu menjadi titik orientasi baru untuk mereka berdiri semula. Dari kapal nelayan itu, mereka mencari air minum, mencari orang terselamat lain, dan cuba memahami apa sebenarnya sedang terjadi. Kapal nelayan itu bukan hanya penyelamat pada saat gelombang. Kapal nelayan itulah yang menjadi tempat mereka kembali tenang, mengumpul nafas, dan memulakan langkah pertama untuk hidup semula selepas bencana.
Bersama buku-buku yang dibeli, dan rasa tidak sabar untuk membacanya! Selain Wak Kolak, mereka yang bergambar bersama kami merupakan sebahagian daripada yang terselamat dan berada di atas kapal nelayan.
 |
| Penataan Situs Tsunami Kapal di Atas Rumah Lampulo |
Boleh baca di papan kenyataan tentang Kapl Di Atas Rumah Desa Lampulo.
Gambar di atas menunjukkan keadaan di dalam rumah yang sebahagiannya musnah oleh tsunami (di atas bumbung rumah ini terletaknya kapal nelayan terdampar), terdapat galeri foto tsunami dan nama-nama mangsa tragedi tsunami yang terkorban.
 |
| Gambar hujung kapal nelayan di atas bumbung rumah. |
 |
| Kami menaiki anak tangga untuk naik ke bahagian atas bumbung rumah untuk melihat kapal nelayan. |
Boat atas rumah Lampulo bukan sekadar tempat untuk dilihat dan diambil gambar. Ia membawa pesan yang jauh lebih besar. Bahawa dalam setiap bencana, dalam setiap kehilangan, dan dalam setiap gelap sejarah manusia, tetap ada ruang untuk harapan, penyelamatan, dan kekuatan untuk bangkit. Tsunami Aceh telah meninggalkan luka yang tidak akan pernah padam, tetapi kapal nelayan ini menjadi bukti bahawa di tengah suasana huru-hara itu, Allah masih memberi perlindungan kepada 59 nyawa. Dan dari kapal nelayan ini, kisah Acheh kembali diteruskan.
 |
| Boat di Atas Rumah |
 |
| Semoga Wak Kolak dan penduduk Desa @ Gampung Lampulo sentiasa sihat dan dipermudahkan urusan mencari rezeki. |
Masih teringat-ingat lagi suara Wak Kolak menceritakan detik-detik cemas seolah-olah sedang menghadapi sakratul maut ketika tsunami. Waktu sudah tenggelam paras dada, Wak Kolak sudah redha dan menyerah kepada Allah SWT. Pesan Wak Kolak kepada kami : Tiada apa yang dibawa bekal menghadap Allah melainkan amal ibadat kita sewaktu di dunia. Jangan tinggalkan solat ya anak-anak. Mengaji al-Quran setiap hari!
Satu lagi doa dan harapan yang kami dengar dari Wak Kolak, rakan-rakannya yang terselamat serta Pak Arman (pemandu pelancong) ialah:
Cukuplah sekali kami sahaja yang diuji melalui tragedi tsunami ini. Ya Allah! Jauhkanlah bencana ini dari berulang kembali. Semoga anak cucu kami tidak mengalami peristiwa yang sangat dahsyat ini!
 |
| Boat di Atas Rumah |
Amie banyak merakam cerita dari Wak Kolak tetapi tak mampu untuk kongsikan semuanya di sini. Ketika menulis entri ini pun asyik rasa sebak sahaja terutama sewaktu mendengar suara Wak Kolak dalam lebih 12 video yang Amie rakam. Antaranya termasuklah kisah Wak Kolak kebingungan dan trauma hampir dua tahun lamanya selepas peristiwa tsunami tersebut.
Masyaa Allah....macam masih terbayang video video mangsa korba. tsunami yang dikebumikan dalam liang lahat besar beramai-ramai menggunakan jengkaut ..sedar tak sedah dah lebih 20 tahun
BalasPadamKubur pertama kami lawati dari dalam kereta sebab hujan, kubur tanpa nesan berjumlah lebih 47 ribu syuhada.
Padambetapa besarnya trauma mangsa yang masih hidup.. Allah meninggalkan mereka untuk menjadi saksi kekuasaan Allah, supaya kita ingat pada Allah.. supaya kita tidak angkuh berada di mukabumi ini.. semuanya milik Allah, termasuklah nyawa kita...
BalasPadamBetul Linda. Tiada yang kekal di dunia ini melainkan Allah.
PadamTinggal sejarah...tapi masih kekal di ingatan yang melaluinya...Allahuakbar...Segalanya Milik Allah...
BalasPadamTakut rasanya dengar cerita Wak Kolak keadaan tsunami yang disaksikan dari atas kapal. Penduduk desa tenggelam timbul, air laut bergulung-gulung berwarna hitam memusnahkan segala rumah, bangunan, pokok-pokok dan segala yang ada.
PadamAl fatihah buat mereka yang terkorban. Peristiwa berlaku depan mata memang trauma sungguh. Tak dapat bayangkan bagaimana keadaan semasa itu.
BalasPadamItulah, mereka sentiasa berdoa agar anak cucu tidak merasai gelombang tsunami yang maha dahsyat ini.
PadamSungguh tak dapat SA bayangkan perasaan Kak Amie semasa mendengar penceritaan Wak Kolak..kalau SA confirm dah banjir kat situ...
BalasPadamKami banjir ketika mendengar nasihat Wak Kolak supaya jangan tinggalkan solat dan selalu baca Quran. Tiada yang dibawa mati kecuali amal ibadat di dunia. Syahdu sangat rasanya mendengar peringatan daripada insan yang terselamat dari bencana tsunami yang hampir meragut nyawanya.
Padamterima kasih utk perkongsian ini. saya selalu dengar pasal masjid je, rupanya ada kisah kapal nelayan yg menjadi tempat teduh utk 59 mangsa ni. tak boleh bayang perasaan diorang yg ada atas kapal tu, dipukul ombak berkali-kali. situasi antara hidup dan mati.. syukur Allah panjangkan nyawa mereka. memang dahsyat bila angka kematian mencecah 100k hanya dalam masa beberapa minit
BalasPadamSeram sejuk dengar Wak Kolak cerita mereka hanya bergantung sepenuhnya kepada pertolongan Allah, kapal dibawa gelombang ke sana dan ke mari dan akhirnya tersangkut di atas bumbung rumah penduduk di situ.
PadammasyaAllah sedih baca tragedi ngeri tsunami Acheh
BalasPadamKami rasa takut Kak PI. Terasa amalan tak cukup sekiranya nyawa dicabut pada waktu yang tak disangka.
Padamtak terasa dah lebih 20 tahun berlalu, seperti baru saja.
BalasPadamYa, dahsyatnya tragedi itu. Seluruh dunia mengingatinya.
PadamOo wak kolak tu makcik erk..
BalasPadamInnalilahi wainnalilahi rojiun
Gelaran untuk Ibu Bundiyah yang berjualan kolak / pengat.
PadamTerima kasih atas perkongsian ini. Tragedi tsunami Acheh ini sentiasa jadi peringatan dan renungan untuk saya. Tarikh 26 Disember 2004 akan sentiasa dikenang seluruh masyarakat dunia
BalasPadamSama-sama.
PadamMemang peristiwa besar ini sentiasa dalam ingatan masyarakat dunia.
Banyak negara datang menghantar bantuan ke Serambi Mekah ini.
Kenapa tak panggil Mbak Kolak
BalasPadamWak tu maknanya pak cik
Dia bahasakan dirinya Wak Kolak, bukan kami yang gelar. Wak Kolak berjualan kolak / pengat.
PadamRasanya 'Wak" itu tidak khusus kepada makna pakcik, tapi gelaran untuk orang yang lebih tua.
Berapa umur Wak Kolak sekarang? dah 21 tahun jugakkan peristiwa Tsunami. Sy masih ingat lagi masa berita tsunami tersiar di tv, sampai gaduh2 dengan PI sebab bila sy tanya apa jadi, dia kata tak tahu, padahal dia yg tengok berita. Kita ni sibuk ke depan ke belakang jemur baju, hihi.
BalasPadamWaktu kejadian tsunami 2004, umur Wak Kolak 55 tahun. Sekarang mungkin dalam 75-76 begitu.
PadamWak Kolak berkongsi cerita tanpa jemu.
BalasPadamTinggalan peristiwa yang benar2 ngeri, kesan diingatai di lihat, Sejarah Tsunami Acheh menjadi lagenda yang mengujakan untuk datang dunia melihat ..
BalasPadamSaya sebenarnya tak sanggub mendengar cerita tsunami Aceh ini, sebab terlalu banyak teman2 saya yg meninggal juga hilang sampai saat ini. Rumah saya di Banda Aceh rata dengan tanah.
BalasPadamSeandainya dulu saya melanggar kata papa , Krn tidak mau dikirim ke Penang untuk lanjut kuliah, mungkin saya pun tak selamat seperti teman2 lain.
Tapi THN 2002 itu saya walaupun marah kepada papa, tetep berangkat ke Penang. Pindah kuliah kesana. 2 tahun hubungan saya dengan papa sempat dingin, Krn saya masih marah dipindahkan begitu Saja. tapi 2004, semuanya berubah.. saya menangis , Krn inilah hikmahnya kenapa papa memaksa saya pindah ke Penang. Hubungan kami jadi membaik lagi.
Tapi kak, dibalik kengerian dan musibah tsunami, ada 1 yg menjadi titik balik untuk Indonesia. Setelah tsunami, pemberontak GAM dan pemerintah Indonesia akhirnya menemukan kata sepakat.
Dari sini Aceh menjadi kota syariat Islam. Dan GAM pun akhirnya menerima untuk menjadi bagian dari Indonesia.
Terkadang kita harus dikasih hukuman berat dulu, untuk bisa kembali rukun