Pages

Ahad, 28 September 2025

Telur Sambal Tuhau

Bismillahirrahmanirrahim.
Selamat berhujung minggu rakan-rakan pengunjung setia Amie's Little Kitchen. Apa aktiviti di hari minggu ini? Hari ini tiada jemputan kahwin atau kenduri-kendara, jadi Amie memerap sahajalah di rumah. Hasrat hendak ke pasar tani terpaksa dibatalkan sebab Encik Suami ada urusan di awal pagi lagi.

Menjelang tengah hari perut rasa lapar tapi berat pula langkah kaki hendak masuk dapur. Mengenangkan ada Firdaus, gagahkan jugalah pergi dapur tanak nasi. Panaskan sajalah baki lauk-pauk kelmarin. Teringat Firdaus suka makan lauk sambal tuhau, terfikir pula untuk cuba goreng telur bubuh sambal tuhau.

Ayuk, kita masak!

Telur Sambal Tuhau


Lada Tuhau - RM14.90

Inilah rupa sambal tuhau @ lada tuhau yang Amie beli di Tamparuli. Amie beli tiga botol. Kecil saja botolnya. Oleh kerana susah sangat hendak habiskan isi sebotol kalau sekadar dibuat pencecah ulam dan ikan goreng, jadi Amie cuba masak jadikan sambal tumis dan bubuhlah apa-apa seperi ikan sardin atau telur goreng, Jadinya cepatlah habis isinya. Untuk Telur Sambal Tuhau, Amie gunakan setengah botol lada tuhau. Lada tuhau ini sudah cukup rasa masam cuka dan rasa garamnya. Jika suka bolehlah tambahkan belacan sewaktu memasaknya.

Beginilah rupa lada tuhau dalam botol.


Kalau singgah di Kundasang, boleh beli jeruk tuhau atau lada tuhau. Jeruk tuhau tidak atau kurang pedas tetapi lada tuhau memang pedas. Jeruk tuhau dalam bekas balang plastik kecil sebelah buah lai. Lada tuhau dalam balang bertutup warna hitam bersebalahan dengan jeruk tuhau.

Apabila masak tumis sambal tuhau Amie tidak bubuh pes asam jawa atau asam keping sebab rasanya sudah sedia masam cuka. Masaklah ikut sesedap rasa. Amie masak Telur Sambal Tuhau ini pun ikut suka bahan apa hendak ditambah.

Tengok gambar Telur Sambal Tuhau di bawah ini teringat pula hidangan Timur Tengah : Shakshouka.



Resipi Telur Sambal Tuhau
Bahan-bahan:
6 biji telur - goreng gaya telur mata
1/2 botol lada tuhau
4 sudu besar minyak
1 sudu sos tiram
1 susu kicap lemak manis - Amie tak bubuh sebab kicap sudah habis
garamm / gula / perasa pilihan

Bahan hiris:
3 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
1 labu bawang besar
2 tangkai cili hijau

Cara memasak:
  1. Panaskan minyak dalam kuali.
  2. Tumis bahan hiris sehingga layu kekuningan.
  3. Tuangkan lada tuhau, sos tiram, garam / perasa pilihan.
  4. Masak sehingga pecah minyak.
  5. Padamkan api dapur
  6. Susun telur mata di atas pinggan. Tuangkan sambal tuhau. Hias dengan cili padi dan limau kasturi.
Firdaus makan nasi sampai tiga pinggan dan telur mata tiga biji. Sedap, katanya!

12 ulasan:

  1. Macam lebih kurang budu ke kak? Teringin nak rasa kena pi Sabah la ni 😄

    BalasPadam
    Balasan
    1. Allah.... budu pulak dah hihihiii.
      Dalam entri lepas pasal tuhau, ada Cie komen. Saya perkenalkan apa itu tuhau, dari jenis tanaman sampailah menjadi masakan.

      Padam
  2. Nasib baik x jumpa kat semenanjung sambal Tuhau ni..kalau jumpa SA nak gak tau rasa dia macam.mana..lauk telur buat apa pun memang sedap...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kalau jenis suka mencuba bolehlah cuba sebab ada yang kurang gemar aromanya kalau tak biasa.

      Padam
  3. Wah berselera betul Firdaus makan sambal kegemarannya ye Kak Amie. Berbunga hati kita bila tengok anak makan bertambah² ni kan

    BalasPadam
    Balasan
    1. Alhamdulillah.
      Suka pula dia dengan sambal tuhau. Biasanya budak-budak tak minat.

      Padam
  4. Selera makan lauk telor goreng ada sambal begini. Saya rasa, sambal tuhau ni, lebih kurang macam sambal jantan kelantan, sebab dalam sambal ada cuka, tapi tak ada belacan.

    BalasPadam
  5. Sekarang ni sy nak tahu, tuhau tu apa sebenarnya, Kak Amie? Ia sejenis lada ke?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tuhau tu sejenis tumbuhan herba. Ditambah lada jadilah sambal / lada tuhau.

      Padam
  6. Tuhau makanan tradisional orang Sabah, tuhau memang aroma yang membangkitkan selera..

    BalasPadam
  7. Terbayang lah sedapnyaaaa 😍😍😍. Krn saya terbiasa makan masakan yg beraroma tajam, jadi rasa2nya Tuhau ini akan cocok dengan lidah saya

    BalasPadam