Pages

Rabu, 27 Ogos 2025

Makan Sambil Belajar - Jepun - Portugal - Austria - Filipina

Bismillahirrahmanirrahim.
Encik Suami ada urusan petang tadi. Jadi, katanya tak sempat hendak makan tengah hari bersama. Tidak mengapa. Amie singgah di Bandar Tabanak dan beli makanan untuk alas perut di rumah. Sampai di rumah terus keluarkan ikan untuk dinyahbeku dan renih ceker bersama kurma merah dan white fungus untuk dijadikan sup. Menjelang petang nanti, hanya masak nasi sahaja.

Duduk sendiri di meja makan di dapur, makan makanan yang dibeli di Bandar Tabanak. Amie beli sushi campur.

Sushi Campur


Nampak macam tidak banyak, tapi apabila makan lima ketul sudah rasa kenyang. Maklumlah ada nasinya. Jadi, selebihnya Amie simpan dalam peti sejuk. Firdaus balik sekolah agama nanti, bolehlah dia sambung makan.

Sushi Campur

Sudah beli Egg Tart Portuguese, sayang pula tak makan. Kononnya hendak makan dua biji tetapi perut sudah penuh sushi, jadi makan sebiji sajalah.

Egg Tart Portuguese

Sewaktu kami berada di Lisbon, Portugal pada Februari 2025 lalu, tour guide kami yang bernama Mbak Watie memperkenalkan kuih belém.  Menurut Mbak Watie belém terkenal di Portugal disukai ramai. Apabila kami sampai ke kafe tersebut, rupa belém seperti Egg Tart Portuguese yang selalu kita makan itu!

Sepanjang perjalanan memang kepala ligat memikirkan bagaimana rupa kuih belém  itu. Pastéis de Belém atau  Pastéis de Nata bermaksud Egg Tart Portuguese yang kami suka makan. Perkataan nata itu Amie jumpa dalam hidangan egg tart sewaktu makan di Nando's. Egg tart gaya Portugis ini berasal dari Lisbon pada awal abad ke-19. Kuih ini dicipta  di Biara Jerónimos Belém. Ketika itu, putih telur banyak digunakan untuk kanji pakaian biarawati dan jubah paderi. Lebihan kuning telur pula digunakan untuk membuat pastri manis. Dari situlah lahirnya Pastéis de Nata. Apabila biara ditutup, resipinya dijual kepada peniaga kedai roti dan sehingga ke hari ini kedai tersebut dikenali sebagai Pastéis de Belém.

Belém @ Egg Portuguese Tart  tersebar melalui jajahan Portugis ke wilayah maritim seperti Macau, Goa (India), Brazil, Angola dan Mozambique. Di Macau, untuk memenuhi selera tempatan muncul versi egg tart gaya Macau - Hong Kong dengan kulit lebih rangup dan permukaan lebih karamel.

Egg Tart Portuguese

Dari Macau, pastri ini masuk ke Hong Kong pada awal abad ke-20 lalu tersebar ke Malaysia, Singapura, Taiwan dan Jepun. Disebabkan globalisasi makanan, Egg Tart Portuguese kini boleh ditemui dari kafe di Eropah hingga ke kedai roti Asia Tenggara. 

Menarik bukan? Kisah pastri warisan biara yang lahir dari kreativiti menggunakan kuning telur berlebihan, lalu berkembang menjadi salah satu pastri yang sangat digemari di seluruh dunia!

Sudah kenyang makan sushi dan sebiji Egg Tart Portuguese, tak laratlah pula hendak jamah croissant.

Croissant - Roti Bulan Sabit


Croissant juga sangat terkenal dan khabarnya menjadi simbol sarapan klasik di Perancis sehingga ramai menyangka roti bulan sabit ini berasal dari sana. Sebenarnya croissant berasal dari Austria. Roti bentuk bulan sabit ini sudah wujud di Austria sejak abad ke-13. 

Ketika Vienna diserang Uthmaniyyah (Empayar Ottoman), tukang roti mencipta pastri berbentuk bulan sabit,  simbol bendera Uthmaniyyah sebagai tanda kemenangan. Dari situlah lahirnya bentuk ikonik croissant. 

Walaupun croissant lahir di Austria dengan nama kipferl, tetapi lebih terkenal di Perancis. Di Perancis, croissant diperhalusi menjadi pastri berlapis mentega, lebih moden dan menjadi lambang gaya hidup Perancis! Croissant yang sudah berusia berabad lamanya ini hari ini mempunyai banyak variasi dengan coklat, badam, keju dan inti pelbagai rasa.

Mangga Manila

Tidak lupa, kutip buah mangga manila yang bertaburan di bawah pokok mangga udang. Petang tadi Amie makan tiga biji. Lebihannya bolehlah bawa ke ladang esok pagi.

Uncle Gedek tanya, mangga manila ini asal dari Manila ke?
Betul.
Mangga manila asal dari Filipina. Isinya sangat lembut dan rasanya sangat manis dengan aroma tropikanya yang tersendiri. Bentuknya agak lonjong dan lebih kecil berbanding mangga tempatan lain. Setakat ini  kami kutip mangga manila yang gugur dan belum pernah merasa mangga manila muda atau yang belum masak.  Bezanya mangga manila dengan mangga lain, mangga manila hampir tidak mempunyai serat.

10 ulasan:

  1. Betul tu kak Amie, makan susyi pun boleh kenyang juga sebab nasi tu. Kiranya macau egg tart pun samalah juga dengan egg tart portugese jugak kan. Pusing-pusing situ je. Croissant zaman sekarang dah bermacam variasi dari butter, jem sampailah ke isi ayam dan salad.
    Ooo buah magga Manila ni hampir tiada serat rupanya. Sedap tu.

    BalasPadam
  2. Saya pertama kali makan egg tart di Penang, di bakery langganan, dekat kampus saya. Teringin sangat makan yg aslinya di Macau atau Portugis. Nah pas ke Macau, dah niat nak makan egg tart, tp kami jumpa dengan chef asal Indonesia yg kerja di restoran halal Macau.

    Dia kasih tahu jangan beli egg tart di Macau, Krn tidak halal, mesua egg tart di sana pakai lard. kecuali ada tanda halalnya lah. Tp saat kami kesana, blm ada bakery Macau yg pakai halal sign , jadi akhirnya kami tak berani makan 🤣🤣. Salah satu temen saya mengeluh pula, 'aiih kenapa dikasih tahu. Kalo tak tahu kan tak dosa' 😅

    BalasPadam
  3. Jadi teringin pula nak makan sushi bila baca entri ini. Begitu rupanya asal portugese egg tart dan croissant. Saya suka kedua-duanya.

    BalasPadam
  4. SA suka sushi yg xde salmon mentah yg boleh diterima tekak ..gimbab tu ok untuk SA...biasanya 5 ketul memang dh buat kenyang ..

    BalasPadam
  5. Egg tart kesukaan ammi dan Kyra. Yg lelaki semua tak brp suka

    BalasPadam
  6. Tentu sedap mangga jika tidak berserat, manis pulak tu. Banyak jugak Kak Amie beli sushi. Memang sushi tu nampak sikit kan, tapi sebenarnya cukup kenyang. Takpelah, simpan peti sejuk tahan lama. Bolehlah Daus makan balik sekolah nanti.

    BalasPadam
  7. Wah semua makanan peberet ni. Sushi tu makan beberapa ketul je dah kenyang tapi makan tart telur tak boleh banyak tapi makan croissant dgn butter pun dah walah. Hari ni belajar sesuatu tentang makanan. Baru tahu asal kejadian croissant. Tapi yang pasti mangga manila menjadi pujaan hati. hehehehe

    BalasPadam
  8. Pernah makan ketika visit di Jepun dahulu..nampak menu sushi tu, terasa nak oder sama hehehe

    BalasPadam
  9. Bagus juga berbagi dengan kawan-kawan mangga manila tu.
    Semua dapat merasa.

    BalasPadam