Kundasang War Memorial (Tugu Peringatan Perang Kundasang)

9:26 PTG

Sekiranya anda pernah mendengar peristiwa Perjalanan Maut atau Kawat Maut Sandakan-Ranau 1945, tentu anda ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang Kundasang War Memorial. Selain bertujuan untuk kongsi bersama pembaca, kita titipkan tulisan ini untuk anak-anak dan bakal cucu-cicit serta generasi yang akan datang. Tidak semua peristiwa yang dianggap bersejarah tertulis dalam buku sejarah yang kita pelajari di sekolah. Peristiwa sedih Kawat Maut Sandakan-Ranau ini mungkin hanya sebahagian kecil dari peristiwa besar semasa Perang Dunia Kedua, tetapi sebenarnya ia memberikan kesan yang sangat bererti terutama dalam kalangan penduduk setempat terutama di daerah Ranau.
Untuk mengetahui kronologi peristiwa Kawat Maut Sandakan-Ranau 1945, boleh klik di sini : SANDAKAN MEMORIAL PARK : TRAGEDI SANDAKAN-RANAU 1945. Dan baru-baru ini kita telah memaparkan Tugu Peringatan Bukit Quaileys berkaitan  Kawat Maut Sandakan - Ranau 1945 semasa menginap di Sabah Tea Garden. Boleh klik di sini : QUAILEYS' HILL MEMORIAL ; SANDAKAN-RANAU DEATH MARCHES.

Tugu Peringatan Perang Kundasang ( Kundasang War Memorial) ini mula dibina pada tahun 1960 dan siap sepenuhnya pada tahun 1963. Tugu ini dibina sempena memperingati dan menghormati tentera-tentera Australia dan Inggeris yang terkorban dalam peristiwa Sandakan-Ranau Death Marches 1945. Selain itu, ia juga bertujuan menghargai jasa penduduk tempatan yang terkorban dalam memberi pertolongan dan bantuan kepada tahanan perang tersebut.

Sementara menunggu Encik Suami & Fuad qada' hajat, Fairuz & Firdaus yang duduk menunggu di tangga Kundasang War Memorial ini.... marilah cerita-cerita sedikit tentang peristiwa kawat maut:

Pada akhir tahun 1941, Jepun menyerang pelbagai sasaran di Pasifik dan Asia Tenggara. Penyerahan kalah Singapura pada 15 Februari 1942 merupakan malapetaka bagi Britain, Australia dan sekutu-sekutunya yang lain. 


Bala Tentera Diraja Jepun berarak melalui pusat bandaraya Singapura setelah British menyerah kalah.

Sumber gambar : http://www.wikiwand.com/ms/Singapura

Lebih daripada 180,000 tentera Asia dan 132,000 tentera Sekutu  termasuk 50,000 orang British dan 20,000 orang Australia ditawan. Para tawanan perang Tentera Sekutu bertugas di landasan kereta api Burma-Negara Thai, sebuah landasan kereta api di Sumatera, dan di lapangan-lapangan terbang di Borneo, Indo-China dan di sini, Borneo Utara. Para tawanan perang Tentera Sekutu juga dihantar ke Korea, Taiwan, Hainan dan Manchuria.
Menjelang akhir perang pada tahun 1945, lebih daripada 8,000 tawanan Australia dan Jepun terkorban. Daripada bilangan ini, hampir seperempat meninggal di Sandakan, dalam Kawat Maut atau di Ranau.


Kem Tawanan Perang Sandakan terletak 13 kilometer dari Sandakan, bersebelahan dengan lokasi yang merupakan Pusat Eksperimen Pertanian British sebelum perang. Pondok-pondok kayu yang dibina oleh pentadbiran British digunakan oleh pihak Jepun untuk menempatkan para tawanan perang. Para pegawai pada mulanya tinggal di dalam pondok kayu, dan tawanan dengan pangkat yang lain dalam pondok atap. Pondok-pondok ini sesak sekali dan setiap tawanan hanya mempunyai ruang selebar setengah meter di atas tempat tidur yang dinaikkan. Tikus dan kutu membiak di dalam pondok dan bumbung pondok bocor. Pada keseluruhannya kem ini seluas 20 hektar. Hanya sebahagian kecil tanah ini termasuk dalam kawasan yang didedikasikan sebagai Taman Peringatan Perang Sandakan.

Para tawanan perang dibawa ke Sandakan untuk membina sebuah lapangan udara sebagai tempat mengisi minyak bagi angkatan udara Jepun. Para tawanan bekerja dalam keadaan yang teruk untuk membersihkan tapak pembinaan lapangan udara dengan menggunakan peralatan tangan sahaja. Malahan mereka yang jatuh sakit juga dipaksa bekerja di tapak yang berpaya ini. Akhirnya dua buah lapangan udara siap dibina dan digunakan oleh pesawat terbang Jepun.

Serangan udara oleh Tentera Sekutu bermula pada bulan September  1944 dan berterusan selama beberapa bulan, dan para tawanan turut terbunuh dalam serangan-serangan tersebut. Pada awal tahun 1945, kerja pembinaan lapangan udara tersebut dihentikan.

Percubaan untuk melarikan diri bermula beberapa hari setelah ketibaan para tawanan perang, tetapi tidak berjaya. Pada mulanya tawanan yang cuba melarikan diri tetapi tertangkap semula dipukul dan dihantar ke Penjara Outram Road di Singapura yang terkenal dengan kekejamannya. 


Outram Prison 
Sumber : National Archives of Singapore

Selepas tahun 1943, pelarian yang tertangkap ditembak.
Pada bulan Jun 1943 lapan tawanan perang berjaya melarikan diri. Tiga orang daripada mereka mengembara sejauh 240 km ke Pulau Tawi Tawi dalam sebuah kanu yang dicuri dari permukiman kusta Berhala. Lima orang yang lainnya bersembunyi selama beberapa minggu di Berhala, ditumpangkan oleh sebuah kapal layar Filipina dan bertemu semula dengan pelarian lain di Tawi Tawi. Pelarian dari Australia bergabung dengan pasukan gerila Filipina untuk meneruskan perjuangan terhadap pihak Jepun. Pada bulan Mac 1944 tiga orang pelarian tiba di Australia dalam kapal selam Amerika Syarikat dan memberitahu Kerajaan Australia tentang keadaan para tawanan perang di bawah pihak Jepun.


Tidak lama setelah ketibaan para tawanan, sebuah pertubuhan rahsia dibentuk. Pemimpin-pemimpin pertubuhan ialah Kapten Lional Matthews, Dr J.P. Taylor (dari Hospital Sandakan) dan sebilangan besar orang tempatan termasuk anggota pasukan konstabel. Melalui jaringan ini, ubat, makanan, wang, komponen-komponen radio, senjata, peta dan maklumat diseludup masuk ke dalam kem.
Pada bulan Julai 1943, jaringan ini dibocorkan kepada pihak Jepun. Penangkapan diikuti dengan soal siasat selama berbulan-bulan dan penyeksaan oleh Polis Tentera Rahsia Jepun. 22 orang tawanan Australia, 5 orang Eropah dan 50 orang tempatan dihantar ke Kuching untuk pembicaraan. Pada bulan Mac 1944, Kapten Matthews, Jemadur Ojager Singh, Alex Funk, Sarjan Abin, Ernesto Lagan, Heng Joo Ming, Wong Moo Sing, Felix Azcona dan Matusup bin Gungau dibunuh. Kebanyakan daripada pihak tertuduh yang masih tinggal dijatuhkan hukuman berat dan beberapa orang di antara mereka mati di dalam penjara.


Kapten Matthews, dihukum gantung oleh Jepun di Kuching, Sarawak pada 2 Mac 1944 kerana mengetuai tawanan dalam penubuhan stesen radio haram di Sandakan. Meninggal dunia dalam usia 31 tahun.

Pihak Jepun mempunyai dasar untuk mengasingkan tawanan pegawai daripada tawanan yang berlainan pangkat sebagai satu cara untuk meningkatkan kawalan mereka. Menjelang bulan Oktober 1943 hanya 8 orang pegawai yang masih tinggal di Sandakan, yang lainnya telah dipenjarakan di Kuching.
Di Kuching, para pegawai ini ditahan bersama  dengan 3,000 tawanan perang dan tahanan di Kem Lintang Barracks. Para banduan di sini termasuklah orang Australia, British, Belanda, India dan Indonesia. Keadaan di sini sesak dan jangkitan penyakit meningkat dengan berlanjutnya perang. Manakala hanya 6  orang pegawai Australia dan British yang dipindahkan dari Sandakan telah meninggal dunia. Tawanan dari Britain yang dipaksa bekerja di lapangan udara Kuching meninggal dunia dalam jumlah yang besar. Tawanan yang masih hidup dilepaskan apabila pihak Jepun menyerah kalah pada bulan September 1945.

 Tanah perkuburan tawanan perang di Sandakan

Para tawanan perang meninggal dalam jumlah yang besar semata-mata kerana kekurangan makanan dan bekalan ubat. Ubat yang disediakan oleh pihak Jepun tidak mencukupi, dan seringkali ditahan secara sengaja. Penyakit yang paling parah merupakan penyakit malaria, disentri, beri-beri dan jangkitan tropika. Kakitangan perubatan kem melakukan apa sahaja sedaya upaya. Picagari dibuat daripada kayu dan apabila kain pembalut habis, daun pisang digunakan.


Mengenal pasti beratus-ratus  mangsa tawanan perang melalui dokumen peribadi yang tertinggal di kem tahanan Sandakan.

Dengan situasi perang yang bertentangan terhadap pihak Jepun, catuan beras terputus. Menjelang akhir tahun 1944 catuan beras kurang daripada setengah catuan pada tahun 1942 dan pada bulan Januari 1945 apabila kerja lapangan udara berhenti, bekalan beras disekat sama sekali oleh pihak Jepun.

Pihak Jepun menganggap penahanan suatu keaiban, maka layanan mereka terhadap para tawanan perang amat kejam. Para penjaga meronda kumpulan-kumpulan pekerja, dan memukul tawanan perang yang dianggap bekerja tidak cukup keras. Hukuman yang dikenakan adalah berat: para tawanan kadangkala dipaksa berdiri untuk waktu yang lama, menghadap sinaran matahari dan mengangkat berat dengan tangan terentang, atau berlutut atas kayu yang ditajamkan. Kesilapan-kesilapan kecil dihukum dengan mengurung dalam kurungan kayu yang kecil. Sebilangan tawanan perang mati tidak lama setelah dilepaskan dari kurungan.
Para tawanan perang jarang menerima surat ketika ditawan dan mereka hanya dibenarkan mengirim surat ke rumah hanya pada masa tertentu.

Meskipun mereka hidup dalam keadaan yang tidak berperikemanusiaan, para tawanan perang masih mengamalkan cara hidup biasa. Dalam tahun 1942 sebuah pentas dibina dan digunakan untuk bertandingan tinju dan konsert. Para tawanan perang mengadakan pertunjukan di mana lagu-lagu yang dipersembahkan mencerminkan  keinginan mereka untuk pulang ke tanahair tetapi pihak Jepun meningkatkan halangan dengan sering menolak permohonan untuk mengadakan pertunjukan. Para tawanan perang menggunakan segala masa lapang dan bahan-bahan yang ada untuk melakukan kegiatan-kegiatan kreatif. Di awal sejarah kem ini, sebuah pameran kesenian dan kraf diadakan. Sebuah set catur dibuat, tongkat-tongkat diukir dan ukiran senarai nama mereka yang meninggal dihasilkan sebagai penghormatan.
Semua kegiatan ini membantu dalam pemeliharaan akhlak, termasuk juga menyanyi dalam perjalanan pulang ke kem dari lapangan udara pada petang hari.



Pada permulaan tahun 1945, pihak Jepun memutuskan untuk menyuruh para tawanan di Sandakan berkawat ke Ranau. Kawat pertama dengan 455 tawanan meninggalkan Sandakan pada bulan Januari. Pada akhir bulan Mei, kawat kedua dengan 540 tawanan bermula. Kebanyakan tawanan tidak berkasut dan mereka kurang sihat. Keadaan tanah, lumpur, kekurangan makanan dan perlindungan serta kecepatan kawat yang dipaksa ini menambah kedahsyatan dan melemahkan lagi para tawanan perang. Tawanan yang sakit ditembak atau dibenet oleh penjaga dan mayat mereka ditinggalkan di tepi runut. Kebanyakan percubaan untuk melarikan diri menyebabkan maut. Namun, hampir menakjubkan, dua tawanan perang berjaya melarikan diri daripada Kawat Kedua.
Lebih daripada setengah 1000 tawanan perang dalam Kawat Maut Pertama dan Kedua tidak sampai ke Ranau.


Oleh sebab pihak Jepun bimbang akan serangan daripada Tentera Sekutu, mereka meruntuhkan kem ini sebelum Kawat maut yang kedua berangkat dari Sandakan. Tawanan yang masih tinggal seramai 290 orang, semuanya pesakit hospital, kekurangan perlindungan dan terpaksa menjaga diri sendiri sedapat mungkin. Pada bulan Jun, Kawat Ketiga dengan 75 orang berangkat tetapi tidak pernah ditemui lagi. Pada bulan Julai sebuah kumpulan seramai 23 orang yang masih dapat berjalan dibawa ke arah lapangan udara dan di situ mereka ditembak dan dikuburkan dalam parit.
Kebanyakan daripada tawanan yang masih tinggal di Sandakan mati kebuluran dan juga kerana diserang penyakit. Mereka yang meninggal dikuburkan dalam parit sempit oleh buruh-buruh Jawa. Menjelang bulan Ogos, semua tawanan perang di Sandakan meninggal dunia. Kem ini tidak lagi wujud dan tiada tawanan yang masih hidup untuok memberi keterangan mengenai apa yang berlaku pada bulan-bulan terakhir peperangan.


Sejak bulan Mac 1944 pihak Tentera Sekutu telah mengetahui tentang keadaan para tawanan di Sandakan. Pada akhir tahun tersebut, sebuah operasi menyelamat, dengan nama kod Project Kingfisher mula dirancang. Anggota-anggota pengintipan Jabatan Peninjauan (SRD - Services Reconnaissance Department) berangkat dari Darwin ke Borneo dalam kapal selam Amerika Syarikat. Mereka berlabuh di Sandakan dan mula mengumpul risikan yang telah terbukti tidak tepat! SRD mempercayai bahawa tiada tawanan yang masih tinggal di Sandakan, dan akibatnya pihak Sekutu mengebom kem dan kota tersebut!
Atas alasan-alasan yang masih diperdebatkan usaha menyelamat tidak dilangsungkan!


Tawanan daripada Kawat Maut Pertama yang masih hidup sampai ke Ranau, pada bulan Februari 1945. Para tawanan yang letih lesu kemudian dipaksa mengangkat guni-guni beras yang berat kembali ke Paginatan. 
Lapangan udara Ranau diserang oleh pejuang pihak Sekutu pada bulan April dan para tawanan perang dipindahkan ke kem yang terpencil di dalam hutan. Menjelang akhir bulan Jun apabila tawanan Kawat Maut Kedua yang masih hidup tiba, hanya 6 orang daripada para tawanan yang berkawat yang masih tinggal. Dalam hujan dan kedinginan waktu petang para tawanan perang terpaksa mencari perlindungan di bawah daun rimba sehingga mereka membina sebuah pondok. Para tawanan perang tidak bertahan lama kerana mereka diberi air yang tercemar dan 70 gram beras sehari, dan dipaksa mengangkat beban yang berat. Dua percubaan melarikan diri berakhir dengan penyeksaan dan maut, namun empat tawanan berjaya melarikan diri dengan selamat.
Menjelang bulan Ogos hanya kira-kira 30 tawanan perang sahaja yang masih hidup di Ranau. Tidak lama kemudian tawanan perang yang masih tinggal dibunuh.

Daripada 2500 tawanan perang yang berada di Sandakan pada akhir tahun 1943, hanya 6 orang pulang ke tanahair. Owen Campbell melarikan diri daripada kawat dengan bantuan orang tempatan. Dia dipindahkan daripada pesawat laut dari muara Sungai Bongaya pada 26 Julai 1945. Dick Braithwaite melarikan diri daripada kawat dan dengan bantuan orang tempatan sampai ke Pulau Libaran di mana dia ditumpangkan oleh kapal PT Amerika Syarikat. Keith Botteril, Nelson Short, Bill Moxham dan Bill Sticpewich melarikan diri dari Ranau. Mereka juga dibantu oleh penduduk desa dan pada bulan September diterbangkan ke Labuan.


Dari kiri Nelson Short, Sticpewich dan Keith Botteril.

Penduduk Sabah amat menderita ketika penjajahan Jepun. Pihak Jepun memaksa orang bekerja dan mereka merampas hasil tanaman. Tindakan balas oleh pihak Jepun adakalanya teramat dahsyat. Tindak balas berlaku di Sandakan dan di Jesselton (Kota Kinabalu) apabila terjadinya pemberontakan pada bulan Oktober 1943 dan pihak Jepun membunuh kira-kira 100 orang sebagai tindakan balas.
Walaupun beberapa orang menyokong pihak Jepun (kerana terpaksa) dan melaporkan para tawanan perang yang melarikan diri, yang lainnya menyokong perjuangan pihak Sekutu. Orang tempatan memainkan peranan dalam pergerakan bawah tanah pada tahun 1942-43. Usaha melarikan diri dari Berhala, daripada Kawat Maut atau dari Ranau tidak mungkin berjaya tanpa ketabahan penduduk Sabah mengambil risiko dengan membantu para tawanan perang.
Setelah perang berakhir, Kerajaan Australia mahupun Kerajaan British mengungkapkan rasa terima kasih dengan menghantar para pegawai untuk memberi ganjaran kepada orang yang telah membantu tawanan. Ganjaran-ganjaran ini dalam bentuk wang dan juga ijazah. Major H.W.S. Jackson mewakili Australia dan Major R.K.Dyce (seorang Australia) mewakili Britain. Jackson yang mengunjungi Sabah pada tahun 1946-47 dan sekali lagi pada tahun 1950, berkata:

Kami tidak mungkin dapat mewujudkan kembali mereka yang tersayang, dan ganjaran-ganjaran yang disampaikan oleh Kerajaan Australia tidak dimaksudkan sebagai penilaian daging, darah, kesengsaraan dan kedukaan. Kami percaya bahawa apa yang kami berikan akan diterima sebagai lambang peringatan bagi kesetiaan, keberanian dan kemurahan hati yang ditunjukkan oleh mereka yang memberi bantuan kepada tentera kami dan untuk mengenangkan ucapan yang harus kita ingat selalu, "Jangan sampai kita lupakan."

Menteri Luar Jepun, Mamoru Shigemitsu menandatangani Surat Cara Penyerahan Kalah Jepun di atas kapal USS Missouri pada 2 September 1945.

Setelah pihak Jepun menyerah kalah pada bulan September 1945, usaha pemakaman untuk tawanan perang dari Australia bermula. Jasad-jasad ditemui di Sandakan, di sepanjang runut dan di Ranau dan dibawa ke Perkuburan Perang Labuan di mana jasad tersebut dimakamkan hingga sekarang.
Catatan tentang peristiwa-peristiwa kejam menjelang akhir perang hanya wujud kerana adanya enam tawanan yang masih hidup. Pembicaraan jenayah perang bermula di Labuan pada bulan Januari 1947. Komandan-komandan kem Sandakan, Kapten Hoshijima dan Kapten Takakuwa didapati bersalah dan dihukum gantung di Rabaul. Lt. Kol Suga, yang bertanggungjawab atas semua para tawanan perang membunuh diri. Lt. Jen. Babe dihukum mati pada tahun 1947. Pihak-pihak  lain yang didapati bersalah dipenjarakan.
Sumber : Sandakan Memorial Park

Hokeeeeyyyy...
Peristiwa itu sudah lama berlalu, dan sebagai generasi yang memiliki jiwa merdeka, sepatutnya kita sentiasa bersyukur dengan apa yang kita nikmati hari ini. Kita sambung semula cerita Tugu Peringatan Perang Kundasang ini. Tugu ini terletak di sebuah kawasan seluar 3 hektar di kampung Kundasang, Ranau.

Pintu masuk tugu ini berhadapan dengan Gunung Kinabalu. Rezeki kita pada pagi itu...sebab Gunung Kinabalu tidak dilitupi kabus. Cuaca pun cerah, tidak panas dan bolehlah berlama-lama sedikit di tingkat-tingkat  seterusnya yang akan kita naiki sebentar lagi.

Alamak....
Firdaus mendahului kami... berlari menaiki anak tangga! Tak terkejar...

Dipanggil pun tak dipedulikannya!

Mujurlah pada waktu yang sama muncul Encik Suami dan Fuad... Fairuz dapat kejar dan tangkap Firdaus!

Nampak seronok sungguh Firdaus dapat mempermainkan Fairuz!

Di pondok masuk, banyak artikel dari keratan akhbar berkaitan Sandakan-Ranau Death-Marches yang ditampal untuk bacaan orang ramai.

Barangkali....
Sekiranya semua artikel ini diletakkan ditempat yang lebih sesuai, mungkin jangka hayatnya lebih panjang, tidak pudar oleh pancaran cahaya matahari atau lembap dan kabur oleh hujan atau pun embun. 

Ramai pengunjung pada ketika itu...

Pintu masuk Tingkat Pertama : Australian Garden.


Tugu batu ini memuatkan ringkasan mengenai pemindahan tawanan perang dari Sandakan ke Ranau pada tahun 1945.


Teruskan perjalanan ke tingkat yang seterusnya iaitu Tingkat Kedua : English Garden.


Sekali lagi...
Firdaus macam baru lepas dari kandang!
Berlarian seperti di rumah sendiri!


Dah tak kemas pakaian bujang kenit satu ni...terlepas baju keluar dari seluar!

Setiap penjuru English Garden ini dipenuhi dengan pohon mawar Inggeris yang berbunga sepanjang masa!










Kita ke tingkat yang seterusnya iaitu tingkat ketiga, Borneo Garden.

Borneo Garden ditandai dengan pelbagai spesies hidupan tropika yang sentiasa hijau sepanjang masa.

Tidak ketinggalan salah satu spesies bunga orkid!

Kita teruskan mendaki beberapa anak tangga untuk sampai ke tingkat empat iaitu Memorial Garden.


Dari sini Gunung Kinabalu sekali lagi dapat dilihat dengan jelas.
Pelan bangunan ini direkacipta oleh seorang arkitek Australia iaitu J.C Robinson.


Setiap tahun pasukan tentera Australia dan Inggeris beserta bekas-bekas tawanan perang (diceritakan oleh penjaga tugu : Encik Jumin Gambaris pada tahun 1999), keluarga dan sahabat handai akan mengunjungi tugu ini dan melakukan ritual bersama untuk memberi penghormatan serta mengenang kembali tentera-tentera mereka yang menjadi korban kekejaman Jepun dalam Perang Dunia Kedua di Borneo Utara pada tahun 1945. 

Nama-nama askar tawanan perang yang terkorban dalam peristiwa Sandakan-Ranau Death Marches.






Dah belajar secebis kisah sejarah...
Jom turun.

Jumpa lagi!


Entri berkaitan jalan-jalan RANAU-KOTA KINABALU: 

MENGINAP & SARAPAN DI TH HOTEL KOTA KINABALU
ARABIC LAMB MANDY & WESTERN FOOD DI SOUQ CAFE
MAKAN TENGAHARI DI CHICKEN RICE SHOP
MAKAN SUSHI DI SUSHI KING SURIA SABAH
MUZIUM SABAH
MAKAN STEAMBOAT DI NATURAL KITCHEN
BERMALAM & SARAPAN PAGI DI GRAND BORNEO HOTEL
SEDAPNYA MAKAN DI KOKI BANDUNG, ALAMESRA KOTA KINABALU
MAKAN DI SUSHI KING 1BORNEO KOTA KINABALU
PANTAI TANJUNG ARU
RUMAH TERBALIK TAMPARULI
CUCI MULUT DI MANGO GARDEN RESTAURANT
DESA CATTLE DIARY FARM KUNDASANG
CANTIKNYA PEMANDANGAN DI SABAH TEA GARDEN COTTAGE (I)
JALAN-JALAN CARI MAKAN DI RANAU
BERMALAM DAN SARAPAN PAGI DI SABAH TEA GARDEN COTTAGE (II)
KEINDAHAN ALAM DI SANAH TEA GARDEN (III)
QUAILEY'S HILL MEMORIAL : SANDAKAN-RANAU DEATH MARCHES
MELIHAT GUNUNG KINABALU DARI PINE RESORT
ROSE GARDEN DI KUNDASANG
MAKAN STEAMBOAT DI RESTORAN PUTERI NABALU
COCOA NABALU : HOMEMADE CHOCOLATE DELIGHTS
KUNDASANG: SYURGA SAYURAN SEGAR & PELBAGAI BUAH-BUAHAN TEMPATAN
SUNGAI MOROLI FISH MASSAGE DI KAMPUNG LUANTI BARU RANAU

2 comments

  1. Bila baca kakak membayangkan hebat sungguh zaman itu kan
    Firdaus juga yg ligat seronok benar dpt lepas tu:)

    BalasPadam
  2. Kak Zakie,
    sekadar cebisan peristiwa dalam sejarah yang jarang terungkap...

    BalasPadam

TERIMA KASIH TINGGALKAN KOMEN.

Labels

~Australia (Perth) ~Balkan ~Bosnia and Herzegovina ~Brunei Darul Salam ~China (Shenzhen - Guilin - Yangshuo - Guangzhou) ~Croatia ~Cuti-Cuti Malaysia ~Ekspedisi ~Europe ~India (New Delhi - Srinagar - Pahalgam - Gulmarg) ~Indonesia ( Padang - Bukit Tinggi - Jambi - Palembang - Jakarta ) ~Indonesia ( Sumatera Barat - Bukit Tinggi - Padang ) ~Indonesia (Bandung - Jakarta - Jogjakarta) ~Travelogue ~Indonesia (Kalimantan Timur: Nunukan - Tarakan - Balikpapan - Samarinda - Tenggarong) ~Indonesia (Sidoarjo - Surabaya - Malang) ~Indonesia (Surabaya - Malang) ~Italy ~Jalan-Jalan Cari Ikan ~Jalan-Jalan Cari Makan ~Johor ~Kedah ~Kelantan ~Kenali Hidupan Akuatik ~Korea Selatan - Seoul - Nami Island ~Kuala Lumpur ~Madinah 2023 ~Makkah & Madinah ~Makkah 2023 ~Melaka ~Muhasabah Diri ~Negeri Sembilan ~Nepal (Kathmandu-Pokhara-Dhampus-Machhapuchhre Base Camp) ~Pahang ~Penginapan / Homestay / Hotel / Resort ~Perak ~Pulau Pinang ~Putrajaya ~Sabah ~Saudi Arabia ~Selangor ~Slovenia ~Tempat Menarik di Malaysia ~Thailand ( Bangkok - Hua Hin) ~Thailand (Hatyai) ~Travelogue ~Turki ~Umrah ~Umrah 2023 ~Vietnam ( Da Nang - Hoi An - Ba Na Hills) Acar Advertorial Agar-Agar Air Asam Aneka Hidangan Nasi Aneka Hidangan Sup Aneka Jenis Serunding Anekdot Antologi Puisi Apam Asian Food Festival Awards Ayam / Itik / Burung BBQ Bekal Makanan Biskut Buah Bubur Buku Cerita / Komik / Cerpen / Novel Buku Motivasi Buku Resepi Buku Resipi Buku Sejarah Buku Travelog / Novelog Cerita Dari Dapur Cerita Dari Pasar Cerpen Kanak-Kanak Chips Contest / Kuiz / GA Desserts Dried Pasta: Spaghetti/ Spiral / Fusili / Rigatoni / Fettuccine / Risoni / Lasagne / Conchiglie / Tagliatelle / Macaroni / etc Dumpling / Wantan / Siew Mai / Dim Sum Food Review Hari Raya Hasil Karyaku Herba Hidangan Berbuka Puasa Hidangan Berpantang Hidangan Bersahur Hidangan Tengah Hari / Malam Hidangan Tengahari / Malam Himpunan Kad Ucapan Ikan Japanese Food Jeruk / Pickles Johor Juadah Hari Raya Juices / Smoothies Kek Kek Lapis Kek Lapis Sarawak Kek Sarawak Kelas Masakan Keluarga Kerabu Kerang-Kerangan Ketam / Sotong / Udang Khidmat Foodpanda Kiriman Komentator Korean Food Kudapan Kuih Raya Kuih Tradisional Nusantara Kuih-Muih Kuiz / GA Lain-Lain Laksa / Mee / Mee Hoon / Kuey Teow Lembu / Kambing / Lamb / Rusa Lobster Malaysian Food Festival Masakan Ala Kadazan / Dusun Masakan Ala Bajau Masakan Ala Bugis Masakan Ala Cina Masakan Ala Cocos Masakan Ala Jawa Masakan Ala Mamak Masakan Ala Nyonya Masakan Ala Pakistan Masakan Ala Thai Masakan Brunei Masakan India Masakan Indonesia Masakan Minang Masakan Negeri Sembilan Masakan Pahang Masakan Sabah Masakan Sarawak Masakan Singapura Masakan Suluk Masakan Timur Tengah Masakan Tradisi Kedah Masakan Tradisi Kelantan / Terengganu /Pantai Timur Masakan Tradisi Melayu Melaka Masakan Tradisi Perak Masakan Tradisi Pulau Pinang Masakan Tradisional Nusantara Masakan Utara Menu ala Fusion Minuman Panas / Sejuk Muffin Nuffnang Oleh-oleh Otak-Otak Pastry Pemakanan Sihat Pembelian Online Petua Di Dapur Pie Pizza Puding Resepi Amie's Little Kitchen di Media Cetak Resepi Bonda Roti Sambal Sambutan Hari Istimewa Santai Bersama BEN ASHAARI Sarapan Pagi / Minum Petang Sate Sayur Seafood Segmen : Meriahnya Dunia Masakan Segmen Share Resipi Setulus Kasih Soto & Coto Telur Tempahan Western Food Wordless Wednesday

Subscribe