ADSENSE

Jumaat, 11 Februari 2011

Lamb Steak With Plum & Lime Honey

Dua tiga hari belakangan ini, suami asyik menyarankan saya berjumpa dengan bapanya (bapa mentua saya) untuk menuntut ilmu masakan ala barat (bapa mentua saya pernah bekerja sebagai tukang masak pengurus ladang semasa pentadbiran British dahulu). Insya-Allah ada masa dan kesempatan saya akan berbual-bual dengan beliau tentang masakan barat. Sebelum ini pun, sudah banyak kali saya masak stik kambing biri-biri mengikut cara beliau. Kalau buat rumah terbuka raya, 'lamb chop' memang tidak ketinggalan. Anak-anak buah saya sebelah suami pun suka makan dan saya pun memang seronoklah menyediakan untuk mereka dan yang paling menyeronokkan tentulah bila melihat mereka makan penuh berselera. Petang ini saya masak daging bebiri khas untuk suami dan anak-anak di rumah sebagai hidangan malam. Resepi ini sebenarnya ikut kepala saya dan bahan asasnya tetap sama seperti biasa. Cuma yang berbeza ialah saya gunakan sos plum & lime honey semasa memerap dan semasa menyediakan sosnya.


Sebenarnya menyiapkan bahan untuk stik ni taklah sesusah mana...cuma kalau nak rasa yang lebih umphhhh kenalah perap lebih lama. Oleh kerana masa sangat terhad, saya hanya perap selama 15 minit sahaja memandangkan daging bebirinya pun agak nipis. Ikut protokol penyediaan kenalah lama 2-3 atau 4 jam. Saya ikut jugalah cara bapa mentua saya...kejap je.... dan pastinya memang saya gunakan lebih lada hitam...

Bahan-bahan:
5 keping daging (T-bone)

Bahan untuk perapan:
1 sudu lada hitam (tumbuk)
3 ulas bawang putih (tumbuk)
3 cm halia (tumbuk)
2 sudu sos soya
2 sudu makan sos plum & lime honey
1 sudu minyak zaiton

Bahan untuk sos:
1 sudu lada hitam (tumbuk)
1 sudu tepung jagung
2 sudu sos tomato
2 sudu sos soya
2 sudu sos plum & lime honey
150ml ai

Bahan tambahan:
4 biji kentang (potong ikut suka, rebus bersama sedikit garam dan kemudian goreng hingga kekuningan)
2 biji tomato
potongan lemon

Cara:
1. Perap daging dengan bahan perapan selama 15 minit.
2. Masukkan daging ke dalam kuali non-stick dan tutup selama 5-7 minit dan balik-balikkan daging. Biarkan daging masak dalam tempoh 5 - 7 minit lagi. (Ikut arahan - ajaran bapa mentua ni...)
3. Sementara menunggu daging masak, campurkan semua bahan untuk sos ke dalam mangkuk dan gaul sebati.
4. Keluarkan daging yang telah masak dan masukkan bahan sos ke dalam kuali (campur bersama bahan lebihan daging dalam kuali selama 1-2 minit)
5. Susun daging di atas pinggan bersama bahan sampingan seperti kentang goreng dan tomato. Tuangkan sos plum & lime honey di atasnya.
6. Enak dimakan ketika panas sebab daging masih lembut ....selamat mencuba.

Tiada ulasan: