ADSENSE

Ahad, 19 Disember 2010

Udang Mayonis & Sotong Mangga

Pada petang 14 Disember lepas, selesai menghadiri mesyuarat, saya mengajak suami dan anak-anak mencuba resepi makanan laut yang dicadangkan oleh rakan-rakan yang telah menikmatinya kelmarin. Memang sangat berbaloi kerana bukan sahaja rasanya enak tetapi murah dan lebih dari sepatutnya. Mungkin kedudukan restoran tersebut yang agak tersorok, jauh sedikit dari bandar. Para pelanggan hanya memilih ikan segar dan memilih jenis masakan yang diingini. Setiap 100 gram ikan berharga RM3. Kami order seekor ikan siakap seberat 650 gram untuk masakan 3 rasa, seekor ikan putih juga seberat 650 gram untuk masakan sweet and sour, udang goreng mayonis, sotong goreng mangga, sayur baby kailan masak sos tiram, dan sup ketam. Anak-anak order ABC. Oleh kerana makanan datang satu demi satu dan tidak serentak, kami habiskan dahulu ikan. Apabila menyusul udang dan sotong, masing-masing telah kekenyangan. Bagaimanapun pelayan restoran menyarankan kami membawa pulang memandangkan udang dan sotong serta sup ketam belum sempat disentuh. Anak-anak merungut kerana katanya sepatutnya saya memberitahu terlebih dahulu tentang menu tersebut, jadi mereka boleh kosongkan perut dari pagi... menjelang malam mereka berebut memakan sotong dan udang.... Keesokkan petang, selepas saya menamatkan menyuarat untuk hari terakhir, anak-anak mengajak kami makan sekali lagi di restoran tersebut. Kami tidak dapat memenuhi hasrat mereka kerana perjalanan pulang terpaksa mengambil masa selama dua jam setengah dan saya berjanji akan memasak menu yang sama untuk mereka. Hari ini saya tunaikan permintaan anak-anak....

Bahan-bahan:
500 gram udang kertas
5 sudu tepung jagung
3 sudu tepung gandum
1 inci halia (ditumbuk)
3 ulas bawang putih (ditumbuk)
1 sudu kecil lada putih (ditumbuk)
sebungkus eno
garam
1 sudu kecil serbuk kunyit
2 biji tomato
1 batang lobak
1 biji timun
6 sudu besar mayonis
minyak
Cara:
Bersihkan udang. Tidak perlu buang kulit. Campurkan tepung jagung, tepung gandum, bawang putih, halia dan lada putih, serbuk kunyit dan garam. Campur dengan sedikit air dan tuangkan serbuk eno ke dalamnya. Panaskan minyak dan salut udang dengan bancuhan tadi. Sementara udang digoreng, potong timun, lobak dan tomato ikut suka. Gaulkan bersama mayonis. Angkat udang goreng dari kuali dan toskan. Susun di atas pinggan dan tuangkan bahan mayonis tadi mengikut cita rasa.

Memandangkan cara menyediakan sotong mangga pun lebih kurang sama dengan goreng udang, saya gunakan bancuhan tepung yang sama untuk mengoreng sotong. Saya cuma sediakan hirisan mangga muda, sedikit bunga kantan dan hirisan bawang besar. Letak di atas sotong goreng dan jika suka tuangkan sedikit sos cili Thai di atasnya. Sedia untuk dihidangkan.... apalagi...anak-anak dan suami berebut makan udang dan sotong yang rangup ....

Tiada ulasan: