Memaparkan catatan dengan label Awards. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Awards. Papar semua catatan

Khamis, 11 April 2013

Hidangan Berpantang : Sup Ayam Dengan Betik Muda & Award Dari Dapur Nasya

Assalamualaikum.
Salam sayang buat semua pengunjung budiman. Petang ini Amie paparkan salah satu hidangan berpantang yang sering ditanya dan sedang ditunggu oleh rakan-rakan FB dan blogger. Resepi ini merupakan resepi turun-temurun yang diamalkan oleh Bonda. Pada hari kedua selepas kelahiran Mohamad Firdaus, memang hidangan beginilah yang disajikan oleh kakak ipar untuk Amie. Namun begitu, dalam seminggu hidangan ini Amie jamah beberapa kali di selang-seli dengan hidangan sup yang menggunakan bahan yang berlainan. Khasiat betik muda dalam hidangan sup ini ialah untuk melancarkan pengaliran air susu ibu. Alhamdulillah, berkat rajin mengamalkannya... kenyanglah Mohamad Firdaus menghisap susu.  In shaa Allah dalam paparan seterusnya Amie akan kongsikan menu berpantang yang lain pula. Untuk rakan-rakan yang rajin mengumpul buku masakan, resepi ini juga terdapat dalam Buku Masakan Hidangan Berpantang.


Walaupun hidangan untuk orang berpantang, tapi anak-anak pun tumpang sekaki juga! Sedap kot! Lagi pun kakak ipar memang selalu masak satu periuk besar!



Untuk resepi Sup Ayam Dengan Betik Muda ini Amie gunakan sukatan untuk 2 orang, atau pun 2 kali makan. Untuk tujuan melancarkan pengaliran air susu ibu, pastikan betik yang digunakan ialah betik muda, bukan yang mengkal atau yang tua dan masak!

Bahan-bahan:
6 ketul daging ayam
1 cawan hirisan betik muda 
3 batang kucai - potong 3cm panjang
1 inci halia muda - hiris halus
2 ulas bawang putih - pecahkan
1 labu bawang merah - belah 6
1/2 sudu teh  lada putih / hitam - tumbuk (pilihan dengan halia - tapi untuk ibu menyusu, kurangkan jumlah atau tidak perlu bubuh)
sedikit bawang goreng
600ml air
garam / perasa pilihan

Cara:
1. Didihkan air dalam periuk. Masukkan halia, bawang putih dan bawang besar serta daging ayam.
2. Biarkan mendidih sehingga daging ayam hampir empuk.
3. Masukkan betik muda, lada putih / hitam. Masak lagi selama 7 minit.
4. Masukkan garam / perasa pilihan dan daun kucai.
5. Tutup api dapur dan sedia dihidang panas bersama taburan bawang goreng.



Untuk menambat selera, kenalah kreativitikan olahannya termasuklah cara memotong betik muda. Sebenarnya betik muda yang digunakan dalam hidangan di atas Encik Suami beli yang sudah siap dipotong (disagat).

Tidak ketinggalan, Amie ambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih di atas ingatan NASYA - DARI DAPUR NASYA di atas kesudian memberikan award untuk Amie dan juga rakan-rakan blogger yang lain. Cute sungguh award yang dianugerahkan ini.... ! Semoga jalinan persahabatan di alam maya akan kekal berpanjangan ye Nasya.



Rajin-rajin masak ye Nasya, nanti kita boleh kongsi-kongsi resepi.  Award yang istimewa ini Amie sudah gantung di penjuru dapur untuk diabadikan sebagai tanda kenang-kenangan, walaupun tak pernah bersua muka tapi jalinan silaturrahim tetap wujud biarpun sekadar di alam maya.

Selasa, 29 Januari 2013

Award Persahabatan Daripada Dede Thea (Tentang Makanan)

Assalamualaikum.
Selamat pagi buat teman-teman pengunjung yang dihargai. Pagi ini dingin, hujan turun dan sudah semestinya matahari terlindung oleh awan kelabu. Namun suasana suram bertukar menjadi terang kerana rasa gembira mendapat titipan Award Persahabatan daripada seorang rakan yang turut memeriahkan dunia masakan dengan pelbagai hasil resepi yang enak-enak belaka. Untuk teman-teman pengunjung, Amie perkenalkan PAK DEDE THEA, empunya blog TENTANG MAKANAN. Pak Dede Thea sentiasa mengemaskini dapurnya dengan aneka resepi masakan Indonesia yang bisa membuatkan kita ngiler....@ terliur!


Terima kasih Pak Dede Thea atas ingatan tulus ikhlas itu. Moga persahabatan kita di alam maya dapat dimanfaatkan bersama demi memeriahkan dunia masakan tanahair yang luas tak bersempadan ini.

Ahad, 6 Mei 2012

The Writers Cooking: Really I Don't Know, Now You Know

Selamat berhujung minggu buat semua. Amie baru saja sampai ke Teluk Darvel setelah menyeberangi Laut China Selatan sejak tengah malam tadi. Tercungap-cungap keletihan mengangkut award dari rumah Shahriah Abdullah Novelis & Masterchef. Syukurlah tak tenggelam kelemasan di tengah laut. Tahniah buat Sha atas usahanya yang penuh dedikasi menjadikan beliau seorang chef sehingga berjaya menghasilkan buku masakan dan penulis novel yang prolifik. Pada pandangan Amie, Sha memang seorang wanita hebat, kuat semangat dan berdisiplin tinggi dalam melakukan apa juga perkara. Bukan mudah untuk menjadi seorang penulis jika tidak disertai dengan kerajinan dan kegigihan kerana bakat yang Allah anugerahi itu akan terpendam begitu sahaja sekiranya tidak diasah dengan penuh ketekunan serta bersungguh-sungguh. Sha sangat bijak mengurus masa untuk diri, anak-anak dan keluarganya. Untuk menjadi seorang wanita yang berjaya seperti Sha, banyak pengorbanan perlu dilakukan, terutamanya dari segi masa.... betul tak Sha? 


Rajin-rajinlah berkunjung ke beberapa buah rumah Sha DI SINI. Anda akan berkongsi banyak resepi di Di SINI. Celotehnya amat menghiburkan hati kerana ada sahaja bahan tulisannya yang mencuit rasa selain hidangannya yang pelbagai dan enak-enak belaka! Anda juga akan mengetahui perkembangan dunia penulisannya DI SINI, juga tentang hobi dan koleksinya di HOBI & KOLEKSIKU. Ada dua buah lagi blog beliau iaitu My World My Family My Destiny DI SINI dan Travel & Adventure Fun Vacations And Best Makan Sakan DI SINI.

Buat Sha,
Sama-samalah kita terus memeriahkan dunia masakan tanahair. Mudah-mudahan segala sajian yang pelbagai dapat dijadikan rujukan generasi masa kini dan generasi akan datang. Dalam dunia penulisan pula, sesungguhnya penulis itu jurubina bangsa. Teruskan usaha Sha dalam berkarya.

Moga Sha terus gembira dan senyum-senyum selalu. Tentu dia letih yang amat sangat melayan para peminat novelnya di tapak pameran buku Karangkraf! Semoga buku resepinya, Sajian Istimewa Shahriah Abdullah dan novel terkininya, Kerana Sebiji Epal serta novel-novelnya yang lain akan sentiasa laris di pasaran!

Ahad, 2 Oktober 2011

The Versatile Blogger

Terima kasih yang tidak terhingga buat rakan blogger yang sudi menganugerahi Amie The Versatile Blogger. Sayanggggg ketat-ketat buat:
Nuwairani Ismail @ Life Is Beautiful
Yana Shaiful @ Dunia Cinta Kami
dan Mieza @ When A Working Mother Cooks



Terima kasih banyak-banyak buat ketiga-tiga blogger tersayang di atas, dan di bawah ini Amie cuba sempurnakan tugasan yang diberi.

Seperti sebelum ini, award yang Amie terima datang dengan syarat tertentu. Walaubagaimanapun syarat yang disertakan bukanlah sesuatu yang membebankan, malah Amie anggap ini sebagai satu peluang untuk mengenali dengan lebih lanjut personaliti rakan-rakan blogger. Cuma, Amie harap apa yang akan Amie tuliskan nanti tidaklah merupakan ulangan tulisan yang lalu. Kita lihat senarai syarat-syarat yang dikenakan ke atas penerima award seperti di bawah ini:

1. Thank and link back the person who gave you this award
(Ucapkan terima kasih dan link balik kepada orang yang beri award ini)
2. Share 7 things about yourself on the post
(Kongsi 7 perkara mengenai anda)
3. Pass the award to fifteen bloggers that you think deserve it.
(Berikan kepada 15 bloggers yang anda rasa layak)
4. Lastly contact all the bloggers that you've picked for the award.
(Hubungi semua yang menerima)

Perkara 1 telah selesai Amie laksanakan.

Perkara ke 2..... marilah kongsi bersama kepada sesiapa yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang diri Amie. Apa yang Amie paparkan di sini bukanlah sesuatu yang istimewa tentang diri Amie, tetapi hanyalah sekadar coretan kenangan sahaja.....

Pertama:
Menurut ayah & bonda sewaktu Amie berumur 36 hari, nenda (bapa sebelah bonda) meninggal. Waktu itu Amie dalam pangkuan bonda yang sedang mengurut kaki nenda yang sedang nazak. Kononnya selepas itu Amie selalu mati (pengsan) sehinggalah umur Amie mencapai 4 tahun. Pernah sekali Amie 'mati' lebih lama dari biasa. Ayahanda membungkus Amie dengan kain sambil menangis dan berselawat membawa Amie mengelilingi rumah sebanyak 7 kali....... Bila Amie dewasa, Amie tanya kepada bonda:
Amie:      Pernah tak bawa saya ke hospital?
Bonda:    Tak pernah.
Amie:      Kalau di bawa ke hospital tentu doktor tahu saya sakit apa.
Bonda:    Manalah kami mampu bawa ke hospital....jauh sangat.
Amie:      Jadi setiap kali saya mati, mak buat apa?
Bonda:    Mak peluk sambil menangis.... (ini berdasarkan peristiwa pada waktu malam Amie 'mati' ketika menyusu bonda.)

Bila ayahanda & bonda mengenang kembali peristiwa yang sering membuat mereka dan kakak-kakak menangis, mereka akan berkata: Tak sangka Amie boleh hidup..... dan sehingga ke hari ini Amie & keluarga tak tahu kenapa Amie jadi begitu.... ada yang kata kena badi.... tak pastilah ye...

Kedua:
Sewaktu Amie masuk darjah 1, setiap petang ayahanda akan ambil Amie dari sekolah dengan menaiki basikal. Biasanya ayahanda akan mandi dan menunaikan solat Asar terlebih dahulu sekembalinya dari kebun sebelum mengayuh basikal sejauh 2 batu setengah dari rumah ke sekolah. Suatu hari, guru kelas menyuruh kami pulang awal (pukul 3 petang) kerana ada mesyuarat di sekolah. Amie berjalan kaki pulang ke rumah dan sesampainya di tangga, ayahanda baru selesai solat Asar untuk mengambil Amie.
Ayahanda: Baru nak pergi ambil, dah sampai rumah
Amie       : Cikgu suruh balik awal, ada mesyuarat di sekolah
Ayahanda: Oh....mesti penat jalan kaki....
Amie       : (Diam saja... tak menyahut, tapi pergi ke tempat bonda sedang duduk di bawah pokok memberi ayam makan)
Ayahanda: Tangkap ayam tu maknya....kita sembelih ayam hari ini untuk Mami....(panggilan keluarga untuk Amie)

Kebetulan di sisi bonda ada seekor ayam dara... dan secepat kilat bonda tangkap ayam itu. Petang itu kami sekeluarga makan sup ayam kampung. Bonda memang akan masak sup supaya mencukupi termasuk kuahnya untuk kami 9 beradik. Amie bukanlah dari keluarga yang senang, cara hidup orang kampung pada tahun 70-an.... makan ayam pun boleh dibilang dengan jari. Cuma waktu tertentu seperti hari raya dan kenduri sahaja dapat makan ayam.

Ketiga
Amie suka makan makanan yang sedap! Itu jawapan kalau seseorang suruh Amie sebut  makanan yang sedap. Macam tak jawab soalankan? Amie tak boleh kata makanan dari negeri itu atau negeri ini, makanan itu atau makanan ini kerana sesedap manapun makanan tersebut kalau cara pengolahannya tak kena, memang rasanya jadi tak sedap. Bagi Amie setiap makanan ada keunikan rasanya yang tersendiri. Sedap pada lidah kita, tidak semestinya sedap pada lidah orang. Apa pun Amie bukanlah jenis manusia yang cerewet tentang makanan. Asalkan halal, semua Amie boleh telan. Amie memang suka mencuba pelbagai makanan... itu sebabnya... he hehhh untuk tidak mengecilkan hati mana-mana pihak...Amie akan jawab: Amie suka makan makanan yang sedap! Dan bukannya makanan negeri itu, negeri ini dan sebagainya.... okey tak jawapan Amie?

Keempat
Ini kisah tepung pula. Kalau sesiapa perasan dalam blog masakan Amie ini jarang sangat ada kuih berasaskan tepung kecuali cekodok dan beberapa jenis yang mudah-mudah. Entah kenapa tangan Amie tak berapa gemar bermain dengan tepung. Agaknya semasa kecil dahulu sudah puas makan tepung. Apa tidaknya, ayahanda sediakan sekarung tepung setiap bulan. Setiap pagi sarapan tepung.... apam pisang, lempeng, jemput-jemput dan semualah yang berasaskan tepung. Bulan puasa pula emak dan kakak selalu larang Amie tolong buat kuih. Yang Amie dapat hanyalah kuih-kuih hangus yang disimpan untuk dimakan waktu buka puasa. Lagilah langsung tak berminat dengan dunia tepung kalau asyik dilarang menyentuhnya. Akhirnya Amie pun tak ada perasaan terhadap tepung.... makan karipap pun intinya saja Amie makan. Pergi Pizza Hut pun, bahagian tepungnya Amie buang! Betapa buruknya.... betapa teruknya....kalau nak buat jemput-jemput pun kena bubuh banyak-banyak aksesori! Akhir-akhir ini Amie mula insaf tentang kepentingan pengambilan tepung dalam diet harian..... sebenarnya sekarang ni dah mula berjinak-jinak dengan tepung! Kononnya nak masuk kelas buat kek....hi hi hiiiii

Kelima
Oleh kerana apa yang Amie tulis ini merupakan imbauan kenangan lalu, tentulah tonggang terbalik jadinya. Sekejap teringat itu, sekejap teringat ini.  Yang ini pula kisah sewaktu tinggal di asrama pada tahun 1987 ketika akan menduduki STPM. Kami ulangkaji untuk peperiksaan hingga lewat malam. Selain maggie dan biskut, tak adalah bahan makanan lain yang ada untuk dimakan. Kalau benda-benda ni dah habis, terpaksalah ikat perut sampai ke pagi menunggu sarapan. Suatu malam Amie ternampak kawan-kawan makan ikan bilis mentah.... rupanya mereka 'curi' dari dapur asrama sebab kelaparan. Malam berikutnya, Amie pun joint.... menyelusup masuk ke dapur asrama. Oleh kerana tempat tersebut gelap, kami raba-raba sajalah dan 'tangkap' mana yang dapat. Hasilnya... dapatlah sebiji tembikai....dan benda bulat yang kami sangka telur rupanya bawang besar! Kami pecahkan tembikai.... tapi isinya putih je....laaaa..... walaupun tak ada rasa, kami makan jugak.... ampunkan kami ya Allah kerana jadi pencuri! Tak cukup curi di dapur asrama, kamu curi sebiji durian yang gugur dari pokok (pokok orang) di tepi tempat jemuran pakaian. Tangan Amie yang kecil inilah yang bertanggungjawab menarik buah durian itu. Kami bawa masuk bilik. Oleh kerana tidak ada pisau, kami gunakan kunci pintu untuk membukanya. Adoyaiiii.......ada seulas je.... he hehehh...kami bagi-bagi seorang sedikit (ada 7 orang) semuanya yang telibat dengan kejadian makan durian seulas ini!
Keenam
Ini ringkas sahaja ceritanya. Amie sebenarnya seorang yang penakut pada suntikan. Kali pertama diberitahu oleh jururawat bahawa Amie akan disuntik kerana masalah sembelit sewaktu tinggal di asrama, Amie terus cabut lari tinggalkan bilik rawatan. Peristiwa ini berlaku di Hospital Tunku Ampuan Rahimah, Kelang pada tahun 1985 sewaktu Amie berada di Tingkatan 5. Peristiwa kedua berlaku pada tahun 1988 di Universiti Malaya. Kami dikehendaki mendapatkan suntikan Rubella di Dataran Sastera. Kami berbaris menunggu giliran, dan sewaktu kawan di depan Amie menyelak baju di bahagian bahunya untuk disuntik, Amie cepat-cepat meninggalkan tempat itu. Semasa membuat rawatan kandungan anak pertama, jururawat bertanya adakah Amie sudah mendapat suntikan tersebut, dan bila Amie jawab belum, Amie dinasihati supaya mendapatkannya selepas kelahiran anak pertama. Namun sehingga ke hari ini sebenarnya Amie tidak pernah mendapat suntikan Rubella! Memang teruk betul Amie ni ye....

Ketujuh
Cerita lain pula ni. Pernah baca The Little Mermaid atau The Little Sea Maid karya Hans Christian Anderson? Kisah-kisah dalam tulisan beliau sangat mempengaruhi jiwa Amie sebab karya-karyanyalah yang paling banyak Amie baca semasa kecil. Selain The Little Sea Mermaid, Amie sangat terharu membaca kisah The Little Match Girl. Bagaimanapun The Little Mermaid lebih dekat dengan jiwa Amie sebab Amie pernah jadi Little Mermaid pada 24 Julai 1988 tau! Bukan Little Mermaid yang menyelamatkan putera raja yang karam di lautan, tapi Amie jadi heroin menyelamatkan hero yang jatuh pengsan di Jalan Duta dan membawanya ke Hospital Besar Kuala Lumpur, dan bukannya meletakkan di atas pasir pantai sebagaimana yang dilakukan oleh Little Mermaid. Ini Little Mermaid darat ye... bukan laut punya! Walaupun peristiwa ini sudah lebih 23 tahun berlalu, tapi ia tetap menjadi kenangan seumur hidup....... agaknya selagi hayat dikandung badan.  Sebagaimana Little Mermaid dengan pengorbanannya,  hanya kepada Allah jua kupohon kebahagian hidupnya!

Selesailah sudah tugasa yang kedua. Sekarang menyusul pula tugasan ketiga iaitu memilih 15 blogger yang layak dipilih untuk menerima award. Amie sudah intai-intai blog kawan-kawan dan nampaknya ramai yang sudah terpilih dan senarai di bawah ini kalau ada yang sudah terpilih oleh blogger lain, Amie minta maaf ye.  Kita tengoklah siapa insan terpilih ini:

Nieza @ Our Jurney Begins
http://nurniezza.blogspot.com/

Mulut Payau @ Siratan Hidup
http://mulutpayau.blogspot.com/

Ummiross @ Salam Borneo
http://salamborneo.blogspot.com/

Papa Mifz

Mama Hawa/Mama Hani

Lady Ayu @ More Than Word
http://ladychenta.blogspot.com/

Wana Yusuf @ Potret Kasih
http://www.potretkasih.com/

Puteri Kasih


Ayu
http://curlybabesatisfaction.blogspot.com/

Sue@ Nenie @ Rencah Kehidupan
mailto:Sue@Nenie%20@%20Rencah%20Kehidupan

Kamariah Awang @ Matahati
http://matahati-kamariah.blogspot.com/

Kunang-Kunang @ Kerdipan Rohani
http://kerdipanrohani.blogspot.com/

Hanis MY
http://hanasakura-tomodachi.blogspot.com/

Ida, japan @ Happy Cooking Time
http://idaddapur.blogspot.com/

Ibundo @ Dapur Ibundo
http://resipiibundo.blogspot.com/

Rabu, 20 Julai 2011

Stylish Blogger Award Dari Mieza


Amie dah gantung award dari MIEZA.......


Malam ini Amie terbang melintasi Laut China Selatan dan selamat melepasi pintu imigresen di setiap lapangan terbang untuk kali yang kedua. Lepas....... tak kena cukai. Amie pun bawa pulang ke rumah award  dari Mieza dengan selamatnya. Terima kasih banyak-banyak dik Mieza atas ingatan pada  Kak Amie. Seronok dan teramat gembira kerana terasa diri dihargai sebagai seorang sahabat walapun hanya di alam maya........ mudah2an suatu hari nanti kita dapat berjumpa ye dik Miezaaaaa.....

Stylish Blogger Award Dari Wattie Home Made

Tengahari tadi sedang jenguk-jenguk dapur kawan-kawan, terjenguklah dapur Wattie Home Made. Wah, dapat award dari rumah Wattie..... terima kasih atas ingatan Wattie kepada Amie.




Dengan penuh rasa gembira Amie pun angkutlah award  ini dari rumah WATTIE HOME MADE. Nak bawa pulang, perjalanannya jauh. Jadi Amie siap tempah penerbangan terus menerus Boeing 747  Bayan Lepas -KlLIA, KLIA - KK, KK - Lahad Datu. Selamat dah sampai ke rumah. Terima kasih Wattie, semoga sentiasa menyumbang amal berkongsi resepi dalam alam maya. Makin banyak yang dikongsi makin mahirlah kita dalam dunia masakan ini. Meriahnya.....! Kepada rakan-rakan yang berminat, Amie alu-alukan supaya sudi ambil award ini, kita gantung sama-sama ye....

Selasa, 19 Julai 2011

Award Daripada Kak Rosaliza


Award ini Amie terima daripada Kak Rosaliza. Amie panjangkan untuk sesiapa yang berminat. Ambillah sebagai tanda persahabatan yang erat di alam maya serta perkongsian dunia masakan yang tiada sempadan dan batasan.

Ahad, 10 Julai 2011

Award Dan Tag


Assalamualaikum dan selamat petang semua. Petang Ahad begini tentu ramai yang sedang memanjakan  diri di hadapan televisyen, atau beraktiviti bersama keluarga, bersiar-siar anak beranak dan ramai juga yang ambil kesempatan untuk membeli-belah. Tak kurang juga sedang menghadap kain baju bertimbun minta disterika.... Hari ini Amie jalan-jalan sekejap ke rumah kawan-kawan dan sampai ke rumah Diana, dapat pula hadiah darinya. Amie pun bawalah  pulang hadiah dari Diana dengan gembiranya walaupun ada tugasan yang sedang menunggu. Tugasan itu tidaklah menyusahkan Amie malah Amie terima dengan hati yang terbuka kerana memberi peluang kepada Amie untuk lebih rapat dengan blogger yang lain. Amie dapat mengenali rakan-rakan secara lebih mendalam dan mereka pun tahu serba sedikit mengenai diri Amie. Amie hanya perlu senaraikan 7 perkara yang orang belum tahu tentang diri Amie. Okey... kawan-kawan, marilah duduk keliling Amie....dah mula nak berhikayat ni.... hehehhhhhee ... sebelum tu jangan lupa, minum dulu secawan kopi yang Amie sediakan di atas tu, kalau tak suka kopi boleh ambil secawan teh lemon di bawah ni, kalau tak minum teh lemon.... bukalah pintu dapur Amie, carilah mana yang boleh diminum ye...

7 PERKARA YANG ORANG BELUM TAHU TENTANG DIRI AMIE:

1. Amie dilahirkan pada 16 November 1968 ..... mana-mana yang terpanggil dirinya kakak tu, minta maaflah kalau Amie terlebih umur, di Bukit Cheraka, Jeram Selangor. Kiranya 7 tahun lebih tua dari Diana. Anak ke 6 daripada 9 beradik, 8 perempuan dan 1 lelaki. Semasa bersekolah tadika sangatlah penakutnya dengan semua orang sehingga bertukar ganti kakak-kakak menemani Amie. ..... Bonda berasal dari Bagan Datoh, Perak. Bonda berketurunan Jawa. Ayahanda pula dari Kampung Baru, Kuala Lumpur. Ayahanda berbahasa Jawa dengan kami tetapi bersama nenda dan adik-beradiknya yang lain beliau bertutur dalam bahasa Melayu, tapi semua cucu bonda tidak pandai berbahasa Jawa.

2. Amie suka minyak wangi. Minyak wangi pertama yang Amie terima datangnya dari seorang kawan yang sama-sama menuntut di UM. Sempena hari jadi Amie yang ke 20, dia (Roiza) hadiahkan sebotol minyak wangi Sweet Honesty. Minyak-minyak wangi berikutnya Amie terima dari kakak sulung Amie. Kakak ni selalu ke luar negara, tinggal di Brazil selama 4 tahun, di New York pun 4 tahun, Paris dan entah mana lagi. Amie tak ingat jenama apa yang diberi tapi baunya.... masya-Allah, memang pati minyak wangi, Amie belum pernah jumpa di sini. Memang kalau berjalan dengan kakak sulung ni, macam-macam minyak wangi dia sarankan. pernah sekali hari raya Amie balik semenanjung, berbotol-botol minyak wangi dia bekalkan sampai ada yang tumpah dalam beg bagasi! Amie suka minyak wangi Elizabeth Arden, Green Pastel dan sebenarnya tidak semua jenis minyak wangi yang Amie suka. Amie hanya memilih minyak wangi yang lembut, ada bau tumbuhan, aroma lemon dan bunga-bungaan segar. Banyak jenis Amie pakai sampai tak ingat namanya. Yang terkini keluaran Avon: Today, Tomorror, Always: Diamond. Yang pasti....minyak wangi hanya Amie semburkan sekali sahaja..... waktu badan & pakaian dalam keadaan bersih, dan tidak berlebihan! ...... dan bilik Amie pun sentiasa wangi, bukan sahaja di rumah tapi juga di sekolah...... bukan kerana minyak wangi tapi sentiasa ada penyegar udara......Ooooooohhhhh panjangnya kisah minyak wangi! Jom .....cerita yang ketiga pulak....

3. Amie suka mencuba pelbagai jenis makanan asalkan halal, tolak batu & kayu. Rakan-rakan pun tak segan nak hulur makanan kepada Amie sebab Amie tak pernah tolak. Kalau banyak, bukan Amie seorang yang makan, tapi Amie bahagi-bahagikan. Jiran-jiran pun suka bagi makanan. Rugi tau kalau asyik  pilih makanan sebab kadang-kadang makanan tu sedap, kita tak mahu cuba! Dulu... waktu mula-mula sampai Sabah memang Amie tak berani nak makan dan beli makanan yang Amie tak pernah makan. Lama-lama, tambahan pula selepas kahwin, Amie dapat mengenali pelbagai jenis makanan tradisi di sini termasuklah makanan tradisi Bajau, Bugis, Idahan, Cocos, Timor, Bisaya, Visayah, Tator, Suluk, Buton .....macam-macam lagi! Kebetulan bapa mentua Amie bekas tukang masak pengurus ladang tembakau zaman pentadbiran British dulu. Banyaklah resepi barat yang beliau suka masak terutamanya lamb chop! Arwah mak mentua pula memang bekas ketua komiti kampung, dan merupakan ketua masak semasa kenduri-kendara. Banyak resepi beliau yang Amie sempat pelajari kecuali roti, kek dan yang berkaitan tepung! Itu memang memang Amie akui...... keras tangan! Pasal makan-makan ni ada tapinya tau...... ada tapinya ni... ... tak boleh makan telur penyu! Peristiwa ini berlaku pada tahun 1998.... waktu mengandung anak kedua. Belum masuk makanan lain, bangun tidur sarapan telur penyu.... entah berapa biji masuk perut,   tiba-tiba rasa mual.....uwwekkkk... muntah! Hiiiii..... tak mahu ceritalah! Sebenarnya sebelum itu memang makan telur penyu, dan sesudah peristiwa itu sehingga ke hari ini tak mahu pandang lagi telur penyu!

4. Ya... Allah! Panjangnya Amie bercerita ni! Okey ....tentang kemalangan macam Diana yang kena jahit itu, Amie ada cerita juga tentang kemalangan ni. Kemalangan pertama semasa di asrama  UM Seksyen 17 di Petaling Jaya tahun 1989. Amie lambat bangun pagi, semua kawan sudah pergi kuliah. Amie kelam kabut mandi kerana tandas licin, kaki Amie termasuk dalam lubang tandas yang sememangnya sumbing.... aduh!!! sakitnya Tuhan saja yang tahu......habis terluka sampai nampak isi tulang atas buku lali, ada kesannya sampai sekarang! Waktu itu hanya pada penyelia asrama sahaja Amie boleh minta tolong.... lupa dah namanya, handsome orangnya.....he hehehhh romantiknya! Dia papah kita dari tingkat 4 menuruni tangga, angkat bawa masuk kereta dan dibawa ke Klinik Pelajar UM. Kebetulan semasa dia tolak Amie gunakan kerusi roda, ramai pelajar UM pandang-pandang! Selepas itu timbul gossip.... itu boyfriend Amie, itu tunang Amie dan ada yang kata itu suami Amie! Hiii hiiiii.... apalah nama abang tu, dah tak ingat! Dia hantar Amie sampai ke bilik asrama, dan selepas itu segalanya hanya tinggal kenangan..... perasan jugalah masa tu! Kemalangan kedua, bersama suami dan anak sulung semasa ikut suami ke tempat kerjanya di Bukit Silam pada tahun 1996 dengan menaiki lori pick-up. Kereta Telekom Malaysia langgar kami dari depan. Suami sihat tak cedera, kulit kepala anak terkopek sikit. Pipi Amie terpaksa menerima 7 jahitan!...ooooh tak mahu ingat lagi! Dan ada satu lagi kemalangan yang tak mungkin dapat Amie lupakan. Semasa cuti semester, Amie balik kampung dan jatu h dari pokok jambu. Oleh kerana kepala Amie yang jatuh dahulu, rasanya macam dah nak mati sebab tengkuk Amie rasa terlipat, dan tak boleh bernafas! Amie dikejarkan ke Hospital Tanjung Karang. Ingat lagi...waktu Maghrib Amie kena x-ray sebanyak 4 kali, takut ada tulang yang patah. Doktor lelaki yang memeriksa Amie bertanya:
-  Sudah makan jambu? (alamak .... siapa yang bagi tahu Amie panjat pokok jambu ni?)
+ Sudah.
-  Makan di mana?
Atas pokok. (malunya......dengan jawapan sendiri. Doktor tadi senyum-senyum saja)
Teringat semasa di perkarangan hospital, pekerja hospital datang dengan troli untuk mengusung Amie masuk ke bilik rawatan.... sayup-sayup kedengaran suara.....ada anak dara jatuh pokok jambu!...... semuanya sudah 22 tahun berlalu!

5. Mungkin ramai yang tak tahu Amie suka menulis. Karya pertama Amie terbit dalam majalah Salina pada tahun 1988 bertajuk Sekuntum Bunga Kenangan. Puisi pertama Amie disiarkan dalam Berita Harian pada tahun 1989, bertajuk Harga Sebuah Puisi. Amie suka menulis tapi tidak ada disiplin yang ketat. Sekali-sekala saja hantar ke penerbitan. Cerpen terakhir ialah Nasi Lemak Buah Bidara, terbitan majalah Tunas Cipta tahun 2004. Puisi terakhir disiarkan di Daily Express pada tahun 2003 berjudul Cerita Ombak Kepada Pantai. Ada juga menghasilkan novel, yang pertama Menumpang Kasih Mengharap Sayang terbitan Marwilis Publisher tahun 1991 dan terakhir novel Teritip terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur terbitan tahun 2007 dan ulang cetak tahun 2009. Novel ini berlatarbelakangkan sejarah masyarakat Cocos di bawah pentadbiran British, dan mendapat hadiah penghargaan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah Sempena 40 Tahun Sabah Merdeka Melalui Malaysia.  Novel ini memang Amie dedikasikan khas buat anak-anak Amie supaya mereka tahu sejarah asal-usul keturunan mereka. Beberapa tahun kebelakangan ini Amie tidak mampu menulis ..... bukan tidak ada idea tetapi komitmen terhadap tugas lebih diutamakan. bagaimanapun menulis memang salah satu 'makanan' dalam hidup Amie....
6. Amie sebenarnya kuat menangis! Bukan menangis kuat-kuat tapi pantang hati tersentuh... tapi bukan jenis yang suka merajuk tau!  Apa pun taklah sampai meraung-raung. Pakcik Amie kata hati Amie pendek. Pendek? Amie tabah orangnya tapi tak boleh dipisahkan dengan air mata! Kalau sedang menonton televisyen kisah sedih, memang Amie tak suka diganggu sebab Amie benar-benar sedang menghayati cerita itu. Rasanya airmata Amie banyak tumpah waktu petang, waktu masak sambil mendengar Rancangan ADILA. Bila menghayati kisah-kisah dalam ADILA....cukuplah! Tak perlu hantar coretan...... terasa kisah yang diperdengarkan pun sebahagian daripada kisah hidup kita! Satu lagi.... melalui program Jejak Kasih, Amie bersama rakan-rakan guru akan mengunjungi rumah anak-anak murid yang bermasalah, miskin dan sebagainya. Memang.... waktu sampai ke rumah mereka, bertemu keluarga murid tersebut.... Amie biasa-biasa saja, tapi....airmata itu tiba-tiba tumpah semasa memandu dalam perjalanan pulang ke rumah! Dan yang terakhir....
7.  Amie sangat suka membaca. Ada sebuah perpustakaan kecil di rumah Amie......anak-anak sepakat menamakannya sebagai Pustaka Bonda. Penuh dengan pelbagai bahan bacaan ilmiah, majalah dan buku cerita. Kalau Amie suka baca sesebuah buku, Amie akan ulang baca beberapa kali terutamanya novel seperti Magdalena, terjemahan oleh  Mustapha Lufti Al-Manfaluthi dari penulis asalnya iaitu Alphonse Karr pada tahun 1832 yang berjudul Sos Les Tilleuls atau Di Bawah Naungan Pohon-Pohon Tilia. Amie juga mengumpul koleksi tulisan HAMKA dan sangat menyenangi tulisan beliau dalam Kitab Tafsir Al-Azhar. Amie pun berminat dengan tulisan Pramoedya Ananta Toer, dan memang mempunyai koleksi tulisan beliau. Tidak ketinggalan juga koleksi buku cerita kegemaran Amie tulisan Enid Blyton....,dan  Hans Christian Anderson.  Semuanya Amie baca sewaktu di sekolah rendah, dan sekarang Amie buatkan koleksi untuk anak-anak pula!...


Di antara koleksi buku di Pustaka Bonda, terselit novel Teritip di hujung tu....

Nampaknya Amie telah melaksanakan tugasan dengan sebaiknya, jadi dengan penuh semangat setiakawan, (minta maaf kalau sudah ada yang kena tag, sebab Amie mungkin terlepas pandang! Amie senaraikan 5 nama yang terpilih melalui cabutan bertuah di bawah ini untuk menerima Beautiful Blogger Award!

 Ida

Okey.... Diana, sekarang Kak Amie bolehlah angkut award tu bawa balik ye. Kepada rakan-rakan yang tersenarai di atas, selamat menjalankan tugas!

Jumaat, 10 Jun 2011

Award Daripada Home Sweet Home

Award ini datangnya daripada Kak Ummie di http://ummizaihadi.blogspot.com/. Kak Ummie, bagi Amie merupakan seorang Srikandi Dunia Masakan Maya kerana komitmen dan sumbangannya yang begitu menyerlah, biarpun beliau sebenarnya wanita berkerjaya namun sentiasa bijak membahagikan masa untuk pelbagai aktiviti. Award ini juga diberikan untuk menghargai pengikut Kak Ummie yang mencecah 3,000 orang. Tahniah Kak Ummie!


Teruskan usaha murni Kak Ummie, janganlah undur diri yea... masak tetap masak, hari-hari kena masak, sebab hari-hari nak makan... he ehehh.... yang penting teruskan perjuangan memeriahkan dunia masakan tanahair kita!

Rabu, 8 Jun 2011

Follower Award Daripada Sue

Award pembakar semangat untuk meneruskan perjuangan sebagai blogger ini datangnya daripada Sue di http://sue-hasue.blogspot.com/ sempena penghargaannya kepada  followernya yang telah mencecah angka lebih 1,000.


Semoga Sue akan terus menghasilkan pelbagai paparan yang bermanfaat untuk semua pengunjung blognya. Tahniah!

Ahad, 22 Mei 2011

Award Daripada Story of Mama


Terima kasih mama nor@noorsafone


Sahabat mayaku ini hobinya menjahit, memasak dan menghasilkan kraftangan. Hebatnya, cukup serba serbi sebagai seorang wanita, isteri dan ibu. Suka sangat tengok 3 anak dara mama nor@noorsafone... comel2 belaka. Moga-moga jalinan persahabatan kita akan berkekalan.... ye mama nor...

Award Daripada Sweet Memories


Terima kasih Syarifah Nadzarah

Mudah-mudahan persahabatan kita bertambah erat walaupun hanya di alam maya. Ibu kepada tiga anak ini suka sangat masak... Amie pun ada tiga anak juga ye... Marilah sama-sama berkelahi dengan periuk belanga di dapur setiap hari... lepas tu upload hasilnya dalam blog kita ye...

Award Daripada Dapur CT (DDCT)


Terima kasih Ct Delima
Gold Card DDCT ini untuk VVIP ....., kata Ct semua follower dalam blognya adalah VVIP dan suka sangat dengan motto DDCT:

ANYONE CAN COOK!

he he he... sebab semua orang memang perlu makan ye Ct...! Tahniahlah, sebab nampak usaha Ct yang begitu bersungguh-sungguh menyemarakkan dunia masakan tanahair....

Award Daripada Cahaya Azyla

Terima kasih Cahaya Azyla


Semoga segala impian Cahaya Azyla akan tercapai untuk menjadi seperti:

Siti Khadijah yang begitu agung cinta pada Allah dan Rsulullah,
ingin didik jiwa seperti Siti Aishah,
ingin berkorban seperti Siti Fatimah,
ingin sesabar Siti Sarah dan
ingin setabah Nabi Ismal.

Insya-Allah mudah-mudahan akan tercapai segala cita-cita murnimu itu. Amin.

Khamis, 19 Mei 2011

Follower Award

Khas  kepada semua pengunjung, terutama untuk pengikut Amie's Little Kitchen, Amie ingin kongsi bersama rasa gembira  mendapat teman di alam maya. Jadi Amie sediakan Follower Award yang tidak sepertinya ini untuk anda semua. Tiada sebarang syarat yang dikenakan untuk mengambilnya. Hanya, sudi dan ikhlas. Itu sahaja. Terima kasih kerana menjadi rakan Amie.


Tanpa anda semua siapalah Amie. Salam sayang untuk semua!