ADSENSE

Jumaat, 8 Jun 2018

Nasi Minyak & Rendang Daging

Tiba-tiba rasa sedih dan sayu.
Dulu, meriah sungguh dunia masakan dengan kemunculan food bloggers!
Kami saling berkunjungan, bertukar-tukar resepi, mencuba resepi baru dan berkongsi di dapur maya.
Akhirnya, satu demi satu dapur kawan-kawan menjadi sepi!
Dapur kita pun dapat tempiasnya juga!
Makin bersawang, dan kurang berseri!
Apakah sebabnya?
Adakah disebabkan kekangan waktu oleh tugas yang lebih menuntut masa?
Adakah sudah ketandusan idea?
Adakah sudah ketandusan resepi?
Mungkinkah disebabkan gambar-gambar kami asyik dicuri oleh mereka yang tidak bertanggungjawab?
Atau juga entri-entri kami secara automatik terus masuk ke dalam blog ciptaan 'pencuri' maya untuk tujuan menjana pendapatan?
Amie : Masih meneruskan perjuangan memeriahkan dunia masakan walaupun tidak serancak tahun-tahun sebelumnya.
Kawan-kawan: Marilah teruskan masak-masak, agar daku tidak merasa kesepian di dapur maya ini. 

Nampaknya mood menulis masih bersisa, jadi Amie teruskan kongsi resepi Nasi Minyak & Rendang Daging yang Amie masak beberapa hari lepas. Masakan ini Amie bawa ke kampung, sebagai juadah berbuka puasa beramai-ramai keluarga sebelah Encik Suami.

Dulu Amie suka masak nasi beraroma dengan cara kukus. Sekarang, Amie masak gunakan rice cooker sahaja. Kali ini Amie masak lebih kurang 1.5 kg beras bashmati dan dalam anggaran 8 cawan. Bahannya pun ringkas sahaja, mana yang ada di dapur dan yang penting penggunaan minyak sapi serta rempah-rempahan.

Resipi: Nasi Minyak
Bahan-bahan:
8 cawan beras bashmati - cuci dan rendam selama 20 minit
6 cawan air
2 cawan susu cair
3 helai daun pandan - siat dan simpul
1/2 cawan kismis
1 cawan kacang gajus - sudah digoreng
3/4 cawan minyak sapi
2 sudu besar mentega
4 sudu besar stok ayam pekat - boleh gantikan dengan perencah / kiub ayam / bahan perasa lain

Bahan hiris:
3 ulas bawang putih
2 labu bawang besar
2 cm halia

Bahan rempah penumis:
2 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih
5 biji buah pelaga

Cara:
1. Panaskan minyak sapi dan mentega di dalam rice cooker.
2. Goreng bahan hiris hingga kekuningan dan kemudian masukkan bahan rempah. Tumis sehingga terbit aroma.
3. Masukkan daun pandan, kismis dan kacang gajus serta stok ayam pekat.
4. Tambahkan air dan susu cair. Biarkan mendidih.
5. Kemudian masukkan beras bashmati. Kacau sekali dua dan tutup rice cooker.
6. Jangan buka penutup rice cooker sehingga nasi masak.

Jika suka, boleh tambahkan dua -3 sudu besar air mawar, dan jus limau nipis ke dalam masakan.


Kalau tak mahu masukkan kismis dan kacang gajus sekali harung dalam rice cooker, bolehlah taburkan sebagai hiasan sewaktu menghidang.

Mudah sahajakan cara memasak Nasi Minyak?

Amie gandingkan Nasi Minyak dengan Rendang Daging. Rendang Daging ini Amie ubahsuai mengikut citarasa. Amie gunakan banyak bawang besar di dalam masakan ini. Sebelum ini Amie pernah mencuba resepi rendang daging menggunakan 500 gram bawang merah untuk 1 kg daging. Kali ini Amie gunakan 500 gram bawang besar dan 250 gram bawang merah untuk 1.5kg daging.

Resipi : Rendang Daging
Bahan-bahan:
1.5 kg daging No 1 - potong dadu selebar 3 cm
5 cawan santan pekat
5 cawan santan cair
1 cawan kerisik
3 helai daun kunyit - hiris halus
1/2 cawan gula melaka - ikut citarasa
garam  / perasa pilihan secukupnya

Bahan kisar:
5 batang serai
7 ulas bawang putih
35 tangkai cili kering
25 biji cili padi
250 gram bawang merah
500 gram bawang besar

Cara:
1. Masukkan kesemua bahan ke dalam kuali / periuk kecuali garam / perasa pilihan.
2. Jerang di atas dapur dengan menggunakan api sederhana. 
3. Sentiasa kacau bahan masakan.
4. Apabila kuah menjadi pekat, taburkan hirisan daun kunyit, garam  / perasa pilihan secukupnya.
5. Padamkan api dapur.


Inilah rupa rendang daging olahan Amie. Sedap tau! Pastikan gunakan santan segar, dan kerisik buatan sendiri. 


Kalau nak rendang lebih kering, kenalah masak lebih lama sikit. Amie suka yang basah-basah begini.

Seperti biasa, kalau dah ada nasi minyak dan rendang daging, memang perlu yang agak masam sikit sebegai pelangkap. Amie sediakan juga acar timun, campur sengkuang, lobak merah dan nanas. Amie buat ikut gaya orang Sabah, bubuh kacang tanah tumbuk dan telur rebus. Jom tengok resepinya di bawah ini.

Bahan-bahan hiris:
1/2 kg timun 
1 batang lobak merah
1/2 kg sengkuang
1 kg nanas - sudah dikupas, buang kulit dan batang, jadi 1/2 kg juga
3 biji cili hijau
3 biji cili merah
3 labu bawang besar

Bahan lain:
3 biji telur rebus - hiris nipis
1 cawan kacang tanah - goreng - tumbuk kasar
garam / gula  secukupnya
cuka / jus limau nipis

Cara:
1. Campurkan kesemua bahan hiris dalam sebuah bekas.
2. Tambahkan garam, gula, cuka atau jus limau nipis secukupnya.
3. Masukkan telur rebus, dan hancurkan kuning telur.
4. Akhir sekali, gaulkan bersama kacang tanah tumbuk.


4 ulasan:

Puan Hazel berkata...

Pucuk dicita ulam mendatang k.Amie...tgh plan utk buat nasi minyak raya ni. Nak try resepi akak ni insha Allah.


Teruskan berkarya k.amie...sy setia follow & ziarah blog akak ni :)

Amie berkata...

Puan Hazel,
terima kasih sudi berkunjung. Silakan mencuba resepi nasi minyak, boleh tokoh tambah dengan bahan yang digemari.

aprilia berkata...

Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Apakah Anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website kami http://kbagi.com/ untuk info selengkapnya.
Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)

wira berkata...

mohon nak try resepi puan