ADSENSE

Jumaat, 8 Jun 2018

Ikan Susu (milkfish) Bakar & Sup Kaki Ayam dengan Betik

Cerita hari ini.
Menu berbuka puasa : Ikan Susu Bakar & Sup Kaki Ayam dengan Betik.
Agak lama tak masak ikan susu @ bolu @ bangos.
Kali ini Amie panggang / bakar ikan susu.
Mula-mula nak bakar 2 ekor (1 kg), tapi takut tak habis pula, sebab Fairuz berbuka di luar bersama guru tuisyennya. Amie bakar 1 ekor saja. Bahan yang Amie gunakan untuk diperap bersama ikan susu sebelum dibakar ini Amie ikut cara jiran sebelah rumah.


Resepi : Ikan Susu Bakar
Bahan-bahan:
1 ekor ikan susu seberat 500 gram - bersihkan dan potong 2
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu kecil garam
1 sudu besar minyak

Bahan tumbuk:
2 ulas bawang putih
2 cm halia
1 sudu kecil lada putih



Cara:
1. Lumur ikan susu bersama bahan tumbuk, serbuk kunyit dan garam. 
2. Renjiskan minyak dan ratakan pada keseluruhan ikan. Biarkan seketika.
3. Panggang atau bakar hingga masak di dalam kuali ajaib atau mana-mana tempat pemanggang yang sesuai.
4. Hidangkan bersama air asam atau kicap lada yang disukai.

Seperti biasa, memang jarang sangat Amie tak masak sup!
Sup kali ini ialah Sup Kaki Ayam dengan Betik. Ada lebihan betik yang Amie masak kelmarin. Simpan lebihan betik mengkal dalam peti sejuk (kalau nak masak lagi) supaya betik tak jadi masak atau ranum! Kelmarin masak sup juga, tapi betik campur jagung, kentang, fish ball dan taufu. Manis-manis rasa betik dan jagung manis serta pedas-pedas manja lada putih itulah yang membuka selera! Oh! Itu cerita kelmarin. Kita cerita sup hari ini pulak.

Resipi: Sup Kaki Ayam dengan Betik
Bahan-bahan:
500 gram kaki ayam - bersihkan dan potong 2
1/2 biji betik mengkal saiz kecil - kupas kulit - dan potong ikut suka
3 biji kentang saiz sederhana - kupas kulit dan belah 2
1 labu bawang besar - belah 4
3 ulas bawang putih - belah 2
1 batang serai - dititik
3 cm halia muda - hiris halus
1 sudu kecil lada putih - tumbuk
1.5 liter air
garam / gula / perasa pilihan secukupnya

Cara:
1. Jerang air di dalam periuk.
2. Masukkan kaki ayam, bawang besar, bawang putih, serai dan halia muda.
3. Masak sehingga mendidih, dan biarkan selama 10 minit kemudian kecilkan api.
4. Masukkan betik dan kentang. Tutup periuk. Renih sehingga kaki ayam dan kentang serta betik empuk.
5. Buka tutup periuk, tambahkan lada putih, garam / gula / perasa pilihan.
6. Kacau beberapa kali dan tutup periuk.
7. Padamkan api dapur.

Tiada ulasan: