ADSENSE

Isnin, 28 Mei 2018

Rendang Daging

Jumpa lagi.
Ramadhan ke-11.
Sekolah kami cuti. 
Cuti seminggu di negeri Sabah!
Cuti sempena Tadau Kaamatan dan Hari Gawai.
Hari ini merajinkan diri turun ke dapur, mengumpul bahan untuk mengolah rendang.
Rendang yang Amie masak kali ini memang sungguh istimewa bagi Amie. Maklumlah, bertahun lamanya teringat keenakan rendang hasil air tangan rakan baik semasa bertugas di SMKS. Kalau tak silap, 15 atau 16 tahun lalu (2002-2003) berkunjung ke rumah rakan tadi, sempena sambutan hari raya. Antara hidangan yang disajikan termasuklah rendang dengan nasi himpit. Sedap sungguh rendang daging tu! Selalu teringat-ingat keenakannya, dan sudah pastinya aroma daun kunyit, serta rasa rendang yang cukup rasa itulah yang selalu menggamit kenangan! 2006, Amie berpindah tempat tugas, dan selepas itu kami terpisah namun beberapa tahun kemudian bertemu kembali di alam maya.
Kita cerita tentang rendang dulu, nanti kita sambung kisah pertemuan yang sungguh tak diduga terjadi dalam hidup kami!

Minta maaf : Gambar tak berapa terang. Hari ini mendung sepanjang hari, cahaya matahari langsung tak ada. Jadi gambar pun nampak kelam-kelam saja. Tambahan pula ambil gambar ketika senja menjelma, menanti waktu berbuka puasa.
Sebenarnya banyak versi rendang daging. Ada yang asli, dan ada yang ditokok tambah dengan bahan tertentu mengikut citarasa masing-masing. Amie pernah kongsikan asal-usul rendang DI SINI.
Khabarnya rendang berasal dari Sumatera dan  Rendang Sumatera Barat telah dinobatkan sebagai hidangan peringkat pertama dalam daftar World's 50 Most Delicious Foods (50 Hidangan Terlazat Dunia) oleh CNN International pada tahun 2011. Sebelum itu pada tahun 1987, Burger King pernah membuat Rendang Burger.
Resepi Rendang Daging yang Salawati kongsikan ini sebenarnya menjurus kepada penggunaan bahan asas atau bahan wajib ada seperti santan, serai, halia, lengkuas, bawang putih, bawang merah dan lada. Memang Amie suka makan rendang begini. Selain rasanya yang enak, ramuan atau perencah dari sumber alam yang segar turut memainkan peranan melazatkan lagi hidangan ini.
Terima kasih daun keladi gajah buat rakan baik Amie, Salawati Ishak yang sudi berkongsi resepi Rendang Daging yang sungguh sedap! Di sini Amie panjangkan resepinya.

Bahan-bahan:
1 kg daging - potong ikut citarasa 
1/2 kg santan
3 sudu besar kerisik
6 helai daun kunyit - dihiris
2 cm lengkuas - diketuk
garam / gula melaka / ajinomoto (perasa pilihan)

Bahan kisar:
6 ulas bawang putih
8 biji bawang merah
1 cm halia
1 cm kunyit hidup
25 tangkai cili kering
15 biji cili api
4 batang serai - dihiris

Cara:
1. Masukkan daging dalam periuk / kuali.
2. Tambahkan semua bahan kisar.
3. Tuangkan santan
4. Masak bahan dengan api besar sehingga mendidih dan kemudian perlahankan api.
5. Masukkan gula melaka dan kerisik, garam / ajinomoto (perasa pilihan) secukupnya.
6. Kacau sekali-sekala supaya rendang tidak hangus.
7. Apabila kuah mulai mengering, masukkan hirisan daun kunyit.
8. Jika suka rendang yang agak basah, tidak perlu tunggu sehingga kuah kering.
9. Padamkan api dapur.

Sebaiknya gunakan santan kelapa segar. Biasanya Amie beli kelapa parut, dan kisar dengan air.... he he hee tak perlu keluarkan tenaga perah santan dengan tangan! Jangan lupa cili api! Cili api kalau bertemu dengan santan, memang rasanya boleh buat juling mata sebab sangat sedap....hiks!
Ringkas sahaja masakan ini kan? Bahannya pun tak banyak, tak perlu rempah-rempahan lain. 

Alhamdulillah.
Petang tadi sempat sediakan juadah berbuka puasa, masak nasi minyak, acar timun dan digandingkan dengan rendang daging resepi Salawati. Sewaktu entri ini ditulis, anak-anak dan Encik Suami masuk dapur. Terbau aroma nasi minyak dan bunyi kelentang-kelentung! Nak jengok kejap ye... apa anak beranak sedang buat tu!
Rupanya mereka sedang mengulang makan! Petang tadi sewaktu berbuka puasa, katanya makan sedikit saja, takut tak larat solat terawih!
Encik Suami kata, boleh tak Amie masakkan menu sama seperti hari ini untuk dibawa ke kampung sempena malam ketupat pada Ramadhan ke-15 nanti. Amie kata, boleh saja. Bukannya susah pun nak masak begini.

Ini nasi minyak yang Amie masak. Tak payahlah kongsi resepi ye. Boleh tengok bawah tudung saji label Aneka Hidangan Nasi di sebelah tu...ahaks!

Acar timun ini sudah menjadi kegemaran Encik Suami. Seperti biasa Amie gunakan jus limau kasturi, dan tambahkan udang kering.

Seperti biasa Encik Suami memang akan membeli sejenis dua kuih untuk berbuka puasa. Petang tadi dibawanya pulang pulut panggang, wajik dan kuih kasui.

Wokey... nak sambung cerita tentang kami : Amie dan Salawati.


Setelah berbelas tahun terpisah, Amie di Sabah, Salawati di Perak, kami bertemu buat kali pertamanya dalam kembara ke Turki pada Mac 2017. Sudah tentunya Amie ambil kesempatan beritahu Salawati tentang kenangan betapa sedapnya masakan rendang daging yang dihidangkannya dahulu! Salawati ketawa-ketawa saja...hiks!

 Jodoh kami panjang, dapat bersama lagi ketika bercuti ke Perth pada Ogos 2017.

Sekali lagi kami bersama kembali pada Mac 2018 ketika kembara ke Kashmir.
Balik dari Kashmir, Amie minta resepi rendang dagingnya, dan hari ini baru berkesempatan untuk memasaknya.
Moga persahabatan kita kekal selamanya.
Mudah-mudahan kita dapat mengembara bersama lagi ye Salawati.

2 ulasan:

notie berkata...

Malam ketupat? wah tak pernah dengar ni. Boleh lah cerita apa itu malam ketupat. Macam menyambut raya dulu sebelum raya sebenar.

Bagusnya kalau dapat bersilaturahim dengan kawan yang baik dan begitu memahami apa lagi geng travel yang sekepala kan. Sambil syok berehat di negara orang sambil kita berjimba dengan kawan walaupun hanya seketika. Semuga ukhwah berpanjangan. Aamiin

Amie berkata...

Notie,
malam ketupat merupakan malam Ramadhan ke-15, ia merupakan tradisi masyarakat Melayu Cocos. Mereka akan bertukar-tukar ketupat di masjid selepas solat terawih. Tradisi ini masih diamalkan dalam kalangan masyarakat Melayu Cocos di tempat kami (sebelah Encik Suami).