ADSENSE

Khamis, 3 Mei 2018

Peria Tumis Udang Kering, Ikan Sulig Goreng, Sup Kaki Ayam & Sambal Kicap

Fairuz tidak pulang ke rumah, sebaliknya terus berada di sekolah menghadiri kelas tambahan sehingga petang. Encik Suami pula kelam kabut meninggalkan rumah untuk ke tempat kerja. Ada urusan yang hendak diselesaikan segera, katanya. Amie pun tercengang-cengang di dapur! Biasanya Amie yang kelam kabut masak, hidangkan makan tengahari seadanya, kemudian Encik Suami akan hantar Fairuz ke kelas tambahan, dan terus ke tempat kerjanya! 
Hari ini terbalik pulak!
Apa pun Amie terus menyiapkan masakan di dapur.  Oleh kerana tidak ada siapa yang akan makan buat masa terdekat ini, Amie pun merenih kaki ayam dengan bahan-bahan lain untuk dijadikan hidangan berkuah, menggoreng ikan, menyiapkan bahan untuk menumis sayur peria dan membancuh sambal dengan kicap sebagai pelengkap hidangan.
Akhirnya Amie makan di dapur seorang diri!

Biasanya kalau hidangan seperti ini kami nikmati bersama, memang menitik peluh di dahi Encik Suami! Apa tidaknya, sambil menghirup kuah sup yang masih panas, cecah ikan goreng dengan sambal kicap pula!

Amie goreng ikan sulig. Amie hanya perap seketika dengan garam dan serbuk kunyit sahaja. Ikan ini memang ikan kegemaran keluarga Encik Suami! Sebelum ini banyak kali juga Amie kongsikan rupa bentuk ikan sulig ini.

 Arwah mak mertua panggil ikan buntut kuning!


Ada orang panggil ikan Jepun!
Isinya penuh, sedap kalau digoreng atau dibuat masak sambal!

Ini Peria Tumis Udang Kering. Walaupun ia masakan biasa, Amie paparkan juga resepinya di sini. Kalau rajin, tumbuklah bawang merah bersama bawang putih, udang kering dan cili, tapi Amie hanya hiris sahaja kecuali udang kering Amie tumbuk bersama bawang putih. Amie gunakan bawang besar sebab nak jimat masa mengupas bawang merah....hiks!

Bahan-bahan:
300 gram peria - belah 2 dan buang biji - hiris nipis
2 biji cili merah - hiris nipis
1 labu bawang besar - mayang nipis
4 sudu besar minyak
garam / gula / perasa pilihan secukupnya

Bahan tumbuk kasar:
3 ulas bawang putih
2 sudu besar udang kering - rendam hingga lembut

Cara:
1. Panaskan minyak. Masukkan bawang besar dan goreng hingga kekuningan.
2. Masukkan bahan tumbuk dan cili merah. Tumis sehingga naik bau.
3. Kemudian masukkan peria. Kacau sehingga peria berubah warna, dan menjadi layu.
4. Perasakan dengan  garam / gula / perasa pilihan secukupnya.
5. Padamkan api dapur.

Dan Sup Kaki Ayam nih.... sup campak-campak bahan saja asalkan hidangan tengahari kami ada kuah!

Bahan-bahan:
400 gram kaki ayam - bersihkan dan potong ikut citarasa
3 kuntum cendawan shiitake - rendam hingga lembut - kemudian belah dua
10 biji kurma merah
2 kuntum white fungus - rendam hingga kembang - carik-carik
2 biji kentang - buang kulit dan belah 4
1 labu bawang merah - belah 8
7 ulas bawang putih - buang kulit - biarkan bulat
2 cm halia - hiris nipis
1 batang leek - potong 2 cm
2 liter air
garam / perasa pilihan secukupnya

Cara:
1. Jerang air di dalam periuk.
2. Masukkan kesemua bahan kecuali leek dan gram / perasa pilihan.
3. Didihkan dengan api besar selama 15 minit.
4. Kecilkan api, dan masak renih sehingga kaki ayam empuk.
5. Perasakan dengan garam / perasa pilihan dan masukkan leek.Kacau sekali dua dan padamkan api dapur.


Dan sebagai pelengkap hidangan, disebabkan Amie tidak bubuh lada putih atau lada hitam dalam sup kaki ayam, jadi Amie sediakan sambal kicap meletuppppp! Sebenarnya Amie mempunyai stok sambal cili padi di dalam peti sejuk. hanya perlu keluarkan dan tambahkan kicap serta perahan limau kasturi atau limau nipis sahaja. 
Amie kongsikan sambal cili padi yang sentiasa meletuppp itu ye...he he heee...sambal kicap ni sedap sangat bila dimakan bersama mee goreng, bee hoon goreng atau kuey teow goreng! Cecah ayam goreng dan ikan goreng atau keropok pun sodap!!! 

Bahannya, panadai-pandailah agak:
cili padi
bawang putih
cuka
garam / gula / perasa pilihan
Kisar kesemua bahan. Masukkan dalam bekas kedap udara supaya tahan lama, atau simpan dalam peti sejuk.
Kalau nak makan, tuang sedikit ke dalam mangkuk, tambahkan kicap dan perahkan jus limau kasturi atau limau nipis. Amie tambahkan kicap manis pedas Mahsuri... walaaaa....enak banget!




 Jemput makan!

3 ulasan:

Mas berkata...

masyaAllah kak .. sedapnya menu .... boleh buat perut yg kenyang jadi lapar tau

Gee® berkata...

Wow!sedapnya Amie... tetiba rasa lapar...

Amie berkata...

Mas,
jemput yunk...lauk-lauk kampung gitu.

Gee,
mari Gee, sama-sama makan.