ADSENSE

Khamis, 31 Mei 2018

Mee Hoon Goreng Pedas Berapi dengan Hati

Hari ini Amie sediakan menu ringkas untuk berbuka puasa.
Amie goreng mee hoon, tambah hati ayam dan masukkan cili padi. Mee Hoon Goreng Pedas Berapi dengan Hati!

Bahan-bahan:
1 paket mee hoon - rendam dalam air sejuk hingga lembut - toskan
1 pokok sawi - potong-potong
4 ketul hati ayam - potong ikut citarasa
1 sudu besar stok ayam pekat
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tomato
1 sudu besar kicap lemak manis pedas Mahsuri
3 sudu besar minyak
garam / gula / perasa pilihan - jika perlu

Bahan hiris:
3 ulas bawang putih
1 labu bawang besar
15 biji cili padi
1 biji cili merah
3 biji cili hijau

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan hiris hingga terbit bau.
2. Masukkan hati ayam dan tumis hingga masak.
3. Masukkan sayur sawi diikuti dengan mee hoon.
4. Tambahkan stok ayam pekat, sos tiram, sos cili, sod tomato dan kicap.
5. Gaul rata.
6. Padamkan api dapur.

Menu berbuka puasa petang tadi memang sungguh ringkas. 
Tapi tak sangka pula, semasa hendak menyediakan bahan mee hoon goreng, Encik Suami tiba-tiba ajak ke bazar Ramadhan.

Mula-mula beli tiga biji kuih tako harga RM1. Encik Suami kata Firdaus suka makan kuih tako. Biasanya kalau ke bazar Ramadhan, kalau Firdaus ikut, dia akan pilih kuih sendiri, kata Encik Suami.

Bila beralih ke gerai lain, nampak kuih tako yang agak pekat warnanya. Amie pun beli lagi. RM1 juga.
Sampai rumah, Firdaus mengejar ke dapur! Nampak kuih tako, dia pun sibuk cari sudu. Tak tahu apa rasanya, tapi 4 biji masuk perut Firdaus!

Popia di atas tu RM3. Hurrrmmm.... isinya sehelai dua taugeh!
Hampeh!

Encik Suami belikan Firdaus popia  di atas. RM2.
Tak tahu apa rasa dan isinya.
Firdaus makan kesemuanya sebelum kami berbuka puasa.

Dua hari lepas tak jadi beli kuih berongko di atas tu. Bila Encik Suami tanya, harga sebungkus RM1.50. Bukan tak mampu beli, tapi tak sampai hati nak beli dengan harga yang tak masuk akal. Kadang-kadang Amie jumpa dengan harga 50 sen sebungkus, kadang-kadang RM1. Padahal sama sahaja saiznya. Bila dengar harga RM1.50, tak payahlah beli.
Berongko di atas, harganya 50 sen sebungkus. Sampai rumah, terus simpan dalam peti sejuk.

Ini pula kuih bongkok. Tak sama dengan kuih berongko. Kuih berongko diperbuat dari pisang, kuih bongkok pula dari tepung beras. Kuih bongkok pun Amie masukkan dalam peti sejuk, duduk sebelah dengan kuih berongko. Kedua-dua jenis kuih ini sedap dimakan sejuk!

Bila terpandang otak-otak, berbelah-bahagi nak beli walaupun sebenarnya sangat suka benda ni. Tahun lepas beli 5 bungkus. Sedaplah pulak sampai tak cukup. Esoknya beli lagi 15 bungkus, gatallah pulak bila kami makan!

Alhamdulillah, otak-otak kali ini sedap!
Tak gatal!

Kata Encik Suami, Fuad suka makan pecal. Fairuz suka makan gado-gado. Dibelikannya dua bungkus seolah-olah benda yang sama!

 Ini pecal! Eh.... ada keropok dengan mee pula ye!

Yang ini gado-gado.
Ooo... bezanya gado-gado ada lontong. Apa pun Amie lihat kuah kedua-duanya sama sahaja.
Lain tempat, lainlah rupa bentuknya, walaupun namanya sama.

Encik Suami asyik tanya, nak beli apa lagi?
Sebenarnya Amie tak berminat nak beli apa-apa lagi. Bukan apa, takut tak habis. Atau nanti anak-anak tak suka makan, membazir pula. Maklumlah, di bazar nampak macam sedap, masih panas, tapi sampai rumah lain pula ceritanya.
Encik Suami nak beli nasi kerabu. Silakan.

Inilah rupa nasi kerabu, dengan harga RM5.
Sekian.
Tak ada apa yang nak dijadikan cerita.
Jadi, inilah cerita untuk kali ini....hiks!

Sambal Goreng Daging (Daging Sekilo Bawang Sekilo)

Masih ingat tak lagi resepi Daging Sekilo Bawang Sekilo yang pernah Amie kongsikan beberapa kali di dapur maya ini? Boleh klik: Di SINI, DI SINIDI SINI dan DI SINI.
Petang kelmarin Amie sempat masak menu ini, dan kali ini Amie namakan sebagai Sambal Goreng Daging. Beberapa tahun lalu (lupa tahun) Amie berpeluang bersembang dalam FB dengan tuan punya resepi asal, Puan Imelda Shahriah Ishak tentang resepi ini. Amie minta nama sebenar 'Bawang Sekilo Bawang Sekilo'  tersebut. Katanya, nama resepi itu Sambal Goreng, jadi Amie tambahkan 'Daging' supaya lebih khusus. Sekali lagi, terima kasih buat Imelda, sebab resepi sambal goreng yang ditinggalkan ini menjadi masakan yang sangat digemari terutama menjelang bulan puasa atau hari raya. Sambal Goreng Daging ini sedap sangat dinikmati bersama ketupat atau nasi himpit!




Bahan-bahan:
1 kg daging - potong kecil-kecil
600ml  santan cair
200ml santan pekat
5 ulas bawang putih - tumbuk
3 cm halia - tumbuk
1 kg bawang besar - hiris kasar
15 biji cili merah - hiris nipis
2 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
1 sudu kecil pati asam jawa
garam & gula / perasa pilihan
3/4 cawan minyak


Cara:
1. Panaskan sedikit minyak. Tumis bawang putih, halia, kulit kayu manis dan bunga lawang hingga wangi.
2. Masukkan lada merah dan terus kacau hingga layu.
3. Masukkan daging dan bawang. Biarkan hingga daging dan bawang layu.
4. Gunakan api besar supaya bawang dan lada segera hancur.
5. Kemudian masukkan santan cair dan perlahankan api. Tutup kuali.
6. Setelah kuah hampir kering dan bawang serta lada menjadi hancur, masukkan pula santan pekat serta garam dan gula / perasa pilihan serta pati asam jawa. Gunakan api perlahan.
7. Kacau selalu supaya sebati dan tutup api setelah  kuah pekat dan terbit minyak.
8. Sambal Goreng Daging / Daging Sekilo Bawang Sekilo siap untuk dihidangkan dan enak dimakan bersama nasi himpit / ketupat / roti dll.

Memasak dengan diiringi rasa sabar dan penuh kasih sayang akan menghasilkan hidangan yang sungguh enak, terutama buat keluarga tersayang!

 Selamat mencuba!

Rabu, 30 Mei 2018

Mee Hoon & Suhun Goreng

Assalamualaikum.
Masak apa untuk hidangan berbuka puasa petang nanti?
Amie belum masuk dapur.
Sekarang sedang masuk dapur maya, kongsi menu berbuka puasa petang kelmarin.
Tak ada menu yang istimewa yang disajikan, sekadar mee hoon campur suhun goreng.  Kakak ipar pula kirim roti jala dengan kuih pau. Alhamdulillah. Rezeki Allah.

Bahan-bahan:
1 paket mee hoon - rendam dengan air sejuk sehingga kembang - toskan
1 paket kecil suhun - bilas dan toskan
400 gram dada ayam - hiris kecil
1 cawan hirisan lobak merah
2 pokok sawi - potong - pisahkan batang dan daunnya
6 kuntum cendawan shiitake - rendam hingga kembang - hiris kecil / nipis
10 kuntum cendawan hitam (telinga tikus) - rendam hingga kembang - hiris kecil 
1/2 sudu kecil lada putih - tumbuk
4 sudu besar kicap lemak manis
1 sudu besar sos tiram
4 sudu besar minyak
garam / gula /perasa pilihan secukupnya

Bahan tumbuk kasar:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah

Cara:
1. Panaskan minyak. Tumis bahan tumbuk hingga wangi.
2. Masukkan dada ayam dan lobak merah. 
3. Masak hingga dada ayam empuk, dan kemudian masukkan cendawan shiitake, cendawan telinga tikus dan batang sawi.
4. Gaul sebati dan kemudian masukkan mee hoon bersama suhun dan daun sawi.
5. Tuangkan sos tiram, kicap lemak manis, dan lada putih. Kacau rata.
6. Boleh tambahkan garam / gula / perasa pilihan jika perlu.
7. Padamkan api dapur.

Inilah hidangan berbuka puasa kami yang ringkas. Amie sediakan kicap lada. Senang saja heheee! Tuang kicap lemak manis pedas Mahsuri, kemudian tambahkan cili padi tumbuk kasar, asal pecah saja dan kemudian perahkan jus limau kasturi.

Isnin, 28 Mei 2018

Rendang Daging

Jumpa lagi.
Ramadhan ke-11.
Sekolah kami cuti. 
Cuti seminggu di negeri Sabah!
Cuti sempena Tadau Kaamatan dan Hari Gawai.
Hari ini merajinkan diri turun ke dapur, mengumpul bahan untuk mengolah rendang.
Rendang yang Amie masak kali ini memang sungguh istimewa bagi Amie. Maklumlah, bertahun lamanya teringat keenakan rendang hasil air tangan rakan baik semasa bertugas di SMKS. Kalau tak silap, 15 atau 16 tahun lalu (2002-2003) berkunjung ke rumah rakan tadi, sempena sambutan hari raya. Antara hidangan yang disajikan termasuklah rendang dengan nasi himpit. Sedap sungguh rendang daging tu! Selalu teringat-ingat keenakannya, dan sudah pastinya aroma daun kunyit, serta rasa rendang yang cukup rasa itulah yang selalu menggamit kenangan! 2006, Amie berpindah tempat tugas, dan selepas itu kami terpisah namun beberapa tahun kemudian bertemu kembali di alam maya.
Kita cerita tentang rendang dulu, nanti kita sambung kisah pertemuan yang sungguh tak diduga terjadi dalam hidup kami!

Minta maaf : Gambar tak berapa terang. Hari ini mendung sepanjang hari, cahaya matahari langsung tak ada. Jadi gambar pun nampak kelam-kelam saja. Tambahan pula ambil gambar ketika senja menjelma, menanti waktu berbuka puasa.
Sebenarnya banyak versi rendang daging. Ada yang asli, dan ada yang ditokok tambah dengan bahan tertentu mengikut citarasa masing-masing. Amie pernah kongsikan asal-usul rendang DI SINI.
Khabarnya rendang berasal dari Sumatera dan  Rendang Sumatera Barat telah dinobatkan sebagai hidangan peringkat pertama dalam daftar World's 50 Most Delicious Foods (50 Hidangan Terlazat Dunia) oleh CNN International pada tahun 2011. Sebelum itu pada tahun 1987, Burger King pernah membuat Rendang Burger.
Resepi Rendang Daging yang Salawati kongsikan ini sebenarnya menjurus kepada penggunaan bahan asas atau bahan wajib ada seperti santan, serai, halia, lengkuas, bawang putih, bawang merah dan lada. Memang Amie suka makan rendang begini. Selain rasanya yang enak, ramuan atau perencah dari sumber alam yang segar turut memainkan peranan melazatkan lagi hidangan ini.
Terima kasih daun keladi gajah buat rakan baik Amie, Salawati Ishak yang sudi berkongsi resepi Rendang Daging yang sungguh sedap! Di sini Amie panjangkan resepinya.

Bahan-bahan:
1 kg daging - potong ikut citarasa 
1/2 kg santan
3 sudu besar kerisik
6 helai daun kunyit - dihiris
2 cm lengkuas - diketuk
garam / gula melaka / ajinomoto (perasa pilihan)

Bahan kisar:
6 ulas bawang putih
8 biji bawang merah
1 cm halia
1 cm kunyit hidup
25 tangkai cili kering
15 biji cili api
4 batang serai - dihiris

Cara:
1. Masukkan daging dalam periuk / kuali.
2. Tambahkan semua bahan kisar.
3. Tuangkan santan
4. Masak bahan dengan api besar sehingga mendidih dan kemudian perlahankan api.
5. Masukkan gula melaka dan kerisik, garam / ajinomoto (perasa pilihan) secukupnya.
6. Kacau sekali-sekala supaya rendang tidak hangus.
7. Apabila kuah mulai mengering, masukkan hirisan daun kunyit.
8. Jika suka rendang yang agak basah, tidak perlu tunggu sehingga kuah kering.
9. Padamkan api dapur.

Sebaiknya gunakan santan kelapa segar. Biasanya Amie beli kelapa parut, dan kisar dengan air.... he he hee tak perlu keluarkan tenaga perah santan dengan tangan! Jangan lupa cili api! Cili api kalau bertemu dengan santan, memang rasanya boleh buat juling mata sebab sangat sedap....hiks!
Ringkas sahaja masakan ini kan? Bahannya pun tak banyak, tak perlu rempah-rempahan lain. 

Alhamdulillah.
Petang tadi sempat sediakan juadah berbuka puasa, masak nasi minyak, acar timun dan digandingkan dengan rendang daging resepi Salawati. Sewaktu entri ini ditulis, anak-anak dan Encik Suami masuk dapur. Terbau aroma nasi minyak dan bunyi kelentang-kelentung! Nak jengok kejap ye... apa anak beranak sedang buat tu!
Rupanya mereka sedang mengulang makan! Petang tadi sewaktu berbuka puasa, katanya makan sedikit saja, takut tak larat solat terawih!
Encik Suami kata, boleh tak Amie masakkan menu sama seperti hari ini untuk dibawa ke kampung sempena malam ketupat pada Ramadhan ke-15 nanti. Amie kata, boleh saja. Bukannya susah pun nak masak begini.

Ini nasi minyak yang Amie masak. Tak payahlah kongsi resepi ye. Boleh tengok bawah tudung saji label Aneka Hidangan Nasi di sebelah tu...ahaks!

Acar timun ini sudah menjadi kegemaran Encik Suami. Seperti biasa Amie gunakan jus limau kasturi, dan tambahkan udang kering.

Seperti biasa Encik Suami memang akan membeli sejenis dua kuih untuk berbuka puasa. Petang tadi dibawanya pulang pulut panggang, wajik dan kuih kasui.

Wokey... nak sambung cerita tentang kami : Amie dan Salawati.


Setelah berbelas tahun terpisah, Amie di Sabah, Salawati di Perak, kami bertemu buat kali pertamanya dalam kembara ke Turki pada Mac 2017. Sudah tentunya Amie ambil kesempatan beritahu Salawati tentang kenangan betapa sedapnya masakan rendang daging yang dihidangkannya dahulu! Salawati ketawa-ketawa saja...hiks!

 Jodoh kami panjang, dapat bersama lagi ketika bercuti ke Perth pada Ogos 2017.

Sekali lagi kami bersama kembali pada Mac 2018 ketika kembara ke Kashmir.
Balik dari Kashmir, Amie minta resepi rendang dagingnya, dan hari ini baru berkesempatan untuk memasaknya.
Moga persahabatan kita kekal selamanya.
Mudah-mudahan kita dapat mengembara bersama lagi ye Salawati.

Ahad, 27 Mei 2018

Mee Suhun Sup

Selamat malam semua.
Ramadhan ke-11 ini Amie nak kongsikan menu Mee Suhun Sup.
Resepinya ringkas sahaja tapi puas hati sebab mengenyangkan dan menyelerakan!

Bahan-bahan untuk sup:
2 belah dada ayam 
1/2 kg kaki ayam - bersihkan dan potong dua
3 sudu besar serbuk rempah sup - bancuh dengan sedikit air
2 cm lengkuas - dititk
3 sudu besar stok ayam pekat
1 sudu besar lada putih - tumbuk
3 sudu besar minyak
3 liter air
garam / gula / perasa pilihan secukupnya

Bahan tumis:
1 labu bawang besar - hiris
5 biji bawang merah - hiris
3 ulas bawang putih - hiris
2 cm halia - hiris halus
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga


Cara:
1. Panaskan minyak dan masukkan bahan tumis. Tumis hingga bawang kekuning-kuningan.
2. Kemudian masukkan lengkuas, bancuhan rempah sup dan kacau sebati.
3. Masukkan dada dan kaki ayam. Gaul rata sehingga bahan masakan berubah warna.
4. Tambahkan air dan biarkan mendidih. Tambahkan sedikit garam.
5. Setelah dada ayam masak / empuk, keluarkan dan toskan. 
6. Perlahankan api dapur untuk merenih kuah sup bersama kaki ayam.
7. Dada ayam tadi digoreng seketika dan kemudian toskan minyaknya. Setelah agak sejuk, bolehlah carik-carik dada ayam goreng tadi.
8. Tulang dada ayam bolehlah dimasukkan kembali ke dalam sup kaki ayam yang sedang direnih.
9. Setelah kaki ayam benar-benar lembut, tuangkan stok ayam pekat, tambah garam (jika perlu) atau perasa pilihan secukupnya.

Satu lagi bahan terpenting yang Amie tak boleh tinggalkan sudah tentutalh pergedil kentang! Amie gunakan 1 kg kentang, dan habis licin anak-beranak makan sewaktu berbuka!


Bahan-bahan:
1 kg kentang - kupas dan potong baji menjadi 8
3 tangkai daun sup - hiris
1/3 cawan bawang goreng
1/2 sudu kecil lada putih
garam / perasa pilihan
1 biji telur
minyak

Cara:
1. Goreng kentang hingga masak dan toskan minyaknya.
2. Lenyek kentang hingga hancur - Amie tumbuk dalam lesung.
4. Gaul kentang lenyek bersama daun sup, lada putih, dan garam / perasa pilihan.
5. Bulat-bulatkan adunan kentang dan leperkan di tepinya sedikit.
6. Pukul telur dan celup pergedil tadi ke dalam telur sebelum menggorengnya.
7. Gorenglah hingga masak atau berwarna kuning keemasan.
8. Angkat dan toskan.

Jangan lupa celur suhun seberapa banyak yang dikehendaki. 
Sekarang kita lihat bahan-bahan yang perlu ada, dan selamat menjamu selera.
1. Suhun.
2. Ayam carik.
3. Pergedil kentang.
4. Kuah sup.
5. Aksesori lain termasuklah : 
  • bawang goreng
  • daun sup / daun bawang
  • telur rebus
  • kicap lada
  • limau kasturi

Bubur Lambuk

Selamat berhujung minggu semua.
Tentu sedang sibuk menyiapkan juadah berbuka puasa untuk keluarga tersayang.
Masak apa agaknya petang ini?
Amie nak kongsikan menu Bubur Lambuk , hidangan kami berbuka puasa kelmarin.
Resepinya biasa-biasa sahaja, cuma Amie gunakan daging rusa, dan tidak daging lembu seperti kebiasaannya.

Gambar tak berapa terang.
Kelam-kabut.
Beberapa minit nak buka puasa baru teringat nak tangkap gambar...hiks!

Bahan-bahan:
2 cawan beras - bilas dan toskan
500 gram hirisan daging rusa
300 ml santan pekat
3 helai daun pandan - disiat dan simpul
2 sudu besar minyak sapi
3 sudu besar minyak masak
air secukupnya
garam / gula / perasa pilihan

Bahan kisar:
2 cm halia
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
2 sudu besar udang kering - rendam hingga lembut

Bahan penumis:
1 labu bawang besar
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga

Bahan rempah:
1 sudu kecil serbuk jintan manis
1 sudu kecil  serbuk jintan putih
1 sudu kecil serbuk ketumbar
1 sudu  lada putih - tumbuk
1 sudu kecil lada hitam - tumbuk

Cara:
1. Panaskan minyak sapi bersama minyak masak.
2. Tumis bahan penumis hingga wangi, dan kemudian masukkan bahan kisar. Kacau rata.
3. Kemudian masukkan bahan rempah serta daun pandan dan seterusnya masukkan daging rusa. Tambahkan air secukupnya dan biarkan mendidih.
4. Masukkan beras dan perlahankan api. Biarkan beras menjadi lembut dan hancur dan daging rusa empuk. Jika beras belum pecah, dan bubur mula mengering, tambahan air panas.
5. Akhir sekali tuangkan santan pekat, garam / gula / perasa pilihan secukupnya.
6. Apabila bubur mula mendidih sekali lagi, padamkan api dapur.
7. Bubur Lambuk sedia untuk dihidang panas dengan taburan bawang goreng, daun sup dan daun bawang.

Huurrrmm... sepanjang proses memasak bubur lambuk, aromanya yang harum semerbak penuh satu dapur hingga menjalar ke ruang tamu! Tambah lazat jika taburkan dengan bawang goreng buatan sendiri...hiks!

Alhamdulillah.
Bubur lambuk hidangan berbuka puasa yang agak ringkas, tetapi lazatnya tidak terperi!

Khamis, 24 Mei 2018

Rusa Masak Kari

Assalamualaikum.
Belum terlambat rasanya untuk ucapkan selamat berpuasa buat semua.
Nampaknya Ramadhan kali ini dapur maya Amie pun ikut berpuasa sama.
Heheheee.... Memang masak setiap petang untuk hidangan berbuka puasa tapi tak ambil gambar untuk dikongsi. Maklumlah, masuk dapur pun lebih kurang satu jam lebih sebelum berbuka. Siap masak, azan pun kedengaran. Terus hidang atas meja, dan berbuka puasa.
Biasanya Encik Suami suka beli kuih muih, jadi Amie pun sediakan sajalah makanan lain yang ringkas seperti mee hoon sup, mee goreng atau masak nasi saja.
Hari ini agak awal sedikit masuk ke dapur dan sudah tentulah hidangan juga dapat disajikan lebih awal. Memandangkan seperti biasa menjelang petang, akan ada dua tiga jenis kuih di atas meja, jadi Amie hanya masak nasi dan lauk sahaja. Kali ini Amie masak kari rusa. 
Kelmarin Encik Suami bawa pulang tulang rusuk rusa yang belum dipotong. Sebelum kembali ke tempat kerjanya tengahari tadi, Encik Suami tolong potongkan tulang rusuk tersebut. Banyak juga isi atau daging yang terlekat. Amie ambil 1.2kg, dan selebihnya Amie simpan dalam peti sejuk. Esok lusa mungkin boleh diolah menjadi sup tulang rusuk rusa pula.
Jom, buka puasa.

 Amie gandingkan Rusa Masak Kari bersama acar timun dan sambal mangga.

Bahan-bahan:
1.2 kg tulang rusuk rusa
3 biji kentang sederhana besar - kupas kulit dan belah 4
1 biji limau nipis - ambil jusnya
4 sudu besar serbuk rempah kari 888
4 sudu besar minyak
1.8 santan cair
300 ml santan pekat
garam / gula / perasa pilihan

Bahan tumis:
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih 
3 biji buah pelaga
2 ulas bawang putih - hiis
1 labu bawang besar - hiris
3 pelepah daun kari - lurutkan

Bahan kisar:
20 tangkai cili kering
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
2 cm halia

Cara:
1. Gaul rempah kari bersama bahan kisar hingga menjadi pes. Ketepikan.
2. Panaskan minyak dan tumis bahan penumis hingga wangi.
3. Masukkan pes / bancuhan rempah kari dan masak dengan api sederhana. Kacau selalu supaya tidak hangus. Tambahkan sedikit air jika terlalu kering.
4. Setelah bahan tumisan terbit minyak, masukkan tulang rusuk rusa dan kacau rata sehingga berubah warna atau menjadi kecut.
5. Tambahkan santan cair dan masak sehingga daging / tulang rusuk lembut.
6. Masukkan kentang dan tambahkan santan pekat.
7. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan secukupnya.
8. Akhir sekali tuangkan jus limau nipis. Kacau beberapa kali dan padamkan api dapur.

Bila digandingkan Rusa Masak Kari dengan acar timun, sudah tentulah aromanya sungguh menggamit selera! Acar timun itu pula Amie buat ikut gaya orang kampung kami. Bubuh udang kering dan tambah cili padi! Kalau nak pedas, picit-picit saja cili padi tu...hiks!

Alhamdulillah.

Ahad, 13 Mei 2018

Isi Ikan Tuna Goreng

Selamat berhujung minggu. 
Setelah hampir setengah hari keluar rumah, ke pasar mencari barang dapur akhirnya sempat juga masak untuk hidangan tengahari. Hari ini Amie masak ringkas sahaja. Memenuhi permintaan Fuad, Amie hidangkan menu ikan, bersama sayur lemak kubis dan sambal belacan. 
Menu biasa-biasa begini siapa-siapa pun boleh masak....ahaks!
Cuma Amie nak kongsikan resepi isi ikan tuna yang Amie goreng bersama beberapa bahan pemerap yang mudah. Biasanya Amie akan tambahkan tepung beras untuk menambah rangup bahagian luar ikan yang digoreng, tapi kali ini Amie hanya gunakan tepung gandum. Sempena cuti PRU14 Encik Suami tolong kemaskan dapur, dan katanya dia buang mana-mana yang tidak berguna! Rupanya habis semua tepung beras, tepung jagung, tepung ubi, tepung kentang, segala jenis kekacang... kacang hijau, kacang merah, kacang dhal dan segala jenis rempah juga dibuangnya! Termasuklah tepung untuk goreng ayam dalam tupperware! Haaaa.... baru tahu ye! Sesekali operasi di dapur, memang semua bersih! 
Memang terdengar suara Encik Suami dari dapur:
-Mommy! Mari sini kejap.
+Nanti. Mommy sibuk ni. Kenapa?
-Ni tepung-tepung, apa-apa yang tak dipakai ni baba buang ye?
+Ye la..buang sajalah.
-Mana-mana yang dah lama ni, baba buang ya?
+Aaahh..aaarrr...buanglah. 
-Lebihan rempah-rempah ni baba buang ya. 
+Kalau nampak macam dah tak elok, buang sajalah. 
Senang rasa hati bila ada yang sudi membersihkan dapur! Benda pertama Amie rasa pelik sebab tak jumpa ialah garam! Mana garam? Garam pun dibuangnya!
Hurrmmmm.... Dah puas membebel, marilah kita tengok resepi Isi Ikan Tuna Goreng di bawah ini.

Bahan-bahan:
1/2 kg isi ikan tuna - hiris setebal 1/2 cm 
1 sudu kecil rempah kari
2 pelepah daun kari - lurutkan
1 biji telur ayam - pukul ringan
3 sudu besar tepung gandum (sebaiknya tepung jagung)
1 sudu besar serbuk perencah Maggi Cukup Rasa
minyak

Bahan tumbuk / kisar:
2 ulas bawang putih
2 cm halia 
1/2 sudu kecil lada putih

 Cara:
1. Gaul bahan tumbuk, rempah kari, daun kari dan perencah cukup rasa.
2. Tuangkan ke atas isi ikan tuna, dan gaul rata. Biarkan seketika.
3. Panaskan minyak untuk menggoreng.
4. Tambahkan tepung gandum ke dalam bahan yang diperap.  Pastikan tepung menyaluti isi ikan tuna.
5.  Masukkan satu persatu ke dalam kuali.
6. Goreng sehingga kuning keemasan.
7. Angkat dan toskan. 

Adeeeehhhh! Rupanya isi ikan tuna goreng ini sedap diratah begitu saja! Kalau tak ingat untuk dijadikan lauk makan tengahari, memang habis separuh Amie ratah sambil menggoreng!

Khamis, 10 Mei 2018

Malaysiaku Nan Tercinta!

Pagi 10 Mei 2018.
Kun fayakun!
Dengan izin-Nya, dengan kuasa-Nya : Jadi! Maka jadilah!

Ehsan: Google
Allahu Akbar!
Semoga negaraku bertambah makmur!

Selasa, 8 Mei 2018

Ayam Masak Lemak Tempoyak

Hari ini cuti.
Esok pun cuti.
Hari ini cuti sebab sekolah akan digunakan sebagai pusat mengundi PRU14.
Orang-orang SPR tentu sedang sibuk buat persiapan.
Esok cuti umum, diisytihar sebagai hari mengundi.
Hari Sabtu nanti, 12 Mei sekolah akan ganti cuti.
Firdaus tak cuti.
Sekolah tadikanya tak ada kena-mengena dengan PRU14.
Pagi ini cuaca mendung, gelap dan suram.
Hampir pukul sepuluh pagi, barulah nampak sedikit sinar matahari masuk menerusi tingkap dapur.
Tadi sempat ke belakang dapur. Nak ambik daun kencur. Tak jadi pulak nak ambil bila nampak daun kencur habis berlubang-lubang. Mungkin dimakan siput khinzir.  Nampak daun kunyit subur menghijau, ambil 2-3 helai bawa masuk dapur. 
Mulanya nak masak lemak ayam bubuh kencur, tapi sekarang tukar menu pulak. Sebelum pukul 12 tengahari, nak hidangkan makanan tengahari. Boleh makan sama-sama dengan Encik Suami yang menghantar pulang Firdaus, sebelum sambung balik ke tempat kerjanya.

 Alhamdulillah, siaplah menu Ayam Masak Lemak Tempoyak!
Hanya menunggu untuk dijamah sebagai santapan tengahari untuk seisi keluarga.

Samar-samar saja gambar yang Amie tangkap, hanya dengan bantuan sedikit cahaya matahari pagi yang menerobos melalui tingkap dapur. Inilah bahan-bahan yang Amie gunakan dalam resepi Ayam Masak Lmeak Tempoyak pada hari ini.

 Amie gunakan 1 kg ayam.

 Bahan perencahnya termasuklah kunyit segar, daun kunyit, cili padi, bawang putih, bawang besar, serai dan asam gelugor.

Amie gunakan 4 sudu besar tempoyak. Tempoyak ni Amie buat sendiri, nak gunakannya pun jimat cermat....hiks! Maklumlah, di sini harga durian kalahkan harga emas 916!

Anak-anak akan cari kentang kalau Amie masak ayam. Jadi Amie tambahkan dua biji kentang. Kentangnya ula saiz XXL. Sebiji boleh belah jadi 8 ketul!

Santannya pula Amie gunakan santan segar. 1 cawan anggaran 300 ml santan pekat, dan 1200 ml santan cair.

Amie gunakan cili padi hijau saiz sederhana. Jumlahnya 53 biji....ahaks! Dah buang batang, adalah satu genggam penuh! Banyak sangat ke? Pedas sangat tu. Taklah pedas sangat kalau cili padi bertemu dengan santan! Apalagi kalau santan segar! Rasa manis santan itu nanti akan membuatkan rasa pedas cili padi berkurangan! Kalau nak gunakan bawang, eloklah gunakan bawang merah, tapi Amie saja ngada-ngada gunakan bawang besar. Serainya pula, sebab saiz kurus, Amie ketuk sampai 4 batang!

Tiba-tiba cahaya matahari menerjah masuk menerusi pintu dapur! Dapatlah tangkap gambar penuh semua bahan masakan! Jom kita lihat senarai penuh bahan-bahan yang digunakan dalam masakan ini.

Bahan-bahan:
1 kg daging ayam - potong ikut saiz yang disukai
300 ml santan pekat
1200 santan cair
3 helai daun kunyit - siat dan simpul
2 keping asam gelugor - kalau dah cukup rasa masam tempoyak, tak bubuh pun tak apa
4 batang serai - diketuk
garam / gula / perasa pilihan secukupnya

Bahan kisar:
segenggam cili padi hijau - ikut sukalah nak banyak atau sedikit - ikut kepedasan yang dikehendaki
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah (1 labu bawang besar)
4 sudu besar tempoyak
4 cm kunyit hidup

 Bahan yang siap dikisar: cili padi, kunyit, bawang besar, bawang putih dan tempoyak. Amie kisar dengan sedikit santan cair.

Proses memasaknya sangat mudah. Yang enting semua bahan yang diperlukan sudah tersedia. Gambar pun berlatar belakangkan kegelapan, maklumlah hanya bergantung kepada cahaya matahari yang sekejap ada, sekejap menyelinap masuk ke dapur!
Cara:
1. Letakkan daging ayam di dalam kuali / periuk.

 2. Bubuh asam gelugur dan serai.

 3. Tuangkan bahan kisar.

 4. Seterusnya tuangkan santan cair.

 5. Masak sehingga mendidih, kemudian masukkan kentang.

 6. Apabila daging ayam dan kentang mulai empuk, masukkan daun kunyit.

7. Diikuti dengan santan pekat.
8. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan secukupnya.
Jika suka kuah pekat, masaklah untuk beberapa minit lagi, Jika tidak suka, apabila kuah mendidih, padamkan api dapur.


Inilah hasilnya, Ayam Masak Lemak Tempoyak.
Alhamdulillah..... sedap sangat!
Lain kali boleh masak ayam lemak kencur pula!