ADSENSE

Isnin, 9 April 2018

New Delhi - Srinagar - Dal Lake

20 Mac 2018 bersama pada hari Selasa.
Semalam kami tidur lena setelah menghabiskan sehari suntuk di Agra. Menjelang pagi, semuanya kelihatan segar dan ceria di meja makan untuk menikmati sarapan pagi!


Kami dijadualkan meninggalkan Glitz Westend Inn selepas sarapan pagi, dan bergerak menuju ke Lapangan Terbang Indira Ghandi di Terminal 2 untuk penerbangan domestik. (Kami turun di Terminal 3 semasa tiba dari Kuala Lumpur) Penerbangan dari New Delhi dijangka pada pukul 11.50 pagi dan tiba di Lapangan Terbang Srinagar pada pukul 13.20 petang. 

Inilah pengalamn pertama Amie dalam dunia terbang-terbang! Tidak pernah terfikir akan adanya sebuah lapangan terbang yang sunyi sepi seperti di Terminal 2 Lapangan Terbang Indira Ghandi! Cuba baca apa yang tertera pada papan kenyataan di atas!
THIS IS A SILENT AIRPORT
There will be no flight announcements.
Jadi, setiap penumpang mesti peka dengan keadaan di sini terutama waktu penerbangan!

Sementara menunggu waktu 11.50 pagi. kami jalan-jalan dulu melihat kawasan lapangan terbang yang sepi ini. Banyak kafe di sini, bolehlah makan dahulu sebelum terbang. Kami hanya membeli air mineral sahaja, sambil melihat-lihat barangan yang lain yang dijual di situ.

Kami akan menaiki GoAir G8213, dan seperti biasa kami melalui proses pemeriksaan keselamatan.

Nampaknya banyak anggota tentera yang bertugas di lapangan terbang ini. Untuk mengelak daripada terlalu lama berada di kawasan ini, eloklah jangan membawa banyak 'benda' dalam beg tangan atau hand carry! Nasib tak berapa baik, akan diperiksa, kena bongkar semua isinya dan terpaksalah menjawab pelbagai soalan. Syukurlah, dalam kumpulan kami seramai 20 orang, hanya beberapa buah beg sahaja yang diperiksa, walaupun sudah melalui proses mesin pengimbas!


Bagi kaum wanita pula, perlu masuk ke sebuah bilik kecil untuk pemeriksaan oleh pegawai tentera wanita.

Maka terbanglah kami dengan senang hati setelah selamat melalui pemeriksaan keselamatan. Perut pun bukan main keroncong lagi! Maklumlah pukul 11.50 pagi di Delhi sama dengan 2.20 petang waktu di negara kita! Sudah lewat masa untuk makan tengahari! Penerbangan GoAir tidak menyediakan sebarang hidangan, tetapi mereka menyediakan perkhidmatan jualan makanan ringan dan juga minuman.

Selain makanan ringan di dalam bungkusan atau botol, ada juga dijual beberapa jenis sandwich. Mee segera (bahasa kita maggie ler) pun ada! Tetapi ketika kami ingin beli, kata pramugari GoAir, tidak ada jualan mee segera  pada hari itu.

 Dah puas belek jenis makanan dan harganya, Amie pun belilah benda di atas tu!
Kalau tak silap harganya 150 rupee.

Inilah rupanya Bhel Puri : Savory Snack with Chutney (Pudina / Garlic). Amie makan begitu saja, sudah lengkap secukup rasa tanpa mencampurkan dengan chutney! Barangkali Bhel Puri ini diperbuat daripada beras atau pulut!

Untuk menghilangkan rasa bosan (sebab tidak mengantuk) tangkaplah gambar wanita India dalam majalah yang diletakkan di dalam poket tempat duduk. Dan...tidak lama kemudian kawan-kawan yang duduk di tepi tingkap pun mula 'berkicau' tentang gunung-ganang di bawah kami! Gunung yang memutih diselaputi salji! Oh! Sudah menghampiri wilayah Kashmir rupanya!
Maka terbayanglah Paradise on Earth dan Switzerland of the East, syurga dunia bagi India!
Sebaik sahaja kami turun dari perut kapal terbang, kami menarik bagasi kami menuju ke sebuah bas. Ketika itu barulah terasa berada dalam suasana India! Agak terkejut juga bila melihat beg kami diangkat dan diletakkan di atas bumbung bas! Ada pula tangga yang diletakkan di belakang bas menghala ke bumbung bas! Seseorang menghulur beg, dan seorang lagi menyambut serta menyusunnya di atas bumbung yang direka khas sebagai tempat letak beg! Kami diberitahu oleh Encik Candra (tour guide kami dari New Delhi) agar tidak menghulurkan duit sekiranya ada yang meminta tips, kerana semuanya sudah diuruskan oleh beliau. Di sini semua duit, semua orang mahu duit, ada perkara yang dilakukan pasti mereka minta duit, itulah peringatan Encik Candra!
Oh! Hampir terlupa! Ada perkara penting yang ingin Amie kongsikan di sini.
Semasa berada di Airport Srinagar, setelah mengambil bagasi, kami dikehendaki mengisi Registration Form For Foreign Nationals.
Syukurlah sebelum kami berangkat ke India, pihak agen pelancongan sudah memaklumkan kami untuk menyimpan maklumat penting di dalam telefon bimbit masing-masing sebagai rujukan. Jangan lupa bawa pen untuk menulis dan jangan ambil ringan tentang maklumat yang perlu disediakan. 
Antara maklumat yang perlu diisi termasuklah:
1. Name (In Full) 
2. No of persons in the family / group (if accompanying the visitor )
3. Nationally / Gender / Age
4. Permanent Adress
5. Profession
6. Date / Model / Station of Arrival in India
7. Date / Model / Station of Arrival in J & K
8. Purpose of visit.
9. Date / Model / Station of Departure & Destination
10. Place/s of stay & places visited
11. No. Date, Type & Place of issue of passport with validity upto.
12.No. Date, Type & Place of Issue of Visa with Validity upto.
13. No. Date Type & Place of office of issue of Reg. Certificate, if any.
14.Details of contacts , local, Reference Travel Agency / Agent (Name, Adress, Phone, E-mail).
Hurrmmnn.... Ingat tu, bawa pen masing-masing. Jangan tunggu pen kawan. Nampak macam mudah, tapi nak menulis tu memakan masa juga. Pastikan semua maklumat tepat. Kemudian barulah kami bergerak ke pintu keluar.
Tidak terasa panasnya suhu di Srinagar walaupun bas yang kami naiki tidak mempunya pendingin hawa. Suhu di sana ketika itu suhu sejuk-sejuk air cond, itulah yang dapat kami simpulkan.

Bas bergerak meninggalkan Lapangan Terbang Srinagar, dan benarlah seperti yang diperkatakan oleh mereka yang pernah berkunjung ke Kashmir. Sepanjang perjalanan kami, setiap 100 meter terdapat beberapa orang anggota tentera berkawal lengkap dengan senjata! Melihat keadaan ini, Amie pun takut juga untuk menangkap gambar! Bagaimana pun sesekali Amie 'tertangkap' juga. Sudahlah terlepas suasana di New Delhi, jangan terlepas di Kashmir pula. Walaupun gambar-gambar yang Amie ambil banyak yang kabur, tidak jelas tapi sekurang-kurangnya ada juga beberapa keping yang kelihatan sempurna untuk menggambarkan keadaaan dan suasana di Kashmir.

Haaa... gambar di atas ini Amie tak dapat tangkap sewaktu di New Delhi. Rupanya ada juga di Kahsmir!

Ketika melintasi sebuah jambatan, terlihatlah rumah boat kecil di pinggir sungai! Pohon-pohon kelihatan gondol tidak berdaun di sepanjang jalan. Ketika ini wilayah Kashmir sedang berada di penghujung musim sejuk.

Banyak buah-buahan segar yang djual di atas kereta sorong tetapi hanya gambar ini sahajalah yang dapat Amie kongsikan. Gambar yang lain kabur. Adakalanya Amie terpaksa cepat-cepat menutup tingkap bas kerana debu jalanan menerjah masuk!

Bangunan dan rumah-rumah kedai kelihatan hampir sama seperti yang terdapat di sepanjang jalan dari New Delhi menuju ke Agra. Tampak agak usang.

Tidak lama kemudian pemandangan menjadi berubah apabila terlihat suatu kawasan yang berbeza, iaitu deretan rumah perahu pelbagai bentuk memenuhi satu kawasan berair! Oh! Kami sedang menghampiri Tasik Dal! Tasik Dal merupakan tasik terbesar di bandar Srinagar dan mempunyai keluasan kira-kira 18 km persegi. Istimewanya, di Tasik Dal ini merupakan tumpuan pelancong untuk merasai pengalaman bermalam di rumah boat atau house boat! House boatnya pula terbahagi kepada harga bajet sehingga harga mewah!

Setelah melewati beberapa pintu masuk ke Tasik Dal, akhirnya bas berhenti di hadapan ini. Nampak tak tulisan di papan berwarna biru : SHIKARA STAND GHAT (ejaan gate dieja ghat) No 9. Nampaknya petang ini kami berpeluang menaiki shikara yang bermaksud perahu di Tasik Dal.

 Inilah antara barisan shikara yang sedang bersiap sedia menanti penumpang.

 Uniknya setiap shikara siap dihias dengan langsir serta kusyen tempat duduk penumpang!

 Setiap sebuah shikara hanya memerlukan seorang pengayuh dengan sebatang pendayung!

 Shikara sedang menanti kami untuk duduk di dalamnya!

Pengayuh Shikara pula rata-rata terdiri daripada lelaki yang agak berusia, tetapi mempunyai kudrat yang digunakan semaksimanya!
Nampaknya mereka memakai baju sejuk, dan sudah tentulah disebabkan suhu yang sejuk di tasik ini.

 Shikarakah ini? Tanpa bumbung dan tanpa hiasan dalaman?

Pemandu atau pengayuh shikara duduk di hujung. Ada yang mengatakan ia seakan gondola di Venice. Apa pun mereka adalah simbol budaya Kashmir!

Tour guide kami sudah bertambah. Kalau di Agra, Mr. Candra dibantu oleh Salman Khan, petang ini dibantu pula oleh Mr. Tariq. Mr. Tariq bertanggungjawab membantu menguruskan perjalanan kami sepanjang berada di Kahsmir.

 Shikara kami berpapasan dengan shikara yang menuju ke shikara stand.

 Rupa bentuk house boat sudah menghampiri kami...eh! Kami yang menghampirinya!


Tangkap gambar anak Kashmir yang comel! Asyik senyum-senyum pandang kita, haaa...kan dah terbawa balik gambarnya!

Di belakang sana warna hijau yang terhampar ialah sebahagian daripada kiambang dan daun teratai. Mungkin pemandangan luar biasa indahnya dapat dilihat sewaktu musim teratai berkembang! Inilah kelebihannya negara 4 musim, pelbagai pemandangan menarik yang boleh disajikan!

Ini antara rumah bot Old Palace. Kelihatan ukiran-ukiran kayu di bahagian hadapan rumah tersebut.

Tak sabar rasanya untuk mengintai suasana di dalam rumah bot! Nanti Amie akan ceritakan di dalam entri yang seterusnya ye.... jangan lupa ikuti catatan perjalanan Amie selepasini. Kali ini Amie hanya kongsikan perjalanan dari New Delhi - Srinagar dan Tasik Dal sahaja.

 Inilah antara serba sedikit gambaran dan pengalaman kami pada hari pertama tiba di Srinagar.


Kami makan tengahari di dalam rumah bot, dan kemudian bertolak semula ke shikara stand, dan seterusnya menaiki bas untuk perjalanan berikutnya seperti yang telah dirancang. 

 Dayah tersenyum di sebelah Salawati,
Kenyang perut senang hati!

 Pengayuh / pemandi shikara yang sporting!

 Dayah, tolong ambilkan gambar kami!
Tak tahu dah nak buat gaya apa!

Tiba-tiba datang sebuah perahu seperti ingin melanggar shikara kami! Rupanya itulah perahu penjual barangan kepada pelancong! Maka proses berjual beli, tawar-menawar pun berlaku di atas perahu. 

Dengan sabarnya, dan mungkin penuh harapan (barangkali ini sahaja punca mata pencariannya) peniaga ini memperdagangkan barangan jualannya. Dari sini terlihat kesungguhan mereka mencari rezeki. Kalau tak mahu beli, berikan saja senyuman, usah keluarkan kata-kata tidak enak kerana rasa terganggu. Sayangnya, kita senyum dia pun semakin menghampiri kita pula...huhuuuuu! Simpan balik senyum tu masuk baju sejuk!

Nampak benar muka letih! Rasa nak tidur saja dalam shikara ini. Sudahlah suhu sejuk. Perut pula kenyang! Adeeeehhhh!

 Toleh kiri, toleh kanan. Akhirnya tertangkap gambar wanita di bawah ini.


 Sementara ada peluang tangkap gambar, tangkap sajalah mana yang dapat. 

 Nun di sana... ahli rombongan kami nampak ceria sungguh!
Hai Ain!
Hai Maria!
Hai Sarida!

 Makcik satu ni macam dah tak larat nak buka mata!

 Kami tinggalkan shikara untuk naik ke darat.

 Di seberang sana kelihatan bas kami sedang menanti.

 Dari dalam bas, sempat tangkap gambar pemandangan di tepi tasik.

Bungkusan kain yang terletak di tepi jalan itu..... mengingatkan daku zaman kanak-kanak! Ada sesiapa yang mempunyai kenangan didatangi penjual kain yang tinggi lambai, berjanggut, berkopiah dan memakai kurta? Dan kami sebenarnya ketakutan apabila terserempak dengan 'penjual' itu, lalu lari menyorok dalam semak! Itu cerita dulu. Cerita sekarang mereka sudah memiliki kedai, atau sekurang-kurangnya mempunyai motosikal untuk memperdagangkan barangan jualan mereka!

Malam esok kami akan menginap di houseboat milik Mr Ajz Khar (gambar di atas). Malam ini kami akan meneruskan perjalanan ke Pahalgam.

Entri berkaitan perjalanan ke India (New Delhi - Srinagar - Pahalgam - Gulmarg) :
Melancong ke India : Persediaan Awal
Lahad Datu - Tawau - Kuala Lumpur - New Delhi
India : Kami Datang! Bermalam di Glitz Westend Inn
Taj Mahal - Sehari Bersama Salman Khan di Agra
Makan Tengahari di Priya Restaurant Agra
New Delhi - Srinagar - Dal Lake
Dal Lake Houseboats
Menjamu Selera di Houseboat Dal Lake
Shopping Saree dan Kacang Walnut
Pahalgam - Hotel Pine Spring - Menunggang Kuda di Kaki Gunung
Gulmarg - Gondola Ride - Sledge - Snowbike - Skiing
Mengintai ke Luar Jendela Pahalgam - Srinagar - Gulmarg

Jejak Kenangan Yang Tertinggal di New Delhi - Agra - Srinagar - Pahalgam - Gulmarg

Tiada ulasan: