ADSENSE

Sabtu, 28 April 2018

Ikan Merah Masak Lemak Cili Padi

Bertemu kembali.
Terima kasih kepada followers yang baru kerana sudi memeriahkan dapur kecil ini.
Terima kasih buat pengunjung setia Amie's Little Kitchen.
Petang ini Amie kongsikan resepi yang sangat mudah tapi keenakannya tidak terkata! Cukuplah dijadikan sebagai lauk makan tengahari, dan sudah tentu mampu menambahkan lagi beberapa senduk nasi ke dalam pinggan!

Apa sebab Amie kata resepi sangat mudah tapi enak sekali? Tak perlu kupas bawang, hanya gunakan beberapa bahan sahaja. Inilah keistimewaan masak lemak cili padi orang Negeri Sembilan! Amie gunakan segenggam cili padi kampung yang masih hijau. Segenggam ye, bukan 5 atau 7 biji. Amie sempat kira, semuanya 30 biji! Apabila cili padi bertemu dengan santan, rasanya sudah tentulah tidak sepedas yang kita sangkakan. Santannya pula, gunakanlah santan segar, dan kalau boleh gunakan juga isi kunyit segar! Minta maaf, tak sempat korek isi kunyit di belakang dapur, Amie gunakan kunyit serbuk...hiks!

Bahan-bahan:
3 keping isi ikan merah
4 batang kacang panjang - potong 4 cm
2 biji tomato - belah 4
30 biji cili padi kampung - ditumbuk
1 cawan santan pekat tambah 3 cawan air
1 keping asam gelugur
2 batang serai - dititik
1 sudu kecil serbuk kunyit
garam / perasa pilihan secukupnya

Cara:
1. Masukkan ikan ke dalam periuk bersama cili padi tumbuk, serbuk kunyit, serai dan garam dan asam gelugur. Gaul rata.
2. Masukkan santan dan nyalakan api dapur.
3. Masak di atas api sederhana sambil dikacau selalu supaya tidak pecah minyak.
4. Apabila masakan mula mendidih, masukkan kacang panjang bersama tomato.
5. Tambahkan garam dan perasa pilihan sekiranya perlu.
6. Setelah kacang panjang berubah warna, dan isi ikan masak, padamkan api dapur.
 
 Cukuplah untuk dihidangkan bersama nasi panas! Tak perlu masak sayur dan lain-lain!

1 ulasan:

LiNa_Pg berkata...

Assalamualaikum kak amie
hidangan tengahari lauk macam ni mmg sedap. tmbh ada ulam+sambal/budu. . perghh. enak tak terkata