ADSENSE

Isnin, 30 April 2018

Ikan Merah Goreng Bercili

Assalamualaikum.
Selamat menyambut Nisfu Syaaban. Moga kita dapat tutup buku lama dengan amalan yang sempurna, dan menerima buku baru dalam keadaan bersih tanpa cela untuk meneruskan kehidupan di hari muka.
Dan marilah kita sama-sama nantikan kedatangan tetamu kita, bulan penuh berkat, bulan Ramadhan yang akan muncul lebih kurang dua minggu sahaja lagi. Mudah-mudahan tahun ini kita semua akan dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna. Aamiin.

Amie sempat masak Ikan Merah Goreng Bercili, walaupun kelam kabut sedikit tapi masih sempat ambil gambar walaupun tanpa prop set yang sempurna! Nampaknya ada sahaja perkara yang hendak dikejar setiap hari, sehingga makan minum pun agak terabai! Cabaran betul rasanya untuk menghidupkan kembali dapur maya yang hampir lesu ini.
Sebenarnya tengahari tadi Encik Suami balik ke rumah, dan seperti biasa sementara Amie tiba Encik Suami akan masak nasi. Pada masa yang sama dikeluarkannya ikan, direndam supaya lembut. Amie pula akan masak lauk, kami makan sama-sama dan Encik Suami akan kembali ke tempat kerja, membawa bersama Fairuz untuk menghadiri kelas tambahan di sekolah.

Bahan-bahan :
4 keping isi ikan merah - perap seketika dengan garam dan serbuk kunyit
5 helai daun limau purut - buang urat
2 batang serai - diketuk
1 keping asam gelugur
1 labu bawang besar - hiris kasar
1 batang leek - hiris 2 cm
garam / gula / perasa pilihan secukupnya
minyak

Bahan kisar kasar:
10 biji cili hijau
3 biji cili merah
15 biji cili padi
1 sudu kecil belacan
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah

Cara:
1.  Goreng isi ikan merah hingga masak. Angkat dan ketepikan.
2. Tinggalkan 4 sudu besar minyak bekas gorengan ikan di dalam kuali.
3. Masukkan serai, dan kesemua bahan kisar serta asam gelugur.
4. Tumis sehingga pecah minyak.
5. Perasakan dengan gula / garam / perasa pilihan secukupnya.
6. Akhir sekali masukkan ikan bersama bawang hiris kasar dan leek.
7. Gaul beberapa kali dan padamkan api dapur.

Bila perut sedang lapar, makan nasi dengan lauk begini memang sungguh menyelerakan! Bismillah.

Ahad, 29 April 2018

Kuih Bakar Kemboja

Sementara ada kesempatan berlama-lama di dapur maya ini, Amie akan kongsikan beberapa menu tertunggak yang tersimpan dalam folder. Petang ini sekali lagi Amie kongsikan Kuih Bakar Kemboja (guna acuan kemboja pecah 6), yang lebih dikenali dengan nama Bahulu Kemboja di kampung kami dan juga di beberapa tempat lain. Asal-usul kenapa dinamakan Bahulu Kemboja bolehlah klik : DI SINI.

Untuk menghasilkan Kuih Bakar Kemboja  ini, eloklah kita beri perhatian ke atas bahan-bahan yang digunakan. Sebaiknya gunakanlah bahan yang segar seperti santan dari parutan kelapa segar, dan juga jus dari daun pandan. Untuk menghasilkan aroma yang enak, sapukan acuan dengan minyak sapi.

Bahan-bahan:
1 1/2 cawan tepung gandum
1 1/2 cawan gula pasir - boleh kurangkan jika tidak suka manis
2 cawan santan pekat
15 helai daun pandan - kisar dengan 1 cawan air - perah / tapis untuk dapatkan 1 cawan jus pandan
4 biji telur gred A
1/2 sudu kecil garam
2 sudu besar minyak sapi - oleskan 1 sudu kecil  dalam setiap acuan
bijan secukupnya

Cara:
1. Panaskan oven pada suhu 200'C.
2. Kacau gula bersama telur hingga larut.
3. Masukkan santan, jus pandan bersama telur dan adun sebati.
4. Tapiskan adunan supaya tepung tidak berketul.
5. Tuang adunan ke dalam acuan dan bakar di dalam oven selama 10 minit.
6. Keluarkan acuan berisi adunan kuih tadi dan taburkan sedikit bijan di atasnya.
7. Masukkan kembali ke dalam oven dan bakar selama 50 -60 minit atau sehingga kuih masak dan berkerak.

Selamat mencuba!

Cucur Jawa a.k.a Penjaram & Secawan Kashmiri Kahwa

Mari ringan-ringankan jari-jemari mengadun tepung. Kita gunakan bahan-bahan yang ada di dapur, dan kemudian nikmati ketika masih panas...oppps! Jangan baru keluar dari kuali terus masuk mulut! Nanti melocot bibir tuh....kihkihkihhhhh! Haaa...kan terkeluar perkataan Jawa...melocot! Dah nama pun Cucur Jawakan?
Macam-macam nama diberi untuk kuih cantik ini. Topi Mexico pun namanya juga, selain Penjaram di LD. 

Jom nikmati Cucur Jawa a.k.a Penjaram dengan secawan teh Kahsmir! Teh Kashmir ni Amie beli semasa jalan-jalan ke Kashmir Mac lalu. Rasanya penuh dengan aroma rempah! Tak apalah, tak ada teh masala, Kashmiri Kahwa pun jadilah.


Bahan-bahan:
2 cawan tepung beras
2 cawan tepung gandum
200 gram gula melaka - parut
3/4 cawan gula pasir - jika suka manis, boleh tambah
2 cawan air
secubit garam 
minyak untuk menggoreng

Cara:
1. Ayak tepung beras bersama tepung gandum.
2. Kemudian masukkan gula pasir, gula melaka, garam, air dan gaul rata.
3. Tapis adunan.
4. Biarkan lebih kurang 8 jam - biasanya Amie siapkan adunan sebelum tidur dan biarkan semalaman. Keesokan paginya barulah Amie goreng.
5. Panaskan lebih kurang 2/3 cawan minyak di dalam kuali melengkung saiz kecil.
6. Masukkan satu senduk adunan ke dalam kuali. (Jika suka saiz besar boleh gunakan senduk besar tapi tambahkan minyak. Jika suka yang kecil dan comel, gunakan senduk saiz yang agak kecil).
7. Ketika adunan sedang digoreng, kuih mula kelihatan seakan-akan obor-obor, dan keruping-keruping di bahagian tepinya terbentuk.
8. Setelah kelihatan sempurna, terbalikkan kuih, dan ia akan kelihatan seperti topi coklat keemasan..
9. Biarkan sebentar dan kemudian angkat kuih penjaram tadi, dan toskan.
 
 Cucur Jawa enak dinikmati ketika masih hangat!
Pastikan perut dalam keadaan lapar ketika memakannya, pasti berkeping-keping Cucur Jawa masuk perut!
 

Ikan Masin Goreng dengan Terung

Masak sekali harung memang menjimatkan masa dan tenaga.
Ikan Masin Goreng dengan Terung adalah antara lauk makan tengahari yang paling mudah untuk disiapkan. Biasanya kalau balik kerja, Amie capai apa sahaja yang ada di dapur. Nasi tanak, lauk pun siap! Dalam pinggan lauk memang akan ada 2 atau 3 dalam 1...hiks!

Kata penjual ikan masin, nama ikan masin ini karahu. Buka kerapu, katanya. Iyolah...iyolah. Di sini Amie sebut ikan masin saja...ahaks!

Bahan-bahan:
250 gram ikan masin - bersihkan dan potong ikut citarasa - bilas
2 biji terung ungu - hiris serong
2 biji cili merah - potong ikut citarasa
7 biji cili hijau - potong ikut citarasa
20 biji cili padi
1 labu bawang besar - mayang kasar
2 cm halia - hiris halus
2 sudu besar cuka
1/2  kecil gula pasir
1 sudu kecil perencah Maggi Cukup Rasa

Cara:
1. Ikan masin dan terung goreng secara berasingan. Toskan minyak.
2. Tinggalkan 3 sudu besar minyak bekas gorengan kedua-dua bahan tadi di dalam kuali.
3. Masukkan bawang besar, halia, cili merah, cili hijau dan cili padi. Tumis hingga layu.
4. Tambahkan gula pasir, perencah Maggi Cukup Rasa, ikan masin dan terung goreng.
5. Kacau beberapa kali dan kemudian renjiskan cuka.
6. Padamkan api dapur.
7. Hidangkan bersama nasi panas.

Encik Suami selalu kata: Sedap makan kalau ada ikan masin. Tak pula dikata: Masaklah ikan masin! Menu ringkas ini memenuhi citarasanya!

Sup Kaki Ayam dengan Betik & White Fungus

Selamat berhujung minggu.
Hari ini Amie masak hidangan tengahari lebih awal.
Bila dah masuk dapur, sambil kemas sedikit-sedikit sambil sediakan sarapan, sambil juga siapkan bahan untuk masak tengahari. 
Memandangkan kali ini Amie nak masak sup kaki ayam, perlu sedikit masa lebih untuk merenihnya, jadi Amie fikir eloklah masak sekali harung di sebelah pagi. 

Seperti biasa, kalau ada betik mengkal memang Amie suka masak sup dengan ayam, atau kaki ayam. Suka sangat nak hirup kuahnya yang manis semulajadi dari buah betik! Ditambah pula dengan rasa pedas-pedas lada putih dan aroma daun kemangi! Aduhai....mau dua tiga mangkuk hirup kuah, sampai kembung...hiks!

Bahan-bahan:
500 gram kaki ayam - bersihkan dan potong ikut citarasa
1 biji betik mengkal anggaran 500 gram - kupas kulit, buang biji dan potong ikut citarasa
2 kuntum white fungus - rendam hingga kembang kemudian carik-carik
7 tangkai kemangi
2 liter air
1 labu bawang besar - belah 8
7 ulas bawang putih - belah 2
3 cm halia - hiris nipis
1 batang kulit kayu manis
3 biji buah pelaga
2 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
1 sudu kecil lada putih - tumbuh
garam / perasa pilihan secukupnya 

Cara:
1. Dalam sebuah periuk / kuali masukkan air, kaki ayam, betik, white fungus, bawang besar, bawang putih, halia, bunga lawang, bunga cengkih, kulit kayu manis dan buah pelaga.
2. Masak menggunakan api besar sehingga mendidih  selama 10 minit, dan kemudian perlahankan api. Renih sehingga kaki ayam menjadi lembut.
3. Perasakan dengan lada putih, garam dan perasa pilihan.
4. Biarkan seketika dan kemudian masukkan daun kemangi. Kacau sekali dua dan padamkan api dapur.

Akibat masak sup kaki ayam di awal pagi, makan kami sekeluarga bersarapan pagi dengan tambahan sup kaki ayam! Asyik menhgirup kuah yang manis lazat dari rasa buah betik, dan leka menikmati kaki ayam serta white fungus, maka habislah seperiuk Sup Kaki Ayam dengan Betik & White Fungus yang kononnya dimasak untuk hidangan tengahari!

Sabtu, 28 April 2018

Ikan Merah Masak Lemak Cili Padi

Bertemu kembali.
Terima kasih kepada followers yang baru kerana sudi memeriahkan dapur kecil ini.
Terima kasih buat pengunjung setia Amie's Little Kitchen.
Petang ini Amie kongsikan resepi yang sangat mudah tapi keenakannya tidak terkata! Cukuplah dijadikan sebagai lauk makan tengahari, dan sudah tentu mampu menambahkan lagi beberapa senduk nasi ke dalam pinggan!

Apa sebab Amie kata resepi sangat mudah tapi enak sekali? Tak perlu kupas bawang, hanya gunakan beberapa bahan sahaja. Inilah keistimewaan masak lemak cili padi orang Negeri Sembilan! Amie gunakan segenggam cili padi kampung yang masih hijau. Segenggam ye, bukan 5 atau 7 biji. Amie sempat kira, semuanya 30 biji! Apabila cili padi bertemu dengan santan, rasanya sudah tentulah tidak sepedas yang kita sangkakan. Santannya pula, gunakanlah santan segar, dan kalau boleh gunakan juga isi kunyit segar! Minta maaf, tak sempat korek isi kunyit di belakang dapur, Amie gunakan kunyit serbuk...hiks!

Bahan-bahan:
3 keping isi ikan merah
4 batang kacang panjang - potong 4 cm
2 biji tomato - belah 4
30 biji cili padi kampung - ditumbuk
1 cawan santan pekat tambah 3 cawan air
1 keping asam gelugur
2 batang serai - dititik
1 sudu kecil serbuk kunyit
garam / perasa pilihan secukupnya

Cara:
1. Masukkan ikan ke dalam periuk bersama cili padi tumbuk, serbuk kunyit, serai dan garam dan asam gelugur. Gaul rata.
2. Masukkan santan dan nyalakan api dapur.
3. Masak di atas api sederhana sambil dikacau selalu supaya tidak pecah minyak.
4. Apabila masakan mula mendidih, masukkan kacang panjang bersama tomato.
5. Tambahkan garam dan perasa pilihan sekiranya perlu.
6. Setelah kacang panjang berubah warna, dan isi ikan masak, padamkan api dapur.
 
 Cukuplah untuk dihidangkan bersama nasi panas! Tak perlu masak sayur dan lain-lain!

Ahad, 15 April 2018

Jejak Kenangan Yang Tertinggal di New Delhi - Agra - Srinagar - Pahalgam - Gulmarg

Rasanya tidak ada apa lagi yang hendak ditulis dalam entri terakhir ini melainkan melihat jejak-jejak yang ditinggalkan sepanjang perjalanan kami selama 7 hari 5 malam bermula dari KLIA - New Delhi - Srinagar - Pahalgam - Gulmarg. Ikut perjalanan Amie dan Kamsiah menjadi 9 hari 6 malam sebab perjalanan dari Lahad Datu - Tawau - KLIA - Tawau. Amie tambah lagi satu hari, bermalam di Tawau, jadi 10 hari.

Tertunailah hasrat hati untuk melihat sendiri Taj Mahal di depan mata.


Tumpang tangkap gambar di bilik Salawati dan Dayah. Pintu sarat dengan ukiran kayu yang cantik itu ialah pintu yang memisahkan bilik tidur dengan tandas.

Beginilah suasana ketika para peniaga datang ke houseboat. Mula-mula terkejut juga melihat seseorang duduk di ruang tamu dan menyapa kami dengan ucapan salam! Rupanya beginilah keadaannya! Mereka datang silih berganti membawa barangan dagangan masing-masing. Ada pula pada satu-satu masa dua hingga tiga orang peniaga datang sekaligus. Caca menghidangkan minuman panas untuk kami. Para peniaga ini pandai menyusun waktu. Ditunggunya kami selesai makan malam, mereka pun beri salam di luar pintu.

Hasrat untuk duduk santai di beranda houseboat sambil menikmati angin malam yang dingin serta alunan merdu bacaan al-Quran di persekitaran terbantut kerana setiap kali menjenguk keluar pintu, sudah ada beberapa orang peniaga di beranda dengan barang dagangan mereka. 

Mula-mula suka juga nak tengok-tengok, tapi bila sampai bab tawar-menawar ni Amie tarik dirilah. 





Menjelang pagi, kami ingin memanaskan diri di ruang tamu dengan hawa hangat dari bakaran kayu maple di dalam selinder logam. 
 Dan mengambil gambar di beranda sambil menikmati suasana pagi.

 Sedang sibuk menangkap gambar, beberapa buah perahu datang mendekat.

 Dah orang bagi ucapan salam, kita pun jawablah.

Tak sampai hatilah pulak untuk terus lari dan tutup pintu  bila mereka ingin menjual barang yang diniagakan. Lelaki di dalam perahu ini merapatkan perahunya sampai ke dinding houseboat dan menghulur sesuatu kepada Amie.
"Bungga...bungga...benih...benih," katanya.
Amie menolak dengan baik dengan mengatakan suhu di negara kita kurang sesuai dengan benih bunga dari tanah bersuhu rendah seperti Kashmir.

Amie bergegas tinggalkan beranda, dan entah bila masanya peniaga yang satu ini berada di ruang tamu! Terkejut beruk dibuatnya bila tiba-tiba dia beri salam!

Nampaknya Kamsiah sedang sibuk memilih key chain. Para peniaga ini tidak bimbang meninggalkan barangannya di dalam houseboat, dan pergi mengambil barang yang dikehendaki pelanggan di dalam sampannya! Ishh...issshhh! Memang mereka menaruh sepenuh kepercayaan kepada pelanggan!
Seboleh-bolehnya mereka tidak mahu 'melepaskan' kita agar membeli. Katakan pada waktu malamnya mereka datang membawa barangan perhiasan, Amie hanya mencuba dan bertanya harga sahaja, tetapi keesokan paginya dia datang semula menawarkan harga yang lebih rendah sehinggalah kita meninggalkan houseboat!

 Caca pula tidak melupakan kewajipannya menambah bahan bakar ke dalam selinder logam untuk memastikan ruang tamu sentiasa dalam keadaan hangat.

Kelmarin glove Amie basah akibat hujan semasa menunggang kuda di Pahalgam. Rupanya glove tersebut masih lembab. Amie letakkan di hujung selinder logam untuk mengurangkan kelembapannya, sebab sebentar lagi akan dipakai lagi untuk meneruskan aktiviti di Gulmarg.

 Penjual baju sejuk yang gigih ini tidak putus asa membuat tawaran harga.

 Nampaknya Salawati dan Izah sedang mencuba baju sejuk yang ditawarkan.


Baju sejuk yang dicuba pakai oleh Izah akhirnya beralih ke tangan Amie. Ta tahulah murah atau mahal, dengan harga RM250.00 (mereka terima mata wang kita) Amie terus bayar kepada peniaga tersebut. Pada masa yang sama, terdengar teriakan dari luar houseboat. Rupa-rupanya kumpulan kami sudah lama ditunggu untuk naik bas di shikara stand. Apalagi, kelam kabut kami dibuatnya! Amie yang sedang mencuba baju sejuk baru, terus membayar, kemudian mencapai glove, beg sandang dan cepat-cepat menyarungkan kasut! Baju sejuk terus melekat di badan!

Tiba hari terakhir kami di Dal Lake.
Ketika itu Amie sudah tidak menghiraukan sebarang jualan lagi kerana beg sudah penuh, dan rasanya melebihi 20kg! Apa tidaknya, malam tadi melayan lagi peniaga, entah apa lagi yang dibeli!


 Menaiki shikara buat kali terakhir pada 23 Mac 2018, bersama pada pagi Jumaat.


Entah bila lagi kaki kita akan jejak ke sini  kan Izah!

Dalam perjalanan dari houseboat menuju ke shikara stand pun, kami dikerumuni oleh beberapa buah perahu...peniaga masih berusaha untuk menjual barangan dagangan mereka!



Suasana di shikara stand. Gambar ini Amie ambil dari dalam bas. Rasa kasihan melihat para peniaga yang sanggup mengejar kami hingga ke dalam bas, memujuk kami agar membeli barangan mereka dengan tawaran harga yang semakin rendah! Suasana begini mengingatkan Amie keadaan yang sama di Agra, para peniaga fridge magnet berusaha menjual barang mereka sehingga ke pintu bas, dan Mr. Salman Khan serta Mr. Candra terpaksa memaksa mereka beredar dai situ! Nak tutup pintu bas pun susah!

 Selamat tinggal Dal Lake!

 Peniaga ini mengekori kami sehingga ke tangga bas dan ada yang terlepas naik masuk ke dalam bas!


Urus niaga di dalam bas masih diteruskan sehinggalah Mr. Tariq dan Mr. Candra terpaksa 'menghalau' mereka turun kerana jadual perjalanan ke Airport Srinagar sudah tiba. Kami perlu berada lebih awal sekurang-kurangnya 4 jam untuk melalui pemeriksaan keselamatan yang dikatakan sangat ketat!

Memang pemeriksaan keselamatan sangat ketat! Satu kilometer sebelum tiba di pintu lapangan terbang, kami sudah melalui pemeriksaan pertama. Pada masa ini beg-beg kami terpaksa diturunkan untuk melalui mesin pengimbas. Kami juga diperiksa. Syukurlah, Atie bersama Mr. Tariq mampu menguruskan dengan cekap dan sangat memahami tugas menurunkan beg dan mengangkut beg ke dalam bas adalah sesuatu yang agak sukar. Beg bukan sahaja berat tetapi memerlukan masa untuk sampai ke lapangan terbang! Beberapa orang pekerja di situ membantu dengan tips yang dikhaskan untuk mereka. Beberapa kali juga Mr. Tariq dan MR. Candra mengingatkan kami supaya jangan memberi sebarang tips sekiranya diminta kerana mereka sudah diberikan tips oleh Mr. Tariq!

Beginilah keadaannya, turun naik beg sehingga beg pun sudah tidak tersusun dan sebahagiannya terpaksa diletakkan di bahagian tempat duduk! Minta maaf, Amie tidak kira berapa kali turun naik, dan berapa kali melalui pemeriksaan di luar dan di dalam lapangan terbang! Rasanya lima kali, atau enam kali...atau mungkin tujuh kali. Bukannya tiga kali ye! 

 Keadaan di luar lapangan terbang. Kami menunggu di bahagian luar sebelum check in.




 Keadaan di perkarangan lapangan terbang Srinagar.


Nampaknya orang ramai yang berurusan terpaksa beratur panjang sampai ke jalan!
Wokeh, akhirnya kami pun selamat mendaftar masuk.  Kami terpaksa melalui beberapa pemeriksaan lagi. Yang paling tak seronok sudah tentulah bila hand carry kena buka dan keluarkan segala isinya! Kamera Amie pun disuruhnya buka, nak tengok gambar apa di dalamnya! Adeeehhh... satu lagi dua pasang brooch Amie terpaksa 'dibuang' dan yang sedihnya sebab kedua-dua brooch tersebut Amie belum pernah pakai. Saja jew Amie simpan dalam beg sandang, mana tahu brooch di tudung tercabut, adalah gantinya! Dompet pun kena selongkar sama! 

 Sempat masuk kedai buku.

Beli sebuah buku resepi berharga INR495. Amie bayar guna duit INR500. Boleh pula mamat ni pandang saja, tak pulangkan baki INR5. Amie tanya mana baki duit. Selamba saja dia jawab, tak ada duit kecil. Ikutkan hati mahu saja lempar balik buku tu! Apa boleh buatlah, kita di tempat orang! Tak apalah mat, INR5 tu dihalalkan. Lepas ini jangan buat begitu kat pembeli lain ye, nanti terbakar pulak kedai buku tu!

Pada mulanya tertanya-tanya kenapa seperti ada kesan tahi burung di tempat duduk? Rupanya memang ada burung dalam airport! Burung merpati!


Dalam catatan terakhir ini ada dua peristiwa pahit yang ingin Amie kongsikan.
Peristiwa pertama di Srinagar Aiport:
Ketika kami menuju ke pintu untuk pemeriksaan sekali lagi (entah kali ke berapa) sebelum menaiki kapal terbang, entah bagaimana Amie boleh terjatuh ketika menuruni tiga anak tangga yang terletak di bahagian luar pintu! Apa yang Amie sedar ketika itu ialah passport Amie terlempar bersama beg sandang serta hand carry. Ketika Amie menjerit, wanita India di hadapan Amie segera membantu Amie untuk bangun, dan seorang anggota tentera meluru ke arah Amie sambil bertanya : Are you okey? Dia kemudian cuba menarik lengan Amie tapi bila Amie kata 'okay' cepat-cepat anggota tentera tersebut bergerak ke arah anak tangga. Rupa-rupanya anak tangga ketiga berlubang, dan Amie tersalah pijak lubang tersebut lalu tersungkur jatuh! Sempat juga Amie melirik melihat lubang tersebut segera 'ditutup' oleh kaki anggota tentera itu. Rupanya selepas insiden yang berlaku sebentar tadi, dia terus bertindak pantas menutup kesilapan agar penumpang yang seterusnya tidak 'terlanggar' lubang di tangga tadi! Maka berdiri tegaklah anggota tentera tersebut di atas anak tangga menjadi penghalang kepada penumpang seterusnya agar tidak tersungkur seperti Amie!
Sakit?
Tuhan saja yang tahu betapa sakitnya tapak tangan menahan berat badan yang tersungkur, dan juga lutut yang tiba-tiba jadi kuda-kuda! Syukurkan bahagian bawah lutut (seluar) tidak terkoyak!

Peristiwa kedua di New Delhi Airport:
Kami meletakkan beg masing-masing di dalam troli, dan perlu menaiki empat atau lima kali (mungkin 4) eskulator yang landai. Kalau tak silap Amie, ketika kumpulan kami bersama troli masing-masing sedang menaiki eskulator yang ke tiga, tiba-tiba berlaku kemalangan yang tidak terduga! Apa yang Amie sedar ialah Amie berada di sudut untuk naik ke eskulator yang seterusnya bersama troly dan hand carry. Beg besar bersama passport hilang entah ke mana! Rupa-rupanya berlaku perlanggaran disebabkan sebuah troli yang tidak sempat keluar dari landasan eskulator! Ketika itu dentuman troli serta jeritan kedengaran bertalu-talu! Ya Allah! Di hadapan mata Amie sendiri menyaksikan dua kanak-kanak kecil tersebit di celah troli dan Amie sendiri turun berteriak ketakutan! Ibu kanak-kanak tersebut sudah berada di atas eskulator yang seterusnya hanya mampu berteriak meminta tolong. Mujurlah ada seseorang yang dengan pantas menarik kedua-dua kanak-kanak tersebut dari tersepit di celah troli. Ketika itu barulah Amie terpandang passport Amie yang tercampak, dilanggar oleh troli-troli mabuk yang kehilangan tuan.Tiada pengawal keselamatan di situ! Mujurlah mereka yang belum menjejakkan kaki di atas eskulator tidak melakukan demikian, jadi entah troli yang ke berapa buah berlanggaran dan tonggang terbalik, barulah keadaan menjadi reda! 
Astaghfirullahalaziimmm!
Peristiwa itu sungguh mengerikan kerana berlaku dalam tempoh yang sangat singkat di depan mata!
Khabarnya Maria turut terjatuh terlentang di atas eskulator dan Salawati mengalami lebam dan luka pada bahagian kakinya! Yang lain, Amie tak tahulah apa ceritanya.
Beg! Ya... beg!
Entah bila masanya beg Amie boleh terjatuh dari atas troli.
Rupanya Kamsiah terlihat beg Amie, dan begnya juga jatuh! Segera ditariknya beg Amie dan begnya sendiri ke satu sudut!
Alhamdulillah! Teringat pada ketika itu Amie berteriak... mana beg? Mana beg saya? Bayangkan sekelip mata segalanya boleh berubah!
Moral of the story dari peristiwa yang mengerikan ini, hati-hati sewaktu membawa troli ketika menaiki eskulator. Pastikan jarak perlu jauh, dan bukannya rapat-rapat. Mungkin kami rapat, tapi tak tahulah pula barangkali suasana panik, dan cemas! Segala-galanya boleh berlaku.
Malam itu, kami terbang dari New Delhi dengan pelbagai kenangan! Harap-harap segala rasa sakit kaki dan tangan tidak berlarutan. Ni tak boleh cerita lebih-lebih dengan Encik Suami....hihihiii! Nanti tak bolehlah jalan-jalan lagi. Lupa pulak nak rakamkan seribu terima kasih Encik Suami kerana benarkan Amie jalan-jalan ke India bersama teman-teman. Malam itu Air Malindo menghidangkan kami nasi bersama sayur-sayuran, hidangan vegetarian tapi tak dapat nak telan. Sakit-sakit badan masih terasa, dan mungkin juga sudah merindui masakan tempatan!

Pukul 4.15 pagi, 24 Mac 2018 kami mendarat di KLIA dan seterusnya bergerak ke KLIA2 untuk check in ke Tawau. Kami berpisah di KLIA dan terima kasih kawan-kawan kembara. In shaa Allah jumpa lagi dalam kembara akan datang. Selamat pulang ke Ipoh buat Salawati, Dayah dan ekor-ekornya, dan selamat kembali juga Izah dan Ilah ke tempat masing-masing bersama rakan-rakan yang lain. Terima kasih Atie Said kerana telah menguruskan trip kami dengan baik. Ada jodoh, mudah-mudahan ketemu lagi.

Di KLIA2 kami bersarapan bubur....Alhamdulillah!
Dan selepas itu kami ke surau untuk berehat seketika sebelum daftar masuk. Hairan pula, timbangan beg Amie semasa di New Delhi tertulis 20/1 bermaksud 20 kg sebuah beg, tapi bila ditimbang semula di KLIA2 seberat 22.4kg pulak! Amie tambahkan buku resepi yang tak dipulangkan INR5 di Srinagar Aiport dan menjadi 22.9kg. Bayar sajalah lebihan berat sebanyak 3 kg dengan harga RM37.10 setiap satu kg dan berjumlah sebanyak RM111.30 sen.
Rindunya dengan anak-anak!
Alhamdulillah flight KLIA2 - Tawau selamat mendarat pada pukul 4 petang. Encik Suami bersama Fairuz dan Firdaus sudah menunggu!

 Ini oleh-oleh sebiji epal Kashmir yang diagih-agihkan oleh Atie di KLIA.
Terima kasih Atie. 
Manis bersari epalnya, wangi lagi!
Saiznya pun besar!
Moga dapat ke Kashmir di musim yang lain pula! Nak rasa petik epal dan guling-guling bawah pokok epal Kashmir!

Happy belated birthday sayaaaangg Firdaus! Dia menagih janji untuk sambut birthdaynya sekali lagi! Kami tidak terus pulang ke Lahad Datu, sebaliknya bermalam di King Park Hotel kononnya meraikan ulang tahun si bujang kenit! Esoknya baru sambung perjalanan.

Sekian.