ADSENSE

Jumaat, 30 Mac 2018

Laksa Utara

Sudah menjadi kebiasaan tiga bulan kebelakangan ini, Amie tidak mengambil gambar hasil air tangan sendiri. Petang ini agak terkial-kial juga untuk mengambil gambar....hiks! Setakat gambar togel saja tanpa sebarang prop set. Bolehlah kan...yang penting, dapat memulakan kembali kebiasaan yang sudah lama ditinggalkan!
Oh! Hampir lupa nak kongsi cerita.  Resepi laksa kali ini Amie perolehi dari Norhidayah Su, rakan kembara ke India baru-baru ini. Norhidayah Su berasal dari Kedah, tetapi kini menetap di Perak. Apa yang membezakan dengan olahan sebelum ini ialah bahan-bahan kisar termasuk cili kering, bawang besar, bawang merah dan bawang putih direbus / dimasak terlebih dahulu sehingga kering dan kemudian barulah ditambah dengan isi ikan dan air rebusan ikan.


Bahan-bahan:
1 kg ikan selayang (rebus dan ambil isinya - kisar)
2 bungkus laksa (rendam hingga lembut dan celur hingga masak)
7 tangkai daun kesum
2 kuntum bunga kantan (belah 4)
4 keping asam gelugur
garam

Bahan kisar:
15 tangkai cili kering
10 ulas bawang merah
2 labu bawang besar
3 ulas bawang putih
1.5 cm belacan

Bahan hiasan:
1 biji timun (hiris halus)
2 labu bawang besar (mayang halus)
1/2 biji nenas (cincang)
5 biji telur (rebus dan belah 2)
2 biji lada merah / cili padi (hiris halus)
5 biji limau kasturi

Cara:
1. Masak bahan kisar sehingga kering.
2. Masukkan rebusan air ikan dan isi ikan yang dikisar.
2. Tambahkan daun kesum, bunga kantan, asam gelugur dan garam.
3. Masak hingga asam gelugur kembang dan jangan dibiar mendidih terlalu lama.
4. Letak sedikit laksa di dalam mangkuk dan tuangkan kuah ke atasnya.
5. Hiaskan dengan hirisan timun, bawang besar,lada merah, nenas,limau kasturi dan telur rebus.
6. Laksa sedia untuk dinikmati.
 
 Jemput ye....


Khamis, 29 Mac 2018

Gado-Gado Cocos

Assalamualaikum.
Selamat bertemu kembali setelah merehatkan diri agak lama dari dunia maya.
Terkial-kial jugalah kita untuk memulakan bicara... hiks!
Resepi ini sebenarnya agak lama tersimpan dalam folder. Waktu itu Fuad pulang bercuti sempena Tahun Baru Cina dari Labuan. Dia teringin makan pecal, jadi Encik Suami suruh Amie buatkan. Bagaimanapun, Encik Suami membeli bahan untuk gado-gado pula! Maka, hasil kejadiannya sudah tentulah gado-gado yang tak berapa lengkap aksesorinya!


Kebiasaannya, di LD memang lebih kurang beginilah rupa gado-gadonya, tetapi untuk gado-gado yang Amie sediakan ini Amie tidak bubuh taugeh. Apa yang penting kuah gado-gado mesti sedap! Jadi, bolehlah makan sepuasnya!
Boleh klik DI SINI untuk melihat resepi gado-gado yang pernah Amie buat. Di bawah ini Amie sertakan sekali lagi resepi gado-gado kegemaran keluarga kecil kami. Sebenarnya setiap kali menjelang Ramadhan, memang gado-gado beginilah yang Encik Suami dan anak-anak nikmati. Biasanya Encik Suami beli di Bazaar Ramadhan.



Bahan-bahan kuah:
2 cawan kacang tanah - goreng dan buang kulit - kemudian kisar sehingga 'hampir' halus
1 sudu besar pati asam jawa
3 helai daun limau purut
1 batang serai - dititik
5 cawan air
1 cawan santan pekat
garam dan gula melaka secukup rasa
1/3 cawan minyak

Bahan kisar:
10 biji cili kering
1/2 cawan udang kering - rendam hingga lembut - toskan airnya
1 labu bawang besar
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar, daun limau purut dan serai dengan api sederhana sehingga pecah minyak.
2. Tuangkan air dan kacau sekali-sekala sehingga mendidih.
3. Kemudian masukkan kacang tanah. 
4. Tambahkan gula melaka, dan pati asam jawa.
5. Tuangkan santan dan masak sehingga kuah menjadi pekat.
6. Taburkan garam secukupnya.
7. Kacau sekali lagi dan padamkan api dapur.

Sebaiknya kuah Gado-Gado disediakan beberapa jam lebih awal supaya rasanya mesra dan sebati sebagaimana kuah sate atau sambal nasi lemak!