ADSENSE

Selasa, 31 Januari 2017

Bingka Keledek Ungu

Tengahari tadi, sementara mencuci pinggan mangkuk, Amie rebus ubi keledek ungu. Ubi keledek tu rasanya dah lebih seminggu bertapa di sudut dapur. Encik Suami selalu perli : Rajin beli keledek warna itu ini, tapi akhirnya tumbuh menjalar di dapur!
Dah selesai cuci pinggan mangkuk, keledek yang direbus pun dah empuk. Amie toskan airnya dan tinggalkan di dapur. Solat zohor, dan selepas itu intai-intai si google. Terintailah ke dapur seorang rakan blogger yang dikasihi, tak lain tak bukan si Rahel dari Tawau itu! Apa khabar kau Rahel. lama  ndak dengar cerita! Na...kupinjam dulu ya resepi Bingka Keledek Ungumu itu!

Terima kasih banyak buat Rahel kerana sudi kongsi Bingka Keledek Ungu yang sangat sedap ini! Sesiapa yang berminat untuk mengetahui resepi ini dengan lebih lanjut bolehlah ke dapur Rahel DI SINI.


Cantikkan warnanya? Warna asli tanpa sebarang pewarna tambahan. Tak cukup makan sepotong, makan lagi dua tiga potong! Fairuz bukan main suka makan bingka ini, entah berapa potong masuk mulut!
Jom tengok resepinya di bawah ini. Amie copy paste dari dapur Rahel, dan dengan izinmu ya Rahel cayaaangg!


Bingka Keledek Ungu
Resepi by:Rahel

Bahan:
300g keledek ungu yg sudah dibuang kulit-kukus*
1 cawan tepung gandum-ayak
1 cawan gula pasir*
2 biji telur gred A*
1 cawan santan pekat*
1/2 sudu teh esen vanila
3 sudu besar minyak masak*
sedikit bijan untuk tabur
1/2 sudu teh garam*

Cara membuat:
1.Kisar bahan bertanda hingga halus.
2.Satukan bahan kisar dengan esen vanila dan tepung gandum,gaul rata.
3.Tuang ke dalam loyang 7'' yang telah digris dengan marjerin.Taburkan bijan.
4.Bakar dalam oven pada suhu 170'C selama 35-40 minit.
   Setelah masak biarkan betul-betul sejuk baru dipotong.


Memandangkan keledek ungu Amie agak melebihi jumlah resepi asal, jadi Amie pun ubah ikut sukatan yang sesuai. Keledek ungu yang Amie rebus, beratnya 500 gram. Jadi Amie pun tambahkan jumah sukatan tepung, gula, santan dan telur. Gula tu, Amie hanya lebihkan 2 sudu besar sahaja. Cukuplah tu rasa manisnya bagi Amie sebab keledek itu pun dah ada rasa manis semulajadi. Cara penyediaannya Amie ikut betul-betul dalam resepi Rahel.

 Ini adunan ubi keledek ungu, telur, gula, garam  dan santan yang telah dikisar bersama.

Tepung gandum pula, Amie ayak atas adunan yang dikisar. Sebaiknya ayaklah dahulu, kan Rahel? Adun hingga sebati bahan di atas.


Rahel gunakan acuan 7 inci, Amie gunakan acuan empat segi 8" X 8 ". Okeylah tu kan, untuk tampung jumlah sukatan yang Amie adun. Jangan lupa oleskan dengan marjerin di sekelilingnya. 

 Tuangkan adunan ke dalam acuan.

Taburkan bijan di atasnya. Masukkan dalam oven yang sudah dipanaskan. Amie bakar selama 35 minit menggunakan api bawah. Bahagian tepinya nampak mula lekang dari dinding acuan. Kemudian Amie gunakan api selama 8 minit atas nak bagi bijan atas bingka tu lebih garing.

 Keluarkan dari oven dan biarkan sejuk sebelum dipotong.

Biar benar-benar sejuk ye, baru boleh potong!
Bingka Amie ini tak berapa sejuk, terus potong sebab:
1. Tak sabar nak rasa.
2. Firdaus asyik nak mengacau, cubit-cubit bijan atas bingka tu!
3. Matahari dan mula sembunyi, Amie  tak ada teknik / kepakaran ambil gambar. Takut gambar tak terang!
Syukurlah, kuih tak 'cedera parah' bila kena potong...hiks!

Jom! Minum petang dengan Bingka Keledek Ungu.


Amie simpankan sedikit untuk Rahel. Mana tahu malam ni dia tiba-tiba muncul di Lahad Datu...he he he heee...

Isnin, 30 Januari 2017

Ikan Cencaru Sumbat Sambal Tomato

Sana sini terdengar keluhan betapa mahalnya harga ikan!
Encik Suami pun, selalu kata daripada beli ikan baiklah beli ayam! Harga ikan melambung naik dari sekecil ikan basung sampailah ikan saiz besar, ikan laut dalam!
Kalau beli pun, selalunya dapat ikan lama, perut sudah terburai dan tentunya isinya tidak berkualiti. Tapi, sesekali nak juga makan ikan. Mengenang Fuad yang pulang bercuti dan suka makan ikan, kami pun belilah juga ikan.
Bagaimanapun, rasa belas kepada nelayan timbul di hati. Sekarang musim laut bergelora, dan cuaca tidak menentu! Moga para nelayan samada nelayan kecil atau nelayan besar, sentiasa dalam keadaan selamat ketika berada di tengah lautan mencari rezeki.
Wokey, dah cerita tentang ikan sudah tentu nak cerita resepi ikan!
Aie panggang ikan cencaru, sumbat dengan sambal tomato. Mulanya nak buat sambal kelapa, tapi kelapa parut sudah rosak! Kelmarinnya, keluarkan kelapa dan ikan cencaru, tapi bila Encik Suami pulang, diajaknya kami makan di luar! Amie simpan semula ikan cencaru di dalam peti sejuk, tapi terlupa nak masukkan sekali sebungkus kelapa parut! Esok paginya baru tersedar!
Tak apalah, tak ada kelapa parut untuk sumbat ikan, kita buat cara lain pulak.


Bahan-bahan:
2 ekor ikan cencaru - bersihkan dan belah belakang
1/2 sudu kecil serbuk kunyit
1 biji tomato - cincang
1/2 sudu kecil pati asam jawa
garam / gula / perasa pilihan

Bahan tumbuk kasar :
10 biji cili padi
3 biji bawang merah
1 ulas bawang putih
sedikit belacan

Cara:
1. Campurkan bahan tumbuk dengan tomato cincang, pati asan jawa, garam / gula / perasa pilihan. Gaul sebati
2. Lumurkan ikan dengan serbuk kunyit dan garam.
3. Masukkan sambal tomato tadi ke dalam 'poket' belakang ikan cencaru.
3. Panggang hingga masak.

 Ini saja bahan yang diperlukan.

Kalau suka, masukkan sekali tomatu cincang ke dalam lesung dan gaul terus.

Pangganglah di mana-mana tempat pemanggang...hiks! Dalam oven boleh, dalam kuali boleh, atas bara lagilah boleh!

Dah siap!

Ahad, 29 Januari 2017

Resepi Amie's Little Kitchen di Majalah SAJI Edisi Februari 2017

Terima kasih sekalung  budi buat Majalah SAJI kerana sekali lagi menampilkan 10 resepi Amie's Little Kitchen yang terdiri daripada hidangan lauk-pauk tradisional. Jangan lupa dapatkan senaskhah untuk koleksi anda!



Abadikan kenangan sewaktu mengikuti Diploma Pendidikan 1991/92. Tinggal bersama rakan-rakan UM di rumah setinggan, Pantai Dalam. Salah satu kongsian resepi istimewa Hasnah (kawan Amie ni orang Kedah tapi entah di mana sekarang) ialah Kerabu Daging Mentah!

 Acar Beluit Masin

 Pecak Jantung Pisang

 Kerabu Bunga Betik

 Gulai Batang Pisang

 Asam Rebus Keladi Cina dengan Isi Siput

 Sambal Lemak Ikan Bayan

 Sambal Tumis Petai Belalang

 Paku Rawan Masak Lemak dengan Lokan

Sambal Perut Lembu dengan Terung Pipit

Sabtu, 28 Januari 2017

Kuih Cek Mek Molek

Apabila namanya
Ditanya dia masam
Namun begitu
Jelingannya
Aku faham
Senyumlah senyumlah
Ah! Ha!
Cek mek molek

Nyanyi sambil gelek-gelek macam M. Daud Kilau naa.... Jangan lupa gorengan Cek Mek Molek dalam kuali tu, nanti hangus pulak!
Jom gentel-gentel adunan keledek dengan tepung gandum nak buat Kuih Cek Mek Molek! Dah berapa kali buat kuih ini, tapu susah sikit nak cerita tentang sukatannya, terutama bab tepung gandum tu. Yang penting, bila diuli, boleh jadi doh untuk dibentuk, boleh luluslah tu.

Amie dapat 18 biji Cek Mek Molek yang comel lote daripada bahan-bahan berikut:
3 biji ubi keledek oren - sempat timbang kira-kira 400 gram
1 3/4 cawan tepung gandum
1 sudu kecil garam
gula pasir secukupnya
minyak

Cara:
1. Kupas ubi keledek dan rebus dengan garam hingga empuk. Kalau tak kupas kulit pun boleh. Pastikan ubi keledek dicuci bersih terlebih dahulu.

2. Toskan ubi keledek rebus dan lenyek hingga hancur. Kalau nak tumbuk dalam lesung pun boleh, lagilah halus mulus hasilnya. Lepas itu Amie biarkan seketika. Agak-agak sejuk sedikit Amie tambahkan tepung gandum.

3. Adun ubi keledek dengan tepung gandum hingga sebati dan boleh dibentuk. Kalau adunan terlampau lembik sehingga melekit-lekit, tambahkan sedikit tepung lagi.

4. Bahagikan doh mengikut saiz yang diingini. Saiz yang comel-comel jew...kan namanya Cek Mek Molek! Lepas itu bulatk-bulatkan doh dan leperkan. 
5. Bubuh setengah sudu kecil gula pasir di dalamnya. Kalau nak lebih manis, boleh tambah lagi.

6. Kemudian tutup dengan kemas macam dalam gambar di atas tu. Nampak bulatkan! Biasanya air tangan mengikut bentuk badan tuannya...ahaks! Jadi, tahulah sudah kan...tuannya ni pun saiz bulat gitu! Bagaimana acuan begitulah kuihnya kan...hiks!

Budak Firdaus ni kan... dengan tak pakai bajunya, dengan bantal busuk sangkut kat belakang kerusi tu... tak habis-habis pujuk  mommy nak tolong  gentel kuih! Akhirnya dapat juga dia tolong susun Cek Mek Molek!

7. Inilah hasilnya. Dan sedia untuk digoreng.

8. Panaskan minyak untuk goreng terendam. Gaya goreng Cek Mek Molek ni macam gaya goreng karipap atau popia. Tak mahu api kuat atau api besar, nanti terkejut dia! Kalau goreng karipap dan popia dengan api kuat, hasilnya tentulah agak menggerutu kulitnya sebab terkejut badak! Kita nak bagi gula di dalam Cek Mek Molek tu masak cair dengan perlahan-lahan.

9. Setelah Cek Mek Molek kelihatan kuning keemasan dengan penuh cahaya kecantikannya...hihihiii... bolehlah angkat dan toskan minyaknya.

10. Sabarlah menunggu seketika sehingga sejuk sikit. Jangan terus makan tau, nanti melocot bibir terkena gula panas! 
Waktu ini memang takut betul kalau Firdaus tiba-tiba masuk dapur mintak Cek Mek Molek! Takut dia tak sabar, nak terus makan! Kebetulan Encik Suami pulang, dia pun lari menagih aiskrim! Selamat!

Jom...Cek Mek Molek!

Pegedil Jagung @ Perkedelek

Selamat bercuti sempena Tahun Baharu Cina, Tahun Ayam 2017.
Jom ambil kesempatan jengok dapur, bagi yang tak ke mana-manalah seperti Amie. 
Kali ini Amie nak kongsikan sejenis makanan tradidi masyarakat Bugis di Sabah iaitu Pegedil Jagung. Amie pernah buat beberapa kali, terutamanya ketika Amie sediakan bubur jagung atau barobbo  DI SINI dan DI SINI.
Terima kasih buat Nani Daud yang sudi kongsi nama pegedil jagung mengikut sebutan masyarakat Bugis iaitu 'perkedelek'. Katanya makanan ini wajib ada semasa majlis perkahwinan masyarakat Bugis.


Amie pun sebenarnya banyak terdedah dengan pelbagai makanan tradisi masyarakat Bugis. Biras Bugis, anak buah kahwin dengan orang Bugis, jiran kiri dan kanan Bugis, kawan-kawan Bugis, dan dua kali pernah ambil pembantu rumah berketurunan Bugis.
Berdasarkan pengalaman dan pengamatan Amie, Pegedil Jagung @ Perkedelek ini mempunyai pelbagai versi. Maksudnya, dari segi penggunaan bahan dan juga cara memasaknya. Kalau biras Amie buat, biasanya ia lebih kepada rupa dan bentuk jemput-jemput, dengan melebihkan penggunaan tepung. Kalau jiran pula, lebih kepada penggunaan jagung dan hampir sama dengan pegedil jagung yang dijual di pasar malam. Ada yang tumbuk hancur separuh daripada jagung. Amie suka semuanya. Pantang jumpa pegedil jagung, rasanya nak duduk mengadap meratah sepanjang masa sampai habis!
Wokey...
Jom kita lihat bahan-bahan untuk membuat perkedelek.

Bahan-bahan:
3 batang jagung  manis - hiris biji jagung dari batang
2 sudu besar tepung jagung
2 sudu besar tepung gandum
1 labu bawang besar - cincang 
3 tangkai daun sup - hiris 
1/2 sudu kecil lada putih - tumbuk
sebiji telur
garam / gula / perasa pilihan
minyak

 Sebaiknya gunakan jagung manis atau jagung muda. Isinya lembut.

 Ada juga yang tidak gunakan dun sup. Kalau Amie beli di pasar malam, jarang jumpa yang berdaun sup.

Boleh gunakan bawang merah dan bawang putih serta halia. Kali ini Amie gunakan bawang besar saja. Kalau gunakan bawang merah, bawang putih dan halia, eloklah tumbuk ketiga-tiganya sekali.

 Ambil 1/2 sudu kecil sahaja lada putih tu.

Tentang tepung pula, biasanya biras dan anak buah gunakan tepung gandum sahaja. Amie campur tepung gandum dengan tepung jagung.

Mula-mula kita hiris isi jagung. Bukan hiris terus sampai ke batang, tapi hiris nipis beberapa kali sampailah ke batang jagung. Amie dapat 4 kali hirisan.

 Wokeh!
Isi jagung daripada hirisan 3 batang jagung manis!
Kalau rajin, bolehlah tumbuk atau kisar separuh hirisan jagung tu. Amie malas nak buat...hiks!

Cara:
1. Masukkan isi jagung ke dalam sebuah mangkuk.
2. Tambahkan bawang besar cincang dan hirisan daun sup.

 3. Pecahkan sebiji telur dan masukkan ke dalam bahan adunan.

 4. Taburkan lada putih dan perasa. Suka hatilah dah bubuh garam ke, gula ke atau apa-apa. Amie bubuh dua sudu kecil MAGGI CUkup Rasa.

 5. Lepas tu gaul bahan tadi.

 6. Tambahkan dua sudu besar tepung jagung. Dan gaul lagi.

 Beginilah rupanya bila sudah digaul dengan tepung jagung.

 7. Tambahkan lagi dua sudu besar tepung gandum.

Setelah digaul rata, beginilah rupanya. Ada pun kalau nak gaul semua bahan sekali harung pun boleh. Tak ada masalah.

8. Panaskan minyak. Dalam bab minyak ni, sebab nanti pegedil jagung tu jadi leper, jadi tidak perlu bubuh minyak terlalu banyak. 
9. Ambil satu sudu besar adunan dan letakkan dalam kuali. Adunan akan terbentuk sendiri.

10. Terbalikkan pegedil untuk mendapatkan warna kuning keemasan pada kedua-dua belahnya.

 11. Angkat dan toskan.

 Boleh juga buat saiz kecil sedikit. Bubuhlah 3/4 atau 1/2 sudu besar saja seperti di atas tu. Jadi hasilnya lebih comel! Sekali masuk mulut saja!

Jom ratah!
Tak ada barobbo... makan saja gitu!