ADSENSE

Sabtu, 30 Disember 2017

Kerabu Pucuk Meranti

Tengahari tadi, sebaik selesai mesyuarat kita pun terus meluncur ke pasar! Sejak Farid pulang bercuti, memang jenuhlah memikir nak masak apa. Farid berbeza selera dengan Fuad! Kalau pulang bercuti, Fuad mesti ternanti-nanti masakan ikan, dan makan dengan penuh selera! Farid pula, kurang berminat dengan ikan tetapi lebih suka makanan laut yang lain seperti udang goreng tepung dan sotong goreng telur masin. Malam tadi, kami bawa Farid mencari makanan kegemarannya itu di luar. Hari ini, Amie berangan untuk masak kari ayam sebagai lauk makan tengahari, dan bila Farid dengar bukan main suka hatinya! Jadi, menjinjinglah daging ayam segar dengan seikat pucuk meranti dari pasar!
Tak perlulah kongsi ayam masak kari, sebab dah banyak kali Amie tuliskan di dapur maya ini. Amie cuma nak cerita tentang pucuk meranti...ahaks!

Sebenarnya 'pertemuan' Amie dengan pucuk meranti ini merupakan satu rezeki. Bukan senang nak dapat sayur kampung ini! Rasanya, lebih 25 tahun Amie di LD, ini merupakan kali kedua atau ketiga Amie jumpa dengannya!
Terpandang sahaja sayur meranti, memang terus terbayang kenangan lama sewaktu zaman kanak-kanak di kampung laman nun di sana. Sayur meranti memang mudah kami perolehi terutama di atas tanah terbuka yang akan ditanam semula. Maklumlah, hidup sebagai anak penoreh getah, segala sayur-mayur pun dari kategori sayuran organik! Ha haaaaa... Sayur-sayuran  yang kami makan, tumbuh sendiri hasil bawaan biji benih oleh serangga tanpa gangguan semburan racun serangga! Termasuklah sayur kangkung liar, bayam dan juga pakut pakis dan beberapa jenis kulat! 
Biasanya, sayur kangkung dan sayur pucuk meranti Bonda akan masak tumis, dan paling sedap tentulah apabila Bonda olah menjadi kerabu! Cerita tentang kangkung kampung yang agak liat dengan warnanya yang putih dan ungu, kebetulan masih ada beberapa batang kangkung kampung, jadi Amie campurkan dengan pucuk meranti untuk dijadikan kerabu macam yang pernah Bonda buat!

Bahan-bahan:
15 tangkai sayur meranti - ambil daun dan pucuknya yang muda 
5 pokok sayur kangkung -  ambil daun dan pucuknya yang muda
10 biji isi petai - hiris nipis (tak bubuh pun tak apa)
1 cawan kelapa parut
2 sudu besar jus limau kasturi
garam / gula / perasa pilihan secukupnya

Bahan tumbuk:
3 ulas bawang putih - belah 2 dan goreng
5 biji bawang merah - belah 2 dan goreng
10 biji cili padi - campur merah dan hijau
3 sudu besar udang kering - rendam hingga lembut 

Cara:
1. Celur pucuk meranti dan sayur kangkung hingga masak - angkat dan rendam dalam air sejuk - toskan - perah sedikit supaya airnya keluar
2. Campurkan bahan tumbuk dengan kelapa parut, dan gaul sebati.
3. Masukkan pucuk meranti dan kangkung serta hirisan petai dalam sebuah bekas. Kemudian masukkan kelapa parut yang telah dicampur dengan bahan tumbuk tadi.
4. Tambahkan garam / gula atau perasa pilihan lain serta jus limau kasturi.
5. Gaul rata dan sedia untuk dihidang.

Kerabu Pucuk Meranti ini habis Encik Suami ratah seorang! Amie tak makan sebab sakit gigi....huhuhuuuk! Farid dengan Fairuz pula sudah cukup berbahagia menyantap nasi dengan ayam masak kari!

Jumaat, 15 Disember 2017

Manuk Ballahan Lahad (Ayam Masak Kampung)

Disember ini, tuan dapur semakin menyepikan diri. Apakan daya, ada tugas lain yang lebih penting dan menuntut sebahagian besar waktu untuk menyiapkannya. Terasa rindu untuk memasak di dapur, namun terpaksa meminta anak bujang, Fairuz masak apa yang patung untuk isi perut.
Dalam kesibukan itu pun, sempat jugalah masak sekali dua, seringkas-ringkasnya walaupun selera sebenarnya menuntut lebih daripada itu. Apa pun, Manuk Ballahan Lahad atau Ayam Masak Kampung, resipi masakan masyarakat Bajau ini menjadi pilihan untuk makan tengahari.

Bahan-bahan:
1 kg daging ayam - potong 8 bahagian
500 gram labu kundur - kupas kulit dan potong dadu
1 batang serai - dititik
800 ml air
garam / gula / perasa pilihan
4 sudu besar minyak

Bahan tumbuk:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
3 cm kunyit hidup
3 cm halia
20 biji cili padi
 
Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk serta serai hingga wangi.
2. Masukkan daging ayam dan kacau rata.
3. Setelah daging ayam berubah warna, tambahkan air. Biarkan hingga kuah mendidih.
4. Masukkan labu kundur, dan masak sehingga ayam menjadi empuk.
5. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.



Senang saja nak masak Manuk Ballahan Lahad ini kan? Amie gunakan resipi yang Amie pernah masak di sini : Ayam Masak Kampung - Manuk Ballahan Lahad.

Khamis, 7 Disember 2017

Sayap Goreng Harum Serai

Mulanya Amie cadang untuk masak sayap ayam goreng berempah, tapi bila masuk dapur tukar fikiran pulak! Kalau boleh nak masak yang simple dimple saja. Jimat masa dan boleh tumpukan kerja menjunjung titah seri paduka baginda di musim cuti sekolah! Ikutkan hati, memang nak beli nasi bungkus untuk makan tengahari, tapi kesian pulak anak-anak yang sedang bercuti terutamanya Fuad yang akan berangkat ke Labuan pada hari lusa, tak dapat merasa hasil air tangan ibu setelah dapur tak berasap hampir seminggu lamanya.

Amie masak sekali harung, goreng ayam tambahkan sayur kacang panjang. Cuma, tambah aroma sedikit dengan memasukkan serai! Jom kita lihat resepinya di bawah ini.


Bahan-bahan:
10 ketul sayap / kepak ayam - potong 2 - tambahkan sedikit garam dan serbuk kunyit - gaul rata dan perap seketika
7 batang kacang panjang - potong sepanjang 3 cm
2 batang serai - ketuk dari tunggul hingga ke bahagian atas - kemudian potong 2, gunakan semua bahagian
1/2 sudu kecil lada putih - tumbuk (tak gunakan pun tak apa)
garam / gula / perasa pilihan
 

Bahan hiris kasar:
2 biji cili merah
2 biji cili hijau
3 cm halia
3 ulas bawang putih
1 labu bawang besar

Cara memasak:
1. Goreng ayam hingga masak dan kemudian toskan minyak.
 
2. Tingggalkan 3 sudu besar minyak bekas gorengan ayam tadi di dalam kuali. Tumis bahan hiris kasar kecuali bawang besar.

 3. Apa bila bahan tumisan mula terbit bau, masukkan serai dan kacau beberapa kali.

 4. Masukkan kacang panjang.

 5. Gaul rata sehingga kacang panjang berubah warna.

6. Kemudian masukkan sayap ayam goreng bersama hirisan bawang besar. Tambahkan juga perasa seperti garam / gula / perasa pilihan dan lada putih tumbuk.
7. Kacau beberapa kali dan kemudian padamkan api dapur.

Nak makan dengan nasi pun boleh, nak ratah begitu saja pun boleh.

Sempat juga buat sambal belacan, tapi sambal belacan ekspress... masuk pengisar! Dan kutip beberaa helai daun pegaga, daun kencur, dan apa-apalah lagi yang ada dalam peti sejuk.