Kelok 44 - Museum Rumah Kelahiran Buya HAMKA

9:09 PTG

Alhamdulillah.
Masih diberi kesempatan untuk meneruskan catatan perjalanan ke Bukit Tinggi, Sumatera Barat. 
Sebaik sahaja meninggalkan Danau Maninjau, kami menuju ke sebuah perjalanan penuh liku, iaitu Kelok 44, dan sudah tentunya teruja untuk menyaksikan sendiri tanah tumpah darah, tanah kelahiran Buya HAMKA, seorang penulis dan ulama terkenal di Indonesia.

Nampaknya ada di antara kami yang tidak sanggup berhadapan dengan risiko mabuk, pening kepala akibat menempuh jalan berliku-liku! Terlebih dahulu mereka menelan pil anti mabuk! Sayangnya, dengan kesannya nanti, memang berasa mengantuk dan ingin tidur, tetapi sudah tentu tidak dapat menikmati sepenuhnya pemandangan di kiri kanan dan hadapan sepanjang Kelok 44!
Kami bermula dari Kelok 44, seterusnya menempuh Kelok 43, 42 dan berpusing melingkari kawasan berbukit yang terletak di atas Tasik atau Danau Maninjau! Masha Allah! Ia bukanlah kelok atau liku seperti yang dibayangkan, melainkan selekoh jalan yang melengkung tajam! Namun, Pak Herman yang memang memiliki kepakaran memandu di kawasan tersebut kelihatan sangat tenang dan begitu cermat pemanduannya! Sebelum Pak Herman menekan brek, kaki kami dahulu yang 'membrek'!

Papan tanda berwarna kuning di sebelah kiri jalan hadapan mengingatkan:
HATI-HATI
BANYAK TIKUNGAN TAJAM
SEPANJANG 8 KM
BUNYIKAN KLAKSON
PADA TIAP TIKUNGAN
Selain adanya cermin di selekoh jalan untuk memberi isyarat awal kenderaan dari bawah atau atas bukit, peringatan lain turut diberikan misalnya hendaklah mengutamakan kenderaan dari bawah, dan bermakna kenderaan kami yang bermula dari Kelok 44 apabila tiba di selekoh, akan memastikan tiada kenderaan dari bawah sebelum meneruskan pemanduan. Dan berhenti seketika untuk memberi laluan kenderaan dari bawah!
Bayangkan, selain van, kereta, lori pun ada!

Kami disuguhi dengan pemandangan nan menghijau termasuk sawah padi, dan menariknya banyak binaan masih mengekalkan bumbung bagonjong dengan ukiran tradisi Minangkabau yang halus dan penuh seni!

Ada ketikanya, untuk melupakan seketika kecut perut akibat terlalu banyak melalui selekoh tajam, lensa kamera sempat menembak arah Danau Maninjau!

Kagum dengan alam semula jadi! Subhanallah!
Kehijauan masih terdapat di mana-mana.
Sesungguhnya penduduk di Tanah Minangkabau ini sungguh bertuah kerana masih dapat menghirup udara segar tanpa pencemaran hutan batu!

Melihat suasana begini, sudah tentunya mampu mengimbau segala nostalgia lalu!
Syahdu!

Mudah-mudahan usaha melestarikan alam sekitar diteruskan untuk diwariskan buat generasi akan datang!

Pelbagai jenis tumbuhan subur merimbun meredupkan suasana. Sejuk mata memandang.

Terlupa, bahawa kami telah melepasi 44 selekoh tajam di Kabupaten Agam, Sumatera Barat!

Di mana pun juga, Danau Maninjau tetap kelihatan!
Dan, kami mula menghampiri tanah kelahiran Buya HAMKA.

Sebuah masjid yang sangat cantik!

Dan kami meneruskan perjalanan melalui lorong yang agak sempit.

Melewati perkampungan, menyaksikan para petani membanting tulang di tengah sawah, melihat jajaran pohon pinang dan segala macam aktiviti harian penduduk tempatan.

Menyusuri perjalanan berkelok sepanjang 8km, sempat juga kepala mengingat sedikit sebanyak karya-karya Buya HAMKA yang pernah dibaca. Antaranya, Tafsir Al-Azhar yang sebenarnya masih belum sempat khatam dan masih tersusun rapi di rak buku pepustakaan kecil di rumah kami. Memang rasa sangat kagum dengan ketinggian ilmu yang dimiliki oleh beliau.  Cara olahan dan penyampaiannya serta gaya bahasanya sangat indah, dan sudah tentulah situasinya yang sedang dalam tahanan (dipenjara oleh Sukarno) memungkinkan beliau menghasilkan karya yang begitu menyentuh!

Membaca Tafsir Surat Al-Fatihah  : Meninggalkan kesan mendalam betapa Buya HAMKA berjaya mendekatkan hati pembaca kepada Penciptanya melalui gaya bahasanya yang mudah difaham, dengan susunan kalimahnya yang indah dan penuh makna!
Selain penglibatan beliau sebagai aktivis agama, Buya HAMKA juga terlibat dengan aktiviti politik. Kalau Amie nak tulis di sini, sudah tentu akan jadi satu biografi pula! 
Amie teruskan dengan salah sebuah hasil karangan beliau ketika zaman mudanya. Salah sebuah novelnya yang terkenal sehingga ke hari ini ialah novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck! Namun, novel ini pernah menjadi kontroversi kerana dikatakan merupakan novel plagiat dari novel asal iaitu  Sous Ies Tilleuls (Di Bawah Naungan Pohon Tilia) karangan  Jean-Baptiste Alphonse Karr (24 November 1808 - 29 September 1890)  seorang pengkritik, wartawan, dan novelis Perancis. Sous Ies Tilleuls diterbitkan pada tahun 1832, dan kemudian diterjemahkan ke dalam bahasa Arab oleh cerdik pandai Mustafa Luthfi Al-Manfaluthi dengan diberi judul MAJDULIN.

Walaupun pernah membaca karya-karya lain Buya HAMKA, tetapi Amie hanya menemui novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck ini pada 30 November 2005 di Pustaka Minerva, Kuala Lumpur ketika sedang menghabiskan masa, menanti malam menjelma untuk berlepas terbang ke Kota Kinabalu. Sebelum ini, hanya mendengar ada sebuah novel bertajuk Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck melalui bacaan rencana dalam majalah terbitan DBP, tapi tidak pernah menemui naskhah novel tersebut!
Dan siapa pula gambar wanita di bawah ini?


Inilah kulit depan novel MAGDALENA! Novel ini Amie beli di Pekan Buku, Universiti Malaya pada 20 Julai 1988 dan lebih 13 kali mengulangbaca! Muka terdahulu novel ini, menyebut tentang usaha menterjemahkan novel MADJULIN dari bahasa Arab ke bahasa Indonesia / Malaysia oleh A.S.Al-Attas dan diberi tajuk MAGDALENA. Dalam prakata tersebut, dinyatakan juga punca novel ini diterjemahkan adalah untuk mencari solusi terhadap kontroversi dalam dunia kesusateraan Indonesia yang menyatakan bahawa Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck adalah peniruan atau plagiat oleh HAMKA terhadap novel asal Alphonse Karr iaitu Sous Ies Tilleuls. 
Jika anda berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang kontroversi ini bolehlah tanya Pak Google ye!
Apa yang Amie dapat simpulkan ialah, barangkali idea untuk menulis karya Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck ini Buya HAMKA perolehi setelah membaca MADJULIN, dan bukan bertujuan untuk menciplak karya tersebut! Berdasarkan riwayat hidupnya, Buya HAMKA banyak menghabiskan masanya dengan membaca buku falsafah, sastera, sejarah, sosiologi dan politik. Dengan memiliki kemahiran bahasa Arabnya yang tinggi, beliau menyelidiki karya ulama dan tokoh besar di Timur Tengah seperti Zaki Mubarak, Jurji Zaidan, Abbas al-Aqqad, Mustafa al-Manfaluthi dan Hussain Haikal. Melalui bahasa Arab juga beliau mengkaji karya sarjana Perancis, Inggeris dan Jerman seperti Albert Camus, William James, Sigmund Freud, Arnold Toynbee, Jea-Paul Sartre, Karl Marx, dan Pierre Loti.
Sumber : WIKIPEDIA 
Oh!
Dah sampai ke Museum Rumah Kelahiran Buya HAMKA rupanya!
Kena daki anak-anak tangga untuk sampai ke muka pintu.


Bagaikan ada sesuatu yang menjentik kalbu bila berada di sini!
Melihat dengan mata kepala sendiri barang-barang kegunaan Allahyarham sewaktu hayatnya, mesin taip lama yang banyak berjasa kepada tuannya semasa hayat dikandung badan! Juga sebuah beg @ kopor, yang mungkin diisi dengan kelengkapan pakaian ketika beliau berpergian.


Barangkali dengan mesin taip ini jari-jemarinya mengetik patah demi patah perkataan ketika mengarang novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, sebuah karya yang penuh kritikan adat Minang:
Meskipun dia akan diterima orang dengan muka manis, yang terkandung di dalam hati mereka tentu lebih pahit. Sebab dia tak berwang, kepulangannya menimbulkan cemburu hati keluarga-keluarga dalam persukuan.
Kalau tidak ranggas di Tanjung,
Cumanak ampaian kain,
Kalau tidak emas dikandung,
Dunsanak jadi rang lain.
Tidak, dia tidak hendak pulang, meskipun hatinya meratap teragak pulang. Bukan sedikit hari 12 tahun, entahlah gedang pohon kelapa yang ditanamkan di muka halaman ibu, entah telah bersisik keris. Dia mesti hilang, mesti larat kerana kehilangannya seorang, belum sebagai kepecahan telur ayam sebuah bagi orang di kampung.
Berkesempatan menjenguk bilik beradu, bilik kelahiran Allahyarham Buya HAMKA dari rahim bondanya, Shafiyah binti Bagindo Nan Batuah.

Dan juga, koleksi buku yang dihasilkan semasa hayatnya.
Antara anugerah yang pernah diberikan kepada Allahyarham termasuklah:
  1. Doktor Kehormat Causa dari Universiti al-Azhar Mesir pada 1959M, atas jasanya dalam penyiaran agama Islam dengan menggunakan bahasa Melayu.
  2. Guru Besar (Profesor) oleh Universiti Moestopo Jakarta pada 1960M.
  3. Doktor Kehormat oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1974M, dalam bidang kesusasteraan.
Suasana di sini sepi, hening!
Jauh dari apa yang pernah Amie bayangkan sebelum ini. Jauh dari keriuhan dan kemasyhuran sebagaimana masyhurnya karya-karya beliau di negara jiran! Semuanya duduk berteleku dan membisu mendengar 'ceramah' yang disampaikan oleh pewaris Buya HAMKA yang menjaga 'rumah' ini.
Mudah-mudahan hasil peninggalan Buya HAMKA akan terus terjaga, kerana ia adalah permata Minangkabau dan Indonesia seluruhnya! Permata perlu digilap, agar terus bersinar sepanjang zaman!

Kami menuruni anak tangga, meninggalkan Museum Rumah Kelahiran Buya HAMKA.
Sebagaimana harapan beliau agar Allah melapangkan kubur Ayahandanya, Dr. Syaikh Abdulkarim Amrullah, kekandanya, Ahmat Rasyid Sutan Manshur, isterinya Siti Raham binti Endah Sutan dan ibunya, Shafiyah binti Bagindo Nan Batuah, begitulah doa kami agar Allah melapangkan kubur Allahyarham Prof. Dr. Syaikh Abdulmalik bin Abdulkarim Amrullah. Al-Fatihah.


Jika berminat untuk mendapatkan buku karya Buya HAMKA, bolehlah berjalan menyeberang museum untuk sampai ke sebuah rumah seperti dalam gambar di atas.

Di sini, ia bukanlah merupakan satu tempat berupa 'kedai buku' sebagaimana yang kami sangkakan. Hanya terdapat beberapa judul buku  daripada ratusan judul tulisan beliau yang tersimpan dalam almari kaca.

Amie beli dua buah buku (karya yang difotostate, dan kemudian di'binding' dengan kertas yang lebih tebal) dengan harga 160,000 rupiah. Sekurang-kurangnya adalah oleh-oleh sebagai kenangan.

Rumah penuh sejarah, terletak di Batang River, Tanjung Raya, Agam, Agam, Sumatera Barat, Indonesia yang melahirkan seorang tokoh terkemuka ini terpaksa kami tinggalkan.

Sumber : Google

Dalam perjalanan pulang, sebelum tiba di Kelok 1, kepala masih dipenuhi dengan novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dan novel Magdalena (MADJULIN)! Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck telah diangkat menjadi sebuah filem. Di sini, Amie memang menolak tuduhan plagiat novel MADJULIN itu! Latar tempat yang berbeza, begitu juga dengan adat dan budaya serta kehidupan masyarakatnya! Barangkali kalau ada persamannya, adalah jalan ceritanya! Ya, teknik  berutus surat dan susunan plotnya! Itulah yang Amie katakan, barangkali Buya HAMKA mendapat idea menulis Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck setelah membaca MADJULIN memandangkan beliau juga mengkaji karya Mustafa Luthfi al-Manfaluthi!

 Sumber : Google

Watak utama novel Magdalena (MADJULIN) ialah Steven dan Magdalena, manakala watak utama dalam Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck ialah Zainudin dan Hayati. HAMKA mengetengahkan latar masyarakat Minangkabau yang penuh adat, dan memang jauh berbeza dengan latar masyarakat dalam novel  Magdalena. Surat-menyurat di antara Hayati dengan Zainudin  dan juga Khadijah juga ada persamaan denga surat-menyurat di antara Steven dengan Magdalena dan Suzana  novel Magdalena. Rakan baik Hayati ialah Khadijah, manakala rakan baik Magdalena ialah Suzana, dan masing-masing bertanggungjawab menjadi punca kepada perkenalan Hayati dengan Aziz, dan juga Magdalena dengan Edward. Peristiwa Zainudin sakit terlantar akibat putus cinta juga dialami oleh Steven, dan setelah berkahwin Hayati serta Magdalena juga datang mengunjungi Zainudin / Steven kerana belas kasihan kepadanya! Kemudian Steven bangkit menjadi ahli muzik, manakala Zainudin bangkit meneruskan kepandaiannya dalam bidang penulisan. Kedua-duanya menjadi orang yang berjaya dan ternama dan Steven bertemu semula dengan Magdalena dalam satu pertunjukan orkestra di bawah pimpinannya! Dan begitulah jalan cerita seterusnya, ada persamaan tetapi berlainan suasana! Kematian Edward dan Aziz juga hampir sama, bunuh diri! Novel Magdalena diakhir dengan peristiwa bunuh diri Magdalena, (kecewa kerana tidak diterima oleh Seven) terjun ke dalam sungai dengan meninggalkan anak kecilnya supaya dijaga oleh Steven. Manakala HAMKA mengakhiri riwayat hidup Hayati dengan peristiwa tenggelamnya kapal Van Der Wijck yang ditumpanginya yang menuju ke Semarang, Tanjung Priok dan terus ke Palembang untuk kembali ke tanah asal keluarganya.
Steven akhirnya mati dalam penyesalan yang tak terucap kerana rasa bersalah menzalimi Magdalena akibat dendam cinta biarpun hidupnya dilimpahi kemewahan, dan begitu juga Zainudin, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna! Setelah Hayati meninggalkan bumi Surabaya, baharulah dia menyedari keangkuhan dirinya selama ini terhadap perempuan malang itu!

Sudah putus dalam fikiran Zainuddin, bahawa nanti dengan keretapi malam dia akan berangkat ke Jakarta, menyongsong Hayati di Tanjung Priok, akan dibawanya kembali ke Surabaya. Alam akan jernih, kabut akan sirna, hujan akan teduh, dan kehidupan akan dimulai di dalam keberuntungan.
Tetapi cita-cita manusia tidak dapat melawan kehendak takdir!
Nanti malam dia akan berangkat, padahal pukul 3 petangnya, surat-surat khabar harian yang terbit dalam kota Surabaya telah sampai ke rumahnya. Sebagai seorang yang memang telah terikat fikirannya kepada suratkhabar, baru saja akhbar-akhbar itu terletak di atas meja, segera dibukanya. Di muka pertama, dengan huruf yang besar-besar telah bertemu perkhabaran "KAPAL VAN DER WIJCK TENGGELAM."
Dia terhenyak di tempat duduknya, badannya gementar, dan perkhabaran itu dibacanya terus.

Surat Hayati yang penghabisan:
Zainuddin!
Mengapa engkau tak suka memaafkan kesalahanku? Demi Allah! Sudah insaf saya, bahawa tidak ada seorang pun yang pernah saya cintai di dalam alam ini, melainkan engkau seorang. Tidak pernah beroleh tenteram diriku setelah aku cuba hidup dengan orang lain. Orang yang telah mengecewakan dirimu itu, yang sekarang telah insaf dan telah menghukum dirinya sendiri, meskipun dia sanggup memperoleh tubuhku, dia selamanya belum sanggup memperoleh hatiku. Kerana hatiku telah untukmu sejak saya kenal akan dikau.

Hurrmmmm.... Moral of the story, janganlah keterlaluan dalam mengambil keputusan dan tindakan. Bersederhanalah dalam pemikiran, pertuturan dan perbuatan! Dalam filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Zainuddin diberi nafas baru, iaitu terus bangkit dari kemurungan dan berkahwin serta mempunyai keluarga!
Alihkan segala kenangan lama kepada pemandangan baru!

Perjalanan diteruskan dan sekali lagi kami perlu melalui Kelok 44!

Danau Maninjau masih kelihatan!



Antara pemandangan yang Amie rasa menarik untuk dirakam!


Oh! Masjid hijau yang cantik itu namanya Masjid Raya Maninjau!

Masih lagi berminat merakam rumah bumbung bagonjong!


Papan tanda tertulis nama Allah, Asma'ul Husna terdapat di sepanjang laluan.

Kata Pak Herman, aktiviti menternak ikan menyebabkan wujudnya pencemaran tasik. Adeeehhh..sayangnya! Nanti cacatlah pandang darat fizikal Danau Maninjau!

Kerja-kerja pembaikan dijalankan di sesetengah tempat termasuk selekoh tajam. Nampak sungguh kerjasama, saling membantu oleh para pekerja dengan pemandu kenderaan yang melalui kawasan ini, untuk memastikan keselamatan mereka terjamin.

Di pertengahan jalan, kami berhenti seketika di sebuah warung di Kelok 23.

Di sini, kami membasahkan tekak sambil melihat-lihat pemandangan sekitar.

Dari serambi warung, masih terlihat dengan jelas Danau Maninjau yang membiru!

Rasa ingin berlama-lama di sini, berbaring-baring sampai terlelap!

Sempat makan keropok kulit lembu!

Nah... Zana sudah datang dengan sebungkus keropok saiz besar!

Minumlah kami di sini, dengan segelas teh dan sekeping keropok!

Yang lain memesan segelas jus mangga.
Sungguh menggoda!

Ada yang termenung mengenang nasib diri!
Apa khabarnya anak-anak?
Apa khabarnya suami?
Apa khabarnya tunang?

Sebenarnya sedang asyik merenung alam semula jadi yang indah menawan!

Dan entah bila akan berpeluang menyaksikan suasana ini lagi.

Terima kasih Pak Herman kerana sudi 'memberhentikan' kami di sini, di Pondok Bukhareh, milik kakak beliau.

Sedutan terakhir...slurrrpppp!
Zana... ayuk! Kita dah nak jalan nih!


Van meninggalkan Pondok Bukhareh, dan Kelok 23 dilewati. Hanya tinggal 21 kelok lagi!


Kami berbesar hati menerima pelawaan Pak Herman untuk mengunjungi rumah kedua orang tuanya. Rupanya tempat kelahiran Pak Herman di desa ini! Tidak jauh dari Kelok 44!


Berkesempatan berkenalan dengan ayahanda Pak Herman.





Moga ayahanda dan bonda Pak Herman sentiasa sihat sejahtera.

Nampaknya tidak boleh berlama-lama di sini. 
Cukuplah sekadar bergambar kenangan, kami sangat bertuah kerana dapat berkunjung ke rumah tour guide kami!

Berhadapan desa ini, terdapat sebuah kawasan penginapan mewah telah dibangun dan menurut Pak Herman ia bertaraf 5 bintang. Hotel ini akan penuh dan meriah ketika sambutan tahun baru!

Masih tak jemu merakam gambar di desa ini.

Melewati kawasan tanaman tebu.

Melihat-lihat rumah bumbung bagonjong.

Dan ingin rasanya terjun melepasi tingkap van duduk atas sawah padi!
Alamak! Tak jadilah nak terjun... nanti kena gigit lintah atau pacat! Maaaaakkkk!

Barangkali, dalam tempoh sehari dua mungkin boleh menyelami budaya hidup masyarakat di sini jika berkesempatan tinggal bersama mereka.

Mana tahu, suatu hari nanti boleh 'berhomestay' di perkampungan seperti ini. Boleh melihat sawah padi dengan lebih dekat, itik-itik, ikan-ikan yang berlompatan di bendang dan merasai keenakan masakan tradisi Minang!


Gambar terakhir pada petang itu sebelum makan tengahari (petanglah sebab dah pukul 2 petang) pemandangan sawah padi berlatar belakangkan Gunung Marapi. Gunung Marapi ada dua puncak, katanya Pak Herman. Satu  puncaknya masih aktif (gunung berapi dan pernah meletus lebih 50 kali pada abad ke-18) dan satu puncak lagi gunung biasa.

Kalau di Pulau Jawa, Amie jadikan hasil tulisan Pramoedya Ananta Toer (Keluarga Gerilya, Anak Semua Bangsa, Bumi Manusia, Rumah Kaca, Jejak Langkah, Nyanyi Sunyi Seorang Bisu, Gadis Pantai) sebagai rujukan kepada latar budaya dan sejarahnya, di Bukit Tinggi pula Buya HAMKA telah menggambarkan dengan sepenuh jiwa sosio budaya, adat, kritikan masyarakat  dan keindahan alamnya dalam Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. 

Tiba-tiba dalam hati bertekad untuk membongkar rak buku di penjuru ruang tamu, mencari semula novel-novel tulisan Pramoedya Ananta Toer! 





Sesiapa yang berhasrat untuk bercuti ke Bukit Tinggi bolehlah menghubungi Pak Herman melalui FB beliau di sini : HERMANN HOLLANDE. 
Pak Herman juga boleh dihubungi melalui telefon : 62 812-6784-9399, dan WhatsApp : 62  812-6784-9399



Sila klik entri di bawah berkaitan PERCUTIAN KE BUKIT TINGGI - PADANG - SUMATERA BARAT:

1. Bercuti ke Bukit Tinggi, Padang : Lahad Datu - Tawau - Kuala Lumpur - Sumatera Barat 
2. Sarapan Pagi di Warung Soto Angkasa  
3. Air Terjun Lembah Anai  
4. Memakai Pakaian Adat di Museum Minang Village  
5. Makan Tengahari di Rumah Makan Aie Badarun  
6. Makan Malam di Rumah Makan Wong Semarang  
7. Bermalam di Hotel Primadini  
8. Shopping Kain Sulam di Bukit Tinggi  
9. Cerita Secangkir Kopi Kawa Daun & Kue-Kue Jagung Manis  
10. Lembah Harau & Kelok Sambilan (9)  
11. Makan Tengahari di Tengah Sawah  
12. Istano Basa Pagaruyung  

13. Jus Terong Peros @ Terung Belanda
14. Menghayati Keindahan Panorama Sungai Landia Sambil Menikmati Secawan Teh Halia Panas!    
15. Kelok 44 - Museum Rumah Kelahiran Buya HAMKA  
16. Danau Maninjau Yang Indah Mempesona 
17. Makan Tengahari di Rumah Makan Eni  
18. Silver Work Koto Gadang  
19. Minum Petang di Rumah Pohon Ngarai Sianok  
20. Lobang Jepang  
21. Jam Gadang Mercu Tanda Kota Bukit Tinggi  
22. Tembok Besar China ala Bukit Tinggi  
23. Oleh-Oleh Sanjai Ummi Aufa Hakim Bukit Tinggi  
24. Bika Talago Bukit Tinggi Yang Tak Dapat Dilupakan!  
25. Makan Tengahari di Lamun Ombak & Segelas Jus Pinang Muda  
26. Sepetang di Kota Padang  
27. Sate Padang KMS Saribu Baniah  
28. Berakhirnya Percutian di Bukit Tinggi : Padang - Kuala Lumpur - Tawau 

1 comments

  1. In Sha Allah dipermudahkan kemabara kami 2 minggu lagi ke sini, saya dah book pak herman melalui info akk nie.

    BalasPadam

TERIMA KASIH TINGGALKAN KOMEN.

Labels

~Australia (Perth) ~Balkan ~Bosnia and Herzegovina ~Brunei Darul Salam ~China (Shenzhen - Guilin - Yangshuo - Guangzhou) ~Croatia ~Cuti-Cuti Malaysia ~Ekspedisi ~Europe ~India (New Delhi - Srinagar - Pahalgam - Gulmarg) ~Indonesia ( Padang - Bukit Tinggi - Jambi - Palembang - Jakarta ) ~Indonesia ( Sumatera Barat - Bukit Tinggi - Padang ) ~Indonesia (Bandung - Jakarta - Jogjakarta) ~Travelogue ~Indonesia (Kalimantan Timur: Nunukan - Tarakan - Balikpapan - Samarinda - Tenggarong) ~Indonesia (Sidoarjo - Surabaya - Malang) ~Indonesia (Surabaya - Malang) ~Italy ~Jalan-Jalan Cari Ikan ~Jalan-Jalan Cari Makan ~Johor ~Kedah ~Kelantan ~Kenali Hidupan Akuatik ~Korea Selatan - Seoul - Nami Island ~Kuala Lumpur ~Madinah 2023 ~Makkah & Madinah ~Makkah 2023 ~Melaka ~Muhasabah Diri ~Negeri Sembilan ~Nepal (Kathmandu-Pokhara-Dhampus-Machhapuchhre Base Camp) ~Pahang ~Penginapan / Homestay / Hotel / Resort ~Perak ~Pulau Pinang ~Putrajaya ~Sabah ~Saudi Arabia ~Selangor ~Slovenia ~Tempat Menarik di Malaysia ~Thailand ( Bangkok - Hua Hin) ~Thailand (Hatyai) ~Travelogue ~Turki ~Umrah ~Umrah 2023 ~Vietnam ( Da Nang - Hoi An - Ba Na Hills) Acar Advertorial Agar-Agar Air Asam Aneka Hidangan Nasi Aneka Hidangan Sup Aneka Jenis Serunding Anekdot Antologi Puisi Apam Asian Food Festival Awards Ayam / Itik / Burung BBQ Bekal Makanan Biskut Buah Bubur Buku Cerita / Komik / Cerpen / Novel Buku Motivasi Buku Resepi Buku Resipi Buku Sejarah Buku Travelog / Novelog Cerita Dari Dapur Cerita Dari Pasar Cerpen Kanak-Kanak Chips Contest / Kuiz / GA Desserts Dried Pasta: Spaghetti/ Spiral / Fusili / Rigatoni / Fettuccine / Risoni / Lasagne / Conchiglie / Tagliatelle / Macaroni / etc Dumpling / Wantan / Siew Mai / Dim Sum Food Review Hari Raya Hasil Karyaku Herba Hidangan Berbuka Puasa Hidangan Berpantang Hidangan Bersahur Hidangan Tengah Hari / Malam Hidangan Tengahari / Malam Himpunan Kad Ucapan Ikan Japanese Food Jeruk / Pickles Johor Juadah Hari Raya Juices / Smoothies Kek Kek Lapis Kek Lapis Sarawak Kek Sarawak Kelas Masakan Keluarga Kerabu Kerang-Kerangan Ketam / Sotong / Udang Khidmat Foodpanda Kiriman Komentator Korean Food Kudapan Kuih Raya Kuih Tradisional Nusantara Kuih-Muih Kuiz / GA Lain-Lain Laksa / Mee / Mee Hoon / Kuey Teow Lembu / Kambing / Lamb / Rusa Lobster Malaysian Food Festival Masakan Ala Kadazan / Dusun Masakan Ala Bajau Masakan Ala Bugis Masakan Ala Cina Masakan Ala Cocos Masakan Ala Jawa Masakan Ala Mamak Masakan Ala Nyonya Masakan Ala Pakistan Masakan Ala Thai Masakan Brunei Masakan India Masakan Indonesia Masakan Minang Masakan Negeri Sembilan Masakan Pahang Masakan Sabah Masakan Sarawak Masakan Singapura Masakan Suluk Masakan Timur Tengah Masakan Tradisi Kedah Masakan Tradisi Kelantan / Terengganu /Pantai Timur Masakan Tradisi Melayu Melaka Masakan Tradisi Perak Masakan Tradisi Pulau Pinang Masakan Tradisional Nusantara Masakan Utara Menu ala Fusion Minuman Panas / Sejuk Muffin Nuffnang Oleh-oleh Otak-Otak Pastry Pemakanan Sihat Pembelian Online Petua Di Dapur Pie Pizza Puding Resepi Amie's Little Kitchen di Media Cetak Resepi Bonda Roti Sambal Sambutan Hari Istimewa Santai Bersama BEN ASHAARI Sarapan Pagi / Minum Petang Sate Sayur Seafood Segmen : Meriahnya Dunia Masakan Segmen Share Resipi Setulus Kasih Soto & Coto Telur Tempahan Western Food Wordless Wednesday

Subscribe