ADSENSE

Ahad, 12 November 2017

Ikan Bakar Bumbu Minang & Sambal Ijo

Selamat berhujung minggu rakan-rakan pengunjung setia dapur Amie. Kali ini Amie kongsikan resepi Ikan Bakar Bumbu Minang & Sambal Ijo.

Memandangkan masih ada lagi simpanan Bumbu Masak Khas Minang, dan kebetulan pula baru balik dari pasar bawa pulang ikan, jadi Amie pun cubalah bakar ikan gunakan ramuan pes tersebut.
Nampaknya masih teringat ikan nila bakar yang kami santap di tengah sawah!

 Mungkinkah hasilnya nanti sama seperti ikan nila bakar di atas?

Ikan nila (ikan talapia) bakar. kami habiskan dua ekor (dua piring) ketika makan di Pondok Flora, restoran makan di tengah sawah ketika berkunjung ke Bukit Tinggi.

 Marilah kita lihat proses menyiapkan ikan bakar bumbu Minang ini.

 Inilah Bumbu Masak Khas Minang untuk Ikan Bakar.

Cara penyediaannya mudah saja, hanya tambahkan pati santan dan masak sehingga kuah menjadi pekat, dan kemudian lumurkan pada seluruh ikan.

Encik Suami beli ikan bolu @ susu, seberat 1 kg.
Kita bersihkan dahulu ikan ini, dan kemudian dari belah dari arah belakangnya, keluarkan isi perut ikan. Cuci bersih.
Kemudian toskan supaya ikan tidak dalam keadaan basah.

 Masukkan pes bumbu ikan bakar tadi ke dalam periuk dan tambahkan segelas pati santan.

 Kacau sebati dan kemudian didihkan di atas api sederhana.

 Inilah hasilnya setelah kuah menjadi pekat.

Amie bubuh ikan di atas daun pisang, dan dibawahnya Amie lapiskan dengan aluminium foil. Encik Suami suka makan ikan bakar yang agak lembap, basah sedikit. Jadi, jika bahagian atas ikan nampak garing, bahagian bawahnya masih basah.

 Lumurkan pes tadi di seluruh bahagian ikan dan kemudian terbalikkan.

Bubuh lagi di bahagian dalamnya pula. Kemudian bakar di dalam oven menggunakan api atas dan bawah dengan suhu 200'C selama 25 minit atau sehingga ikan masak. Untuk masakan ikan bakar pada masa akan datang, Amie letakkan pautan blog masakan Padang :
Resep dan Cara Membuat Ikan Nila Bakar Bumbu Padang yang Enak, Gurih dan Spesial  di sini untuk dijadikan  bahan rujukan. Bukan apa, bumbu ikan bakar Minang sudah habis, jadi kenalah belajar menyediakannya sendiri!
Oh! Sebenarnya bumbu ikan bakar ini banyak, walaupun di luar paket dituliskan untuk 1/2 kg ikan, tapi kalau bakar ikan 2 atau 3 kg pun cukup dengan satu paket bumbu!
Amie hidangkan ikan bakar ini dengan ulam-ulaman dan sambal hijau. Dua hari lepas Amie masak sambal hijau, rupanya Firdaus menagih lagi kelmarin pagi.
Mommy, Daun nak makan nasi pedas. Daun nak makan sambal hijau.
Sambal hijau dah habis, sayang.
Mommy masaklah lagi.
Okey...okey, nanti Mommy masak.
Leka masak benda lain, terlupa nak masak sambal hijau!
Sebelah petang pula Firdaus bertanya sekali lagi.
Mommy, mana sambal hijau? 
Adeeeehhhhhh!!!!!

Hari ini Amie masak lagi sambal hijau mengikut resepi sebelum ini dengan cara mengukus terlebih dahulu kesemua bahan. Boleh klik di sini : SAMBAL HIJAU @ SAMBAL IJO

Di bawah ini, Amie tuliskan resepi sambal hijau (ada sedikit ubahsuai) yang Amie masak hari ini berpandukan resepi asal : RUMAH MAKAN SARI BUNDO.
 
Bahan-bahan:
250 gram cili hijau - buang tangkainya
15 biji cili padi hijau - untuk hasil yang lebih pedas (resepi asal 50 gram)
4 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
2 biji tomato hijau
1/2 sudu kecil jus limau nipis
3 sudu besar minyak untuk menumis
garam / gula / perasa pilihan

Cara memasak:
1. Potong kasar cili hijau dan cili padi
2.Kemudian kukus cili hijau dan cili padi bersama bawang merah, tomato dan bawang putih selama lebih kurang 5 minit.
3. Jika sudah layu, tumbuk bahan di atas secara kasar sehingga sebati.
4.  Panaskan minyak dan tumis semua bahan sehingga layu dan terbit aroma.
5. Akhir sekali, tambahkan gula, jus limau nipis dan garam / perasa pilihan. Kacau rata dan masak sehingga pecah minyak.
6. Angkat dan hidangkan.

Tiada ulasan: