ADSENSE

Ahad, 8 Oktober 2017

Nasi Kuning & The Gang Yang Sangat Sedap!

Ikan tuna yang kami beli di Pasar Ikan Tawau masih berbaki. Pada mulanya Amie tinggalkan sebahagian kecil daripada ikan seberat 4 kg itu untuk dijadikan lauk nasi kuning, sempena Fuad pulang bercuti seminggu dari Labuan. Dua hari lepas katanya, tak jadi balik pula. Dia akan bercuti di rumah kawannya di Sipitang. Dan beberapa hari kemudian kami akan bertemu di KLIA, sempena hari konvokesyen Abang Farid di UKM.
Anak-anak memang suka sangat makan nasi kuning. Itu sebabnya setiap kali masak nasi kuning dengan sambal ikan, teringat-ingat anak-anak ulang makan di dapur! Tak cukup makan sarapan pagi, tengahari pun makan nasi kuning lagi. Sudah menjadi kebiasaan, seperti juga nasi lemak, Amie akan lebihkan masak nasi kuning. Pendek kata, masak sebelah pagi sekali harung makan sampai ke petang.

Amie pun tak ingat entah berapa kali Amie kongsikan resepi Nasi Kuning & The Gang di dapur maya ini.  Kali ini Amie ingin kongsikan masakan sambal seperti yang pernah MIL masak. Encik Suami pernah beritahu, sewaktu zaman kanak-kanaknya, MIL memang pernah berniaga nasi kuning berlaukkan sambal ikan. Suatu hari, Amie terdengar arwah FIL bercerita tentang sambal ikan tuna dengan seseorang (tak ingat siapa lawan bicara FIL). Kata FIL, apabila ikan tuna digoreng terlebih dahulu dan kemudian  dimasak sambal, hilanglah rasa keaslian ikan itu. Ketika itu, Amie hanya dengar saja, dan tak pernah masak sambal ikan seperti yang diperkatakan oleh FIL. FIL pernah menjadi tukang masak pengurus ladang dari England, dan citarasa FIL juga agak berbeza. Misalnya, sewaktu Amie buat lamb chop, pesannya jangan masak lama-lama. Balik-balikkan saja, kemudian angkat! MIL pula, selalu pesan kalau Amie masak di dapur ( di rumah MIL), kalau goreng ikan, goreng lembik-lembik untuk FIL! Hurrrmmm... sampai sekarang Amie tak tahu apa maksud goreng ikan lembik-lembik!

Jom kita lihat resipi nasi kuning seperti di bawah ini.
Bahan-bahan:
5 cawan beras biasa + 1/2 cawan beras pulut - bersihkan dan toskan airnya
2 helai daun pandan -siat dan simpul
3 cm halia - hiris halus atau pecahkan
1 sudu besar serbuk kunyit
1 sudu kecil garam- nak rasa masin, lebihkan sikit
600 ml pati santan

Cara:
1. Didihkan air dalam periuk pengukus.
2. Masukkan santan bersama daun pandan, halia, serbuk kunyit dan garam ke dalam kuali.
3. Masukkan beras dan kacau sekali-sekala sehingga beras kembang dan mengering.
4. Pindahkan beras dari kuali ke dalam periuk pengukus.
5. Kukus selama 15-20 minit atau sehingga nasi masak.

Boleh masak gunakan rice cooker saja. Cara memasak sama seperti masak nasi lemak. Cuma, pandai-pandailah sukat santannya sebab masak guna rice cooker pelukan  santan lebih berbanding masak cara kukus. Kalau tak mahu campurkan beras pulut pun tak jadi masalah.

Untuk sambal ikan tuna pula, kali ini Amie tidak goreng terlebih dahulu ikan tersebut sebagaimana kebiasaannya. Dan Amie juga tidak tambahkan asam jawa, sebaliknya di akhir waktu memasak, Amie bubuh jus limau nipis.  Walaupun MIL dan FIL sudah tidak ada, Amie cuba untuk kekalkan resipi mereka untuk anak cucu akan datang, walaupun ada pengubahsuaian misalnya MIL dan FIL tak suka tambah gula, tapi Amie masukkan juga. Al-fatihah untuk MIL dan FIL.

Bahan-bahan:
1 kg ikan tuna - potong ikut saiz yang digemari
1/3 cawan parutan gula melaka
2 sudu besar jus limau nipis
garam / perasa pilihan secukupnya
1/2 cawan minyak
 
Bahan kisar:
30 biji cili kering Wonder Hot- buang biji dan rendam dengan air panas / sejuk hingga lembut
3 ulas bawang putih
10 biji bawang merah
1 labu bawang besar
2 cm belacan
 
Cara:
1. Panaskan minyak.
2. Tumis semua bahan kisar menggunakan api sederhana sehingga pecah minyak.
3. Masukkan ikan tuna dan biarkan sehingga kuah sambal mendidih (jika terlalu kering, tambahkan sedikit air panas) dan ikan masak.
4. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan secukupnya.
5. Tuangkan jus limau nipis. Kacau beberapa kali supaya kuah sambal sebati.
6. Padamkan api dapur.
7. Hidangkan bersama nasi kuning, hirisan timun dan telue rebus.

Sayur petola masak bening,
Disantap oleh bujang kelana,
Jemput makan nasi kuning,
Makan dengan sambal ikan tuna.
 

2 ulasan:

Nooriah Abdullah berkata...

assalamualaikum MIe
amboi sedapnya nampak nasi kuning and the gang tu
siap ada pantun lagi, kak noor tak reti nk pantun2 ni
terus saja nak santap nasi kuning tu heee

Anna Qawina berkata...

Kak Amie, beras pulut xyah rendam dulu ke?